UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 2 September 2013

Krisis air Selangor: Derita penghuni pangsapuri berterusan?


"Pakcik tak larat nak mengangkat tong berisi air ini berseorangan naik ke rumah. Pakcik harap gangguan bekalan air ini pulih dengan segera supaya aktiviti harian kami berjalan seperti biasa."

Begitulah keluhan Ramli Talib, 59, yang terpaksa mengangkut air yang dibekalkan menggunakan lori tangki ke rumahnya di tingkat empat.

Dia yang ditemui Utusan Malaysia berkata, dia terpaksa melakukan kerja berat itu kerana anak-anaknya keluar bekerja.

"Pada musim Aidilfitri ini, sudah empat kali kami mengalami gangguan bekalan air. Rumah pakcik di tingkat empat, jika lif rosak, terpaksa kami mengangkat tong air dengan menaiki tangga. Tujuh buah tong yang pakcik bawa ini hanya mampu bertahan sekejap sahaja," katanya.

Kepayahan yang dialami oleh pakcik Ramli turut ditanggung penduduk lain di Pangsapuri Mesra Ria di Taman Pandan Mesra, Ampang, dekat sini sejak Jumaat lalu.

Penduduk memberitahu gangguan bekalan air di perumahan itu mula terputus pada pukul 8 malam semalam.

Tinjauan di pangsapuri itu mendapati, walaupun hujan, penduduk beratur panjang untuk mendapatkan air yang dihantar ke situ oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dengan menggunakan lori tangki.

Bagaimanapun, beberapa penghuni pangsapuri 16 tingkat itu apabila ditanya mengakui tidak mengetahui punca sebenar masalah gangguan bekalan air yang berlaku kali ini.

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra di Ampang, Selangor beratur untuk mengambil air dari lori tangki Syabas akibat masalah ketiadaan air semalam.

Ruslimah Karso, 50, berkata, pangsapuri itu kerap kali berlakunya gangguan bekalan air.

"Di sini bekalan air sekejap ada, sekejap tiada sehingga menimbulkan keraguan di kalangan kami. Saya sendiri tidak tahu punca masalahnya," jelasnya.

Semalam, Syabas memberi jaminan pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas akan mencapai ke tahap 80 peratus dalam tempoh tiga hari lagi sementara pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Gangguan bekalan air kali ini berlaku setelah empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Pemandu van, N. Raja, 32, yang tinggal di tingkat lima bersama-sama sembilan orang ahli keluarganya berkata, rutin harian keluarganya terganggu teruk akibat ketiadaan air.

"Saya memiliki keluarga besar jadi susah untuk kami menjalankan rutin harian seperti memasak, mencuci pinggan, mandi dan sebagainya. Seingat saya tahun ini, sebanyak dua kali tiada bekalan air," katanya.

Juruteknik, Mohd. Hafiz Taib, 35, yang mempunyai dua orang anak yang berusia tujuh dan 14 tahun pula membeli air dari sebuah mesin yang terletak di pangsapuri tersebut untuk kegunaan seharian.

"Isteri saya terpaksa mandi di tempat kerja. Kalau nak makan, kami pergi sahaja ke kedai-kedai makan berhampiran. Sehubungan itu, kami berharap masalah ini secepat mungkin," ujarnya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan