UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 5 Mei 2010

PAS Punah! : Sandiwara terbaru Pas?

MASIHKAH kita ingat pada penghujung tahun lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta orang ramai mendoakan kemusnahan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tindakan itu dikaitkan dengan isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri tersebut. Tetapi selepas doa berkenaan dilafazkan, sama ada secara kebetulan atau tidak, satu demi satu peristiwa melanda pentadbiran Nik Abdul Aziz.

Bermula dengan isu tajaan menunaikan haji sehinggalah pelantikan menantunya, Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), semuanya membabitkan kekalutan di negeri Cik Siti Wan Kembang berkenaan.

Terbaru, Kerajaan Negeri Kelantan yang sering melaung-laungkan konsep kepimpinan berteraskan Islam dan begitu bangga dengan slogan 'Kepimpinan Bersama Ulama' berhadapan dengan satu lagi 'krisis'.

Ia lanjutan daripada pendedahan penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella yang menyatakan sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jika dalam beberapa kes sebelum ini, kerajaan negeri termasuklah beberapa pemimpin Pas Kelantan begitu cepat menafikan atau mengambil tindakan mahkamah ke atas orang yang membuat dakwaan tetapi dalam kes terbaru ini, mereka lebih gemar untuk mendiamkan diri.

Keadaan itu mewujudkan persepsi bahawa apa yang didakwa oleh Syed Azidi adalah satu kebenaran. Walaupun ada Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang cuba menafikan dakwaan berkenaan secara lembut melalui blognya tetapi ia masih belum meyakinkan. Sebaliknya, Syed Azidi membuat tindakan yang lebih mengancam apabila mendedahkan nama pemberi peruntukan RM4 juta tersebut.

Adalah sesuatu yang mengejutkan, selain mengaitkan seorang pengarang sebuah akhbar propembangkang, Syed Azidi juga secara berani menyatakan empat lagi pihak yang terlibat ialah Exco kerajaan negeri, ahli majlis kerajaan tempatan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin Dewan Pemuda Pas Kelantan.

Kalau dakwaan berkenaan benar, maknanya kesemua mereka mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri pimpinan Nik Abdul Aziz, oleh itu sewajarnya mereka memberi jawapan balas demi membersihkan nama kerajaan negeri.

Tetapi malangnya, kerajaan Pas Kelantan setakat ini tidak mahu berbuat demikian. Mereka mungkin ingin mendoakan melalui tindakan mendiamkan diri itu, ia akan membolehkan isu yang dibangkitkan oleh Syed Azidi, diam begitu sahaja.

Jika itulah sikap yang ingin diamalkan adalah jelas Kerajaan Negeri Kelantan tidaklah sebaik mana. Malahan menampakkan demi politik, Pas Kelantan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah dengan mewujudkan operasi gerak saraf bagi melemahkan kepimpinan negara.

Kerajaan negeri pimpinan Nik Abdul Aziz sepatutnya berjiwa besar dengan memastikan segala dakwaan yang dilakukan oleh Syed Azidi disiasat dan bukannya menganggap ia sekadar satu pendedahan sahaja.

Penglibatan individu daripada kepimpinan Pas negeri dalam satu operasi yang boleh dianggap 'memualkan' itu bukanlah satu perkara kecil. Ia sebaliknya menyeret sama imej kerajaan negeri.

Oleh itu mahu tidak mahu, kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan dan bukannya menganggap Syed Azidi mempunyai motif politik. Janganlah pula ada di kalangan pemimpin Pas membuat tuduhan dangkal untuk mengaitkan pendedahan itu dengan permainan politik oleh UMNO.

Dalam kes ini, jelas sekali, UMNO tidak ada 'apa-apa saham', sebaliknya pendedahan itu berpunca daripada keceluparan pemimpin Pas sendiri yang mempertikaikan sumbangan Syed Azidi kepada parti tersebut.

Kita boleh menganggap sebarang kenyataan oleh mana-mana pemimpin Pas yang mendakwa UMNO terlibat dalam apa juga segi dalam isu ini sebagai kenyataan orang yang sudah tertekan. Walaupun kebenaran semakin nyata tetapi masih ada di antara mereka masih mahu berusaha mengalihkan isu.

Lebih aneh lagi, secara tiba-tiba dasar Pas seolah-olah berubah apabila isu melibatkan kerajaan negeri dijawab oleh Pas Pusat. Ini berikutan tindakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengadakan sidang akhbar menyatakan bahawa Pas tidak tahu menahu mengenai peruntukan RM4 juta itu.

Memanglah Pas Pusat tidak tahu, sebab itu urusan kerajaan negeri, bukankah selama ini Pas begitu menghormati kuasa pesuruhjaya Pas negeri sehingga ada satu ketika usaha menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak gagal kerana ia ditolak oleh pesuruhjaya Pas negeri.

Kenapa pula secara tiba-tiba dalam isu berkaitan pentadbiran kerajaan negeri, Pas Pusat hendak campur tangan? Apa justifikasinya? Adakah Pas Pusat semakin resah kerana kerajaan Kelantan tidak mampu menjawab dakwaan Syed Azidi?

Untuk rekod, penulis tidak pernah mengenali Syed Azidi secara peribadi tetapi beliau adalah penulis blog yang bertanggungjawab 'menghentam' penulis habis-habisan tidak berapa dahulu apabila penulis mengkritik seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang bertanding dalam pemilihan parti.

Apa yang ingin penulis nyatakan di sini ialah, Syed Azidi membuat pendedahan berkenaan dengan rela hati dan mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan kepimpinan kerajaan negeri. Malahan beliau pernah memegang jawatan dalam PMBK dan dibawa balik ke Kelantan oleh exco yang beliau pertahankan itu.

Oleh itu, kebenaran pendedahan yang Syed Azidi lakukan tidak boleh dipertikaikan kecualilah kerajaan negeri mempunyai hujah bagi mematahkan dakwaan berkenaan. Kita harus ingat, Kelantan bukanlah sebuah negeri yang maju, ia masih ketinggalan dalam banyak bidang. Berikutan itu, jumlah RM4 juta yang dilaburkan semata-mata untuk kepentingan politik, boleh dianggap satu pembaziran.

Selama ini Pas begitu bangga menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai dakwaan, malahan penulis yakin kalaulah operasi gerak saraf ini dikaitkan dengan UMNO, sudah pastilah Pas tidak akan duduk diam.

Mereka akan membuat ribuan laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan akan terpekik terlolong di pentas-pentas ceramah melemparkan pelbagai tuduhan. Namun apabila ada dakwaan yang melibatkan mereka, mulalah Pas bersandiwara seolah-olah apa sahaja keburukan yang dikaitkan dengan mereka adalah fitnah dan seolah-olah juga merekalah parti baik di alam fana ini.

Itulah Pas sekarang, hari demi hari, pendirian parti tersebut semakin bercelaru. Justeru tidak hairanlah, jika Pas kini begitu mudah di perkotak-katikkan oleh sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Ia kerana kedua-dua parti berkenaan sedar bahawa pendirian Pas boleh berubah bila-bila masa demi mencari kuasa politik!- SBUM

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan