UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 13 April 2010

PRK P94 - HULU SELANGOR : Zaid bakal di serang BN kerana 'bukan anak tempatan'!

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan bukan ‘anak tempatan’ berentap dengan ‘muka lama’ bagi merebut kerusi berkenaan.

Barisan Nasional dipercayai akan berkempen dengan mendakwa hanya anak tempatan yang mampu memperjuangkan masalah Hulu Selangor berbanding dengan Pakatan Rakyat yang hari ini menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon mereka.

Zaid yang berasal dari Kelantan dipercayai akan ditentang oleh calon BN, Datuk G Palanivel yang juga merupakan bekas ahli parlimen kawasan itu selama empat penggal.

Ketika dihubungi, ketua pembangkang dewan undangan negeri Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata keputusan PKR meletakkan Zaid sebagai calonnya akan memberi kelebihan kepada BN. “Beliau bukan anak tempatan, lebih-lebih lagi beliau adalah muka baru kepada Hulu Selangor dan juga dalam partinya sendiri.

“Keputusan PKR menunjukkan mereka tiada calon yang baik maka mereka terpaksa memilih Zaid untuk bertanding,” kata Khir. Namun demikian, bekas menteri besar Selangor yang ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008 yang lalu berkata BN tidak menyerang peribadi lawan mereka.

Justeru, katanya BN tidak akan menggunakan keputusan lembaga disiplin Umno yang mendapati Zaid bersalah kerana terlibat dalam politik wang pada 2005 untuk menyerang beliau. Zahid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR pada tahun Jun 2009.

“Sebenarnya ini bukan isu lagi, tetapi ini menunjukkan bahawa PKR tidak buat serupa kata dengan janjinya untuk memegang kepada prinsip ketelusan, bersih, dan tidak rasuah,” katanya.

Apabila ditanya adakah Palanivel calon pilihan BN, Khir berkata terdapat beberapa nama lagi yang dipertimbangkan tetapi yang pasti calon BN adalah anak tempatan. Sekiranya, BN mengambil keputusan untuk mengekalkan Palanivel sebagai calonnya, PKR pasti akan mengeksploitasi bahawa setelah berkhidmat selama 17 tahun sebagai MP Hulu Selangor, timbalan presiden MIC itu gagal membawa perubahaan.

Sebaliknya, Hulu Selangor masih ketinggalan dari segi pembangunan dan perindustrian berbanding beberapa kawasan yang lain di Selangor. Sementara itu, ketua penerangan MIC Kamalanathan berkata pencalonan Zaid menambahkan lagi peluang MIC untuk merampas semula kerusi itu.

“Pembangkang mencalonkan Zaid dari Kelantan daripada anak tempatan kerana mereka akan memberi tumpuan kepada isu nasional. Kekuatan BN adalah calon kami. Kami mahu calon kami diterima penduduk tempatan dan juga di seluruh negara,” katanya.Beliau mendakwa Zaid akan melupakan Hulu Selangor sebaik sahaja jika dia memenangi pilihan raya itu.

“Calon kami akan berenang ataupun tenggelam bersama penduduk Hulu Selangor, sedangkan Zahid, jika menang akan pulang ke rumahnya dan mungkin tidak akan kembali,” katanya lagi dengan nada sinis.

Sebelum itu : Zaid Ibrahim calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor

Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Menurut sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Anwar Ibrahim pagi ini.“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi kepada wartawan di luar rumah ketua pembangkang di Segambut, Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata PKR menamakan Zaid kerana beliau dilihat sebagai calon berwibawa yang mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor itu. Zaid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini. Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Juragan..

Isnin, 12 April 2010

Sultan: Jangan habis masa untuk berpolitik saja.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah tidak mahu ahli politik Selangor menghabiskan masa yang banyak dengan berpolitik sahaja tanpa mengira tempat tempat dan masa.

"Di dalam dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak sepatutnya.

"Semua ahli dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal-budi kepada semua," titah baginda pada majlis perasmian pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di Shaha Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai ketua negeri, baginda ingin melihat Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah kepada rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa sistem semak dan imbang diperlukan bagi memastikan semua kepentingan dapat diteliti," titah baginda yang ingin melihat semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik.

Baginda bertitah, perlembagaan negara memberikan hak kepada semua pihak dan sifat perlembagaan sebenarnya untuk melindungi rakyat sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Justeru itu, fahamilah perlembagaan negara agar kita tidak berlebihan dalam usaha menuntut hak masing-masing," titah baginda.

Selaras dengan peruntukan perlembagaan, baginda bertitah penjawat awam wajib mengamalkan sikap neutral, profesional, prinsip kecemerlangan, etika yang unggul dan peka terhadap kerajaan yang memerintah serta mematuhi undang-undang negara.

Prinsip profesional dan berkecuali di sini bererti ia bertugas untuk kerajaan semasa yang memerintah dan membuat keputusan adil tanpa mengira sentimen politik, agama dan kaum," titah baginda.

Selangor adalah penyumbang utama kepada pendapatan negara dianggarkan sebanyak 21 peratus dan dalam hal ini kerajaan negeri dan persekutuan saling memerlukan, titah baginda.

"Beta berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dipereratkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor yang beta kasihi ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah dasar liberalisasi ekonomi di peringkat kerajaan persekutuan harus disambut sebagai cabaran menempatkan perkhidmatan bermutu demi faedah rakyat Selangor kerana ia penting supaya negeri ini tidak ketinggalan ketika pelaburan luar masuk dengan banyaknya.

Justeru, kerajaan Selangor harus memikirkan produk-produk pelancongan sama ada berbentuk alam sekitar yang asli atau lokasi buatan manusia, budaya-agama atau program-program berkala dengan tema-tema tertentu, titah baginda.

Baginda bertitah perkhidmatan pengangkutan awam dan khidmat pengguna yang berkesan amat diperlukan bagi menjayakan aspirasi ini yang akan memberi kesan positif untuk semua pihak sama ada negeri, penggerak industri perkhidmatan atau pelancongan.

Jentera kerajaan negeri juga perlu membuat anjakan paradigma untuk meningkatkan produktiviti kerja dan baginda menekankan petunjuk prestasi utama(KPI) dapat dikemas kini dan dipantau dengan rapi.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda juga prihatin terhadap perkembangan jenayah di Selangor dan faham bahawa hal jenayah adalah isu yang kompleks dan tidak mudah diuruskan apatah lagi mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Oleh sebab kerajaan persekutuan juga menyatakan komitmen mereka untuk memerangi jenayah, beta berharap kerajaan beta sedia memberikan kerjasama sewajarnya."Beta mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia Selangor atas segala usaha yang dilaksanakan bagi melindungi keselamatan rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah kepesatan pembangunan di Selangor terhasil daripada kejayaan rakyat mengekalkan keharmonian antara kaum dan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan baginda berkenan supaya keharmonian masyarakat majmuk di Selangor menjadi model nasional."

Beta percaya kita semua boleh memberi komitmen bahawa segala perbezaan antara kita merupakan suatu aset dan bukan punca perbalahan. Buangkanlah segala prejudis yang ada kerana apa juga cabaran yang bakal dihadapi tidak pernah mengenal warna dan keturunan," titah baginda.

Justeru, media massa perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat dengan memberikan laporan yang tepat dan berkualiti kepada rakyat kerana mereka memerlukan sumber maklumat yang tepat, berobjektif di samping mendidik dan membina pemikiran, titah baginda.

Juragan..

Sabtu, 10 April 2010

PRK P94 - HULU SELANGOR : Jaja isu bukan strategi cerdik!

MEMANG diakui Barisan Nasional (BN) ada banyak isu untuk dijadikan modal semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Tetapi jangan lupa pakatan pembangkang juga ada isu untuk dijaja.

Bukan setakat ada, mereka sedang berusaha mencipta pelbagai isu lagi yang boleh saja menangkap fikiran dan menjadi tarikan di kalangan para pengundi di Hulu Selangor.

Kelicikan pakatan pembangkang sememangnya terbukti dalam setiap pilihan raya kecil selepas catatan prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dua tahun lepas. Fakta itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Mereka hanya menunggu masa yang tepat dan sesuai untuk menabur modal tersebut - yang pasti boleh memberi kesan kepada saraf para pengundi tanpa mengenal bangsa dan agama.

Bak kata Datuk S. Nallakarupan yang merupakan bekas sahabat rapat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ada banyak agenda gila. Agenda gila itu semestinya diturunkan kepada barisan kepemimpinan pakatan pembangkang dan ahli-ahli yang masih mendendangkan lagu setia berbakti dan berkhidmat demi parti. Peliknya agenda gila itu diterima pakai di kalangan segelintir rakyat.

Rakyat percaya apa yang Anwar kata, rakyat terpesona dengan kepetahan Anwar terutamanya apabila mengaitkan Israel dengan Malaysia - sesuatu yang amat sukar diperjelaskan kepada rakyat yang telah tertanam di fikiran mereka Israel adalah Yahudi dan Yahudi membunuh umat Islam di Palestin serta menyingkirkan mereka dari negara sendiri. Begitu juga dakwaan ejen Israel dalam Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) - satu tuduhan berat yang tidak boleh dipandang ringan tetapi semestinya bahan paling sempurna untuk digoreng oleh pakatan pembangkang.

Biarpun logik akal sukar menerima walaupun satu peratus pun kesahihan dakwaan tersebut namun strategi pakatan pembangkang ternyata ada kesannya.

Sebab itu untuk berhadapan dengan 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor bukan tugas mudah. Kemenangan BN menerusi Tan Sri Isa Samad di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang tidak boleh dilihat sebagai petanda kesinambungan di Hulu Selangor.

Cabaran di Hulu Selangor amat berat dan mesti digalas secara berhati-hati untuk mengelak sebarang kesilapan walau sebesar zarah sekali pun. Setiap petugas mesti menjaga kerahsiaan parti dan berkempen dengan ikhlas untuk memastikan pengundi di Parlimen Hulu Selangor mendapat manfaat daripada pemerintahan BN jika menang kelak.

Lantaran menabur isu sahaja tidak cukup. Apatah lagi isu berkaitan sekumpulan wakil rakyat pakatan pembangkang meninggalkan gabungan itu telah pun dimanipulasi oleh barisan kepemimpinan mereka. Ini kerana kesemua wakil rakyat tersebut tidak menyertai BN. Mereka mahu berperanan sebagai wakil rakyat bebas - bebas menegur yang kanan dan yang kiri. Tentunya ada alasan mereka berbuat demikian. Alasan itulah yang dimanipulasi oleh pakatan pembangkang biar pun ada pendedahan tentang salah laku Anwar kerana ada di antaranya gagal dijawab oleh pihak yang membuat pendedahan.

Hakikatnya, kebergantungan terhadap isu untuk dijaja semasa berkempen bukan satu strategi yang jitu dan cerdik untuk memenangi hati rakyat. Rakyat mahukan pembangunan. Rakyat dahagakan peluang pekerjaan, pendidikan dan penyediaan pelbagai kemudahan yang akan menyenangkan urusan seharian mereka.

Rakyat tidak kisah akan cerita-cerita luka dan duka BN atau pakatan pembangkang jika segala keperluan mereka dipenuhi. Mereka mahukan pemimpin yang bekerja, dilihat bekerja, tidak sombong dan mampu menjadi wakil kepada mereka di Dewan Rakyat kelak.

Yang bahayanya apabila keperluan rakyat dinafikan. Cuba lihat kawasan Parlimen Hulu Selangor dan tiga lagi DUN di bawahnya? Adakah segala kemudahan yang dikecapi disediakan semasa wakil rakyat pakatan pembangkang berkhidmat di situ. Atau tidak ada yang boleh dibanggakan? Sempatkah wakil rakyat sebelum ini menabur budi dan bakti kepada pengundi di situ seperti mana janji-janji manis semasa pilihan raya umum dua tahun lalu.

Di situ sebenarnya isu. Soal calon tidak timbul. Jika calonnya dari MIC tetapi khidmat yang ditunjukkan cemerlang dan gemilang pasti pengundi Melayu tidak akan teragak-agak untuk memangkah BN. Apatah lagi telah menjadi sejarah turun temurun dan bukannya tradisi, kerusi di situ ditandingi bukan Melayu dan diterima baik oleh para pengundi.

Ada beza antara sejarah dan tradisi. Lantaran sejarah ada bukti susulannya manakala tradisi amalan yang diambil kira berasaskan keperluan majoriti kaum di situ. Tradisi itu tidak berlaku di Hulu Selangor selama ini. Jika tradisi yang menjadi kriteria maka sejak tahun 1959 calon yang bertanding di situ semestinya Melayu.

Tetapi sejarah cuba dicipta di Hulu Selangor sejak 1959 dan ternyata berjaya biar pun menyanggah tradisi. Ia diteruskan cumanya masalah di belakang hari adalah apabila calon yang sama diletak di situ mengiyakan bahawa sejarah adalah matapelajaran membosankan sehingga ada cubaan untuk kembali kepada tradisi. Apatah lagi apabila pembangunan di situ menjadi semakin lembap menambahkan kebosanan para pengundi sehingga menuntut satu revolusi yang belum dapat dipastikan keberkesanannya.

Hakikatnya biarpun ada cabaran tetapi BN mempunyai bukan setakat isu untuk dijaja.

BN mempunyai bukti. Tugas BN adalah untuk membentangkan bukti-bukti tersebut menerusi pendekatan yang mampu diterima rakyat. Hati pengundi mesti ditawan bukan setakat menuang tar bagi menutup jalan-jalan berlubang tetapi dengan keikhlasan bahawa dalam negara yang berbilang kaum sesiapa pun boleh menjadi wakil rakyat asalkan segala tanggungjawab dipenuhi.

Keikhlasan penting kerana tanpa kriteria itu akan timbul usaha untuk mensabotaj parti sendiri. Ini pernah berlaku dan tidak dinafikan. Lantaran kecintaan kepada parti didorong oleh habuan apabila gagal mendapat habuan maka gerak kerja kempen tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Itu satu lagi kekurangan BN. Semangat kecintaan kepada parti kadangkala dibatasi wang ringgit terutama di kalangan anak-anak muda sehingga menyebabkan poster tidak digantung, kempen dari rumah ke rumah tidak digerakkan dan pelbagai peristiwa malang lagi. Cuba lihat cara anak-anak muda dalam pakatan pembangkang terutama Pas bekerja.

Mereka sanggup berhujan, berpanas melaksanakan tugas serta peranan masing-masing. Mungkin ada habuan tetapi nasi bungkus dan duit poket sehelai yang nilainya cukup untuk membeli kudap-kudap. Sebab itu sebesar dan sebanyak mana pun isu yang boleh dijaja oleh BN tidak cukup untuk memastikan Parlimen Hulu Selangor kembali ke pangkuannya. Ada beban dan tanggungjawab yang lebih besar.

Tumpuan di tiga DUN iaitu Kuala Kubu Baharu, Batang Kali dan Hulu Bernam mesti diperhebatkan. Kemenangan pakatan pembangkang dengan majoriti 198 undi hakikatnya amat besar dan mesti diratapi oleh BN. Angka itu bukan main-main. Sekadar mendendangkan semula isu-isu yang telah pun diketahui rakyat tidak cukup untuk BN membuat catatan baru di Parlimen Hulu Selangor.

Isu-isu tersebut sudah basi, biarpun baru sebulan diperdengarkan. Lantaran rakyat semakin muak dengan politik kebencian dan politik terlebih yakin yang akhirnya mendorong mereka memangkah sesedap rasa tanpa peduli apa kesannya terhadap masa depan mereka sendiri.

Sebab itu pada pilihan raya ke-12, ramai yang tidak peduli akan nasib mereka. Kesemuanya kerana didorong rasa jelak yang akhirnya mengundang ke jelikan terhadap politik yang dilihat mengkayakan kelompok tertentu. Inilah masanya untuk barisan kepemimpinan BN belajar untuk memenangi semula hati rakyat yang pernah terluka.

Diakui tugas itu tidak mudah. Ada rakyat yang sekali terluka terus serik dan enggan menurunkan kesetiaan kepada parti. Ada juga boleh melupakan kelukaan itu hanya jika kesilapan lama dapat diperbetulkan. Ini kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan parut lama berdarah kembali malah ada kemungkinan menyebabkan luka menjadi bertambah parah.

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor hakikatnya menguji keutuhan BN yang sebenarnya masih berhadapan dengan masalah di kalangan parti-parti komponennya. Pilihan raya kecil yang akan berlangsung dua minggu lagi menuntut kerjasama erat pemimpin parti-parti komponen untuk sama-sama turun padang. UMNO tidak boleh dibiarkan hanya berdua-duaan dengan MIC.

Pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan mesti turut serta - bermula dari hari pertama berkempen sehinggalah menjelang embun menutup tirai berkempen. Itu satu lagi cabaran BN. Ini kerana dalam beberapa pilihan raya kecil, semangat seumpama itu tidak terserlah. Jika calon BN dari parti UMNO yang bertanding maka dibiarkan UMNO terkontang-kanting sedangkan ada pengundi Cina di situ, ada juga pengundi India.

Tetapi jika calon MIC, MCA atau Gerakan dipilih, UMNO juga terpaksa bertungkus lumus menimbulkan persepsi rapuhnya semangat setiakawan di kalangan komponen yang berbeza bangsa dan agama. Parlimen Hulu Selangor menunggu dan bakal mencatatkan bukti sejauh mana BN belajar daripada pengalaman buruk 8 Mac 2008.

Ayuh UMNO Bahagian Kuala Selangor! Bila nak mula bergerak ke P94...!

Juragan..

Khamis, 8 April 2010

Tangkis laporan negatif media baru!

Barisan Nasional (BN) perlu menambah 'pasukan penggempur maya' untuk menangkis dan memperbetulkan komen-komen tidak tepat serta berunsur fitnah mengenai kepimpinan parti itu yang disiarkan oleh media baru propembangkang.

Penolong Ketua Pengarang I Kumpulan Utusan, Zaini Hassan berkata, penubuhan lebih banyak pasukan itu perlu kerana bilangan penulis blog yang pro BN adalah sedikit dan jumlah itu tidak berupaya untuk berhadapan dengan portal berita dan ratusan penulis blog yang memihak kepada parti lawan.

''Jika BN tidak berhadapan dengan media baru ini, maklumat yang tepat tidak dapat disampaikan dan yang salah tidak boleh diperbetulkan. ''Ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana pembaca dan pengikut media baru yang kebanyakannya pengundi muda lebih mudah terpengaruh dengan maklumat berunsur negatif yang disiarkan di Internet.

''BN juga harus bersahabat dengan media baru supaya mereka dapat membantu mengeluarkan maklumat yang memihak kepada parti itu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sindrom Media Baru dan Pengundi Baru pada sesi Tokoh Bicara Sosial pada Konvensyen BN Selangor di sini hari ini.

Turut menyampaikan ceramah ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah dan Pensyarah Kanan Kumpulan Penyelidik dan Peradaban Islam Universiti Pertahanan Nasional, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah. Menurut Zaini lagi, laporan di portal berita dan laman blog juga perlu dipantau dan diperbetulkan setiap masa supaya dapat mengelak budaya dan amalan negatif yang boleh merosakkan pemikiran rakyat dan mencetuskan ketegangan kaum khususnya generasi muda berleluasa.

Sementara itu Ibrahim dalam ceramahnya turut menyentuh tentang perlunya penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat mengenai apa yang telah dilakukan BN kepada rakyat khususnya di Selangor dalam usaha menawan semula negeri itu. Ini kerana jelas beliau, rakyat terutama golongan muda sering mendapat maklumat yang tidak tepat dan telah diputarbelitkan oleh pakatan pembangkang sedangkan mereka jelas telah gagal mentadbir Selangor berdasarkan data-data yang diperolehi daripada laman blog dan akhbar.

''Pakatan pembangkang di Selangor juga tidak memperjuangkan kepentingan rakyat tetapi lebih mengutamakan agenda politik dan gagal membangunkan sosio ekonomi negeri. ''Ini dapat dilihat dalam beberapa isu antaranya kegagalan mentadbir Universiti Industri Selangor (Unisel) hingga menyebabkan kerugian RM20 juta.

''Selain itu mereka juga membuat keputusan salah dengan membatalkan pembinaan UiTM di Serendah, Rawang dan tidak dapat menyelesaikan masalah air dengan baik hingga timbul ura-ura mahu menyerahkan pengurusan air kepada Singapura," kata beliau.

Sehubungan itu katanya, jika ingin menawan kembali Selangor, BN perlu memastikan apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan kehendak rakyat dan boleh merugikan mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Ridhuan pula membangkitkan perlunya pemimpin memberi contoh yang baik kepada rakyat agar kepimpinan mereka dihormati.

Beliau juga menyentuh mengenai pentingnya sikap saling hormat menghormati hak serta kepercayaan agama sesuatu kaum seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak mempersoalkannya atas alasan keadilan agar negara terus aman dan makmur. ''Keadilan pada saya perlu diletakkan sesuai pada tempatnya. Jika ini dijadikan pegangan pasti negara kita akan terus aman," katanya.

Guna data tawan Selangor

Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan data-data ekonomi semasa di Selangor bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai ketidakupayaan pembangkang. Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Profesor Dr. Normah Omar berkata, pemimpin parti itu tidak boleh hanya melontarkan persepsi mengenai kegagalan ekonomi Selangor tanpa data-data yang konkrit.

Menurutnya, data-data di Internet menunjukkan Selangor telah berubah wajah daripada sebuah kerajaan yang banyak membantu rakyat miskin semasa pentadbiran BN kepada kerajaan yang mengambil langkah-langkah ekonomi yang boleh dipersoalkan.

"Data-data ini boleh dijadikan modal oleh pemimpin BN mengatasi masalah sosioekonomi rakyat Selangor iaitu dengan mengumpulkan orang-orang miskin dan ibu tunggal untuk diberikan bantuan,'' katanya ketika membicarakan soal ekonomi di Konvensyen BN di SACC di sini hari ini.
Normah menambah, pemimpin dan ahli-ahli BN termasuk dari sayap Puteri dan Putera UMNO perlu mendedahkan fakta itu untuk menyedarkan rakyat situasi sebenar ekonomi negeri itu.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Datuk Ramlah Othman dalam ucapannya berkata, ahli-ahli BN perlu sentiasa bekerja keras dengan ikatan setia kawan diperkukuhkan sepanjang masa. ''Kita semua jangan mengamalkan NATO (No Action Talk Only) kerana sifat itu akan menyebabkan BN bertambah lemah dan usaha merampas semula Selangor mungkin menemui kegagalan," ujarnya.

Juragan..

Rabu, 7 April 2010

6 inisiatif 'Deklarasi Darul Ehsan'

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor menggariskan enam inisiatif sebagai ketetapan bagi memastikan parti itu terus kukuh dan dapat meneruskan aspirasi serta mengembalikan keyakinan rakyat.

Inisiatif yang dikenali sebagai 'Deklarasi Darul Ehsan' itu dibuat atas usaha serta kesedaran seluruh ahli serta kepimpinan BN Selangor ekoran landskap politik yang kini dilihat berkecamuk kesan dasar destruktif pakatan pembangkang genap dua tahun mentadbir negeri itu.

Deklarasi yang dibacakan serentak lebih 2,000 ahli serta pemimpin daripada parti-parti komponen BN di hadapan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menggariskan enam inisiatif bagi mencapai matlamat tersebut iaitu berubah dan melakukan transformasi menjadi barisan hadapan juarai isu rakyat; bersungguh dan ikhlas berkhidmat membela nasib rakyat; memacu menggerakkan gagasan 1Malaysia.

Selain itu, inisiatif lain ialah mengembalikan maruah dan peranan negeri Selangor sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negara; memulih keyakinan rakyat dalam kelancaran pentadbiran dan keharmonian antara kaum; menilai dan memperkukuhkan strategik terbaik untuk menjamin kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Deklarasi tersebut diserahkan kepada Najib oleh Setiausaha UMNO Bahagian Sepang, Mohd. Arifin Mohd. Razid sebagai simbolik terhadap kesungguhan dan azam keseluruhan ahli serta pemimpin BN negeri itu agar parti terus diharapkan dan diyakini rakyat.

DEKLARASI DARUL EHSAN

Menyedari lanskap politik negeri berkecamuk kesan 'Dasar Destruktif' Pakatan Rakyat yang lebih banyak beretorik berbanding usaha menjulang aspirasi rakyat,maka seluruh kepimpinan Barisan Nasional Negeri Selangor Darul Ehsan membulatkan tekad menguatkan azam dan berikrar dengan sesungguh hati untuk melaksanakan inisiatif berikut:

BERUBAH DAN MELAKUKAN TRANSFORMASI
-untuk menjadi 'barisan hadapan' dalam menjuarai isu rakyat

BERSUNGGUH DAN IKHLAS BERKHIDMAT
-demi membela nasib masyarakat

MEMACU DAN MENGGERAKKAN GAGASAN
-"BN Mampu Berubah- Sayangi Selangor, Yakini BN". Bagi meletakkan kembali rakyat Selangor ke Landasan sebenar agar aspirasi dan kebajikan mereka terus terbela. Selaras dengan gagasan

1 MALAYSIA : ' RAKYAT DI DAHULUKAN, PENCAPAIAN DI UTAMAKAN '

MENGEMBALIKAN MARUAH DAN PERANAN
-Negeri Selangor sebagai pemankin kemakmuran Ekonomi negara agar nikmat kemajuannya dapat dirasa oleh semua bangsa.

MEMULIHKAN KEYAKINAN RAKYAT
-Supaya kelancaran pentadbiran,keharmonian antara kaum, prospek kemakmuran yang di nikmati Selangor selama mampu di teruskan.

MENILAI DAN MEMPERKUKUH STRATEGI TERBAIK
-Bagi menjamin kemenangan mutlak dalam PRU-13 nanti.Maka dengan tercetusnya inisiatif ini, kami seluruh pimpinan dan ahli Barisan Nasional Negeri Selangor Darul Ehsan berazam dengan sepenuh tenaga dan daya kami untuk terus berusaha dengan seikhlas hati bagi memastikan 'Janji Dikota, Kata Terlaksana.

"1 MALAYSIA',
RAKYAT DI DAHULUKAN,
PENCAPAIAN DI UTAMAKAN'.

JM...

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor .

BN kenal pasti punca ditolak di Selangor

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengenalpasti enam punca pengundi menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 sehingga negeri yang merupakan kubu kuat BN itu jatuh ke tangan pakatan pembangkang.

Pengerusi Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed berkata, enam punca itu menunjukkan seolah-olah BN tidak berpijak pada realiti sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap mereka.

Beliau berkata, punca pertama ialah prinsip muafakat mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat terutamanya di kalangan hubungan parti komponen BN itu sendiri.
"Punca kedua apabila usaha yang sepatutnya dilakukan untuk menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan konvensyen selama sehari itu di SACC Convention di sini hari ini.

Mohd. Zin berkata, turut menjadi punca ialah pergolakan dalaman BN lebih dijadikan tumpuan berbanding usaha membina kekuatan parti itu sendiri selain khidmat dan pendekatan yang dilakukan BN lebih bercorak eksklusif bukan lagi inklusif.

Beliau berkata, punca lain yang turut menyumbang kepada hilangnya kepercayaan pengundi terhadap BN ialah apabila BN ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini. Punca paling nyata mengapa pengundi menolak BN pada PRU lepas, tegasnya ialah apabila BN kurang dan tidak memahami aspirasi pengundi muda.

Sementara itu : Hulu Selangor pengukur BN rampas Selangor

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini bakal menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang, kata Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kemenangan BN pada pilihan raya kecil tersebut bukan sahaja akan mengubah landskap BN di Selangor yang sebelum pilihan raya umum ke-12 tetapi juga mengubah senario politik negara.

Selangor pernah menjadi kubu kuat BN sebelum jatuh ke tangah pembangkang. "Pilihan raya kecil ini berisiko tinggi kerana di Hulu Selangor nanti kita akan menghadapi cabaran yang cukup kuat kerana berdepan dengan kerajaan negeri yang sudah tentu akan menggunakan pelbagai kemudahan mereka.

"Kita kena terima hakikat, kalau kita menang akan ada perubahan tapi kalau kita kalah, kita akan bimbang kerana rakyat seolah-olah memberi tamparan yang hebat kepada kita, setelah banyak perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor di sini hari ini yang dihadiri lebih 2,000 anggota parti komponen BN.

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor berlaku ekoran kematian penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

JM...

Sabtu, 3 April 2010

Pemimpin Gerakan, MCA, akhbar Cina dituntut mohon maaf!

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mahu dua pemimpin daripada Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) dan MCA serta dua lagi akhbar berbahasa Cina untuk memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kerana melabelkan pertubuhan mereka sebagai rasis.

Ketua Wiranya, Arman Azha Abu Hanifah berkata, dua pemimpin tersebut ialah Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Teng Hock Nam dan Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Low Chew June serta akhbar Sin Chew Daily dan China Press.

Selain itu, katanya, Perkasa turut mendesak Hock Nam dan Chew June untuk memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana melabelkan ucapan beliau sebagai menjijikkan dan bersifat perkauman semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa Perkasa bukan pertubuhan rasis dan berhaluan kanan atau parti politik kerana ia ditubuhkan untuk mempertahankan perlembagaan negara yang melindungi hak keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Adakah salah sekiranya bekas Perdana Menteri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa mempertahankan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?" soalnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arman Azha berkata, sekiranya mereka tidak memohon maaf dalam tempoh yang diberikan, Perkasa akan mendesak pimpinan tertinggi parti Gerakan dan MCA untuk menggantung atau memecat dua pemimpin tersebut kerana menolak perlembagaan negara. Bukan itu sahaja, beliau berkata, Perkasa juga akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dua akhbar berbahasa Cina itu tidak mengendahkan teguran tersebut.

"Sekiranya mereka menolak perjuangan Perkasa, secara tidak langsung ini bermakna mereka menolak perlembagaan negara. "Saya desak mereka untuk pergi ke kursus Biro Tata Negara (BTN) dan belajar mengenai perlembagaan negara sebelum menjadi pemimpin," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Gerakan dan MCA tidak seharusnya masuk campur dalam urusan Perkasa kerana mereka tidak pernah bersifat perkauman sebaliknya hanya memperjuangkan beberapa fasal yang terdapat dalam perlembagaan negara.

Beliau berkata, perbuatan menjulang keris semasa mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu baru-baru ini hanya merupakan sebahagian daripada budaya Melayu yang harus dipertahankan. Selain itu, katanya, sebarang dakwaan yang mengatakan pertubuhan tersebut 'berlawan arus' dengan gagasan 1Malaysia adalah tidak benar kerana konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri itu adalah berlandaskan kepada perlembagaan negara.

"Kita bukan ekstremis atau mencetuskan sebarang api perkauman tetapi kita mahu pelbagai parti politik tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang untuk sama-sama mendukung perlembagaan negara kerana ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia," katanya.

Juragan..