UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 27 Ogos 2013

Lelaki ditahan ugut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pristana?


Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengugut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di Sungai Buloh berhubung isu penyebaran gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan pada Ramadan lalu.

Difahamkan suspek berusia 33 tahun merupakan bapa kepada seorang murid di sekolah berkenaan dan isterinya disyaki bertanggungjawab merakamkan video kontroversi tersebut untuk dimuat naik ke laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, suspek yang bekerja sendiri dan menjadi pemandu lori sambilan pernah datang ke SK Seri Pristana untuk mencari guru besar terbabit kerana berang dengan tindakan menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan bagi murid bukan Islam termasuk anaknya.

Beliau berkata, semasa kedatangannya kebetulan guru besar terbabit tiada di sekolah tetapi suspek sempat mengugut dan melemparkan kata-kata cacian terhadapnya di hadapan guru lain.

"Suspek memberi amaran supaya guru besar terbabit berhati-hati selepas ini dan dia mungkin akan mati.


"Suspek juga dipercayai membuat beberapa panggilan ke sekolah dan menghubungi guru besar terbabit membuat ugutan sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebuah blog sebelum ini melaporkan murid-murid bukan beragama Islam di sekolah berkenaan telah ditempatkan di tandas sewaktu rehat pada Ramadan sehingga menimbulkan kemarahan segelintir pihak.

Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd. Noor menafikan tindakan menempatkan murid di bilik persalinan itu sebagai tidak bertamadun.

Ini kerana, kata beliau, bilik persalinan berkenaan telah dibersihkan dan mempunyai sinki untuk digunakan bagi mencuci tangan sebelum makan.

Pada masa yang sama beliau telah meletakkan notis melarang murid-murid membuang air di bilik berkenaan dan paip air di bilik berkenaan telah dikunci.


Junaidi berkata, bimbang terhadap keselamatannya, guru besar sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh pada 25 Julai lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan pada pukul 10.15 pagi ini di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh oleh sepasukan anggota polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Katanya, kawad cam terhadap suspek telah dibuat oleh dua guru SK Seri Pristana yang mengesahkan lelaki itu adalah individu yang datang ke sekolah mereka membuat ugutan sebelum ini.

"Suspek telah diberi jaminan sehingga 6 September ini manakala kertas siasatan kesnya akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan