UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 25 Ogos 2013

Persoal projek untuk satu kaum?

Mohd. Ridzuan Abdullah (tengah) bersama ahli jawatankuasanya dan Mohd. Ali Baharom (kiri) menunjukkan memorandum bantahan projek hab makanan Cina di Jalan Alor, Kuala Lumpur yang diserahkan kepada Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) terus menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan untuk menjadikan Jalan Alor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai hab makanan Cina bertaraf antarabangsa.

Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan seharusnya menjadikan kawasan tumpuan pelancong antarabangsa itu sebagai hab makanan pelbagai kaum dan bukannya menumpukan untuk satu kaum sahaja.

Malah, katanya, dari sudut politik juga tidak memberi sebarang manfaat kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut yang sejak sekian lama dikuasai oleh DAP.

"Kami agak hairan kenapa kerajaan perlu membangunkan kawasan yang pengundinya secara terang-terangan tidak menyokong kerajaan. Adalah lebih baik sekiranya projek bernilai RM12 juta itu dibangunkan di tempat majoriti Melayu seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit.

"Kami bukan bangkang projek kerajaan ini tetapi mereka harus sedar pada pilihan raya lalu undi Melayu yang banyak memenangkan Barisan Nasional (BN), jadi seharusnya kerajaan melihat perkara ini dengan serius," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Mohd. Saiful Azhar di hadapan pejabat Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Yang hadir sama, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib sebelum ini berkata, satu projek bernilai RM12 juta akan dilaksanakan di Jalan Alor bagi menjadikan kawasan majoriti Cina itu sebagai 'syurga makan' bertaraf antarabangsa.

Projek tersebut dijangka bermula November ini dan dijadual siap Ogos tahun depan, membabitkan antaranya penyusunan semula tempat makan dan pengindahan kawasan.

Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya juga menerima banyak bantahan daripada peniaga kecil Melayu yang hairan dengan sikap kerajaan berikutan banyak membantu pengundi yang tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum lalu.

Pihaknya bimbang jika isu tersebut tidak diatasi segera akan menyebabkan peniaga kecil Melayu menolak BN pada pilihan raya akan datang.

"Saya harap projek ini diberhentikan dengan kadar segera, kenapa perlu belanja sehingga RM12 juta, bangunkan sahaja kawasan Melayu dan perkenalkan hidangan Melayu bertaraf antarabangsa.

"Ini negara Melayu dan Islam jadi kenapa perlu perkenalkan produk tidak halal antarabangsa, sepatutnya perkenalkan makanan halal antarabangsa," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan