UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 18 November 2012

Pas perlu berubah?



Sikap sekutu Pas dalam pakatan pembangkang iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membabitkan perihal penubuhan negara Islam dan pelaksanaan sepenuhnya hukum hudud sering menjadi ‘pukulan’ buat parti itu.

Sehingga pada satu peringkat Pas terpaksa menukar laras bahasa dan slogan penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan demi menjaga hati sekutunya selain memelihara tahaluf siyasi (kerjasama politik). Keadaan itu mengejutkan ahli-ahli Pas dan juga orang luar parti kerana selama ini matlamat negara Islam dianggap perjuangan hidup mati Pas.

Bukan sedikit bekas pemimpin dan ahli Pas melahirkan kegusaran tentang perubahan dalam Pas sejak berkawan dengan DAP dan PKR.

Perkara ini dikongsikan oleh bekas Setiausaha Pas Selangor, NORMAN TOHA bersama wartawan Mingguan Malaysia, HELMI MOHD. FOAD dan ABDUL YAZID ALIAS ketika diwawancara di pejabat stesen televisyen dan radio Internet, IMR Network, Shah Alam baru-baru ini.

MINGGUAN: Dalam Muktamar Agung Pas kali ini, Pas mempertegaskan tentang pelaksanaan hudud sekiranya menguasai majoriti dan dapat memerintah bersama pakatan rakyat tetapi difahamkan telah ada perjanjian di antara Pas-PKR-DAP untuk mengugurkannya. Apa pandangan saudara?

NORMAN: Perjanjian itu merujuk kepada Buku Jingga. Pada permulaan, perjanjian itu dirujuk sebagai CFP (Common Frame Policy) iaitu persefahaman awal ditandatangani, sehingga tertera Buku Jingga yang ditandatangani oleh Presiden Pas, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mana memang disebut bahawa dipertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, mempertahankan hak istimewa bumiputera, pribumi Sabah dan Sarawak dan hak kaum lain dipertahankan dan mempertahankan Raja Berperlembagaan. Namun, jika sekadar itu, ia tidak lari daripada apa yang berlaku ketika ini sehingga pelaksanaan Islam yang kita lihat di mana UMNO nak buat pun UMNO gagal, kerana terikat dengan perkara itu. Jika ia mengulangi perjanjian itu dan ditandatangani, saya rasa Pas akan mengulangi apa yang akan berlaku sebagaimana UMNO laksanakan hari ini.

Kita pun tahu, UMNO bersama BN melaksanakan Islam, kita tidak boleh nafikan UMNO melaksanakan perkara itu, cumanya tidak sempurna kerana mungkin pengemudi dalam UMNO tidak ada kekuatan untuk laksanakannya, mungkin juga ada halangan-halangan dalam BN itu sendiri. Mereka terikat dengan persetujuan dengan MCA dan MIC ketika mahu mencapai kemerdekaan dahulu yang tertera dalam Perlembagaan itu sendiri. Jadi apatah lagi ketika ini mungkin kefahaman Islam itu diterjemahkan hanya kepada agama rasmi, bukan untuk dilaksanakan. Jadi jika Pas menandatangani perjanjian yang sekadar itu dilaksanakan, saya melihat ia mengulangi kesilapan yang sama. Sepatutnya dalam Buku Jingga itu memberi ruang kepada Pas untuk menterjemahkan lagi Islam agama Persekutuan sehinggalah membolehkan mahkamah syariah dinaik taraf. Maksudnya di sana ada beberapa peruntukan yang diizinkan oleh pakatan rakyat untuk melaksanakan hukum Islam waima untuk dikuatkuasakan kepada orang Islam sahaja pun tidak apa.

Kenapa perkara ini tidak disebut?

NORMAN: Dalam ucapan dasar negara berkebajikan hari ini mauduknya adalah ‘Islam memberikan keadilan’. Nak kata (Islam) digugurkan tidak ada, tetapi ia tidak dinyatakan dalam perjanjian itu sedangkan Pas memang hendak buat, tetapi memandangkan ia menandatangani satu ikrar, akujanji bersama-sama tiga parti, itu tidak akan laksanakan. Sebab itu bila nak buat ini, cakap negara Islam, hudud, Karpal Singh sebut, Lim Kit Siang sebut, Anwar pun sebut, tidak ada dalam Buku Jingga, itu masalahnya.

Saya rasa dalam kaedah ini saya tidak nafikan banyak kali, banyak perundingan, Pas biasanya lemah dan tertipu dalam meja rundingan. Itu yang perlu hati-hati dalam apa juga perjanian bertulis yang boleh menarik agenda Pas yang diperjuangkan sejak berpuluh-puluh tahun, kena cermat sikitlah sebabnya harapan kita Pas dapat bimbing dan memimpin pelaksanaan Islam walaupun ketika ini mereka membuka ruang kerjasama atau tahaluf siyasi dengan kumpulan-kumpulan Islam lain atau kumpulan Melayu lain.

Apakah kerjasama Pas-PKR-DAP itu dilihat banyak manfaat kepada Pas sejak 2008 hingga ke hari ini?

NORMAN: Perkara itu sebenarnya bergantung kepada apa sebenarnya Pas mahu dicapai dalam konsep tahaluf siyasi ini. Saya lihat apabila konsep tahaluf siyasi diperkenalkan ketika 1987,1988 yang mana pada masa itu dengan parti Melayu Semangat 46, itu saya nampak berjaya sehingga dapat kerajaan di Kelantan pada 1990. Kemudian dipanjangkan pada tahun 1999 sehingga dapat Terengganu walaupun dalam keadaan empat tahun sahaja. Konsep itu berjaya sebab bila dapat Kelantan, Pas dapat ketengahkan agenda perjuangannya di Kelantan, Pas dapat laksanakan perjuangannya sejak berpuluh-puluh tahun (berjuang). Namun hari ini, konsep itu dipanjangkan kepada pakatan rakyat, apa yang berlaku, saya sebut di Selangor sebagai contoh, kita dukacita apabila banyak perkara yang sepatutnya menjadi dasar utama perjuangan Pas ini seolah-olah dikesampingkan disebabkan desakan-desakan daripada teman-teman pakatan rakyat di Selangor.

Jadi saya rasa sebab itu ada beberapa pandangan daripada peringkat akar umbi supaya tahaluf siyasi diharuskan dan diperlukan dalam konteks untuk mentadbir Malaysia, tetapi konsep itu kena kaji semula adalah dari segi syarat adakah ia terlanggar atau dari segi pelaksanaannya terhenti disebabkan pengemudi parti itu atau keadaan yang tidak sesuai untuk bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR. Itu adalah perkara yang akar umbi mahu supaya ia lihat semula, bukan mempertikaikan tahaluf siyasi. Mengambil pendekatan tahaluf siyasi ini kerana atas perjuangan untuk mencapai matlamat seperti Pas yang sebut walaupun ia tidak berubah dari segi undang-undang tubuh, dasar Islam, seruan Allahuakbar, rujukannya al-Quran, sunah, ijma dan qiyas yang sarih. Maka untuk mencapai dasar itu, parti telah melakar dan meletakkan beberapa tujuan utama. Pertama, terang-terang Pas memperjuangkan sebuah masyarakat dan sebuah pemerintahan yang di dalamnya terlaksana nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum yang menuju kepada keredaan Allah.

Ia mungkin melibatkan hala tuju Pas yang lebih jelas?

NORMAN: Ia tersentuh kepada perkara tersebut dan itulah sebenarnya yang kita anggap terjemahan kepada negara Islam yang diperjuangkan Pas selama ini. Kalau tahaluf siyasi ini tidak boleh capai perkara itu, ia terkeluar daripada hala tuju. Tetapi saya rasa Presiden sendiri dalam terjemahan dia pada hari ini negara berkebajikan dengan cermat dan teliti mentakrifkan apa itu negara berkebajikan lebih baik daripada muktamar tahun lalu. Saya rasa ini mungkin akan meredakan ahli dari segi kenapa negara berkebajikan diketengahkan. Tetapi, persoalannya dari segi terjemahan yang baru ini, teliti dan cermat, saya lihat kebajikan ini dimaksudkan daripada surah Ali-Imran itu sendiri yang ditafsirkan iaitu ‘Hendaklah ada dalam kalangan kamu umat yang menyeru kepada kebajikan (al-khair), menyuruh kepada yang maaruf, mencegah kepada mungkar, mereka adalah orang-orang mendapat kemenangan di sisi Allah’. (Ali-Imran :104)

Kebajikan daripada ayat itu yang kita mengertikan selain ayat-ayat sebelum itu ialah kebajikan untuk mengembang dan mempertahankan Islam itu sendiri yakni ketaatan, keyakinan kepada Allah SWT. Sebab itu, kebajikan itu sekarang ini barulah diterjemahkan kepada tujuan dan matlamat utama yang diusahakan oleh Pas iaitu mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana dengan nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah SWT. Saya rasa penterjemahan ini lebih baik daripada tahun lalu. Namun cuma satu yang saya hendak tanya ialah kenapa selepas satu tahun setengah terjemahan ini baru keluar, tidak ketika konsep negara berkebajikan diperkenalkan setahun setengah yang lalu. Saya rasa inilah saya minta pemimpin-pemimpin Pas termasuk ulama apa juga perkara yang ingin diketengahkan atau perkara yang baru mesti rujuk kepada kepimpinan ulama dahulu. Jangan kita letak satu benda bila jadi masalah baru minta ulama tolong justifikasikan, kita rasa ini akan jadi satu masalah.

Kenapakah Pas tidak mengutarakan terjemahan sebenar mengenai konsep negara berkebajikan dengan menekankan prinsip Islam dari peringkat awal?

NORMAN: Sebab itu saya katakan tadi saya khuatir tema negara berkebajikan yang diutarakan pada 2011 tidak dibincangkan secara tepat dan tidak dirujuk kepada kepimpinan ulama. Tema itu dibawa, lepas itu tidak dihadamkan betul-betul kemudian dibawa untuk dibincangkan dengan teliti bahawa selama ini orang mengetahui matlamat Pas untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan negara Islam. Jadi saya lihat berlakunya pergolakan di bawah, kecelaruan ucapan pemimpin-pemimpinnya dan akhir-akhir ini ada wacana yang mana saya memberikan pandangan pada wacana itu, sebenarnya apa yang saya ucapkan ialah itulah intipati atau saringan utama ucapan Ketua Dewan Ulama dalam muktamar Pas pada tahun ini. Adakah saya mengambil intipati ucapan Ketua Dewan Ulama (Datuk Harun Taib) sedangkan wacana itu berlaku pada hari Rabu sedangkan muktamar pada hari Khamis.

Tetapi itulah sebenarnya kefahaman yang saya dididik oleh mereka (Pas), sebab itu saya lihat Dewan Ulama Pas mempertegaskan semula peranan Pas dan peranan ulama itu sendiri yang memandu kepada gerakan Islam yang dilaksanakan oleh Pas. Saya rasa beberapa nasihat dan kefahaman yang diberikan oleh Harun Taib dalam ucapannya begitu juga harapan yang dibawa oleh Presiden menerusi ucapan dasar yang dibuat sebenarnya saya melihat seolah-olah mereka mengakui kecelaruan ini timbul sebelum ini. Maka, saya lihat apa yang dinyatakan oleh Dewan Ulama dan Presiden itu adalah satu percubaan pertama untuk mengembalikan keyakinan ahli dan penyokong Pas saya lihat berjaya. Cumanya percubaan kedua saya lihat adakah mereka berjaya laksanakan tema negara kebajikan itu bagi definisi baru ini dalam tempoh lima bulan sebelum PRU-13 ke atas negeri-negeri yang mereka berkuasa seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Untuk menyelesaikan kedudukan kerusi, kedudukan majoriti Pas ini, ada cadangan supaya wujud kerjasama di antara UMNO-Pas, apa pandangan saudara?

NORMAN: Sebenarnya pandangan ini bermula daripada lepas keputusan pilihan raya umum 2008, saya diberitahu melalui sumber-sumber yang dipercayai, isu untuk mewujudkan kerjasama dengan parti-parti Melayu Islam ini bermula selepas itu. Cuma ketika itu ada halangan-halangan tertentu, cadangan tersebut tidak jadi. Jadi, kesan daripada itu, kerajaan yang ada pada hari ini dibentuk iaitu BN dan pakatan rakyat. Apabila berjalan selama setahun, dua tahun, tiga tahun, kita sudah lihat beberapa masalah-masalah sebab kita tidak pernah berkongsi kuasa dengan sesiapa, PKR dan DAP sebelum ini. UMNO pernah melalui pengalaman yang lepas. Apabila pejuang dan pemimpin Pas yang hendak buat negara Islam, dihalang sikit demi sedikit seperti yang berlaku di Selangor, Kedah, di Kelantan tidak rasa sangat kerana Kelantan adalah solid orang Melayu. Ketaranya ialah di Selangor, Perak ketika itu dan Kedah. Di Pulau Pinang, kita bersama, tapi tak jadi Exco, jadi nampaklah tertekan, kena buli saja. Jadi, berlaku keadaan itu kita lihat, orang lihat dan persepsi yang diberikan ketika itu kalau PRU-13, pengundi bukan Islam jadi penentu. Sebab itu saya rasa negara berkebajikan itu diwujudkan supaya perkataan Islam itu ditarik tetapi diletakkan negara berkebajikan supaya lunak. Tetapi apabila konsep yang dikemukakan itu dengan terjemahan yang kurang cermat menyebabkan masalah dalaman ahli sehingga pemimpin ada kata jangan cakap mengenai Islam, jangan buat hudud lagi , jangan tahan arak lagi, yang penting kita menang ke Putrajaya itu semua kecelaruan kerana konsep negara berkebajikan. Jadi saya harap selepas ini tidak ada lagi timbul kecelaruan dari konsep perjuangan Pas.

Sebab itu, dalam wacana sebelum ini, kita nyatakan kena kaji semula konsep tahaluf sisyasi ini, adakah masih relevan atau tidak. Kita tidak keluarkan fatwa, kita bagi pandangan supaya difikirkan semula dan saya rasa ucapan Ketua Dewan Ulama Pas mempertegaskan kepentingan tahaluf siyasi dan pelaksana kepada tahaluf siyasi ini kena perhatikan syarat-syarat yang diletakkan. Jangan sampai kita pula langgar syarat itu sendiri dan kita mendahului untuk melanggar syarat itu sendiri. Mengenai Pas dan UMNO, saya beri pandangan kepada kepimpinan supaya jangan tutup pintu perundingan kepada sesiapa juga parti politik di Malaysia yang ingin membantu Pas untuk mencapai agenda perjuangannya waima dengan UMNO. Kita tidak tahu, ini kerja Allah SWT, kalaulah suatu hari nanti UMNO bersedia untuk tahaluf siyasi dengan Pas untuk pertahankan Islam dan hukum-hukum Islam dilaksanakan di Malaysia, takkan Pas hendak tolak. Sedangkan kalau dibandingkan PKR dan DAP dengan UMNO sebenarnya banyak beza. Pertamanya, UMNO ini pernah berkuasa, masih berkuasa dan ada pengalaman untuk mentadbir dan keduanya mereka ini kelompok orang Islam dan mereka ini disabitkan Melayu yang mana di Malaysia Melayu itu Islam seperti diterjemahkan mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan. Tujuan kita bukan rebut kuasa tapi hendak membawa manusia ke jalan yang diredai Allah SWT. Kita sayang negara kita. Kita bina dengan pelbagai pendekatan, pemikiran, pengalaman politik, semua ada. Kesilapan, yang sudah itu, sudahlah, yang penting, tugas kita ajak orang kalau dulu dia kufur, sekarang dia beriman kepada Allah SWT, kalau dia tidak beriman, dia tidak menentang Islam. Sebelum nasi menjadi bubur, renunglah sejenak, apakah yang kita buat ini, apa sebenarnya kita mahu.

Fikirkan perjalanan hidup kita, adakah percaturan dan pendekatan yang kita ambil itu kita yakin itulah yang terbaik untuk rakyat. Pas perlukan kerajaan di peringkat Persekutuan yang mesra kepada perjuangan Pas, kalau federal itu BN, terasnya UMNO memerintah. Pas perintah Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, kerjasama dengan BN kena buat pada hari ini. Kalau pakatan rakyat hendak laksanakan agenda Islam kata hendak buat, baik kita buat tetapi hari ini ternyata dalam Buku Jingga tidak dibenarkan (laksanakan hukum Islam). Dalam BN tidak dinyatakan tidak boleh buat, maksud ada ruang boleh dibuat. UMNO hari ini kita lihat buat institusi Islam, buat mahkamah syariah, cuma ada sekatan-sekatan tertentu. Orang Melayu mengharapkan Pas kalau terjadi apa-apa kepada UMNO, bukan PKR. Mereka melihat, kalau UMNO tidak mampu buat perubahan, mereka boleh harapkan Pas. Sekurang-kurangnya ada perkara yang kritikal tidak tergadai.

Dalam wacana “Mengembalikan Pas ke Landasan Asal’yang sertai saudara di Kuala Lumpur baru-baru ini, ada suara yang menganggap cadangan yang dibuat dalam program tersebut adalah dari ahli Pas yang dipinggirkan dalam parti, apa pandangan saudara?

NORMAN: Pandangan yang dilontarkan di dalam wacana tersebut adalah mewakili suara yang ada di peringkat akar umbi. Mungkin dahulu mereka itu pemimpin dan hari ini mereka sudah tua tidak lagi memimpin organisasi. Namun kita perlu ingat mereka ini mempunyai ahli dan pengikut yang ramai. Sebab itu saya menyatakan tidak rugi mendengar pandangan ini. Kalau mereka mahu ambil atau tidak pandangan itu adalah perkara yang kedua tetapi pandangan mereka itu mereka seharusnya diambil kira, lihat sama ada benarnya atau tidak. Saya rasa rungutan yang disuarakan itu akhirnya menjadi terjemahan baharu kepada negara berkebajikan hari ini, itulah membuktikan kebenaran begitu juga harapan Presiden kepada ahli-ahli, penyokong dan penggerak. Saya rasa di situ ada kebimbangan yang disuarakan dalam wacana tersebut apatah lagi dengan penekanan ucapan Ketua Dewan Ulama yang mengatakan Pas sebuah gerakan Islam, peranannya, pemimpinnya macam mana, apa yang dipimpinnya, mesti merujuk kepada ulama.

Saya rasa apa yang disuarakan sebelum ini ada benarnya apatah apabila salah satu perwakilan ulama yang usulnya diterima supaya diwujudkan audit syariah di negeri yang ditadbir Pas. Cumanya, saya minta audit syariah itu, jawatankuasa yang dibentuk bukan sahaja melihat perkara yang dibuat oleh kerajaan negeri itu melanggar syariah atau tidak tetapi juga merangkumi setiap agenda Pas yang belum dapat dilaksanakan dan akan dilaksanakan apabila mendapat kuasa. Saya rasa pemimpin akui pandangan yang dilontarkan dalam wacana itu walaupun mereka mengatakan orang-orang ini tidak ada jawatan, kelompok terasing, golongan bermasalah dalam parti. Saya rasa semua orang dalam parti ada masalah iaitu kerisauan, semua ada masalah seperti masalah kepimpinan, masalah jawatan, masalah tanggungjawab, semua ada masalah.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan