UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 28 Ogos 2011

Mat Sabu hina pejuang : Waris tragedi Bukit Kepong tersinggung!

Waris mangsa yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950, kecewa dan terguris dengan kenyataan Mohamad Sabu yang mendakwa Parti Komunis Malaya (PKM) ialah hero sebenar dalam peristiwa itu dan bukannya anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka.

Ismail Yahya, 80, iaitu adik kepada polis bantuan (AP) Othman Yahya yang terbunuh dalam tragedi berdarah tersebut, mengakui amat terkilan dengan kenyataan biadab Timbalan Presiden Pas itu.

Tegasnya, abangnya berjuang bersama-sama anggota polis Balai Bukit Kepong waktu itu secara sukarela kerana sayangkan keamanan dan tanah air.

"Mengapa jasa dan pengorbanan abang saya tidak dikenang Mat Sabu? Walaupun kami daripada keluarga miskin tetapi abang saya mengetepikan semua itu semata-mata untuk berjuang demi tanah air tanpa dibayar satu sen pun.

"Sedih apabila mengenangkan pengorbanan abang saya tidak dihargai walaupun kami tidak minta disanjung. Kenapa pula kenyataan jahat dan bodoh seperti ini diluahkan," soalnya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Kampung Bukit Bendar dekat sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan biadab Mat Sabu pada 21 Ogos lalu dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan 4 PKM yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Selain itu, Mat Sabu turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana kedua-dua tokoh tersebut ialah pegawai British ketika itu.

Ismail berkata, Mat Sabu tidak pernah merasai saat-saat pilu seperti dilaluinya apabila memangku mayat abangnya dan mengambil tangan, kaki dan kepala mereka yang terkorban untuk disemadikan selepas itu.

"Semua ini tidak berlaku terhadap keluarga atau saudara-mara dia, sebab itu dia bercakap apa sahaja tanpa memikirkan perasaan orang lain. Dia ini Melayu ke apa? Kalau nak ambil hati DAP pun berpada-padalah," katanya.

Sehubungan itu, Ismail mahu Mat Sabu berhenti daripada memutar belit kenyataan dan jangan memperalatkan Islam atau menggadaikan maruah bangsa Melayu hanya untuk cita-cita politiknya.

Sementara itu, Penghulu Bukit Kepong, Mohd. Azhari Bidin, 40, menyifatkan kenyataan Mat Sabu sebagai jahat dan mempunyai agenda tertentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Beliau meminta pemimpin Pas itu insaf, bertaubat dan berpada-pada dalam berpolitik kerana tidak semua perkara boleh dipertaruhkan termasuk agama.

"Inikah pejuang Islam? Orang seperti ini tidak layak jadi pemimpin dan dia pun bukan daripada golongan ulama atau profesional. Rugi bagi Pas kerana memiliki orang seperti ini apatah lagi bertaraf pemimpin," katanya.

Sementara itu : Mat Sabu perlu mohon maaf

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pengganas sebagai hero sebenar dalam tragedi Bukit Kepong menunjukkan beliau jahil dalam soal sejarah negara ini.

Menurut Khalid, kenyataan Mat Sabu itu juga boleh menimbulkan kemarahan waris-waris pasukan keselamatan, terutamanya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjuang bermati-matian menentang pengganas komunis ketika tragedi berdarah itu.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Sabu itu jelas menunjukkan beliau jahil dan buta sejarah.

"Saya nasihatkan agar dia buat rujukan dan membaca semua buku-buku sejarah bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku," katanya ketika dihubungi disini hari ini.

Menurutnya, Mat Sabu perlu memohon maaf kerana kenyataan dangkalnya itu akan menyinggung perasaan waris-waris anggota polis maut dalam tragedi berdarah itu.

"Saya pasti semua warga PDRM dan waris anggota, khususnya yang terlibat dalam insiden itu kecewa dengan kenyataannya," kata beliau.

Dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, Mat Sabu menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurut Mat Sabu, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Beliau juga berikrar untuk mengubah semula sejarah kemerdekaan negara jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya kerana dakwanya, sejarah yang tertulis pada hari ini tidak memaparkan fakta sebenar, selain hanya memihak kepada UMNO.

Dalam tragedi berdarah Bukit Kepong yang bermula kira-kira pukul 5 pagi pada 23 Februari 1950, satu persatu anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka gugur selepas diserang dari setiap sudut oleh 200 pengganas komunis, malah sebahagian daripada mangsa dicampak hidup-hidup ke dalam api.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan