UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 23 Ogos 2011

Anwar takut bersumpah, pilih kandang tertuduh!

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang sering melaung-laungkan ketelusan dan keadilan, hari ini memilih untuk memberi keterangan bela diri dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi di sini berhubung kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Tindakannya itu yang tidak memerlukannya mengangkat sumpah dilihat seolah-olah ingin 'menyelamatkan' dirinya daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Bagaimanapun, pilihan itu juga digunakan sewenang-wenangnya oleh Anwar untuk 'menyerang' Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang sebelum ini telah berpuluh-puluh kali membenarkan penangguhan demi menghormati hak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai tertuduh.

Anwar memberi keterangannya dengan membacakan pernyataan bertaip setebal 32 muka surat, kira-kira satu jam 45 minit mulai 9.50 pagi dan seperti kebiasaan, menyelitkan beberapa potongan ayat al-Quran, ucapan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, Shakespeare dan banyak lagi.

Bermula dari perenggan kedua keseluruhan kenyataannya, inti pati 'bela diri' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah menyalahkan satu persatu tindakan hakim Mahkamah Tinggi tersebut yang didakwa menindas hak beliau untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Anwar memberi tujuh alasan tindakan hakim itu yang didakwa gagal memastikan perbicaraan berjalan secara adil antaranya enggan memberi perintah agar bahan material penting diberikan kepada pihak pembelaan dan kegagalan mengarahkan saksi utama kepada pihak pembelaan hadir ke mahkamah memberi keterangan.

Beliau juga mendakwa hakim tersebut bertindak berat sebelah terhadapnya apabila membuat penghakiman awal dengan menyatakan Mohd. Saiful Bukhari sebagai saksi yang dipercayai di akhir kes pendakwaan tanpa mendengar keterangan di peringkat pembelaan terlebih dahulu.

''Saya telah dinafikan keperluan untuk membuat pembelaan saya secara bersumpah. Itu terjumlah kepada penafian hak saya untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil dan saksama,'' katanya dalam suara yang semakin serak.

Keterangannya itu yang boleh dianggap sebagai satu 'ceramah politik' kadangkala menyebabkan Hakim Mohamad Zabidin dilihat tidak selesa sehinggakan ketika Anwar memohon untuk menangguhkan seketika perbicaraan, hakim itu bertanyakan ''Panjang lagi?''.

Pada ketika ini juga, dilihat salah seorang pakar asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibawa khas oleh pihak pembelaan sudah terlelap.

Selain itu, Anwar menyatakan walaupun hakim tersebut ada membenarkan permohonannya seperti menemui saksi-saksi pendakwaan, beliau mendakwa Hakim Mohamad Zabidin turut memberi 'talian hayat' kepada saksi bahawa mereka boleh menolak daripada ditemu bual.

Beliau turut mendakwa bersedia untuk memberi keterangan secara bersumpah tetapi tindakan-tindakan hakim itu telah 'mencipta' satu situasi yang tidak membolehkannya berbuat demikian.

Berhubung pertuduhan yang dihadapinya, Anwar seolah-oleh mengulangi hujah pembelaan di akhir kes pendakwaan di samping menafikan mempunyai hubungan seksual dengan Mohd. Saiful Bukhari.

''Saya ingin menyatakan tanpa ragu-ragu bahawa saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan seksual dengan pengadu, Mohd. Saiful. Dakwaannya adalah pembohongan secara terang-terangan dan berniat jahat dan akan dibuktikan sedemikian,'' katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, Mohd. Saiful Bukhari berpeluang meninggalkan tempat kejadian tetapi tidak berbuat demikian atas dakwaan kononnya dibelenggu ketakutan walhal pengadu berusia awal 20-an, enam kaki tinggi dan tegap berbanding dirinya yang berusia 60 tahun dan telah menjalani pembedahan sakit tulang belakang selain tidak mempunyai sebarang kedudukan.

Anwar selaku saksi pembelaan pertama juga menyatakan, tindak-tanduk pengadu itu didakwa tidak konsisten apabila turut menghadiri satu majlis PKR dan perjumpaan Kelab Anwar Ibrahim di rumahnya keesokannya selain tidak segera membuat laporan polis atau mendapatkan rawatan.

Kembali mengungkit 'kisah lama', beliau menyatakan pihak pendakwaan pada kes kali ini hanya mengubah cara agar lebih diterima dengan menggambarkan pengadu adalah seorang anak muda yang lemah, naif dan tidak bersalah serta keterangannya perlu dipercayai tanpa menghiraukan sebarang bukti yang bertentangan berbanding 'ala-Stalin' yang digunakan pada kes yang pertama.

Anwar turut menyatakan bahawa pertuduhan yang dihadapinya itu adalah konspirasi politik pucuk pimpinan negara sekarang yang mengulangi dakwaan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan bersambung esok.

Juragan Malawati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan