UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 16 September 2013

Tiga penjuru tanding Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor?


Pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor sengit apabila tiga calon dijangka bertanding dalam pemilihan parti Oktober ini.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro yang mempertahankan jawatannya dijangka dicabar oleh timbalannya, Datuk Jahaya Ibrahim dan Setiausaha UMNO Bahagian, Ishak Haron.


Amiruddin ketika ditemui hari ini mengesahkan keputusannya untuk mempertahankan jawatan dan menyifatkan sekiranya dua lagi pemimpin UMNO bahagian itu mencabar beliau, perkara itu adalah satu amalan biasa selaras dengan prinsip demokrasi dan keterbukaan yang diamalkan oleh parti.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor amat mengharapkan mereka yang bertanding dalam pemilihan bahagian parti di seluruh negeri mengutamakan agenda memperkukuhkan parti dan bukannya semata-mata kerana kepentingan peribadi.


‘‘Dalam pilihan raya umum lalu, UMNO Kuala Selangor dilihat antara bahagian yang cemerlang apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati daripada pembangkang selain mempertahankan DUN Jeram.

‘‘Bagi saya kejayaan ini adalah berkat usaha, kerja keras dan perpaduan seluruh jentera dan kepimpinan UMNO Bahagian," katanya di sini.

Juragan Malawati..

Kerajaan terus laksana PPPM walaupun Dong Zong bantah – Idris Jusoh?


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan dilaksanakan walaupun mendapat tentangan berterusan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang turut merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata pihaknya tidak boleh berdolak-dalik berhubung pelaksanaan pelan itu memandangkan ia telah diperincikan dari segala aspek serta menerima pandangan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

“Jika kita tarik balik sana-sini ia (PPPM) tidak akan berjaya. Kerajaan akan terus laksanakan program ini yang dilancarkan pada 6 Sept lepas oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada media selepas menyertai dialog mengenai topik ‘PPPM-Satu Perspektif’ di sini hari ini.

Idris mengulas tindakan Dong Zong yang dikatakan merancang mengadakan bantahan melalui perhimpunan secara aman selain mengambil tindakan undang-undang terhadap kementerian sekiranya pelaksanaan pelan dilihat menjejaskan kedudukan bahasa Cina dalam pendidikan negara.


Mengenai tindakan persekutuan itu yang masih membantah PPPM walaupun telah diberi penjelasan terperinci berhubung pelaksanaannya, menteri itu berkata kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua pihak dan apa yang penting ialah melaksanakan program yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Kita laksanakan apa yang terbaik selaras dengan falsafah pendidikan negara. Bukan semua orang setuju…kalau ada sesetengah orang cakap sistem pendidikan kita tidak berapa baik dan dia nak hantar anak belajar di luar negara, kita tidak menghalang mereka untuk berbuat demikian.

“Tetapi untuk negara kita, kerajaan akan pastikan kita memberi yang terbaik dan termampu,” jelas Idris.

Terdahulu, ketika sesi dialog, Idris berkata PPPM yang merangkumi tempoh 2013 sehingga 2025 mempunyai matlamat utama untuk meletakkan sistem pendidikan negara pada kedudukan satu pertiga terbaik di dunia.

“Melalui PPPM ini, kerajaan juga ingin memastikan sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama pelajar tanpa mengetepikan sekolah vernakular,” katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai sistem pendidikan yang berubah setiap kali kepimpinan kementerian bertukar, Idris menarik perhatian bahawa kerajaan menetapkan pelaksanaan PPPM untuk tempoh 2013-2025, justeru kebimbangan seperti itu tidak perlu timbul.

Mengenai kebimbangan beban kerja guru bertambah dengan pelaksanaan PPPM, Idris berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk perbincangan ke arah mencari jalan penyelesaian terbaik. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Rabu, 11 September 2013

Simposium ‘Mendepani Agenda Asing, Melayu dalam Krisis Kepimpinan”?


Serangan demi serangan dilakukan secara licik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam bentuk seruan mahupun slogan sehingga mencabar institusi diraja, kedudukan agama Islam termasuk hak keistimewaan orang Melayu.

Ditambah lagi dengan ancaman krisis pegangan akidah oleh fahaman yang berlawanan dengan Islam seperti Syiah dan Kristianisasi.

Sehubungan itu, Ikatan Muslimin Malaysia dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan satu Simposium yang akan membincangkan dan membongkar agenda asing dalam usaha menghapuskan identiti dan bangsa Melayu serta krisis kepimpinan di kalangan bangsa Melayu.

Simposium yang bertemakan ‘Mendepani Agenda Asing, Melayu dalam Krisis Kepimpinan” ini akan diadakan di Dewan Sri Siantan, Putrajaya pada 28 September 2013 bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Antara tokoh yang akan hadir untuk sesi dialog simposium ini ialah Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Mufti Sabah, S.S. Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Bin Haji Jaafar, Penegerusi Yayasan Nasar, Ustaz Hj Nasharuddin Mat Isa, Penulis Dan Pengkaji Sejarah Persatuan Arkeologi Malaysia, Puan Zaharah Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar.

Selain itu ialah Ketua Unit Kajian Syiah ISMA, Ustaz Mohamad Ismail, Pengerusi Biro Pembangunan Dan Kepimpinan ISMA, Ustaz Mohamad Hazizi Bin Ab Rahman dan Ustaz Shaharuzzaman Bistamam.

Tajuk yang menjadi perhatian ialah Konspirasi Penghapusan Bangsa Melayu: Fokus Agenda Nam Tien, Agenda Perluasan Pengaruh Syiah: Ancaman Kepada Malaysia, Ancaman Globalisasi Ekonomi : Fokus AFTA & TPPA, Peng’Amerika’an Ke atas Dunia Islam, Gerakan Mengkristiankan Malaysia: Satu Usaha Terancang dan Krisis Kepimpinan Melayu: Nasib Melayu Di tangan Siapa?

Untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran, boleh hubungi Cik Anis Sakinah di talian 019- 6025272 atau 03-89265954. Semua media dijemput hadir membuat liputan. Layari laman web http://ancamanterhadapislam.com/

Anda yang berminat perlu mengisi borang pendaftaran online seperti di pautan berikut: http://forms.aweber.com/form/64/1887771664.htm

Juragan Malawati..


Ahad, 8 September 2013

Pemuda PAS Rompin Hantar Surat Aduan Tentang Khalid Samad?


Meskipun Khalid Samad cuba mengalih isu dengan menuduh krisis dalaman Pas berpunca daripada propaganda UMNO yang bekerjasama dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali bersama saki baki pengaruhnya, namun perkembangan terkini di peringkat akar umbi parti itu menunjukkan hasil sebaliknya.

Khalid, YDP Pas Shah Alam dan Timbalan Pesuruhajaya Pas Selangor membuat tuduhan itu ketika menulis artikel di laman peribadinya, www.khalidsamad.com bertajuk "Bahagian ketiga : Perncangan Golongan Yang Ingin ' Menyelamatkan PAS dan Presiden' (Kononnya)."

Terbaru. blog pro Pakatan, Pahangdaily Online  (PDO) melaporkan Dewan Pemuda Pas Kawasan Rompin telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung parti, Dato’ Mustafa Ali mengadu Khalid telah mempersendakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam aduannya Dewan Pemuda Pas Rompin menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan Khalid yang dikatakan sering kali membuat teguran secara terbuka terhadap Hj. Hadi.

“Antaranya, menyalahkan Presiden Pas itu yang didakwa mencetuskan polemik ulama’ vs profesional dalam Pas dengan melontarkan idea kerajaan perpaduan selepas pilihanraya umum lalu,”lapornya.

Kenyataan-kenyataan Khalid yang didakwa mempersendakan Presiden Pas itu telah dibuat ketika slot soal jawab “Wacana Kemenangan Yang Tertangguh” di Melaka pada 6 Julai 2013 dan tulisan di laman peribadi www.khalidsamad.com, tarikh 19 Jun 2013 yang bertajuk “Budaya Serangan Peribadi”.

“Pada perenggan ke-7 (tulisan Khalid itu) jelas menyindir Presiden Pas dengan kenyataan “Pencalonan di KD (Kota Damansara) pun tidak mengikut prosedur, terus pintas memanfaatkan kabel”, kabel yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Tuan Guru Hj.Hadi Awang sendiri kerana watikah ditandatangani oleh beliau,” lapornya.

Surat aduan yang ditandatangani oleh Nazri Ahmad, Ketua Pemuda PAS Rompin itu meminta agar Jawatankuasa Tatatertib Pas Pusat mengambil tindakan terhadap Khalid yang tergamak merendahkan imej Presiden Pas secara terbuka.

“Malah, mereka juga kecewa dengan tulisan Khalid yang bertajuk “PAS Bersikap Terbuka, Terima Teguran AMK”, yang secara terang-terangan menyokong Ketua AMK yang menyindir Presiden Pas dalam kongres mereka,”lapornya lagi.

Selain itu blog PDO turut melaporkan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu, Abu Bakar Abdul Rahman  turut menghantar surat kepada Pas Pusat membuat aduan supaya diambil tindakan tatatertib ahli Pas yang sealiran dengan Khalid iaitu Abdullah Karim.


Abdullah Karim dituduh cuba memperlekehkan Majlis Syura Ulama Pas dan Presiden Pas berhubung dengan isu DUN Kota Damansara.

“Laporan dibuat hasil keputusan mesyuarat Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu, yang diadakan pada 20 Ogos 2013 yang lalu.

“Beliau juga meminta Jawatankuasa Tatatertib PAS agar mengadakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya agar gejala seperti itu tidak berulang lagi pada masa akan datang serta menjadi ikhtibar kepada semua ahli dan juga pimpinan PAS,”lapornya. -AIDCnews

Juragan Malawati..


Khamis, 5 September 2013

Noh Omar umum lepas jawatan parti?


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti itu Oktober depan.

Noh yang juga ahli Parlimen Tanjong Karang turut mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno di negeri ini.

Perkara itu katanya dilakukan demi kelangsungan BN di Selangor serta ingin memberi laluan kepada "orang baru".

"PRU akan datang kalau keputusan kita hanya menang 12 atau kurang daripada PRU ini atau makin teruk saya akan lepaskan jawatan ini.

"Saya berjanji kepada semua," katanya dihadapan 1, 500 wakil wanita Umno setiap negeri, di Hotel De Palma, Shah Alam.

Juragan Malawati..

Selasa, 3 September 2013

Rakyat Selangor belum 'merdeka' masalah air, rumah?


Merdeka! Merdeka! Merdeka... Laungan keramat bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj penuh bermakna. Selepas 56 tahun laungan tersebut semakin sayu didengari terutamanya di sebuah negeri yang menjadi negeri termaju di negara ini.

Selangor yang suatu waktu dahulu merupakan negeri yang menjadi lambang kejayaan Barisan Nasional (BN) kini ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) lalu rakyat memberi peluang kali kedua untuk PR membuktikan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berbakti kepada rakyat negeri tersebut.

Masalah air di Selangor yang dijangka semakin buruk tahun hadapan telah jelas bunga-bunganya setelah berlaku pencemaran sumber air di hulu sungai di Rawang, hingga kawasan takungan air di Kuala Selangor terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan. Rungutan rakyat Selangor di pagi merdeka mengalahkan laungan merdeka tetapi ditukar liriknya menjadi... Air! Air! Air.

Begitulah fenomena yang akan berlaku selagi Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) tidak mendapat Arahan Pembangunan (Development Order). Sekurang-kurangnya jika air di Kuala Selangor tidak ada mungkin air di loji takungan baru dapat menampung segala kekurangan air akibat insiden luar jangka tersebut. Begitu juga sebaliknya jika kawasan lain tidak ada air.



Selain masalah air yang mencengkam emosi rakyat Selangor masalah perumahan turut menjajah kehidupan seharian rakyat negeri termaju ini. Namun setakat semalam, rakyat Selangor yang masih mahu dijanjikan dengan mimpi-mimpi indah pihak pembangkang majoritinya masih tidak mempunyai rumah sendiri walau sekangkang kera. Janji kerajaan negeri mahu membina rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Selangor yang berpendapatan rendah dan sederhana ibarat menjala ikan di Gurun Sahara. Masih belum dapat dilihat papan tanda cadangan projek rumah mampu milik yang sesungguhnya mampu dimiliki di mana sahaja di muka bumi Selangor ini.

Sepatutnya selepas 56 tahun merdeka, masalah rumah yang melambung tinggi mampu diatasi kerajaan negeri yang menguar-uarkan mempunyai wang hasil negeri yang berkoyan-koyan. Rakyat Selangor sepatutnya tidak melepaskan peluang keemasan memiliki rumah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam Teras Ke Empat Aku Janji Barisan Nasional (BN) Selangor yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam manifesto PRU-13.

Apa erti merdeka bagi rakyat Selangor sekiranya rakyatnya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana masih menjadi penyewa tegar. Bayangkan rumah berjumlah 25,000 unit untuk rakyat termiskin dan projek mesra rakyat ditolak oleh rakyat Selangor semasa PRU-13 yang masih menaruh harapan kepada pihak lain untuk menjadi 'penyelamat' mereka dari terus menyewa rumah dengan kadar RM500 hingga RM600 sebulan.


Apa yang menyedihkan tiada lagi suara yang mendesak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk mewujudkan perumahan mampu milik dan kos rendah. Apa yang merimaskan , pihak kerajaan PKR Selangor bukan sahaja tidak membina rumah kos rendah seperti didesak pihak NGO (yang kini sudah KO), malahan anak syarikat kerajaan negeri lebih menumpukan projek komersial dan mewah yang menyebabkan bantahan rakyat negeri ini lima tahun kebelakangan ini.

Apa yang lebih menonjol anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sanggup membuat projek komersial untuk pelabur asing hingga perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat negeri Selangor tidak lagi dibuat. Projek Datum Jelatek yang dibantah besar-besaran oleh pihak NGO tetap diteruskan seolah-olah bantahan yang dibuat ibarat membujur lalu melintang patah di pihak kerajaan negeri.

Lima tahun lagi, sekiranya masalah air dan perumahan terus membelenggu di Selangor sudah pasti rakyat akan sedar bahawa minda mereka sedang dijajah oleh momokan media pembangkang di dunia maya bahawa kerajaan BN tidak berjasa kepada mereka selama ini.


Penjajahan minda tersebut adalah dalam bentuk menjanjikan masalah akan selesai dengan memberi peluang kepada mereka untuk terus menjadi kerajaan, namun dalam masa sama menuding jari kepada kerajaan BN negeri terdahulu dan kerajaan Pusat sebagai kambing hitam jika masalah perumahan mahupun masalah air masih tidak selesai.

Namun apa gunanya pada masa rakyat tersedar dari lena bahana termakan janji PR, segalanya sudah terlambat.

Masalah air akan menyebabkan kegiatan ekonomi merudum dan sudah pasti kegiatan ekonomi akan bercambah di negeri lain akibat pelabur asing membawa modal ke negeri yang mempunyai bekalan air yang mencukupi.

Lagi lima tahun juga harga rumah dan kos membuat rumah sudah pasti melambung tinggi dan rakyat akan terus bukan sahaja menjadi penyewa tegar malahan terpaksa duduk jauh hingga ke pinggir desa (itupun jika kawasan tersebut masih tidak terjangkit projek pembangunan).


Justeru, adakah ini suasana pagi merdeka yang sekalian rakyat Selangor mahukan? Kerajaan pakatan perlu menyelesaikan masalah air dan rumah. Adakah tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi dan tidak pula memiliki sebuah rumah sendiri dan masih merempat di bumi sendiri dianggap merdeka oleh rakyat Selangor?

Kerajaan Pusat sedar masalah air dan rumah penting untuk diselesaikan namun majoriti rakyat Selangor masih membiarkan 'penjajahan' minda menguasai diri. Namun masih belum terlambat menuntut hak air yang lebih baik, bukan setakat air percuma tetapi air perlulah ada, kalau ada biarlah rasa air bukan rasa diesel.

Begitu juga rumah, takkan rakyat hendak menyewa sehingga mati atau paling teruk mengembalikan setinggan bandar. Rumah! Rumah! Rumah! Air! Air ! Air…...

Juragan Malawati..

Isnin, 2 September 2013

Krisis air Selangor: Derita penghuni pangsapuri berterusan?


"Pakcik tak larat nak mengangkat tong berisi air ini berseorangan naik ke rumah. Pakcik harap gangguan bekalan air ini pulih dengan segera supaya aktiviti harian kami berjalan seperti biasa."

Begitulah keluhan Ramli Talib, 59, yang terpaksa mengangkut air yang dibekalkan menggunakan lori tangki ke rumahnya di tingkat empat.

Dia yang ditemui Utusan Malaysia berkata, dia terpaksa melakukan kerja berat itu kerana anak-anaknya keluar bekerja.

"Pada musim Aidilfitri ini, sudah empat kali kami mengalami gangguan bekalan air. Rumah pakcik di tingkat empat, jika lif rosak, terpaksa kami mengangkat tong air dengan menaiki tangga. Tujuh buah tong yang pakcik bawa ini hanya mampu bertahan sekejap sahaja," katanya.

Kepayahan yang dialami oleh pakcik Ramli turut ditanggung penduduk lain di Pangsapuri Mesra Ria di Taman Pandan Mesra, Ampang, dekat sini sejak Jumaat lalu.

Penduduk memberitahu gangguan bekalan air di perumahan itu mula terputus pada pukul 8 malam semalam.

Tinjauan di pangsapuri itu mendapati, walaupun hujan, penduduk beratur panjang untuk mendapatkan air yang dihantar ke situ oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dengan menggunakan lori tangki.

Bagaimanapun, beberapa penghuni pangsapuri 16 tingkat itu apabila ditanya mengakui tidak mengetahui punca sebenar masalah gangguan bekalan air yang berlaku kali ini.

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra di Ampang, Selangor beratur untuk mengambil air dari lori tangki Syabas akibat masalah ketiadaan air semalam.

Ruslimah Karso, 50, berkata, pangsapuri itu kerap kali berlakunya gangguan bekalan air.

"Di sini bekalan air sekejap ada, sekejap tiada sehingga menimbulkan keraguan di kalangan kami. Saya sendiri tidak tahu punca masalahnya," jelasnya.

Semalam, Syabas memberi jaminan pemulihan bekalan air secara berperingkat bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas akan mencapai ke tahap 80 peratus dalam tempoh tiga hari lagi sementara pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Gangguan bekalan air kali ini berlaku setelah empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Pemandu van, N. Raja, 32, yang tinggal di tingkat lima bersama-sama sembilan orang ahli keluarganya berkata, rutin harian keluarganya terganggu teruk akibat ketiadaan air.

"Saya memiliki keluarga besar jadi susah untuk kami menjalankan rutin harian seperti memasak, mencuci pinggan, mandi dan sebagainya. Seingat saya tahun ini, sebanyak dua kali tiada bekalan air," katanya.

Juruteknik, Mohd. Hafiz Taib, 35, yang mempunyai dua orang anak yang berusia tujuh dan 14 tahun pula membeli air dari sebuah mesin yang terletak di pangsapuri tersebut untuk kegunaan seharian.

"Isteri saya terpaksa mandi di tempat kerja. Kalau nak makan, kami pergi sahaja ke kedai-kedai makan berhampiran. Sehubungan itu, kami berharap masalah ini secepat mungkin," ujarnya.

Juragan Malawati..