UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 16 September 2013

Kerajaan terus laksana PPPM walaupun Dong Zong bantah – Idris Jusoh?


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan dilaksanakan walaupun mendapat tentangan berterusan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang turut merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihaknya tidak boleh berdolak-dalik berhubung pelaksanaan pelan itu memandangkan ia telah diperincikan dari segala aspek serta menerima pandangan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

“Jika kita tarik balik sana-sini ia (PPPM) tidak akan berjaya. Kerajaan akan terus laksanakan program ini yang dilancarkan pada 6 Sept lepas oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada media selepas menyertai dialog mengenai topik ‘PPPM-Satu Perspektif’ di sini hari ini.

Idris mengulas tindakan Dong Zong yang dikatakan merancang mengadakan bantahan melalui perhimpunan secara aman selain mengambil tindakan undang-undang terhadap kementerian sekiranya pelaksanaan pelan dilihat menjejaskan kedudukan bahasa Cina dalam pendidikan negara.


Mengenai tindakan persekutuan itu yang masih membantah PPPM walaupun telah diberi penjelasan terperinci berhubung pelaksanaannya, menteri itu berkata kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua pihak dan apa yang penting ialah melaksanakan program yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Kita laksanakan apa yang terbaik selaras dengan falsafah pendidikan negara. Bukan semua orang setuju…kalau ada sesetengah orang cakap sistem pendidikan kita tidak berapa baik dan dia nak hantar anak belajar di luar negara, kita tidak menghalang mereka untuk berbuat demikian.

“Tetapi untuk negara kita, kerajaan akan pastikan kita memberi yang terbaik dan termampu,” jelas Idris.

Terdahulu, ketika sesi dialog, Idris berkata PPPM yang merangkumi tempoh 2013 sehingga 2025 mempunyai matlamat utama untuk meletakkan sistem pendidikan negara pada kedudukan satu pertiga terbaik di dunia.

“Melalui PPPM ini, kerajaan juga ingin memastikan sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama pelajar tanpa mengetepikan sekolah vernakular,” katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai sistem pendidikan yang berubah setiap kali kepimpinan kementerian bertukar, Idris menarik perhatian bahawa kerajaan menetapkan pelaksanaan PPPM untuk tempoh 2013-2025, justeru kebimbangan seperti itu tidak perlu timbul.

Mengenai kebimbangan beban kerja guru bertambah dengan pelaksanaan PPPM, Idris berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk perbincangan ke arah mencari jalan penyelesaian terbaik. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan