UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 18 September 2013

Isu tanah di Puncak Alam masih jadi tanda tanya?

Sebahagian penduduk di Kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih hadir pada sesi perbincangan bersama Adun Jeram.

PUNCAK ALAM - Isu pemindahan 36 penduduk yang mendiami tanah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kampung Serai Wangi dan Desa Pengasih, di sini, masih menjadi tanda tanya berikutan masih belum mengetahui keputusan rundingan yang dibuat.

Sebelum ini, wakil rakyat yang juga Adun Jeram, Datuk Amirudin Setro mahu mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat terbabit bagi menyelesaikan isu tanah berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya dapat dimaklumkan selepas perbincangan yang diadakan semalam, meskipun tempoh masa yang diberikan melalui notis mahkamah kepada penduduk untuk berpindah adalah hari ini.

Keadaan itu menyebabkan penduduk tidak senang duduk berikutan bila-bila masa akan diminta keluar dari tanah yang diterokai lebih 20 tahun lalu.

Seorang penduduk, Zainal Sire, 67, berkata, dia sekeluarga buntu memikirkan perkara itu, namun sudah bersiap sedia mengemas barangan seperti baju kerana bimbang diminta berpindah segera.

“Kami sekeluarga sedih memikirkan keadaan selepas ini yang bakal hilang rumah dan punca pendapatan, selain terpaksa bersiap-siap menyimpan baju dan barangan lain di dalam kotak untuk langkah berjaga-jaga.

“Kalau boleh, kami tidak mahu berpindah kerana kawasan ini sudah menjadi sebahagian darah daging keluarga dan hasil tanaman yang menjadi sumber pendapatan,” katanya.

Zainal berkata, penduduk mohon pihak berwajib dapat menangguhkan tempoh perintah pengosongan tanah yang ditetapkan hari ini berikutan tiada tempat lain untuk berteduh.

Lebih menyedihkan katanya, usaha sebahagian peneroka yang mahu menikmati hasil tanaman selepas berpenat lelah membersihkan kawasan yang dahulunya hutan pada 1989 akan ditinggalkan begitu sahaja.

“Rata-rata penduduk di kawasan ini bergantung kepada sumber tanaman seperti ubi, nanas dan buah-buahan yang diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Penduduk berharap sangat mereka tidak perlu berpindah, namun jika kami ditempatkan di kawasan tanah lain berhampiran kawasan kampung ini sebagai jalan penyelesaian, mungkin kami terima,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norizan Nemat berkata, pihaknya sudah menyenaraikan nama penduduk yang bakal terjejas di dua kawasan itu untuk diserahkan kepada Adun Jeram untuk tindakan lanjut.

“Saya harapkan masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin dan memberikan ‘win win situation’ kepada kedua belah pihak yang terlibat memandangkan penduduk juga tidak mahu perkara ini menjejaskan syarikat GLC itu.

“Penduduk tidak menolak pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan ini, namun berharap pihak terlibat juga dapat beri perhatian kepada penduduk yang sudah mendiami tanah ini lebih 20 tahun,” katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan