UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 19 November 2012

Bekas homeguard terharu terima rumah baharu!



KUALA SELANGOR 18 Nov. - Hanya linangan air mata sahaja yang dapat menggambarkan kegembiraan seorang bekas homeguard, Jailani Muaalim,90, bersama isterinya, Napsiah Idris, 69, apabila akhirnya dapat menjejakkan kaki ke rumah baharu mereka di Jalan Derahman, Kampung Bukit Cerakah di sini.

Bagi Jailani yang sudah memasuki usia emas, sudah tentu dengan tulang empat keratnya tidak terdaya untuk mendapatkan sebuah rumah baharu itu setelah rumah asalnya musnah dalam kebakaran akibat litar pintas seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan pada Julai lalu.

''Saya tidak tahu berapa lama lagi dapat hidup tetapi sekurang-kurangnya sekarang saya dapat menghabiskan sisa hidup ini bersama isteri dalam keadaan agak selesa.

''Pembinaan rumah baharu ini menunjukkan masih ada pihak yang prihatin dan sumbangan ini saya anggap sebagai hadiah hari jadi pada 23 Oktober lalu," kata Jailani ketika ditemui selepas menerima kunci rumah baharunya daripada Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa di sini.


Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Arpah Abdul Razak, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Pengurus Besar Asa Niaga Sdn.Bhd., Datuk Shaari Mat Jihin.

Bekas homeguard yang berkhidmat ketika zaman darurat itu mendapat rumah baharu hasil program 'My Beautiful Neighbourhood' yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berasaskan Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS-7) hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kos bahan binaan rumah tersebut sebanyak RM35,000 disumbangkan oleh Asa Niaga Sdn. Bhd. manakala kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan