UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 10 Januari 2013

MANIPULASI KENYATAAN DYMM TUANKU SULTAN SELANGOR OLEH PESURUHJAYA PAS SELANGOR?



KENYATAAN YB DATO DR HASAN ALI TERHADAP MANIPULASI KENYATAAN DYMM TUANKU SULTAN SELANGOR OLEH PESURUHJAYA PAS SELANGOR

Masyarakat tidak terperanjat dengan tindakan ahli-ahli politik seperti Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang terang-terang memanipulasi kenyataan yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia minggu lalu. Baginda Sultan dikatakan membenci Umno dan begitu tidak selesa kalau terdapat mana-mana pihak mengaitkan Baginda dengan mana-mana parti politik termasuk Umno.

Dr Rani Osman selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor telah dengan sengaja atas kepentingan politik memutarbelitkan kenyataan Baginda itu. Beliau seolah-olah menyokong kuat kenyataan bahawa Baginda benci bila pengamal media termasuk media baru cuba menggambarkan bahawa Baginda mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan sentiasa menyebelahi parti itu. Hal ini menjadikan baginda tidak lagi objektif sebagai seorang Sulltan yang sepatutnya berada di atas politik.

Manipulasi yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS itu jelas menunjukkan bahawa Parti Islam yang sedang tersepit dengan berbagai isu besar seperti pengguguran hudud dan negara Islam dalam perjuangannya, kes kebebasan beragama Nurul Izzah, isu remeh tetapi mempunyai kaitan langsung dengan kemampuan dan kebolehan PAS melaksanakan peraturan-peraturan Islam seperti tukang gunting rambut wanita di Kota Bharu, isu papan iklan di Kedah dan respons yang diberikan pimpinan tertinggi parti PAS terhadap berbagai penghinaan yang dibuat oleh pimpinan DAP terhadap Islam.

Untuk menutup isu-isu ini, sebenarnya pimpinan PAS sedang menunggu-nunggu masa dan ketika untuk memanipulasi sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh musuh-musuh politik mereka. Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor telah mengambil tindakan lebih jauh dari itu hingga sanggup memanipulasi kenyataan Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk tujuan meraih sokongan dan mendapat laba politik.


Kenyataan Dr Rani tidak lebih daripada politik murahan yang cuba membuat satu persepsi bahawa Sultan lebih condong kepada PAS. Sedangkan seperti yang diketahui umum Sultan Selangor adalah antara sultan yang begitu teliti dalam mengeluarkan kenyataan mengenai isu agama, bangsa dan adat istiadat Melayu. Biasanya Baginda akan mendapatkan pandangan pakar-pakar yang ahli dalam bidang-bidang tertentu untuk menambah pandangan dan pendapat selain daripada yang lazimnya diberi oleh penjawat awam.

Ada baiknya jika Dr Rani melihat sendiri beberapa penulis blog yang mempunyai kepentingan peribadi dan memegang fahaman politik sempit menyebarkan beberapa fitnah dengan bahasa-bahasa yang keji dan lucah terhadap Baginda Sulltan. Sebahagian daripada mereka dikatakan mewakili PAS dan pandangan serta pendapat mereka sehingga ini masih belum ditangani dengan sebaik-baiknya.

Jika beliau dapat menangani masalah ini dirasakan beliau akan lebih berperanan untuk mengharmonikan tampuk pemerintahan Selangor daripada merekayasa perkara-perkara yang boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat dan mengeruhkan hubungan di antara rakyat dan istana.

Dr Rani Osman juga dilaporkan dalam saluran media parti itu yang secara rambang menuduh MAIS, JAIS dan SUK menjadi talibarut Umno. Nasihat-nasihat yang diberikan kepada Baginda Sultan dikatakan 'bias' kepada Umno. Pandangan curang seperti ini memang sudah diulang-ulang buat sekian kalinya oleh pimpinan tertinggi PAS khasnya di Selangor.

Dalam kes DUMC sebagai contoh pimpinan PAS telah membuat tuduhan rambang dengan mengatakan bahawa tindakan JAIS dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi MAIS telah dipengaruhi oleh Umno. Akhirnya terbukti sama sekali tidak ada kebenarannya. Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa sememangnya terdapat unsur fitnah dalam pertuduhan tersebut. Mereka juga menuduh Duli Yang Maha Mulia Sultan juga terlibat seolah-olah wujud konspirasi yang didalangi oleh Umno.

Taktik yang cuba dibawa oleh PAS bahawa segala-galanya berpunca daripada Umno tidak syak lagi merupakan taktik politik murahan dan desparate. Mungkin rakyat dapat membaca bahawa sebenarnya taktik sedemikian bukan lahir daripada batang tubuh PAS tetapi adalah jangkitan kuman daripada seorang manusia yang sanggup mengguna dan menggadaikan apa sahaja semata-mata untuk mencapai matlamat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apapun rakyat sudah dapat membaca lebih awal dan taktik sedemikian sudah tidak laku lagi.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan