UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 1 Jun 2011

Dialog YB Zul dengan ustaz ‘Anwarinas’ di sebuah masjid!

YB Datuk Zulkifli Noordin ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kedah. Semua orang mengenali beliau sebagai orang yang sangat setia dengan Anwar Ibrahim @ Pak Sheikh.

YB Zul juga ialah salah seorang ahli pasukan peguam Anwar yang bermati-matian mempertahankan anak guamnya itu daripada tuduhan liwat yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu, semasa zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu.

Dia juga berada di belakang Anwar semasa pilihan raya umum 2008 sehinggalah beliau sendiri memenangi kerusi yang disandangnya sekarang atas tiket PKR.

Pada masa itu, YB Zul turut mempertahankan DAP, yang terkenal dengan sikap cauvinis menebal mereka terhadap Melayu dan Islam. Namun, hari ini beliau telah berubah. Pusing 360 darjah. Keluar dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas. Mengapa beliau bersikap begitu?

Sebenarnya YB Zul tahu ‘luar dalam’ siapa itu Anwar. Gelora hatinya tidak boleh ditahan lagi. YB Zul tidak boleh berkompromi dengan pihak yang sanggup menggadaikan agama dan bangsa demi menyelamatkan tengkoknya sendiri.

Lebih daripada itu, beliau tidak mahu lagi bermuka-muka dengan pihak yang hipokrit – puak Anwarinas Pas mahupun PKR, yang kini bergerak di surau-surau, masjid-masjid membawa mesej “fitnah-fitnah-fitnah” menggunakan hadis dan al-Quran sebagai nas mereka mempertahankan Anwar Ibrahim.

Ikuti dialog YB Zul (yang membahasakan dirinya teman) dengan seorang ustaz ‘Anwarinas’ di sebuah masjid, yang di petik penuh daripada blog beliau: http: //zul4kulim.blogspot.com/

KEBETULAN teman singgah solat di sebuah masjid (nama tidak akan disebut). Selepas solat, kebetulan ada ceramah oleh seorang Ustaz kawan teman yang juga aktivis sebuah parti politik. (juga nama tidak akan disebut). Semasa berceramah, kawan teman ini tidak perasan yang teman ada di situ. Teman pun dok berlonggok dengan para jemaah masjid yang lain, yang ada dalam 30-50 orang, termasuk jemaah wanita.

Ustaz kawan teman ini memulakan ceramah dengan membaca Surah Al-Hujurat ayat 6 dan An-Nur ayat 4. Lalu beliau mengupas tentang isu videoklip dan mendakwa ianya adalah satu fitnah besar menuduh orang berzina (cara dia kupas macam dia yang buat videoklip tu, walaupun sebenarnya dia tengok pun tak lagi). Malah beliau menyebut terus nama manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah Tuhan sebagai mangsa fitnah zina, dan mendakwa mereka yang menuduh sebagai layak dihukum qazaf. Malah beliau menambah bahawa beliau hairan mengapa YAB Datuk Seri Najib boleh terlepas daripada tuduhan membunuh Altantuya sebaliknya “insan suci” (ni perkataan Ustaz tu yop) Anwar Ibrahim terus difitnah.

Kemudian Ustaz ni membawa kisah Nabi Yusuf a.s yang turut menjadi mangsa fitnah. Dan cara beliau bawa cerita tu seolah-olah Anwar dan Nabi Yusuf sama taraf yop!!!

Kebetulan ada makan-makan disediakan selepas ceramah, teman ambil kesempatan untuk bertanya beberapa soalan. Teman tidak mahu bertanya secara terbuka selepas ceramah, khuatir nanti akan meletakkan Ustaz kawan teman tu serba salah. Lalu teman pun ambil peluang untuk bertanya sambil makan-makan. Boleh nampak wajah Ustaz kawan teman itu seperti tidak selesa menyedari teman ada di situ. Lalu bermulalah dialog teman dengan Ustaz kawan teman ni:

ZN: Salam Ustaz, ana nak tanya adakah Ustaz sudah menonton sendiri videoklip tersebut sepenuhnya, atau versi yang singkat itu?

Ust: Ana tidak gamak menengok sebab ianya haram! Malah sesiapa yang tengok itu semuanya haram dan melakukan dosa besar!

ZN: Bagaimana Ustaz tahu haram sedangkan Ustaz tengok lagi pun tidak? Baik, ana nak tanya, kalau seorang perompak pecah masuk rumah seseorang, dan setelah merompak, dia merogol pembantu rumah orang tu, kemudian dia lari. Kebetulan rumah tersebut ada video CCTV, adakah haram bagi polis melihat video itu untuk mengecam perompak/perogol tersebut? Adakah haram polis menyebarkan video itu di media cetak, elektronik dan siber untuk mengecam perompak/ perogol itu?

UST: Itu isu lain, itu satu jenayah! Sebenarnya videoklip ke, DNA ke tidak boleh dijadikan bahan bukti di mana-mana Mahkamah Syariah! (kata Ustaz dengan agak meninggi suara) (Nota: teman agak terkejut dengan kenyataan ini kerana jelas memperbodoh dan memperlekeh Islam seolah-olah menolak sains & teknologi sedangkan di zaman kegemilangannya Islam mempelopori sains & teknologi).

ZN: Di mana lainnya Ustaz? Soalnya sekarang ialah ada satu bahan bukti yang boleh mengecam siapa pelakunya, bukan perlakuan itu yang nak didedahkan! Baik, bagaimana pula kalau ada aduan menyatakan suami seseorang itu nusyuz dan mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain. Mereka didapati pergi ke sebuah hotel. Yang ada hanya bukti CCTV yang kebetulan ada di dalam bilik hotel itu. Takkan tidak boleh si isteri guna video CCTV itu untuk membuktikan suaminya curang?

UST: (tak menjawab).

ZN: Isunya sekarang Ustaz, videoklip itu diperlukan pertama untuk mengecam dan membuktikan pelaku dan watak di dalamnya, bukan membuktikan perbuatan di dalamnya. Hanya setelah terbukti siapa pelakunya baru kita pergi ke peringkat selanjutnya iaitu apa yang dibuat oleh para pelaku tersebut. Apakah itu salah dan berdosa?

UST: Tapi video itu adalah rakaman video lucah! Orang sedang buat seks!

ZN: Tadi Ustaz kata tidak tengok lagi, mana Ustaz tahu? Jadi tidakkah penting untuk Ustaz tengok dulu baru buat rumusan? Tidakkah Ustaz tahu tiada siapa yang membuat tuduhan seks atau zina terhadap Anwar Ibrahim. Datuk Eskay, kawan baik Anwar sendiri, hanya menggunakan video itu untuk memberitahu rakyat bahawa kawannya Anwar tidak layak jadi pemimpin, adakah itu salah?

UST: Tetapi video itu mendedahkan ‘aib seseorang, dan mendedahkan ‘aib seseorang itu dilarang dan adalah haram hukumnya dalam Islam (lalu Ustaz membaca sepotong ayat al-Quran).

ZN: Kalau ada seseorang datang meminang anak perempuan Ustaz, dan kebetulan ana tahu akhlak dan karekter peminang tersebut, dan kebetulan ana ada satu videoklip menunjukkan perangai peminang itu, adakah ana berdosa ana memberitahu Ustaz dan menunjukkan video itu sebagai bukti keterangan ana?

UST: Itu soal peminangan, tidak ada kena mengena dengan videoklip seks ini.

ZN: Tapi Anwar Ibrahim mahu “meminang” seluruh rakyat Malaysia, tidakkah seluruh rakyat Malaysia berhak mengetahui akhlak dan karekter sebenar beliau sebab mereka yang akan menentukan sama ada mahu menerima “pinangan” Anwar Ibrahim atau tidak?

UST: Bukan begitu caranya, banyak cara lain yang boleh dibuat!

ZN: Bagaimana cara lain itu Ustaz?

UST: (Tidak menjawab tetapi sebaliknya berkata) Ana rasa elok kita tangguhkan dulu sembang kita kerana para jemaah lain mungkin ada urusan lain.

(Seorang jemaah menjawab, “takpa Ustaz, kami pun nak tau jugak. Kebetulan YB ada sini eloklah Ustaz perjelaskan”).

ZN: Ana nak sentuh isu qazaf yang Ustaz sebut. Bukankah qazaf ini berlaku hanya jika seseorang menuduh tanpa bukti orang lain melakukan zina?

UST: Ya, dan jika penuduh itu gagal membawa empat orang saksi yang cukup syaratnya penuduh itu hendaklah dihukum qazaf dengan 80 sebatan.

ZN: Tetapi di dalam kes videoklip ini, Datuk Eskay atau mana-mana pihak lain tidak pernah membuat tuduhan untuk membuktikan Anwar berzina. Mereka cuma sekadar nak buktikan Anwar tidak layak menjadi seorang pemimpin umat Islam dan negara ini, dan video itu sebagai bukti. Itupun kita perlu tunggu sehingga polis mengesahkan ketulenan videoklip itu dan siapa watak-wataknya? Apakah itu juga termasuk dalam qazaf?

UST: Soalnya bukan menuduh zina, tetapi ianya videoklip menunjukkan perbuatan seks! Itu sudah cukup untuk mewujudkan qazaf! (Nota: padahal Ustaz ni video tu pun tak tengok lagi!)

ZN: Adakah pendirian Ustaz kalau ada wanita mengadu dirogol juga perlu membawa empat orang saksi, kalau tidak dia akan diqazaf?

UST: Sesiapa juga yang menuduh seseorang dengan tuduhan membabitkan seks sama ada zina, rogol, liwat dan lain-lain, hukum Islam memerlukan empat orang saksi. Jika tidak, orang itu hendaklah dikenakan qazaf iaitu disebat!

ZN: (Teman agak terkejut dengan jawapan Ustaz ni) Tidakkah Ustaz rasa dengan cara itu tiada wanita akan berani membuat laporan polis mengadu dirogol! Tidakkah itu akan menggalakkan jenayah rogol, kerana para penjenayah ini akan tahu tiada siapa boleh bawak empat orang saksi. Adakah ini cara sistem keadilan Islam? Ana rasa ini bukan cara yang Islamik?

UST: Islam lebih memelihara kehormatan seseorang, sebab itu Allah mewajibkan empat orang saksi (lalu Ustaz membaca sepotong ayat al-Quran dan satu hadis) (kemudian Ustaz menceritakan mengenai tuduhan seorang wanita Yahudi terhadap anak Saidina ‘Umar).

ZN: Tapi macam mana dengan kehormatan wanita yang telah dirogol itu? Tidakkah Islam sangat menjaga kehormatan dan kemuliaan wanita, serta membela dan mempertahankan mereka? Satu lagi soalan ana nak tanya, Ustaz kata adalah satu fitnah bercakap tanpa bukti. Sekarang secara terbuka Ustaz menuduh Datuk Seri Najib sebagai pembunuh Altantuya. Apa bukti yang Ustaz ada?

UST: (Langsung tidak menjawab sebaliknya terus tutup majlis) Sorilah ana terpaksa pergi dulu kerana ada program lain. Assalammu‘alaikum.

Begitulah secara ringkas dialog di antara teman dengan kawan teman Ustaz lulusan pengajian Islam ini. Tujuan teman bukan untuk mempertikaikan Ustaz kawan teman ni, sebab itu teman tidak sebut nama dan lokasi tempat dialog itu. Malah teman sangat menghormati komitmen dan dedikasi Ustaz ni menyampaikan ceramah siang dan malam. Cuma teman kasihan kepada para jemaah yang kebanyakannya tidak tahu hujung pangkal, datang dengan ikhlas untuk menimba ilmu tetapi menerima sogokan politik murahan yang teman rasa bertopengkan agama dan kitab.

Dan teman kasihan kepada sahabat teman itu, yang mungkin ikhlas orangnya, tetapi dikalkatukan oleh kabus-kabus politik kepartian yang terlalu sempit. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua.-UM.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan