UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 12 April 2013

PRU -13 : 'Kempen semakin tidak sihat'?

KESEDARAN penduduk Tanah Melayu tentang tanggungjawab sebagai pengundi telah meningkatkan jumlah daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum 1959 kepada 2.17 juta berbanding 1.28 juta pemilih pada 1955.

Selepas melalui 12 kempen Pilihan Raya Umum (PRU) satu perbezaan ketara yang boleh disaksikan dalam pilihan raya negara ini adalah kempen sudah menjadi semakin tidak sihat.

Itu kesimpulan yang dibuat oleh beberapa pengundi yang berpengalaman melalui suka duka 12 PRU, sejak PRU pertama diadakan pada 1959.

Umar Hamid, 75, berkata, jika mahu dibandingkan, sememangnya suasana pilihan raya umum dahulu dan sekarang sangatlah berbeza terutama apabila bercerita tentang kempen-kempen yang dilakukan bagi meraih undi.

Pada masa itu, ceritanya, kempen banyak menyentuh mengenai pengisian kemerdekaan seperti menaikkan taraf ekonomi, pendidikan, membina kemudahan asas dan kehidupan penduduk.

"Setelah berpeluang mengundi 12 kali ini (memasuki yang ke-13), saya melihat cara berkempen pada masa kini menjadi semakin tidak sihat terutama dengan wujudnya teknologi dan media baharu.

Kempen asyik memburuk-burukkan antara satu sama lain, berbanding berbicara tentang memperjuangkan hak rakyat.

"Sebab itu, jika terdapat ceramah yang dianjurkan mana-mana parti politik pada masa dahulu, pasti berduyun-duyun orang datang untuk mendengar manifesto yang disampaikan calon bertanding walau di mana pun ia dianjurkan.

"Kalau diikutkan, penduduk Tanah Melayu dahulu bukannya senang seperti sekarang. Tetapi yang menghairankan, ada antara mereka sanggup berjalan kaki atau menaiki basikal berbatu-batu jauh semata-mata mahu memberi sokongan kepada calon pilihan mereka.

"Malah, yang menggunakan kereta lembu untuk ke lokasi ceramah pun ada pada masa itu dek kerana tidak mempunyai kenderaan lain," katanya sambil tersenyum mengimbau kenangan 54 tahun lalu.

Cerita Umar, wakil rakyat yang bertanding pada ketika itu juga sangat mesra rakyat.

Sebab itu katanya, calon-calon yang bertanding pada PRU dahulu tidak perlu bersusah-payah berkempen kerana mereka selalu melawat kawasan yang mahu ditandinginya.

Beliau menambah, pengalaman menampal dan menggantung poster serta bendera pada musim pilihan raya sukar untuk dilupakan.

Sementara itu, peluang bertentang mata dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika membuka gerai makanan bersebelahan Rumah UMNO di Jalan Batu Road kini Jalan Tuanku Abdul Rahman antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Raja Hassan Raja Begap, 84.

Biarpun hanya melihat Presiden UMNO itu dari jauh, kata Raja Hassan, peluang itu begitu bermakna buat dirinya kerana bukan semua penduduk Tanah Melayu berpeluang bertentang mata dengan Bapa Kemerdekaan itu.

Menurutnya lagi, menjelang PRU pertama selepas Merdeka, jentera UMNO pada ketika itu begitu hebat berkempen tanpa mengira waktu.

"Disebabkan gerai saya terletak berhampiran Rumah UMNO, maka banyaklah ahli-ahli politik daripada parti tersebut menjamu selera di gerai saya.

"Daripada pemerhatian saya, Rumah UMNO pada ketika itu kelihatan sangat meriah kerana ada sahaja yang keluar masuk daripada bangunan tersebut dengan membawa pelbagai barangan.

"Malah, saya dapat merasakan perjuangan parti UMNO yang tulus untuk membela nasib rakyat apabila melihatkan mereka bersusah-payah sehingga larut malam bagi memastikan PRU tersebut dimenangi dengan majoriti besar," katanya yang sudah mengundi sebanyak 12 kali.

Mengakui tidak menyimpan banyak memori mengenai PRU pertama yang berlaku kira-kira 54 tahun lalu, Rahmah Baiduri, 84, bagaimanapun tidak melupakan peringatan tentang tanggungjawab mengundi yang diuar-uarkan Jabatan Penerangan.

Ceritanya, memandangkan pada masa itu kebanyakan penduduk tidak mempunyai televisyen dan hanya sebahagian kecil sahaja yang mempunyai radio, maka Jabatan Penerangan akan membuat hebahan dengan menggunakan pembesar suara yang diletakkan di atas van dan mengelilingi sesuatu kawasan tersebut.

Pada masa itu juga, kata Rahmah, lagu Marilah Mengundi juga kerap dimainkan dicorong-corong radio mahupun dari van Jabatan Penerangan yang melalui kawasan rumahnya.

"Pada awal-awal pagi lagi saya telah bersiap-siap untuk keluar dari rumah dan berkumpul bersama jiran-jiran lain di jalan besar untuk keluar mengundi. Kalau tidak silap, ketika PRU pertama saya membuang undi Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

"Mujurlah, saya tidak perlu berjalan kaki kerana telah disediakan kenderaan untuk ke pusat mengundi yang mana memberi keutamaan kepada warga emas dan wanita," katanya. -UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan