UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 23 September 2013

Ceroboh empangan Klang Gate?

Pihak Luas turut mengambil tindakan menyita bot yang dilihat menceroboh kawasan perairan empangan terbabit.

GOMBAK - Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menyita 26 bot tanpa enjin dan tiga bot berenjin yang terlibat dalam aktiviti menceroboh kawasan empangan Klang Gate, menerusi operasi bersepadu yang dijalankan, semalam.

Penolong Pegawai Penerangan Luas, Mohd Noh Mohd Yusof berkata, kedudukan empangan berkenaan yang dikelilingi penempatan penduduk dilihat membuka ruang kepada pihak terbabit menceroboh ke kawasan ini.

"Antara aktiviti pencerobohan yang dilihat sering dilakukan adalah memancing, memukat, menebang pokok hutan, membina pondok dan berkayak.

“Kesemua aktiviti ini tidak boleh dijalankan di kawasan empangan ini kerana ia akan menjejaskan kualiti air mentah di sini,” katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa jalan yang dipercayai menjadi laluan tikus yang memudahkan masyarakat luar menceroboh ke kawasan larangan itu.

“Kami telah lama pantau aktiviti pencerobohan yang dijalankan di sini dan operasi bertujuan mengambil tindakan ke atas pihak yang degil.

"Luas sebelum ini meletakkan papan tanda dan notis pemakluman kawasan larangan di setiap jalan tikus, tapi masih ada lagi berani menceroboh," katanya.

Beliau berkata, empangan itu perlu dipelihara memandangkan ia adalah sumber air mentah buat penduduk di sekitar Lembah Klang.

“Pada tahun ini, kita sudah jalankan serbuan sebanyak dua kali dan serbuan pertama dijalankan Jun lalu,” katanya.

Menyentuh mengenai operasi itu, Mohd Noh turut memaklumkan pihaknya berjaya menahan empat individu warga tempatan yang dipercayai menceroboh kawasan empangan itu untuk memancing.

"Kami telah keluarkan notis amaran dan menyita barangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noh berkata, pada 2010 terdapat tujuh empangan di sekitar Selangor telah diwartakan sebagai kawasan larangan dan empangan Klang Gate salah satu daripadanya.

"Mana-mana pihak yang menceroboh boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 105(3) Enakman Luas 1999.

“Pesalah boleh dikenakan denda RM10,000 dan penjara selama enam bulan atas kesalahan tersebut,” katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan