UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 3 Jun 2013

Peringatan Sultan Selangor tamparan hebat buat MB, Exco!

Hasan Ali, Hamidzun

Peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Menteri Besar dan barisan Exco yang baharu dilantik minggu lalu merupakan tamparan hebat kepada kerajaan pakatan pembangkang ekoran kegagalan mereka menunaikan kebanyakan janji yang dibuat pada penggal pertama memerintah negeri itu.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, titah baginda pada hari Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah disifatkan amat tepat supaya mereka dapat memahami dan menghayati segala janji yang dibuat dalam manifesto, sekali gus dapat dioperasikan segera dalam pentadbiran mereka.

“Titah baginda itu bukan sekadar titah sahaja tetapi dalam pengertian sebenar lima tahun lalu banyak benda tidak dilaksanakan sekali gus peringatan itu memberi ‘pukulan’ kepada Menteri Besar dan para Exco.

“Mereka sekadar boleh memekakkan telinga terhadap suara rakyat yang menghadapi masalah seperti nasib ibu tunggal serta elaun untuk suri rumah dan anak tadika yang dijanjikan untuk mereka, tetapi peringatan Sultan kali ini perlu diambil pertimbangan serius," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.

Khamis lalu Sultan Sharafuddin menyifatkan manifesto yang dibuat sesebuah parti politik adalah janji dan baginda menitahkan perkara itu dilaksana tanpa berlengah memandangkan rakyat menaruh harapan penuh untuk menikmati sebuah negeri yang aman makmur dalam suasana penuh harmoni.


Malah, baginda turut menitahkan parti yang dipilih rakyat untuk memerintah negeri itu menunaikan manifesto mereka dalam pilihan raya umum lalu dengan adil serta saksama berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Hasan yang juga bekas Exco Kerajaan Selangor berkata, baginda mempunyai keberanian dan kebijaksanaan kerana menyampaikan nasihat tersebut pada hari penting itu ekoran tidak mahu rakyat tertipu dan terpedaya dengan tawaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Kata beliau, baginda juga mahu melihat kerajaan yang dibentuk semula kali ini adalah sebuah kerajaan yang betul-betul menunaikan janji demi pembangunan negeri Selangor.

“Titah baginda itu dibuat di hadapan pembesar-pembesar negeri dan orang penting yang akan menjadi saksi kepada ingatan baginda itu supaya mengotakan janji yang dipaparkan dalam manifesto," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diberi mandat semula untuk memerintah negeri itu perlu belajar daripada kegagalan melaksanakan hasrat rakyat sepanjang tempoh lima tahun sebelum ini.

Jelas beliau, Abdul Khalid dan barisan Exconya wajib menyelesaikan tiga masalah utama yang tertangguh pelaksanaannya seperti masalah air, banjir kilat dan kewujudan rumah urut di sekitar negeri itu.

“Namun saya yakin barisan Exco kali ini adalah yang mempunyai harapan untuk bekerja berbanding Exco yang lepas kerana hanya tahu bermain politik sehingga gagal melaksanakan hasrat rakyat dalam tempoh lima tahun.

“Sehubungan itu, peringatan Sultan Selangor kepada barisan Exco kali ini agar dapat melaksanakan manifesto tanpa berlengah adalah amat tepat dan mereka harus mengambil iktibar sekali gus tidak mensia-siakan harapan rakyat," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan