UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 27 November 2012

Patuhi resipi keramat UMNO bersungguh-sungguh!



Peka kehendak akar umbi. Mereka bukan hendak jawatan atau kekayaan, mereka cuma mahukan pemimpin dengar dan penuhi keperluan mereka," kata seorang veteran UMNO dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Resipi untuk menang sebenarnya mudah. Kalau mahu kalah lebih lagilah mudahnya. Bahannya tidak banyak, tidak juga rumit. Semuanya mampu disediakan dan tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkannya. Cuma yang perlu adalah keprihatinan memastikan peraturan memasak dipatuhi.

Kalau resipi digunakan menyebut secubit garam, maka ikutlah sukatan terutamanya jika hidangan disediakan untuk orang ramai. Jangan menyukat ikut selera sendiri atau selera tukang masak.

Misalnya tukang masak bercita rasa masin, maka resipi secubit garam diubah menjadi sesudu besar garam. Akibatnya rosaklah resipi gara-gara mengikut cita rasa seorang tukang masak, menyebabkan ada yang menjamah hidangan diserang darah tinggi.

Sebab itu, apabila bercakap soal mahu menang atau kalah dalam pilihan raya umum akan datang, tidak sepatutnya timbul perkataan sukar atau senang. Tidak juga ada kaitan dengan ditakdirkan.

Ini kerana resipi untuk menang pernah dicuba dan menjadi. Bukan sekali, malah berkali-kali. Sejak pilihan raya pertama hinggalah penurunan kuasa rakyat pada Mac 2008, Barisan Nasional (BN) mampu bertahan.

Jika 11 pilihan raya sebelum itu, BN cemerlang menggunakan resipi yang sama, namun akibat terlebih adun atau terkurang bahan, resipi tersebut tidak begitu menjadi pada 2008.

Biar pun tidak begitu menjadi namun BN masih bertahan dengan kehilangan kuasa majoriti dua pertiga. Kesemuanya itu bukan disebabkan resipi, tetapi akibat terlebih atau terkurang bahan sehinggakan resipi turun temurun tiba-tiba kurang menjadi, lebih menyedihkan di negeri tertentu langsung tidak menjadi.

Selepas lebih empat tahun, dan ketika tarikh pembubaran Parlimen makin hampir, persoalan yang sebenarnya mesti dijawab oleh BN - adakah mereka telah belajar daripada kesilapan lalu?

Adakah ramuan atau bahan dalam resipi yang ditinggalkan pejuang kemerdekaan tanah air telah dikumpulkan secukupnya sehingga mereka berani bercakap soal mengadakan pilihan raya?

Seorang pemimpin UMNO negeri di selatan tanah air mengaku biar pun BN, khususnya UMNO kelihatan semakin pulih, namun apa yang dilihat hanyalah di permukaan.

Dia masih bercakap soal akar umbi yang tidak bersatu. Masih bercerita tentang ahli-ahli yang kemaruk pangkat dan harta. Masih ada yang tidak segan-silu menunjuk apa yang mereka ada, sedangkan jasa dan bakti kepada rakyat langsung tidak setara.

Maka pengamatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa hanya Presiden parti iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja nampak aktif sedangkan yang lain masih mencongak-congak, mengiyakan hakikat yang menjalar di peringkat akar umbi.

Maknanya? Tentulah keingkaran kepada resipi keramat BN/UMNO masih berlangsung malah prestasi teruk parti pada 2008 tidak dijadikan pengajaran oleh sesetengah pihak.

Di negeri-negeri lain yang menyaksikan BN tumbang khabarnya masih bermasalah. Mereka masih tidak bersatu untuk menebus kesalahan lalu.

Kerjasama untuk membina semula jambatan yang hampir runtuh atau memilih seorang ketua yang boleh menjadi penggerak kepada kekuatan parti juga tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Masih kedengaran perihal mahu berebut ketua bahagian, lebih daripada itu ada pula gerakan sabotaj parti. Biar pun mereka yang berkenaan telah dikenakan tindakan, namun pastinya gerakan seumpama itu bukan hanya melibatkan seorang atau dua.

Sepatutnya, dalam keadaan mandat kerajaan BN memerintah negara semakin menghampiri tarikh luput, isu rebut jawatan, sabotaj parti, tidak bersatu, jentera parti yang lemah - tidak seharusnya timbul lagi.

UMNO, MCA, MIC dan komponen-komponen BN yang lain mesti membuktikan bahawa mereka kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perhimpunan Agung UMNO prapilihan raya yang bermula esok perlu menjadi medan untuk para perwakilan bercakap dari hati ke hati. Bukan memuji atau berpuas hati dengan pencapaian yang entah betul entahkan tidak.

Resipi yang enak boleh dipuji keenakannya, manakala jika sesuatu resipi itu pahit atau terlebih garam, jangan ditelan kerana kelak menyakitkan badan.

Lebih daripada itu, seorang tukang masak tidak akan mampu menyediakan hidangan yang enak untuk dinikmati ribuan tetamu. Perlu ada pembantu tukang masak, pelayan, tukang cuci pinggan, waima tukang sapu untuk memastikan hidangan yang enak tidak dicacat-cela dek layanan kurang memuaskan.

Pilihan Raya Umum Ke-13 mesti dimenangi oleh BN kerana kekuatan parti itu sendiri dan bukannya kerana lawan yang ditandingi itu lemah.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan