Berikut merupakan petikan wawancara di antara Suria Janib, wartawan majalah Tamadun, dengan Ustaz Ahmad Awang pada November 1998. Ustaz Ahmad Awang ketika itu adalah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
TAMADUN : Sejak bila Anwar menyertai ABIM dan menjadi presiden ABIM?
Sebetulnya saya tidak pernah menjadi ahli ABIM, jadi tidak berapa ingat. Seingat saya, dia menjadi Presiden ABIM sejak penubuhan awal ABIM sebab apabila ABIM ditubuhkan, dialah yang menjadi presidennya pada awal 1970-an. Dialah presiden yang pertama sehingga dia masuk Umno.
Saya memang mengikuti perkembangan ABIM dan saya telah dipelawa untuk menyertai ABIM tetapi saya menolak kerana tidak berapa ingin terlibat.
Saya mula rapat dengan Anwar selepas dia keluar dari tahanan ISA. Kebetulan saya membuat program di Pusat Islam bersama ABIM dan saya menjadi pengarahnya. Banyak program yang dianjurkan bersama dengan ABIM, antaranya Latihan Belia Islam Asia Pasifik.
Pada ketika itu ABIM dianggap musuh kerajaan. PAS ketika itu dianggap komponen dalam kerajaan.
Saya di Pusat Islam banyak memberi kemudahan dan peruntukan kepada ABIM dalam menganjurkan sebarang program. Hubungan kami semakin rapat dan apabila pimpinan WAMY datang seperti Ahmad Totonji dan Prof Khursid Ahmad diperkenal kepada saya oleh Anwar. Begitu juga almarhum Prof Ismail R Faruqi yang dijemput ABIM diperkenalkan kepada saya.
Hubungan saya semakin rapat apabila suatu hari Anwar ingin mendirikan rumah tangga dan saya adalah perantara meminang calon pilihan Anwar. Saya tak tahu bagaimana hubungan mereka terjalin. Anwar memang banyak calon tetapi Dr Wan Azizah menjadi pilihannya. Tak tahulah mungkin takruf mereka bermula sejak Anwar menjadi aktivis pelajar dahulu.
Ayah Wan Azizah, Dr Wan Ismail adalah orang kerajaan dan bekerja di tempat yang paling sensitif dengan gerakan-gerakan yang menentang kerajaan. Jadi, senangkah nak meminang? Entah macam mana, sahabat-sahabat menolak saya.
Katanya, "Ustazlah jadi ketua rombongan hendak meminang Wan Azizah sebab ustaz kenal dengan ayahnya." Kenal tu tidaklah, tetapi boleh kata kenal juga dengan Dr Wan Ismail dan saya biasa memanggilnya Pak Wan.
Diringkaskan cerita, saya pun membawa rombongan meminang ke rumahnya di Jalan Ma'ruf. Sebulan kemudian, dapatlah jawapannya. Jawapannya negatif. Bermakna tak usahlah disambungkan lagi. Akhirnya, keluarga Anwar cuba mendesak saya dan bernikahlah mereka.
Juragan Malawati
Tiada ulasan:
Catat Ulasan