UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 22 Januari 2013

Najib tiba di Gaza, PM Malaysia pertama lawat Palestin!


Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh pada Majlis Sambutan Perdana Menteri di Rafah di Gaza, Palestin hari ini. Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin setelah melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza hari ini.

GAZA - Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin apabila beliau mengadakan lawatan kemanusiaan ke Gaza hari ini.

Najib tiba di kawasan sempadan Rafah di wilayah Palestin kira-kira 10.40 pagi (waktu tempatan) atau kira-kira (4.40petang waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, di kawasan sempadan. Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan Palestin berkumandang selepas itu. Najib juga memeriksa kawalan kehormat Pasukan Polis Palestin.

Sebelum itu, Najib menempuh perjalanan sejauh 55km dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.


Selepas memeriksa kawalan kehormat, Perdana Menteri dan Ismail mengadakan perbincangan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Rafah.

Di Gaza, Najib dijadual melawat sekolah yang dibiayai rakyat Malaysia, Al Madrasah Al Malaziah, sebelum melawat tapak pembinaan pejabat baharu untuk Ismail. Pejabat lama Ismail musnah semasa serangan Israel pada November tahun lepas.

Kemudian, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan Ismail di Hotel Movenpick sebelum melawat Universiti Al-Aqsa, di mana Najib akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran.

Selepas itu, Najib akan berlepas ke Kaherah dan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Mesir Mohamed Morsi.

Perdana Menteri, yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Mesir, dan isteri, tiba di Kaherah 9 malam tadi, waktu tempatan. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan