UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 13 November 2012

Imej Pas sudah tercalar?



Apakah yang YB lihat signifikannya muktamar Pas yang akan diadakan di Kelantan mulai esok?

NASHARUDIN: Saya dapat merasakan muktamar kali ini akan tertumpu kepada isu-isu dalaman parti, persiapan PRU-13 dan juga mungkin peranan Pas sebagai gerakan Islam sama ada di peringkat serantau mahu pun di peringkat antarabangsa sebab sudah ada perkembangan mutakhir ini yang menyebabkan imej Pas sudah tercalar di mata rakyat khususnya.

Saya telah didatangi oleh wakil Ikhawanul Muslimin dari Syria tiga hari lepas. Mereka datang ke rumah saya. Mereka bertanyakan apakah pendirian Pas sebenarnya dalam isu di Syria ekoran keluarnya berita di televisyen Syria mengenai lawatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap Menteri Hal Ehwal Agama Syria di Damsyik baru-baru ini.

Kenyataan Mohamad Sabu yang dikeluarkan di dalam temu bual tersebut telah menimbulkan tanda tanya yang cukup besar dalam kalangan rakan-rakan gerakan Islam di Syria. Ini adalah kerana dunia sedar dan amat memahami keadaan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Bashar al-Assad ke atas rakyatnya sendiri, berlakunya pembunuhan, isu tajaan Syiah untuk membunuh orang Islam di Syria ini. Yang menjadi ironinya, di tengah-tengah konflik ini tiba-tiba Timbalan Presiden Pas pergi mengunjungi Menteri Hal Ehwal Agama Syria. Dari segi roh Islam dan kepemimpinan parti yang memperjuangkan Islam, ini adalah merupakan satu isyarat yang cukup tidak baik dan cukup negatif kepada Pas.

Saya sebutkan kepada rakan-rakan kita dari Syria yang saya bukan lagi kepimpinan tertinggi Pas. Saya cadangkan supaya mereka bertemu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan. Itu dalam konteks antarabangsa. Dari konteks organisasi pula terlalu banyak isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini yang akan dibahaskan oleh para perwakilan. Saya dapat merasakan mungkin juga akan ada perbahasan mengenai kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang akibat isu-isu Islam yang tidak dapat diketengahkan pada tahap yang sepatutnya kerana kepemimpinan terlalu mementingkan hubungan antara parti dari segi politik, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya. Sekarang ini telah masuk hampir tahun kelima kita menubuhkan kerajaan bersama. Demikianlah saya rasa di antara isu-isu yang akan dibangkitkan oleh perwakilan dalam muktamar akan datang.

Berbalik mengenai kumpulan rakan-rakan dari Syria yang bertemu dengan YB, apa yang diluahkan oleh mereka sebenarnya?

NASHARUDIN: Mereka bertanya terus kepada soalan mengenai apa sebenarnya pendirian Pas terhadap isu peperangan yang berlaku di Syria ini. Saya kata, saya tidak boleh menjawab bagi pihak parti kerana saya bukan lagi kepimpinan tertinggi. Saya cadangkan mereka bertemu dengan Presiden. Bagaimanapun saya menyebut bahawa rakyat Malaysia secara umumnya sudah mula hendak memahami keadaan di Syria ini. Apa yang berlaku itu adalah kezaliman rejim pemerintah kepada rakyat kemudian rejim pemerintah ini mendapat sokongan, dokongan iaitu dalam konteks mazhab daripada Syiah dan dari segi negaranya sokongan daripada Iran dan sebagainya. Apabila laporan banyak dibuat di media meskipun ulasan tidak menyeluruh namun sedikit sebanyak ia telah memberi kesedaran kepada umat Islam negara kita terhadap isu yang berlaku sekarang ini di Syria.

Ada pandangan agar para perwakilan mendesak Pas menjadi dominan dalam pakatan pembangkang dan menghapuskan imej Pas sebagai 'pak turut'

NASHARUDIN: Politik ini adalah berkait rapat dengan persepsi dan itulah persepsi yang berlaku sekarang sama ada persepsi itu benar atau dibentuk. Pas dilihat semacam hilang taringnya, tidak ke depan dalam isu-isu berkaitan dengan Islam dan umat Islam. Pas juga dilihat menjadi pak turut kepada pihak-pihak tertentu. Semua perkara ini harus diberi penjelasan dan paling penting dan getir kerana kita juga terpaksa akur PRU-13 kali ini tinggal had masa maksimum kurang empat bulan sahaja sebelum pilihan raya diumumkan. Boleh ke kita dalam tempoh ini kita perbaiki imej Pas ini? Seperti yang saya sebut tadi, saya rasa tiada siapa yang boleh menafikan imej Pas telah tercalar.

Di peringkat antarabangsa pula, paling tidak, isu lawatan Timbalan Presiden Pas ke Syria akan disuarakan dan beberapa isu lain. Di peringkat tempatan ia berkaitan dengan pendirian-pendirian Pas, kenyataan-kenyataan Pas dan isu-isu yang tidak diketengahkan oleh Pas termasuk isu-isu berkaitan dengan ketelusan pengurusan dan pentadbiran yang timbul di beberapa buah negeri yang ditadbir oleh Pas. Harapan saya adalah supaya muktamar ini tidak menjadi muktamar yang bersifat konvensional tetapi sesuatu yang perlu diasak supaya Pas dapat maju ke hadapan dan betul-betul menjadi parti Islam yang dominan dalam pakatan rakyat yang mempertahankan kepentingan Islam.

Suara Pas mestilah menjadi suara yang dominan mempertahan dan memperjuangkan Islam sebab itu merupakan perjuangan Pas sejak awal - awal lagi dengan meletakkan Islam pada tempatnya. Jika Pas hanya sekadar menjadi, seperti istilah bola sepak 'field passenger' saja, saya rasa Pas hilang manfaatnya kepada umat Melayu-Islam secara khusus dan masyarakat umum Malaysia secara amnya.

Apakah peranan dan saranan atau isyarat yang perlu diberikan oleh Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama Pas supaya Pas kembali ke perjuangan asal?

NASHARUDIN: Memang ada satu gerakan atau saranan bagi memastikan pimpinan tertinggi dalam parti terdiri daripada golongan ulama. Ini telah menjadi perdebatan dalam parti sejak sekian lama. Walaupun ada hujah seperti yang disebutkan tadi (mengenai golongan profesional) iaitu apa yang penting adalah institusi dan bukan individu tetapi bagi saya kedua-duanya penting. Presiden penting. Kita memerlukan seorang tokoh ulama menjadi presiden parti. Alhamdulillah, presiden kita sekarang mempunyai ketokohan itu sebab ada ketikanya selain daripada keputusan yang hendak dirujuk kepada Majlis Syura, keputusan hendak dirujuk kepada Dewan Ulama, Presiden juga harus mempunyai identiti dan mempunyai keberanian dan mempunyai kekuasaan untuk menentukan arah tuju parti. Apabila disebut arah tuju parti sudah tentu arah tuju terasnya Islam, matlamatnya Islam, kaedah yang hendak disampaikan mestilah bersandarkan Islam. Saya sebenarnya bimbang jika berlaku perubahan konsep itu, sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin dengan alasan kita sudah ada Majlis Syura dan Dewan Ulama untuk menghuraikan isu-isu berkaitan hukum dan dasar-dasar Islam. Ulama diperlukan bukan sahaja untuk duduk dalam jawatankuasa Penasihat Syariah, tetapi juga ulama diperlukan sebagai pemimpin parti .

Adakah isu pelaksanaan hukum hudud dijangka ditimbulkan dalam muktamar kali ini?

NASHARUDIN: Ahli-ahli ada menghubungi saya, terutama mereka yang masih berkomunikasi dengan saya antaranya kepimpinan di peringkat kawasan. Pagi tadi pun ada seorang ulama Pas menghubungi saya. Isu hudud ini adalah identiti bagi Pas. Selain daripada identiti ketelusan, kesederhanaan, dan juga beberapa identiti Islam lain yang ditonjolkan, identiti yang agak besar yang ada pada Pas ini adalah perlaksanaan hukum hudud. saya rasa isu ini akan turut dibahaskan oleh perwakilan sebab isu ini adalah isu yang melekat mendalam di hati ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi.

Ini yang membezakan Pas daripada UMNO. Inilah juga yang membezakan Pas daripada parti politik lain iaitu Pas berjuang untuk menegakkan syariat Allah. Syariat Allah ini luas dan salah satu aspek syariat Allah itu adalah aspek hukum jenayah atau undang-undang syariah. Salah satu aspek undang-undang syariah ini adalah undang-undang hudud yang mana saya berpendapat melalui peruntukan-peruntukan tertentu di dalam perundangan negara kita ini ada peruntukan dalam hukum hudud ini boleh kita laksanakan. Tiba-tiba dilihat seolah-olah kita (Pas) beri jalan kepada orang untuk tidak boleh melaksanakan undang-undang tersebut dan dilihat juga semacam kita (Pas) ini berlembut untuk membolehkan ia tidak dilaksanakan. Sudah tentulah perkara ini menimbulkan keresahan di kalangan ahli.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan