UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 6 Jun 2011

Wajah sebenar Pas terdedah!

Pada tahun 1995, ketika berlangsungnya pilihan raya umum, penulis ada bertanya kepada seorang warga emas yang berusia 80-an kenapa beliau menyokong Pas, jawapannya, ‘‘Pas hendak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam.’’

Jumaat lalu pula ketika berbual dengan seorang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi yang menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-57 di Taman Melewar, Gombak, penulis turut bertanya soalan yang sama, jawapannya, ‘‘Pas dipimpin oleh para ulama dan kita sebagai orang Islam kena sokong.’’

Perjuangan menegakkan negara Islam dan memperkasakan kepimpinan ulama - inilah dua faktor utama yang mendorong sejak tahun 1951 kenapa sebahagian umat Islam di negara ini menyokong Pas.

Bagi mereka yang taksub, Pas adalah Islam, Islam adalah Pas. Pintu hati dan fikiran mereka sudah ditutup untuk melihat segala pengorbanan dan kejayaan UMNO yang telah memartabatkan Islam sehingga Malaysia menjadi negara Islam contoh.

Tetapi apa yang berlaku sepanjang muktamar Pas yang berakhir semalam sudah menjadi bukti bahawa parti itu kini bukanlah pejuang negara Islam dan tidak lagi dipimpin oleh para ulama sebagai pemain utama.

Sebaliknya golongan ulama hanya ditempatkan di Dewan Ulama dan menganggotai Majlis Syura yang belum tentu suara mereka akan didengari biarpun dikatakan menjadi badan pemutus perjalanan politik Pas.

Ternyata sekali, Pas menyambut 60 tahun usianya pada tahun ini dengan menyaksikan golongan ulama semakin terpinggir daripada arus perdana politik Pas.

Tewasnya calon-calon berlatar belakang agama bagi kerusi-kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas pusat sudah menjadi bukti bahawa ahli-ahli Pas kini sudah beralih arah.

Mereka semakin hilang keyakinan kepada kepimpinan ulama untuk menerajui parti itu dalam mencapai impian ke Putrajaya bersama-sama sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh puak-puak yang menyokong Penasihat PKR, Anwar Ibrahim sebelum pemilihan berlaku mengenai betapa perlunya profesional menerajui Pas ternyata memberi kesan.

Ahli-ahli Pas termasuklah perwakilan ke muktamar telah disogokkan dengan pemahaman bahawa kepimpinan ulama Pas adalah lemah, tidak agresif, tidak mempunyai visi dan tidak akan mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu jika Pas mahu bersama-sama meraih kuasa satu kapal dengan PKR dan DAP maka pemilihan kali ini perlu memastikan golongan profesional terutamanya mereka yang ‘berkiblatkan’ Anwar mencapai kejayaan.

Ternyata usaha itu berjaya, Pas kini dikuasai sepenuhnya oleh golongan yang sebahagian besarnya adalah penyokong kuat Anwar, PKR dan DAP.

Kegagalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membaca percaturan politik yang dilakukan oleh kumpulan menyokong Anwar dalam Pas telah memungkinkan beliau turut terjebak dan terikut-ikut dengan keghairahan untuk ke Putrajaya.

Tindakan Abdul Hadi yang menganggap barisan terpilih dalam pemilihan kali ini adalah Kabinet pilihan raya juga menimbulkan persoalan apakah selama ini Pas yang mengetengahkan ulama sebagai peneraju utama tidak yakin bahawa golongan itu boleh berjaya dalam pilihan raya?

Terbuktilah sudah bahawa muktamar Pas kali ini memaparkan wajah sebenar parti itu dalam arena politik negara.-UM.

Juragan Malawati

Ya ke Mat Sabu tidak mahu serang Anwar lagi!

Boleh percaya ke! Ketika Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhempas-pulas menafikan kepimpinan baru parti itu yang digelar kumpulan bukan ulama menyokong Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu yang baru diangkat sebagai Timbalan Presiden pula memberi isyarat berbeza.

Beliau yang sebelum ini dikenali sebagai aktivis lantang dalam parti, secara rasmi mengangkat bendera putih apabila mengumumkan, beliau tidak mahu lagi menyerang ketua pembangkang itu, sebagaimana pernah dilakukan semasa Anwar dalam UMNO.

Mohamad yang dilabelkan sebagai salah seorang kumpulan penyokong Anwar dalam barisan kepimpinan baru Pas berkata, isu beliau menuduh bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai 'Al-Juburi' pada 1990-an, tidak lagi timbul dalam senario sekarang.

"Saya serang Anwar sejak beliau menyertai UMNO pada 1982 hinggalah beliau dipecat daripada UMNO, bila beliau tidak lagi berada dan memegang jawatan dalam parti itu, kenapa pula kita hendak menghentamnya?

"Sesiapa saja di dalam UMNO saya akan serang habis-habisan, macam Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekarang kita tak serang kerana beliau bukan lagi mempunyai kuasa eksekutif," katanya ketika ditemui selepas diumum sebagai Timbalan Presiden baru di Markas Tarbiyah Pas, Taman Melewar, di semalam.

Satu pertanyaan kepada Mohd Sabu...Rahsia Bilik 121, Hotel Perdana jangan lupa ya..!!!

Juragan Malawati..

Rabu, 1 Jun 2011

Dialog YB Zul dengan ustaz ‘Anwarinas’ di sebuah masjid!

YB Datuk Zulkifli Noordin ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kedah. Semua orang mengenali beliau sebagai orang yang sangat setia dengan Anwar Ibrahim @ Pak Sheikh.

YB Zul juga ialah salah seorang ahli pasukan peguam Anwar yang bermati-matian mempertahankan anak guamnya itu daripada tuduhan liwat yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu, semasa zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu.

Dia juga berada di belakang Anwar semasa pilihan raya umum 2008 sehinggalah beliau sendiri memenangi kerusi yang disandangnya sekarang atas tiket PKR.

Pada masa itu, YB Zul turut mempertahankan DAP, yang terkenal dengan sikap cauvinis menebal mereka terhadap Melayu dan Islam. Namun, hari ini beliau telah berubah. Pusing 360 darjah. Keluar dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas. Mengapa beliau bersikap begitu?

Sebenarnya YB Zul tahu ‘luar dalam’ siapa itu Anwar. Gelora hatinya tidak boleh ditahan lagi. YB Zul tidak boleh berkompromi dengan pihak yang sanggup menggadaikan agama dan bangsa demi menyelamatkan tengkoknya sendiri.

Lebih daripada itu, beliau tidak mahu lagi bermuka-muka dengan pihak yang hipokrit – puak Anwarinas Pas mahupun PKR, yang kini bergerak di surau-surau, masjid-masjid membawa mesej “fitnah-fitnah-fitnah” menggunakan hadis dan al-Quran sebagai nas mereka mempertahankan Anwar Ibrahim.

Ikuti dialog YB Zul (yang membahasakan dirinya teman) dengan seorang ustaz ‘Anwarinas’ di sebuah masjid, yang di petik penuh daripada blog beliau: http: //zul4kulim.blogspot.com/

KEBETULAN teman singgah solat di sebuah masjid (nama tidak akan disebut). Selepas solat, kebetulan ada ceramah oleh seorang Ustaz kawan teman yang juga aktivis sebuah parti politik. (juga nama tidak akan disebut). Semasa berceramah, kawan teman ini tidak perasan yang teman ada di situ. Teman pun dok berlonggok dengan para jemaah masjid yang lain, yang ada dalam 30-50 orang, termasuk jemaah wanita.

Ustaz kawan teman ini memulakan ceramah dengan membaca Surah Al-Hujurat ayat 6 dan An-Nur ayat 4. Lalu beliau mengupas tentang isu videoklip dan mendakwa ianya adalah satu fitnah besar menuduh orang berzina (cara dia kupas macam dia yang buat videoklip tu, walaupun sebenarnya dia tengok pun tak lagi). Malah beliau menyebut terus nama manusia yang ditabal bininya sebagai anugerah Tuhan sebagai mangsa fitnah zina, dan mendakwa mereka yang menuduh sebagai layak dihukum qazaf. Malah beliau menambah bahawa beliau hairan mengapa YAB Datuk Seri Najib boleh terlepas daripada tuduhan membunuh Altantuya sebaliknya “insan suci” (ni perkataan Ustaz tu yop) Anwar Ibrahim terus difitnah.

Kemudian Ustaz ni membawa kisah Nabi Yusuf a.s yang turut menjadi mangsa fitnah. Dan cara beliau bawa cerita tu seolah-olah Anwar dan Nabi Yusuf sama taraf yop!!!

Kebetulan ada makan-makan disediakan selepas ceramah, teman ambil kesempatan untuk bertanya beberapa soalan. Teman tidak mahu bertanya secara terbuka selepas ceramah, khuatir nanti akan meletakkan Ustaz kawan teman tu serba salah. Lalu teman pun ambil peluang untuk bertanya sambil makan-makan. Boleh nampak wajah Ustaz kawan teman itu seperti tidak selesa menyedari teman ada di situ. Lalu bermulalah dialog teman dengan Ustaz kawan teman ni:

ZN: Salam Ustaz, ana nak tanya adakah Ustaz sudah menonton sendiri videoklip tersebut sepenuhnya, atau versi yang singkat itu?

Ust: Ana tidak gamak menengok sebab ianya haram! Malah sesiapa yang tengok itu semuanya haram dan melakukan dosa besar!

ZN: Bagaimana Ustaz tahu haram sedangkan Ustaz tengok lagi pun tidak? Baik, ana nak tanya, kalau seorang perompak pecah masuk rumah seseorang, dan setelah merompak, dia merogol pembantu rumah orang tu, kemudian dia lari. Kebetulan rumah tersebut ada video CCTV, adakah haram bagi polis melihat video itu untuk mengecam perompak/perogol tersebut? Adakah haram polis menyebarkan video itu di media cetak, elektronik dan siber untuk mengecam perompak/ perogol itu?

UST: Itu isu lain, itu satu jenayah! Sebenarnya videoklip ke, DNA ke tidak boleh dijadikan bahan bukti di mana-mana Mahkamah Syariah! (kata Ustaz dengan agak meninggi suara) (Nota: teman agak terkejut dengan kenyataan ini kerana jelas memperbodoh dan memperlekeh Islam seolah-olah menolak sains & teknologi sedangkan di zaman kegemilangannya Islam mempelopori sains & teknologi).

ZN: Di mana lainnya Ustaz? Soalnya sekarang ialah ada satu bahan bukti yang boleh mengecam siapa pelakunya, bukan perlakuan itu yang nak didedahkan! Baik, bagaimana pula kalau ada aduan menyatakan suami seseorang itu nusyuz dan mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain. Mereka didapati pergi ke sebuah hotel. Yang ada hanya bukti CCTV yang kebetulan ada di dalam bilik hotel itu. Takkan tidak boleh si isteri guna video CCTV itu untuk membuktikan suaminya curang?

UST: (tak menjawab).

ZN: Isunya sekarang Ustaz, videoklip itu diperlukan pertama untuk mengecam dan membuktikan pelaku dan watak di dalamnya, bukan membuktikan perbuatan di dalamnya. Hanya setelah terbukti siapa pelakunya baru kita pergi ke peringkat selanjutnya iaitu apa yang dibuat oleh para pelaku tersebut. Apakah itu salah dan berdosa?

UST: Tapi video itu adalah rakaman video lucah! Orang sedang buat seks!

ZN: Tadi Ustaz kata tidak tengok lagi, mana Ustaz tahu? Jadi tidakkah penting untuk Ustaz tengok dulu baru buat rumusan? Tidakkah Ustaz tahu tiada siapa yang membuat tuduhan seks atau zina terhadap Anwar Ibrahim. Datuk Eskay, kawan baik Anwar sendiri, hanya menggunakan video itu untuk memberitahu rakyat bahawa kawannya Anwar tidak layak jadi pemimpin, adakah itu salah?

UST: Tetapi video itu mendedahkan ‘aib seseorang, dan mendedahkan ‘aib seseorang itu dilarang dan adalah haram hukumnya dalam Islam (lalu Ustaz membaca sepotong ayat al-Quran).

ZN: Kalau ada seseorang datang meminang anak perempuan Ustaz, dan kebetulan ana tahu akhlak dan karekter peminang tersebut, dan kebetulan ana ada satu videoklip menunjukkan perangai peminang itu, adakah ana berdosa ana memberitahu Ustaz dan menunjukkan video itu sebagai bukti keterangan ana?

UST: Itu soal peminangan, tidak ada kena mengena dengan videoklip seks ini.

ZN: Tapi Anwar Ibrahim mahu “meminang” seluruh rakyat Malaysia, tidakkah seluruh rakyat Malaysia berhak mengetahui akhlak dan karekter sebenar beliau sebab mereka yang akan menentukan sama ada mahu menerima “pinangan” Anwar Ibrahim atau tidak?

UST: Bukan begitu caranya, banyak cara lain yang boleh dibuat!

ZN: Bagaimana cara lain itu Ustaz?

UST: (Tidak menjawab tetapi sebaliknya berkata) Ana rasa elok kita tangguhkan dulu sembang kita kerana para jemaah lain mungkin ada urusan lain.

(Seorang jemaah menjawab, “takpa Ustaz, kami pun nak tau jugak. Kebetulan YB ada sini eloklah Ustaz perjelaskan”).

ZN: Ana nak sentuh isu qazaf yang Ustaz sebut. Bukankah qazaf ini berlaku hanya jika seseorang menuduh tanpa bukti orang lain melakukan zina?

UST: Ya, dan jika penuduh itu gagal membawa empat orang saksi yang cukup syaratnya penuduh itu hendaklah dihukum qazaf dengan 80 sebatan.

ZN: Tetapi di dalam kes videoklip ini, Datuk Eskay atau mana-mana pihak lain tidak pernah membuat tuduhan untuk membuktikan Anwar berzina. Mereka cuma sekadar nak buktikan Anwar tidak layak menjadi seorang pemimpin umat Islam dan negara ini, dan video itu sebagai bukti. Itupun kita perlu tunggu sehingga polis mengesahkan ketulenan videoklip itu dan siapa watak-wataknya? Apakah itu juga termasuk dalam qazaf?

UST: Soalnya bukan menuduh zina, tetapi ianya videoklip menunjukkan perbuatan seks! Itu sudah cukup untuk mewujudkan qazaf! (Nota: padahal Ustaz ni video tu pun tak tengok lagi!)

ZN: Adakah pendirian Ustaz kalau ada wanita mengadu dirogol juga perlu membawa empat orang saksi, kalau tidak dia akan diqazaf?

UST: Sesiapa juga yang menuduh seseorang dengan tuduhan membabitkan seks sama ada zina, rogol, liwat dan lain-lain, hukum Islam memerlukan empat orang saksi. Jika tidak, orang itu hendaklah dikenakan qazaf iaitu disebat!

ZN: (Teman agak terkejut dengan jawapan Ustaz ni) Tidakkah Ustaz rasa dengan cara itu tiada wanita akan berani membuat laporan polis mengadu dirogol! Tidakkah itu akan menggalakkan jenayah rogol, kerana para penjenayah ini akan tahu tiada siapa boleh bawak empat orang saksi. Adakah ini cara sistem keadilan Islam? Ana rasa ini bukan cara yang Islamik?

UST: Islam lebih memelihara kehormatan seseorang, sebab itu Allah mewajibkan empat orang saksi (lalu Ustaz membaca sepotong ayat al-Quran dan satu hadis) (kemudian Ustaz menceritakan mengenai tuduhan seorang wanita Yahudi terhadap anak Saidina ‘Umar).

ZN: Tapi macam mana dengan kehormatan wanita yang telah dirogol itu? Tidakkah Islam sangat menjaga kehormatan dan kemuliaan wanita, serta membela dan mempertahankan mereka? Satu lagi soalan ana nak tanya, Ustaz kata adalah satu fitnah bercakap tanpa bukti. Sekarang secara terbuka Ustaz menuduh Datuk Seri Najib sebagai pembunuh Altantuya. Apa bukti yang Ustaz ada?

UST: (Langsung tidak menjawab sebaliknya terus tutup majlis) Sorilah ana terpaksa pergi dulu kerana ada program lain. Assalammu‘alaikum.

Begitulah secara ringkas dialog di antara teman dengan kawan teman Ustaz lulusan pengajian Islam ini. Tujuan teman bukan untuk mempertikaikan Ustaz kawan teman ni, sebab itu teman tidak sebut nama dan lokasi tempat dialog itu. Malah teman sangat menghormati komitmen dan dedikasi Ustaz ni menyampaikan ceramah siang dan malam. Cuma teman kasihan kepada para jemaah yang kebanyakannya tidak tahu hujung pangkal, datang dengan ikhlas untuk menimba ilmu tetapi menerima sogokan politik murahan yang teman rasa bertopengkan agama dan kitab.

Dan teman kasihan kepada sahabat teman itu, yang mungkin ikhlas orangnya, tetapi dikalkatukan oleh kabus-kabus politik kepartian yang terlalu sempit. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua.-UM.

Juragan Malawati..

Selasa, 31 Mei 2011

Senarai Projek 'Direct Nego' Yang Di Luluskan Oleh MB Khalid!

Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan rasminya selepas mengangkat sumpah menjadi MB, pernah mengatakan segala tender 'secara runding terus' akan di hapuskan bagi mengelakkan dari di monopoli oleh pihak tertentu. MB Khalid berkata beliau mendapati bahawa kira-kira 98% projek sebelum ini diberikan dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu sahaja.

Itu kenyataan Khalid selepas beberapa hari bergelar MB Selangor dan betulkah apa yang beliau cakapkan itu? Ataupun Khalid bercakap macam burung kakak tua yang pandai bercakap, tetapi tidak faham apa yang dicakapkannya!

Ini adalah diantara bukti-bukti yang telah dapat dibongkar dan apa yang kita dapat buat kesimpulan disini adalah kata-kata beliau selama ini hanyalah satu 'lakonan wayang' untuk menunjukan yang mereka ini adalah bersih dan suci dari rasuah. Tetapi sebenarnya hamPAS semata-mata!

Dibawah ini adalah antara senarai syarikat-syarikat yang mendapat projek secara runding terus sebulan selepas Khalid menjadi Menteri Besar, iaitu pada bulan April 2008. Dan menjadi persoalan disini adalah bagaimana pula selepas Khalid memerintah selama lebih 3 tahun ini? Adakah banyak lagi syarikat yang berkepentingan dengan Khalid sudah mendapat projek secara 'direct nego'?



Untuk syarikat-syarikat lain yang juga mendapat 'habuan direct nego'sepanjang tahun 2008, sila klik di sini.

Apa-apa pun sila baca, teliti dan buat penilaian sendiri tentang apa yang telah dilakukan oleh Menteri Besar negeri berkebajikan ini! Wallahuallam.

Sumber data : Blog Darul Ehsan Today dan Kita Gempur

Juragan Malawati..

Ahad, 29 Mei 2011

PAS diancam puak Anwarinas!

Apabila seramai 1,100 perwakilan melangkah ke Kolej Universiti Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini, mereka tidak harus melupakan fakta berikut:

‘‘Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulama yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulama Se-Malaya. Ia kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaysia (PAS) pada 24 November 1951.’’

Catatan sejarah ini tidak boleh dipadamkan oleh mana-mana juga pemimpin atau ahli Pas dalam mereka meneruskan kesinambungan perjuangan kepimpinan terdahulu.

Atas sebab itulah apabila mereka hendak melakukan pemilihan barisan kepimpinan, nawaitu dan tindakan mereka perlu berasaskan kepada kemahuan sendiri serta memastikan PAS tidak dicemari atau dipengaruhi oleh sebarang elemen luar.

Bagaimanapun sekarang ini sudah ada kebimbangan bahawa PAS kini bukanlah PAS dahulu, PAS sekarang dilihat semakin tenggelam dengan perjuangan Islamnya dan paling meresahkan sudah ada percaturan politik pihak luar bagi menentukan barisan kepimpinan parti tersebut.

Apa yang paling ketara berbanding pemilihan-pemilihan parti sebelum ini, suara yang kononnya mahu menjadikan Pas lebih progresif semakin lantang.

Dalam keghairahan itu, kelompok kepimpinan ulama menjadi sasaran untuk dijatuhkan dan ia semakin ‘mengerikan’ apabila percaturan turut melibatkan langkah memperluaskan ‘jajahan pengaruh politik’ pemimpin di luar PAS. Ini jelas apabila wujudnya apa yang dipanggil ‘Anwarinas’ - iaitu satu kumpulan di dalam PAS yang pro kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim.

Kelompok ‘Anwarinas’ ini seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin akan menterjemahkan apa yang telah mereka rancang sejak 2008 pada pemilihan kepimpinan PAS dalam muktamar kali ini bagi menukar saf kepimpinan parti itu yang sekian lama dikuasai oleh para ulama.

Dalam soal ini, kita tidak perlu menyebut siapa yang dimaksudkan oleh Zulkifli tetapi perwakilan dan ahli PAS boleh menilai sendiri senarai calon yang bertanding.

Dengan hati dan fikiran yang tenang mereka boleh mengetahui siapakah kelompok pro Anwar dalam PAS yang kini semakin ghairah untuk merebut jawatan dalam parti itu. Kelompok-kelompok ini jika difikirkan secara tidak langsung sudah banyak membawa keburukan kepada PAS sejak parti tersebut bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Mereka ini tidak lagi mementingkan perjuangan apatah lagi idealisme PAS sebaliknya lebih menitik beratkan bagaimana hendak berkuasa sahaja. Sebab itulah apabila berhadapan dengan isu-isu politik tertentu, pemimpin-pemimpin ini akan dilihat menyebelahi Anwar, PKR dan DAP tanpa mempertimbangkan lebih dahulu kesannya kepada Pas.

Kesudahannya, PAS dilihat hanya menjadi kuda tunggangan kepada kedua-dua parti tersebut dan sekali gus mencemarkan kepimpinan ulama dalam PAS.

Punca

Sikap tidak konsisten PAS adalah berpunca daripada mainan kumpulan pro Anwar di dalam parti itu yang bukannya menyebarkan semangat ukhuwah Islamiah sebaliknya meletakkan keuntungan politik mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah, dalam pemilihan kali ini mereka menyusun strategi dan gerak gempur yang lebih rapi dan tersusun. Mereka mahu memastikan ulama-ulama atau mana-mana pemimpin yang tidak menyebelahi mereka ditamatkan riwayat politiknya dalam pemilihan berkenaan.

Perancangan mereka menjadi lebih mudah apabila ada di kalangan pemimpin utama di dalam PAS yang merestui hasrat mereka untuk merebut jawatan. Walaupun dari segi tindak tanduk dan kata-kata ia tidak mencerminkan sikap sebenar sebagai pemimpin Islam tetapi semua itu sudah tidak lagi menjadi kriteria.

Apa yang lebih penting bagi kelompok ini, dengan kedudukan PAS yang dilihat agak ampuh dalam arena politik negara maka pemilihan kali ini dilihat detik terbaik untuk mereka melaksanakan ‘agenda penjajahan politik’ dengan menjadikan Anwar sebagai idola.

Semua keadaan ini seharusnya menyedarkan perwakilan-perwakilan PAS bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan undi mereka tidak membuka ruang kepada ‘penjajahan politik’ tersebut. Walaupun hanya satu undi, ia bakal menjadi penentu kepada kesinambungan perjuangan PAS selepas ini.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, PAS memerlukan pemimpin yang dapat membantu Presiden dan kepimpinan PAS secara bebas dan bijaksana tanpa perlu mengikut telunjuk proksi atau mana-mana pihak.

‘‘Di sinilah delegasi ke muktamar perlu merenung dan memilih barisan kepimpinan yang dapat mempertahankan PAS sebagai sebuah wacana perjuangan Islam tulen yang tidak gentar mempertahankan prinsip-prinsip Islam dan bukannya menjadi parti submisif dan bersifat apologetik kepada mana-mana pihak yang menentang Islam serta prinsip-prinsipnya,’’ kata beliau.

Justeru perwakilan PAS perlu memastikan pemilihan kali ini sebagai titik tolak untuk menghentikan pengaruh Anwarisme atau kelompok Anwarinas dalam parti itu.

Pemimpin-pemimpin yang dilihat hanya ‘berkulitkan’ PAS tetapi jiwa dan minda ‘dijajah’ dan dikuasai oleh pihak lain perlu ditolak habis-habisan. Mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menyuarakan kebimbangan mengenai pengaruh Anwarinas ini dalam pembahasan termasuklah mendesak PAS supaya lebih tegas menyatakan pendirian berhubung isu melibatkan Anwar. Perwakilan tidak harus membenarkan Anwar terus mengembangkan pengaruhnya dengan memperkudakan pemimpin-pemimpin tertentu dalam parti tersebut.

PAS dilahirkan, dibesarkan dan disanjung kerana pengorbanan golongan ulama yang menempuh pelbagai cabaran bagi memartabatkan parti itu. Oleh itu wajarkah apabila parti tersebut sudah mantap, berkembang dan digeruni maka golongan ulama mahu dicampak begitu sahaja hanya kerana terpengaruh dengan percaturan politik Anwar, PKR dan DAP?

Berkiblat

Perwakilan PAS perlu memahami bahawa jika terdapat kelemahan kepimpinan dalam parti tersebut, merekalah yang berhak memperbetulkannya dan bukannya orang luar.

Tindakan memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat lebih ‘berkiblatkan’ Anwar dan terlalu menyanjungi hubungan dengan PKR dan DAP sehingga mengorbankan prinsip perjuangan parti sendiri hakikatnya hanya membuka ruang kepada berakhir kepimpinan ulama dalam PAS.

Memperkatakan lebih lanjut perkara ini, pemimpin dan ahli PAS yang masih sayangkan parti tersebut perlu menyingkirkan sindrom penafian dengan menganggap kewujudan puak Anwarinas atau kumpulan pro Anwar sebagai mainan media arus perdana.

Mereka perlu mengkaji dan menilai apakah ia hanya satu rekaan atau realiti memandangkan seperti mana didedahkan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd Noor Deris bahawa, ‘‘ombak besar yang dibawa oleh kumpulan yang berkiblatkan Anwar seolah-olah tidak lagi mampu ditampung oleh kumpulan yang setia kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang’.’

‘‘Mereka mungkin lemas di dalam gulungan ombak berkenaan. Jika benar itu berlaku, saya ingin menyarankan kepada pengikut ‘totok’ PAS, bersedialah untuk menjunjung kepimpinan yang berkiblatkan Anwar yang begitu rakus kononnya untuk membawa perubahan di dalam parti dengan pelbagai muslihat dan tipu daya lain,’’ katanya.

Bagi mengelak semua itu berlaku, perwakilan sepatutnya sudah faham dan mengetahui sejak pilihan raya umum lalu siapakah di kalangan pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan oleh Mohd. Noor. Tindak-tanduk kelompok berkenaan begitu ketara sekali apabila berhadapan dengan isu melibatkan Anwar dan lebih menjaga hati pemimpin-pemimpin DAP.

Lebih malang lagi ada antara mereka tidak mencerminkan peribadi sebagai seorang pemimpin yang mewakili sebuah parti Islam apabila kata-kata yang dihamburkan penuh dengan maki hamun dan caci nista.

Malahan ada pula antaranya semata-mata demi kepentingan politik sanggup bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin DAP mengugat kedudukan orang Melayu. Permainan politik kebencian yang dipelopori oleh PKR turut ‘merasuk’ sebahagian daripada mereka sehingga sesiapa sahaja yang cuba berbaik-baik dengan pemimpin-pemimpin UMNO biarpun hanya untuk minum secawan kopi pun akan ditentang habis-habisan.

Apa pun orang luar hanya boleh memberi pandangan dan nasihat terserahlah kepada perwakilan PAS untuk membuat keputusan.

Apa yang pasti jika mereka masih menganggap ancaman Anwarinas hanyalah satu mainan atau ciptaan musuh politik mereka, maka mereka juga perlu bersedia untuk bertanggungjawab menjadi penyumbang kepada kejatuhan kepimpinan ulama dalam PAS.-UM.

Juragan Malawati..

Khamis, 26 Mei 2011

Pertarungan sengit pemilihan Pas!

Sudah sah kini pemilihan Pas minggu depan bakal menyaksikan pertarungan sengit bagi dua jawatan iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Bagi jawatan Timbalan Presiden, ia bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dengan dua pencabarnya iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Ketika ini gerak gempur semakin hebat dijalankan oleh pihak-pihak tertentu dalam Pas bagi memastikan kemenangan Tuan Ibrahim dan sekali gus menyingkirkan Nasharudin yang memegang jawatan itu pada tahun 2005.

Pelbagai hujah dikeluarkan bagi menarik perhatian perwakilan kenapa Tuan Ibrahim perlu dipilih, ia termasuklah atas alasan ulama tersebut adalah wakil dari Pahang - satu lagi negeri yang menjadi sasaran Pas untuk ditawan.

Pada pandangan mereka melalui pemilihan Tuan Ibrahim ia akan memberikan imej yang baik kepada Pas dalam usaha parti itu menarik sokongan di kalangan peneroka Felda di Pahang.

Berikutan semakin banyak pihak yang bercakap mengenai penyertaan Tuan Ibrahim dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden kali ini, Pesuruhjaya Pas Pahang itu sekelip mata dilihat sebagai calon paling popular.

Namun begitu pemerhati politik Pas berpendapat, cabaran daripada Nasharudin tidak boleh dipandang ringan, ia memandangkan sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa beliau mempunyai aura tersendiri bagi mencapai kemenangan.

Nasharudin diangkat sebagai Timbalan Presiden bukanlah melalui cara mudah tetapi terpaksa mengharungi pertarungan setiap kali pemilihan berlangsung. Pada tahun 2005, beliau menewaskan Allahyarham Datuk Hassan Shukri, diikuti pada tahun 2007 mengalahkan Datuk Harun Taib.

Pada 2009, Nasharudin menempuh pertarungan sengit apabila berhadapan dengan dua pemimpin yang dikatakan 'cukup ampuh' dalam Pas iaitu Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa.

Tetapi dalam pertarungan itu, Nasharudin berjaya mempertahankan kedudukannya, namun kumpulan pro Anwar Ibrahim mempertikaikan sokongan yang diterima oleh Nasharudin.

Mereka berhujah kononnya Nasharudin sudah tidak lagi diterima oleh ahli-ahli Pas memandangkan beliau hanya menguasai sekitar 40 peratus undi sahaja berbanding Mohamad Sabu dan Husam yang menguasai 60 peratus undi.

Namun apa yang sebenar tersirat ialah mereka melihat Nasharudin sebagai penghalang kepada agenda politik mereka memandangkan Nasharudin tidak ghairah membuat kenyataan berasaskan pertimbangan politik semata-mata.

''Sikap Nasharudin inilah yang tidak menyenangkan sesetengah pihak dalam Pas terutamanya kumpulan yang begitu 'mengiblatkan' kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta menyanjungi Anwar,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Apatah lagi seperti juga Tuan Ibrahim, Nasharudin dilihat mengambil pendekatan berhemah dalam berpolitik dan mengutamakan perundingan.

''Semua ini tidak disukai oleh kumpulan pro Anwar kerana mereka mahu pemimpin Pas bersikap keras dalam berpolitik terutamanya apabila berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO," kata pemimpin Pas tersebut yang menyokong kumpulan ulama.

Sebab itulah, golongan pro ulama terlalu ghairah ingin melihat Tuan Ibrahim menggantikan Nasharudin tetapi tidak harus mengetepikan satu fakta penting iaitu undi kumpulan pro ulama akan berpecah.

Perkembangan ini sudah tentulah tidak akan menguntungkan kumpulan pro ulama kerana jika mereka tidak berhati-hati maka nasib mereka ibarat 'menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Malahan keghairahan mereka juga boleh membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan pro Anwar menguasai Pas. Kumpulan pro ulama tidak harus 'khayal' dengan dendangan lagu puak pro Anwar bahawa Pas memerlukan pemimpin yang berjiwa pejuang dan keras.

Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, pendekatan berhemah seperti mana diamalkan oleh Nasharudin selama ini perlu terus dijadikan sandaran. Apatah lagi Nasharudin dikatakan memiliki pakej yang lengkap untuk mengambil kepimpinan Pas satu masa nanti.

Oleh itu adakah wajar hanya kerana beliau tidak sebulu dengan kumpulan pro Anwar dalam Pas, beliau perlu disingkirkan? Dalam membuat keputusan, perwakilan juga tidak harus terjebak dengan mainan politik puak pro Anwar yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkukuhkan cengkaman mereka pada pemilihan kali ini.

Seperkara lagi kumpulan pro ulama perlu faham, pengaruh mereka juga semakin terancam bagi posisi Naib Presiden apabila setakat ini hanya dua ulama sahaja yang akan bertanding iaitu Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad dan Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah.

Calon-calon lain mewakili kumpulan profesional dan ada antaranya pro Anwar. Selain Idris dan Mohd. Amar, turut mengesahkan akan bertanding ialah dua penyandang jawatan iaitu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Mereka akan disertai oleh Husam dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin. Persoalannya, siapa yang akan menjadi pilihan perwakilan? Setakat ini Salahudin dilihat berpeluang cerah untuk mengekalkan kedudukannya berikutan corak politik yang diamalkan oleh beliau.

Sikap beliau yang tidak mencipta musuh dalam berpolitik telah memungkinkan Salahudin dilihat tidak mempunyai alasan untuk ditolak. Apa yang menjadi perhatian ialah sejauh manakah Idris dan Mohd. Amar akan mampu menarik perhatian perwakilan untuk mengundi mereka sebagai naib presiden.

Pada tahun 2009, perwakilan membuat keputusan meletakkan seorang ulama dan dua profesional bagi jawatan tersebut. Persoalannya, apakah kali ini trend berkenaan akan kekal atau ketiga-tiga kerusi akan dikuasai oleh golongan profesional.

Apa pun keadaannya, perwakilan mempunyai sekurang-kurangnya seminggu untuk membuat penilaian, dalam tempoh itu mereka perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum mengundi. Penilaian utama yang harus diambil kira ialah sejauh manakah pemimpin yang bakal mereka pilih akan memastikan kedudukan ulama dalam Pas tidak diganggu gugat.

Perwakilan juga perlu mengelak Pas menjadi 'kuda tunggangan' kepada survival politik mana-mana parti mahupun individu termasuklah di kalangan pemimpin Pas sendiri yang berharap pemilihan kali ini sebagai platform untuk menonjol diri demi memperkukuhkan kembali kedudukan di peringkat pusat mahupun negeri.-UM.

Juragan Malawati..

Ahad, 22 Mei 2011

Anwar cuba perangkap PAS?

Anwar ketika di temuramah dengan Yahoo baru-baru ini..!!

11:53 Yahoo! Malaysia Editor: Could Lesbians, Gays, Bi-Sexuals and Transgenders (LGBTs) look forward to a non-discriminatory environment - specific to them and not other minorities - if Pakatan were to take Putrajaya? Would this move be possible with PAS a part of the federal government? (Yahoo! Newsroom (Malaysia)

Thursday May 19, 2011 11:53 Yahoo! Malaysia Editor!

11:55 Anwar Ibrahim: We recognize importance of family and the institution of marriage. But we should not unduly harass or discriminate others. The answer is through education and PAS accept this view.

Adakah PAS menerima apa yang dikatakan oleh Anwar Omega ini?

Dan ini jawapan PAS pada hari ini:

Anwar Ibrahim dilihat cuba memerangkap PAS dalam isu lesbian, gay, biseksual serta kecelaruan gender apabila mendahului kepimpinan parti Islam itu dalam isu tersebut.

Ketua pembangkang itu mendakwa PAS yang selama ini memperjuangkan Islam tidak akan mendiskriminasi golongan songsang itu walaupun jelas gaya hidup sedemikian diharamkan oleh Islam.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan editor Yahoo! Malaysia semasa muncul sebagai panel untuk segmen interaktif Yahoo! Malaysia Question Time menerusi platform Cover It Live, Selasa lalu.

Dalam pada itu, sebuah blog, http://dukeofumno.blogspot.com melaporkan beberapa ulama Pas berang dengan kenyataan Anwar itu kerana budaya songsang tersebut ditegah sama sekali oleh Islam.

Blog itu yang memetik kenyataan sumber PAS memberitahu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat kenyataan tanpa berbincang dengan pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.

"Ini bukan soal diskriminasi. Ini soal arahan Allah dan ajaran Rasulullah. Matlamat tidak menghalalkan cara. Budaya songsang ini terang-terangan salah di sisi Islam," menurut blog itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau ada mendengar mengenai perkara itu melalui rakan-rakannya, tetapi belum meneliti sepenuhnya kenyataan Anwar.

Katanya, beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan selagi tidak mendapat maklumat yang sebenar kerana bimbang ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

"Saya ada dengar tapi belum sempat meneliti kerana sibuk dengan Muktamar PAS. Jadi, saya tidak boleh memberi sebarang komen lagi mengenai perkara ini," katanya.

Juragan Malawati..