UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 9 Disember 2012

Janji Sultan Sharafuddin.



Wawancara dengan Sultan Selangor, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH sempena keputeraan baginda yang ke-67 kali ini agak berbeza. Wawancara diadakan di Istana Bukit Kayangan, tidak seperti biasanya di Istana Mestika.

Lebih istimewa kerana buku coffee table terbaharu baginda bertajuk A Fulfilment telah siap. Buku ini khusus menceritakan tentang Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah, Klang

Sultan Selangor sendiri terlibat secara terperinci pembinaan Masjid Istana Diraja, daripada reka bentuk sehingga hiasan dalaman. Dengan penuh minat dan mendalam baginda menceritakan setiap sisi terutama falsafah pembinaan masjid ini.

Macam lampu ini (chandelier) harganya dekat AS$300,000 (RM900,000) di Dubai. Saya ambil gambar minta orang Kuala Selangor buat dan harganya jauh lebih murah. Orang Melayu memang boleh buat jika diberi tunjuk ajar," titah baginda dalam wawancara eksklusif itu.

Dalam wawancara lebih dua jam itu, Sultan Selangor menyentuh banyak perkara daripada pengalaman mengembara, minat baginda terhadap sejarah, kedudukan orang Melayu, Islam dan pembangunan negeri serta tidak ketinggalan tentang tohmahan yang baginda terima kebelakangan ini.

Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan terutama ketika di saat-saat mencabar," titah baginda yang bertegas tidak akan menyerah kalah dan akan terus menyatakan pandangan.

Baginda mengakui peranan sebagai Sultan semakin mencabar berikutan terlalu banyak politiking dan masyarakat yang mudah dibuai sentimen. Antara puncanya, titah baginda kerana "kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan."

HARI KEPUTERAAN DAN HOBI

Menjelang hari keputeraan Tuanku, apakah perasaan Tuanku sebagai pemerintah negeri Selangor dan sebagai Ketua Agama Islam. Apakah Tuanku mahu terus aktif bekerja atau ada perancangan lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya merasa gembira kerana rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum hidup aman dan damai dan dapat menjalani aktiviti-aktiviti masing-masing dengan tidak ada apa sekatan begitu juga saya bersyukur negeri Selangor ini tidak dilanda malapetaka yang teruk dan menyusahkan rakyat jelata dan sebagai Ketua Agama Islam saya bersyukur kerana rakyat yang berbilang bangsa dapat beribadat mengikut agama masing-masing dengan tidak ada sekatan.

Saya akan teruskan kerja kerana saya gemar bekerja dan tidak merungut tentang kerja walaupun terdapat banyak cabaran. Kalau tidak kerja saya akan sakit. Saya suka minda yang aktif, dan tidak suka duduk rehat tanpa melakukan kerja. Saya akan terus bekerja selagi termampu tetapi apabila sakit dan terpaksa pakai kerusi roda, mungkin sudah sampai masa saya berehat. Selagi boleh berjalan, kesihatan masih baik, saya akan teruskan bekerja.

Mungkinkah Tuanku tidak lagi aktif dalam aktiviti lasak?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, sudah kurang. Saya sudah berusia 67 tahun dan berfikir perlu mengurangkan aktiviti lasak kerana keadaan kesihatan tidak membenarkan saya melakukannya. Tetapi saya masih mempunyai keinginan untuk melawat ke satu tempat yang belum pernah saya lawati iaitu Amerika Latin. Oleh kerana saya tidak boleh tinggalkan negeri terlalu lama maka susah sikit mahu menjelajah ke sana. Bukanlah tujuan berkunjung untuk menikmati kemewahan negeri itu sebaliknya saya mahu pergi lebih lama supaya dapat memahami keadaan negara itu, budaya serta sejarahnya. Namun kerana saya tidak boleh tinggalkan negeri terlalu lama selain daripada usia yang meningkat, maka agak sukar untuk melakukan lawatan ini. Insya-Allah mungkin dalam tahun depan saya akan cuba.

Masa saya menjelajah dunia menggunakan kapal layar dahulu hanya memasuki Panama sahaja. Saya teringin melihat negara Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Argentina, Chile, Colombia dan Equador. Kalau boleh saya hendak pergi melalui jalan darat dan tidak suka pergi sekejap-sekejap. Kalau saya hendak pergi ke sesebuah negara sekurang-kurangnya akan menetap dalam 10 hari untuk memahami kedudukan, sejarah serta masyarakat di negara tersebut. Itu adalah cara saya melihat atau merantau ke sesebuah negara.

Bagaimanakah dan mengapa jiwa mengembara muncul dalam diri Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya membaca banyak buku terutama tentang eksplorasi dan mendapati kalau banyak melihat negeri orang lain kita akan dapat memahami, mempelajari dan mendapat banyak idea. Itu adalah perkara yang saya lakukan, seperti tahun ini bila mengembara ke Eropah, saya mendapat khidmat pakar sejarah sebagai jurupandu.

Tahun ini saya pergi Berlin dan St. Petersberg serta duduk selama 10 hari. Saya telah diberikan pengetahuan tentang sejarah di negeri yang saya lawati itu. Saya dengan kawan baik saya telah melawat muzium, melihat kehidupan orang di sana.

Apakah yang Tuanku pelajari daripada melawat tempat sejarah seperti itu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Di tempat yang saya lawati, saya mendapat banyak idea. Saya seorang yang sangat menggemari sejarah kerana ia memberi tauladan yang mana buruk dan yang mana baik, selain menyedarkan diri kita. Kalau kita buta sejarah, itu yang banyak menimbulkan masalah sekarang. Ramai orang sekarang yang terlalu mengikut emosi kerana tidak faham sejarah. Saya lihat orang Malaysia ramai yang tidak begitu mendalami sejarah. Kalau tidak mempunyai pengetahuan sejarah yang mendalam, akan mengakibatkan kita tidak patriotik. Itu sebabnya terdapat pihak yang mahu menukar bendera negara Malaysia kerana tidak faham sejarah.Bagi saya sejarah adalah penting.

Saya pergi ke Indonesia dan apabila menaiki teksi (dalam lawatan tidak rasmi), pemandunya tahu dan bangga tentang sejarah negara itu. Mereka bercerita dengan bersemangat. Kalau kita naik teksi di Malaysia kebanyakan pemandu tidak tahu sejarah. Cuba tanya berapa tingkat KLCC, berapa harga pembinaan KLCC, mereka tidak tahu. Orang Indonesia berbangga walaupun hanya seorang pemandu teksi, malahan cerita mereka lebih mendalam serta begitu patriotik.

Tuanku naik teksi ketika di Indonesia?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, saya naik teksi bukan dahulu sahaja, malah sehingga sekarang pun. Mereka tidak tahu siapa saya, mereka ingat saya orang Indonesia ke, Hong Kong ke, Cina ke. Sebahagian pemandu teksi di Malaysia, kebanyakannya tidak tahu sejarah. Bila ditanya bila Bangunan Sultan Abdul Samad siap dibina, pada tahun berapa, mereka tidak tahu. Itu adalah sesuatu yang menyedihkan kerana tidak tahu sejarah.

Adakah Tuanku merakam catatan ketika mengembara ke luar negara dalam buku dan sebagainya?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya rakam banyak pengalaman saya semasa pengembaraan dalam diari, dan saya akan menerbitkan buku daripada catatan saya tersebut. Tahun ini, saya menerbitkan buku tentang masjid yang dibina untuk kerabat. Masjid yang saya bina ini mengambil contoh daripada pengalaman. Setiap kali mengembara saya banyak melihat kawasan dan masjid yang indah. Oleh itu, saya bina masjid dalam kawasan istana untuk kerabat, untuk bersatu padu selain saling tegur menegur antara satu sama lain. Segala urusan boleh dilakukan di masjid ini daripada sambutan perayaan, hinggalah urusan kematian.

Bukan semua kerabat saya kaya, kalau mereka meninggal dunia dan tempat mereka tidak sempurna bawalah ke masjid ini untuk diuruskan, seperti memandikan jenazah, sembahyang jenazah serta urusan pengebumian. Cuma satu yang tidak dibenarkan iaitu sembahyang Jumaat sebab sudah terdapat masjid yang lebih tua yang terletak berdekatan. Selain daripada itu boleh digunakan untuk sembahyang waktu. Ketika saya belajar di luar negara, istana mereka terdapat ruang untuk bersembahyang jadi itu yang saya lakukan. Ini adalah antara idea yang dipelajari apabila berada di luar negara. Yang elok kita bawa balik, apa yang tidak elok usahlah bawa balik.

Mungkin terdapat negara yang dilawati meninggalkan kesan kepada Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Susah nak jawab, kerana saya suka semua tempat yang dilawati. Kalau pergi ke tempat yang tidak berapa elok sekali pun saya suka, kerana belajar banyak perkara baru. Saya suka dengan pengalaman dan perkara baru yang ditemui dan agak sukar untuk memilih negara mana yang bagus atau tidak.

CABARAN SEBAGAI SULTAN

Sebagai ketua agama negeri apa masalah dan cabaran yang dilalui kebelakangan ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Sejak kebelakangan ini saya dapati banyak aduan daripada orang Islam, yang mana masih banyak berlaku politiking di dalam masjid. Kalau saya tegur, mereka akan menuduh saya menyebelahi kepada sesuatu parti. Saya bertitah senang sahaja, jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah. Itu saja yang saya cakap.

Tetapi malangnya, terdapat pihak yang masih lagi mengikut emosi dan tidak berfikir panjang. Saya cuma cakap jangan buat lagi, kerana ia tidak elok. Saya tidak suka buang pegawai masjid jika buat kesalahan, kerana ia bukan cara saya menyelesaikan masalah. Saya tidak mahu rosakkan periuk nasi orang, tapi mesti dengarlah cakap. Saya bukan tidak suka orang cakap politik atau tidak suka orang politik, malah sebenarnya kuasa saya mengatasi politik. Saya lebih bimbangkan perpecahan orang Melayu.

Jika terdapat waktu paling sukar dan mencabar dalam hidup Tuanku, bilakah masanya?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya suka kepada cabaran. Saya tidak rasa tertekan. Apa saja cabaran dan masalah saya suka selesaikannya. Saya tidak akan merungut jika ada masalah dalam pentadbiran atau urusan negeri. Saya akan mengatasi masalah itu. Sebab itu saya jarang ada waktu rehat dan apabila perlu ke kawasan yang bermasalah, saya tetap akan pergi, kerana itu adalah sebahagian daripada tugas saya. Ini kerana dalam hidup kita, ada waktu senang, ada susah. Kalau masalah itu sukar, ia satu cabaran pada saya untuk menyelesaikannya. Saya tidak boleh menjawab bila waktu sukar dan sebagainya.

Apakah Tuanku merasakan cabaran kini semakin hebat, dan mengapa begitu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang semakin hebat cabaran, terutama sebagai Sultan Selangor. Saya fikir kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan. Malah saya lihat, ada di antara mereka yang mempunyai ijazah dan berpelajaran tinggi, namun masih terikut-ikut dengan emosi dan tidak menggunakan kewarasan fikiran.

Dalam Tuanku menghadapi cabaran dan dugaan besar, apakah atau siapakah yang menjadi rujukan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Setiap kali ada masalah, saya akan rujuk kepada Majlis Dewan Diraja atau kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kalau dalam soal perundangan, saya akan rujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Saya juga akan merujuk rakan-rakan rapat untuk mendapat nasihat dan idea. Sebagai contoh, seperti pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, saya akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang dan Ahli Dewan Diraja, yang kebanyakannya bekas pegawai kerajaan.

Ahli Dewan Diraja tidak ada ahli politik kecuali Menteri Besar sebagai Ex-Officio kerana saya mahu kekalkan majlis tersebut berkecuali. Kalau ada masalah dalam soal pelantikan, saya mempunyai ramai orang sebagai penasihat. Kalau berkaitan agama saya minta nasihat MAIS dan kalau hendak lebih terperinci, saya minta nasihat daripada Mufti. Contohnya dalam isu pluralisme dan liberalisme agama, MAIS, JAIS dan Mufti adalah penasihat saya. Draf teks ucapan, saya minta disiapkan seminggu lebih awal. Terdapat beberapa peringkat untuk pemantauan sehinggalah ucapan itu sempurna. Saya tidak melakukannya secara mudah, dan ia perlu dilakukan dengan teliti serta mendapat pandangan pelbagai pihak.

Bagaimana rujukan daripada kerajaan negeri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ucapan saya bukan disediakan oleh kerajaan negeri. Mereka hanya dirujuk untuk dapatkan fakta sahaja seperti berapa jumlah masjid dan surau serta lain-lain perkara.

Kenapakah Tuanku menyediakan semua sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak ada pasukan penyelidik. Kakitangan Pejabat Sultan Selangor akan mengumpulkan maklumat. Saya membuat ucapan sendiri kerana kalau orang lain buat, takut ada udang sebalik batu. Saya tidak ada agenda tersembunyi, ucapan saya untuk menasihati rakyat. Sebab itu kadang-kadang saya berasa sedih dan benci kalau ada orang kata saya menyebelahi mana-mana parti. Apa ni! Saya tidak ada kena mengena dengan perkara itu. Saya cakap apa yang penting untuk Islam dan bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum. Saya cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor.

Tuanku kelihatan selalu ditohmah dalam segenap aspek tetapi Tuanku masih terus berani melahirkan pandangan.

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan atau menyerah kalah, terutama ketika di saat-saat mencabar. Saya telah memikirkan perkara ini, serta menanam keazaman pada saat mengangkat sumpah sebagai sultan. Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik.

PERPADUAN MELAYU

Dalam soal perpecahan Melayu yang seperti sudah terlalu teruk dan tidak ada perubahan, apakah nasihat Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin orang Melayu sangat mudah dipengaruhi, mungkin akibat daripada kempen politik yang sentiasa berjalan hampir setiap hari. Kenapa orang dahulu berfikiran tajam seperti menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan dan sebagainya. Ini menunjukkan kebijaksanaan datuk nenek kita dalam mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu. Mungkin mereka lihat orang Melayu senang dihasut pemikiran dan mudah dipengaruhi. Oleh itu saya harap pemimpin-pemimpin sekarang mesti sedar dan kekal memainkan peranan mereka dalam menyatukan orang Melayu. Tidak mengapa jika kita mempunyai fikiran yang berbeza, tetapi apabila melibatkan Islam dan Melayu mereka perlu bersatu.

Adakah Tuanku melihat perkara melaga-lagakan orang Melayu ini sudah sampai ke tahap melampau sehingga ada yang mendoakan kehancuran orang Melayu lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin ia sudah ke tahap melampau dan masih belum ada persefahaman bahawa sudah sampai masa untuk orang Melayu berbaik-baik. Saya masih belum melihat sesiapa pun bersungguh-sungguh mengajak orang Melayu berbaik-baik. Orang Melayu sudah berpuak-puak tetapi saya mahu melihat semua orang Melayu bangkit dan berbaik-baik sesama mereka. Kini orang Melayu terlalu mengejar kedudukan dan kebendaan. Saya melihat apabila orang Melayu terperangkap dalam sesuatu isu, mereka perlu bersatu sesama sendiri, insya-Allah mereka akan lebih selamat. Kalau berterusan bergaduh sebegini, habislah orang Melayu. Sekurang-kurangnya saya melihat kita orang Melayu perlu bersatu sebagai umat Islam.

Pada pandangan Tuanku apakah masalah ini boleh diselesaikan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya bahawa setiap masalah ada penyelesaian. Kalau orang Melayu fikir mendalam dan faham sejarah, mereka tidak akan lakukan perkara ini. Allah kata kalau manusia buat salah, mereka boleh insaf dan bertaubat dan balik jalan yang betul. Kita perlu sedar apabila dah melakukan kesalahan, tetapi jangan asyik mengulanginya, kita perbetulkan balik. Saya juga buat salah, tapi kemudian minta maaf dan tidak buat lagi. Saya perbetulkan balik. Tetapi masalahnya, ahli politik kebanyakannya tidak mahu mengaku salah. Mereka sentiasa menegakkan benang basah. Mereka melakukan kesalahan berulang-ulang. Almarhum Ayahanda selalu cakap, kalau buat salah mengaku sahaja, dan mulakan buku baharu. Tetapi bagi ahli politik, mustahil itu semua akan berlaku.

Tuanku kelihatan sedih dengan keadaan ini tapi bagaimanakah Tuanku melihat hala tuju keadaan ini, ke mana ia akan berakhir?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh bercakap mengenai politik, tetapi terpulang kepada rakyat memikirkannya. Saya cakap, rakyat perlu buat pilihan dengan bijak untuk masa depan. Kita sebenarnya hidup bukan untuk diri sendiri sekarang, tetapi kita hidup untuk tinggalkan kepada generasi masa hadapan. Seperti yang orang dahulu kata, tinggalan kita adalah untuk anak cucu cicit kita, bukan untuk diri sendiri. Kita mesti fikir dengan bijak untuk keperluan generasi akan datang, dan bukannya mengikut emosi, tetapi semua ini terpulang kepada rakyat.

Apakah nasihat Tuanku kepada ahli politik yang cuba memutarbelitkan sejarah?

SULTAN SHARAFUDDIN: Memandangkan pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi, saya harap kita perlu mengekalkan keamanan. Elakkan pergaduhan serta permusuhan kerana ini adalah satu pembaziran dalam bentuk jangka panjang kepada rakyat dan kerajaan negeri. Kita tidak perlu menyakitkan hati, mengeluarkan kenyataan putar belit hanya untuk memperoleh sokongan. Mereka sepatutnya berkhidmat untuk rakyat, serta janganlah bertindak seperti batu api yang akhirnya mencetuskan perbalahan, kerana akhirnya rakyat dan negeri Selangor sendiri yang rugi.

KEDUDUKAN ISLAM

Dalam konteks masalah pluralisme dan liberalisme, apakah yang menjadi kebimbangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Almarhum Ayahanda saya dahulu ada beritahu, pastikan orang Melayu kita jangan terpengaruh dengan ajaran sesat yang tidak betul, sehingga mereka tidak boleh fikir mana betul dan mana tidak betul. Sebab itu dalam soal pluralisme, kalau orang Melayu kita senang-senang boleh tukar agama, apa nak jadi pada bangsa Melayu.

Saya ingat orang dulu-dulu, fikiran mereka lebih tajam. Mereka mahukan bangsa Melayu mesti beragama Islam. Terdapat tiga definisi mengenai orang Melayu, beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Itu ciri-ciri orang Melayu, tetapi kenapa? Dahulu datuk nenek kita memasukkan perkara ini dalam perlembagaan, kerana tidak mahu orang Melayu senang-senang tukar agama, itu perkara yang sangat penting.

Kenapa orang dulu-dulu letakkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Ini kerana orang dulu-dulu cuba memelihara orang Melayu, kerana mereka tahu di negara ini terdapat berbilang bangsa dan agama. Jadi kita jangan nak ikut tanpa berfikir mendalam (dalam soal pluralisme dan liberalisme). Saya akan jadi orang pertama bercakap menentangnya.

Saya fikir orang dulu-dulu takut kita orang Melayu senang dipengaruhi. Jadi mereka buat peraturan. Saya lihat sekarang orang muda serta terpelajar, banyak terpengaruh dengan pluralisme dan liberalisme kerana terikut-ikut. Sebab itu perlu dibuat satu garis panduan. Kenapa sultan-sultan terdahulu buat undang-undang, orang Melayu sahaja yang boleh jadi Menteri Besar. Sudah tentu ada sebabnya. Oleh itu, kita mesti tahu sejarah, apakah sebab dan alasan kenapa sesuatu perkara berlaku, bukan ikut hati.

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam menghadapi masalah ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mereka perlu disedarkan. Saya sering berucap untuk menyedarkan orang Melayu. Bukan berucap tidak setuju begitu saja, tetapi saya beri sebabnya. Kalau orang Melayu kita senang-senang boleh tukar agama, apa nak jadi pada bangsa Melayu.

Dalam membendung pluralisme, liberalisme, LGBT dan sebagainya ada parti politik yang tidak ada komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah ini. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya semua masalah ada penyelesaian, kebenaran akhirnya akan dapat dilihat. Tetapi kita mesti jangan berputus asa. Orang yang memahami masalah itu perlu bersuara dan perbetulkan. Kalau para alim ulama tahu perkara itu salah, jangan senyap sahaja, sentiasa bersuaralah. Saya laksanakan tugas dengan penuh kesedaran, tidak mempunyai sebarang agenda dan percaya jika perkara yang dilaku dan dinyatakan itu betul, saya akan terus bercakap. Bagi saya kalau hidup ini ada agenda tersembunyi dan tidak betul, maka susahlah kita hendak hidup. Ia hanya akan menjerat diri sendiri.

Tuanku berani bersuara tetapi terdapat mereka yang hanya mampu berdiam diri walaupun mempunyai kedudukan untuk bersuara.

SULTAN SHARAFUDDIN: Bagi sesetengah orang, mereka hanya mampu bertindak menyelamatkan diri sendiri dan cuba memilih jalan singkat. Tapi bagi saya lebih baik berterus terang. Kalau benda tu tidak betul hendaklah tegur dan jika perkara itu betul, saya akan tetap dengan pendirian saya. Tetapi jika salah, saya akan mengaku. Kebanyakan orang tidak bersuara. Sebagai contoh, ucapan saya supaya orang Melayu bersatu, bukanlah bermakna apabila bersatu itu mereka akan berperang dengan bangsa lain. Tetapi untuk menjadikan mereka kuat dan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh hidup muhibah dan berpakat. Kalau itu berlaku, kita semua akan maju. Tetapi jika bergaduh dan semua gunakan agama, saya takut akan berlaku malapetaka. Kenapa saya cakap mengenai pluralisme, liberalisme. Ini kerana saya takut akan berlaku malapetaka. Saya bertanya kepada mufti dan beliau menyatakan akan ditimpa malapetaka jika orang Melayu terjebak dalam isu sebegini ,seperti dinyatakan di dalam al-Quran.

SEJARAH, POLITIK DAN KONTROVERSI

Banyak kontroversi yang berlaku sepanjang kepimpinan Tuanku. Apakah dan bagaimanakah Tuanku melalui semua ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya akui memang banyak kontroversi yang berlaku dan tidak dinafikan antaranya, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, isu air dan pelbagai lagi. Begitu juga apabila berucap dalam satu majlis di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mana saya telah menasihatkan para pelajar supaya tidak terlalu berpolitik di dalam kampus supaya mereka boleh tumpukan perhatian pada pelajaran. Namun pesanan ini telah diputarbelit. Walhal nasihat itu hanyalah kerana bimbang kebanyakan yang aktif berpolitik itu pelajar Melayu, yang akhirnya apabila tamat nanti hanya mendapat keputusan sekadar lulus sahaja. Mereka ini perlu berbangga menjadi pelajar universiti kerana ramai lagi yang tidak berpeluang. Bagi saya itu adalah sesuatu yang tidak betul dan perlu menasihatkan para pelajar, apa yang perlu menjadi keutamaan dalam hidup, supaya tidak menyesal di kemudian hari. Saya bimbang nasib anak Melayu. Tetapi mungkin juga pada pandangan saya, orang Melayu terlalu minat dalam politik. Kalau mereka berminat baguslah, tetapi biarlah memilih jalan yang betul. Namun bagi saya, kontroversi sebegini adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi.

Kebelakangan ini banyak isu melibatkan kerajaan negeri antaranya air dan sampah. Bagaimanakah Tuanku melihat perkara ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Memang banyak isu di negeri ini tetapi saya tidak boleh cakap secara terbuka. Ini kerana nanti ada yang melihat saya cuba masuk campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Ia melibatkan Menteri Besar dan barisan exco, dan mereka pula dipilih oleh rakyat. Jadi saya hanya bersuara dalam majlis tertentu sahaja, tetapi apabila melibatkan isu-isu yang besar, maka saya perlu bersuara.

Bagaimanakah Tuanku melihat orang muda sekarang, apakah berlaku jurang yang besar dari segi peringkat umur?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya takut orang muda tidak tahu sejarah dan kemudian buat keputusan hanya untuk jangka masa pendek. Takut esok bila sudah menyesal, sudah berlaku, bila kita nak perbetulkan dah jadi susah. Saya harap orang muda yang bijak pandai ini, perlu berfikir secara mendalam dan bukan mengikut emosi. Sekarang ni orang muda sering bercakap tentang soal hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan sebagainya. Memang betul, tetapi perlulah ada batasannya. Kalau mengamalkan kebebasan bersuara tetapi hanya untuk mengata orang, tidak elok juga. Atau membuat fitnah atas alasan hak asasi, ia hanya akan menyusahkan orang lain.

Dalam soal hak asasi manusia, jika keadaan seperti zaman zalim Hitler atau Pol Pot bolehlah bertindak untuk memperjuangkan hak asasi. Kita mesti mempunyai batasan dan jangan guna hak asasi atau kebebasan bersuara untuk menghancurkan negara. Saya mahu berterus terang bahawa saya sedih dengan kejadian rusuhan yang berpunca daripada perarakan dan demonstrasi. Bila polis terpaksa mengambil tindakan, mereka kata polis kejam dan tidak mengamalkan hak asasi. Tetapi apabila perusuh memukul polis, tendang polis boleh pulak. Tidak pula mereka kata melanggar batas dan hak asasi manusia. Bukanlah saya tidak suka kepada hak asasi dan kebebasan bersuara, tetapi yang lebih penting kita perlu ada batas dan etika yang betul.

Mengapakah Tuanku lihat masyarakat semakin bertindak emosi dan tidak lagi bergantung kepada akal fikiran yang waras?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin kerana mereka terlalu hendakkan kebebasan dan hak asasi, serta mengejar kebendaan. Mereka tidak fikir panjang, dan sudah tentu mereka tidak begitu faham tentang sejarah dan undang-undang negara. Jika tidak, kenapa ada pihak nak tukar bendera Malaysia. Mesti ada sesuatu yang mengakibatkan mereka bersikap emosi. Kita seharusnya tidak mereka-reka perkara yang tidak perlu. Akhirnya kita hanya terperangkap dengan emosi dan gagal menggunakan logik akal fikiran.

Apakah ini berkaitan dengan kegagalan pemimpin politik itu sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh cakap banyak mengenai politik. Saya baca semua akhbar dan blog walaupun ramai kawan-kawan kata jangan baca blog. Tapi bagi saya maklumat ialah kuasa, jadi saya perlu membaca semua laman blog dan portal. Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca. Tapi malangnya, dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang UMNO, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Saya kenal Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan keluarga Tun Razak semasa saya muda, berumur 22 tahun. Ketika berlaku 13 Mei, Almarhum Ayahanda saya ketika itu tidak berada di dalam negeri Selangor.

Tun Razak yang banyak membantu saya. Itu sebabnya saya kenal rapat ahli keluarga Tun Razak. Ada pula mereka yang menyatakan ucapan saya orang UMNO yang buat, Najib yang buat. Hakikatnya Najib ada banyak kerja lain hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri. Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar, "apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang UMNO di dalam blog". Saya yakin sekarang kerana beri wawancara kepada Utusan, orang akan kata saya orang Utusan. Padahal pihak Utusan yang minta jumpa. Macam kes Talam dan sebagainya, saya tidak campur tangan. Kalau tidak suka kepada isu pentadbiran, saya akan minta setiausaha sulit menulis surat kepada kerajaan negeri bahawa perkara itu tidak betul. Kalau perkara lebih penting, saya akan tulis sendiri kepada Menteri Besar. Tetapi kalau melibatkan agama, bangsa Melayu dan perpecahan perpaduan, saya akan kritik secara terbuka dalam ucapan, itu prinsip saya. Kalau dalam soal pentadbiran, saya akan tegur Menteri Besar kalau tidak betul, sama ada melalui perjumpaan atau menulis surat, tetapi tidak secara terbuka. Malangnya, terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang UMNO. Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas.

Terdapat pihak yang cuba menggunakan istana untuk kepentingan politik peribadi seperti memanipulasi ucapan Tuanku dan sebagainya. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Dalam ucapan sempena seminar "Tuanku Prihatin Masjid" anjuran JAIS, saya ada katakan, jangan manipulasi kedudukan saya sebagai Ketua Agama Islam Negeri dan saya beri nasihat dengan ikhlas dan secara terus terang. Ramai ahli politik yang mengaku kenal rapat dengan saya untuk mempengaruhi orang lain, bahawa beliau boleh mendapatkan sesuatu melalui saya. Setiap kali membuat lawatan ke daerah-daerah, saya jumpa wakil rakyat di situ. Mereka akan tunggu untuk bersalaman dan sebagainya tetapi tidaklah rapat. Mereka ini kalau hendak menghadap Sultan Selangor hanya diluahkan melalui blog atau suratkhabar.

Di Pejabat Sultan Selangor kita ada prosedur. Kalau hendak menghadap, hendaklah tulis surat kepada Setiausaha Sulit dan nyatakan tujuan hendak berjumpa. Saya akan pertimbangkan permohonan tersebut. Kalau ada kena mengena dengan Selangor, saya bagi jumpa. Pernah berlaku satu ketika dahulu saya beri jumpa seorang ahli politik, tetapi sesudah berjumpa dan keluar daripada istana, mereka cakap lain daripada apa yang dibincangkan. Itu yang bahaya. Kalau cakap betul-betul terdapat kemusykilan, atau saya ada membuat kesalahan, cakap terus terang, dan ikhlas nasihatkan saya. Berjumpa dengan saya dan beritahu apa tujuan sebenar, tapi janganlah apabila keluar istana cakap benda lain. Bila saya jawab balik, dah jadi masalah lain pula. Itu yang jadi masalah, jadi lebih baik tidak payah jumpa. Selain Menteri Besar, jika ada ahli politik yang hendak berjumpa, saya kena panggil Ahli Dewan Diraja sebagai saksi.

Tuanku ada menyatakan mahu melihat negeri Selangor terus maju dan syaratnya kerajaan negeri mesti terdiri daripada mereka yang berwibawa. Kebetulan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi, apakah nasihat Tuanku kepada rakyat dalam hal ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Bagi saya apa yang perlu rakyat lakukan adalah memilih dengan penuh kebijaksanaan. Saya berkecuali dalam hal ini, kerana kedudukan saya mengatasi ahli politik. Malah Almarhum Ayahanda telah meninggalkan pesan supaya saya, Raja Muda serta waris tidak keluar mengundi supaya kami neutral dan berkecuali. Saya mahu pesan supaya kita semua perlu belajar dan memahami sejarah. Ini penting kerana kita ni mudah lupa. Sejarah yang telah terjadi perlu diingati supaya kita tidak lupa. Malangnya, kini ada pula pihak yang sudahlah tidak mahu memahami sejarah, tetapi mahu pula mengubah sejarah.

SULTAN BERJIWA RAKYAT

Tuanku banyak mendapat maklum balas daripada rakyat dan sudah tentu ia menggambarkan Tuanku rapat dengan mereka. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, saya membaca dan mendapat banyak maklum balas. Ramai yang menulis surat kepada saya dan saya membacanya sendiri. Surat-surat ini bukan saja daripada orang istana atau kawan-kawan, tetapi kebanyakannya diterima daripada rakyat. Saya beritahu kepada Menteri Besar tentang surat yang saya terima mengenai perkara yang menjadi masalah rakyat. Terpulang kepada Menteri Besar untuk mengambil tindakan atau tidak, kerana beliau dipilih oleh rakyat. Kita mengamalkan demokrasi.

Seperti yang Tuanku ceritakan tadi, Tuanku naik teksi seperti orang kebanyakan dan adakah itu adalah salah satu cara mendapatkan maklum balas?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang betul, mana-mana saya pergi tidak ada pengiring polis atau pengawal peribadi. Malah saya pergi luar negara pun tidak bawa sesiapa, hanya seorang diri atau bersama rakan rapat. Kalau sudah tiba ajal, maka jika pengawal penuh sekalipun, kita akan mati juga. Semua terpulang kepada Allah, saya tidak mempunyai musuh. Kalau orang tidak suka kepada saya, apa saya boleh buat. Mungkin saya perlukan orang lain bila sudah tua dan menggunakan kerusi roda. Kerana tidak boleh berjalan, maka saya terpaksa minta tolong.

Patik tertarik cara pemilihan penerima-penerima pingat. Kriterianya nampak begitu teliti.

SULTAN SHARAFUDDIN: Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan, saya beritahu kakitangan bahawa Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Selangor bukanlah sesuatu yang boleh diberi secara mudah. Seperti anugerah Datuk mesti umur 45 tahun ke atas. Ahli politik sekurang-kurangnya berkhidmat satu penggal penuh dan pegawai kerajaan mesti lama bertugas di Selangor. Ahli perniagaan, kalau duit banyak itu kehidupan mereka tetapi tidak semestinya boleh mendapat gelaran Datuk melainkan mereka selalu menolong komuniti atau menyumbang untuk kebajikan, seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, anak yatim atau lain-lain pertubuhan masyarakat. Untuk tahun ini penganugerahan Darjah Kebesaran adalah sedikit. Saya beri dua Darjah Kebesaran Datuk Seri, satu Darjah Kebesaran Datuk Setia dan 28 Datuk. Maksimum ialah 40, tapi biasanya saya akan beri tidak sampai 30 orang dan bergilir-gilirlah. Kadang-kala ada orang layak, tetapi kalau ada orang yang lebih senior, saya beri dahulu. Biar mereka merasa, orang muda boleh tunggu dulu.

Kalau ada pihak melobi, adakah mereka akan dilayan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mustahil mereka akan dilayan, tetapi memang banyak yang melobi. Tahun ini saya tidak beri kepada ahli politik, kerana hendak berlaku adil. Masa pentadbiran kerajaan sekarang, parti PKR, hanya Menteri Besar dapat anugerah Datuk Seri. Untuk DAP, saya beri kepada Datuk Teng Chang Kim. Tahun lepas saya beri kepada Datuk Hasan Ali dari Pas, kerana beliau telah berkhidmat selama banyak penggal sebagai wakil rakyat. Tetapi pada hari saya anugerahkan beliau Darjah Kebesaran, Hasan dipecat dari parti. Jadi beliau dapat dua berita. Satu berita gembira satu berita sedih. Itu bukan masalah saya beliau dipecat. Kalau saya beri kepada orang UMNO sahaja, mungkin mereka boleh kata saya pro UMNO, tetapi itu tidak berlaku. Saya tidak faham kenapa perlu dituduh begitu. Saya cuba menjadi adil sebaik mungkin. Saya tahu ramai yang layak, tetapi kalau beri terlalu banyak Darjah Kebesaran, ia akan menjadi tidak berharga. Tunggulah, kalau panjang umur dapatlah.

Bagaimanakah Tuanku mahu rakyat mengingati Sultan dan institusi diraja?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya fikir majoriti rakyat masih mahukan institusi raja. Namun ada orang dan pergerakan yang tidak mahu institusi raja. Antara alasannya adalah mereka melihat institusi raja ini sebagai satu penghalangan dan mereka ini mempunyai agenda terselindung. Antara penghalangan yang dilihat mereka adalah seperti yang diperkatakan oleh sepupu saya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, bahawa institusi raja bukan sekadar lambang, tetapi banyak lagi kuasa yang dimiliki dan boleh dipraktikkan. Selain itu usaha untuk menukar perlembagaan, memansuhkan kedudukan Islam dan kedudukan orang Melayu, sebenarnya perlu mendapatkan kelulusan raja-raja. Itu juga penghalangan bagi mereka. Saya lihat ini antara punca kenapa mereka ada agenda tersembunyi. Namun saya menyerahkan kepada rakyat.

Saya juga difahamkan terdapat orang Melayu sendiri yang tidak bersetuju dengan institusi raja, malah menulis di dalam blog dan sebagainya, mengata akan keburukan raja-raja. Malah ada yang lebih dahsyat dengan mencerca kedudukan raja-raja secara terbuka, berbanding dahulu yang mana masih ada segan silu. Bukan bangsa lain yang memburuk dan menjatuhkan Raja-Raja Melayu, tetapi orang Melayu sendiri. Saya berharap institusi raja ini masih boleh dipertahankan. Selain dari itu, saya berharap kami Raja-Raja Melayu dapat melakukan perkara yang betul dan sepatutnya. Tetapi kalau orang Melayu sendiri yang tidak sedar maka sukarlah keadaannya. Seperti pesanan Almarhum Ayahanda kepada saya, jaga agama Islam, jaga orang Melayu, jaga perpaduan antara kaum, kerana perkara-perkara ini sangat penting untuk dipertahankan.

Akhir sekali apakah harapan Tuanku kepada rakyat Selangor?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya berharap semua orang yang menetap di Selangor dapat hidup bersatu padu antara satu sama lain. Saya juga sangat berharap supaya orang Melayu mesti bersatu kerana jika kita tidak bersatu, dalam apa jua yang dilakukan adalah mustahil untuk kita mencapainya. Hidup juga mesti saling hormat menghormati antara semua kaum, supaya kita boleh berkongsi kekayaan secara saksama.

Selain itu juga saya berasa kurang selesa dengan kedudukan orang bukan Islam bercakap tentang perkara berkaitan Islam. Orang Melayu tidak pernah menyentuh tentang hal agama lain tetapi kenapa mereka nak ganggu hak orang Melayu. Biarlah orang Melayu yang menguruskan hal ini kerana ia melibatkan sensitiviti. Ini bersesuaian dengan kedudukan Islam dalam perlembagaan. Seperti yang saya katakan tadi adalah perlu supaya semua kaum saling hormat menghormati dan bertoleransi supaya kita boleh hidup bersama dalam aman dan harmoni.

Sumber : Utusan Online

Juragan Malawati..

Sabtu, 8 Disember 2012

BANTUAN BN BERTERUSAN BUKAN DI MUSIM PILIHANRAYA!



Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro yakin Barisan Nasional (BN) akan menawan semula Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kalau cerita siapa calon, Umno Bahagian Kuala Selangor tidak menyenaraikan mana-mana nama, bagaimanapun yakin ramai yang keupayaan dan berketerampilan yang boleh diketengahkan dan diyakini mampu menawan semula tiga kerusi yang dirampas PR.

“Namun, semua itu bergantung kepada pucuk pimpinan parti kerana kita mahukan kemenangan diraih berdasarkan kemenangan parti dan bukannya individu semata-mata,” katanya.

Berkongsi rahsia kejayaan mengekalkan kesetiaan pengundi apabila berjaya mengalahkan calon Pas, Hairi @ Maruji Darmo dengan majoriti 1,566 pada PRU12, Amiruddin berkata, beliau berpegang prinsip rakyat adalah aset parti yang perlu diutamakan dan tunjang kerajaan.

“Sudah menjadi prinsip hidup saya untuk membantu rakyat melalui mandat yang diberikan dan manifesto Umno-BN sendiri, ‘Sayangi Selangor, Yakini BN’ selain golongan tua dihormati, yang muda disayangi sekali gus merapatkan ikatan kukuh antara pemimpin dan pengundi.

“Saya juga menyokong sepenuhnya pendekatan kreatif dan berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam era moden ini dan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meringankan bebanan yang ditanggung termasuk mengenal pasti permohonan baik pulih rumah, bantuan Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) dan sumbangan berbentuk kewangan untuk mangsa bencana alam.

“Malang bagi petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sini kerana hanya menerima peruntukan RM100,000 sahaja kerana kawasan Parlimen Kuala Selangor dimenangi PR berbanding Parlimen lain yang dimenangi BN menerima peruntukan tambahan RM100,000.

“Hakikat ini perlu ditelan dan menjadi suntikan semangat buat rakyat khususnya golongan petani di sini supaya membantu pimpinan Barisan Nasional untuk menawan semula Selangor yang menjadi jantung negara dalam pilihan raya akan datang.

“Kita tetap melaksanakan bantuan dan sumbangan secara terus seperti wang masuk universiti sebanyak RM1,500 dan bukannya seperti PR yang hanya meuar-uarkan janji kosong yang kononnya mahu membantu rakyat dengan publisiti murahan," katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 7 Disember 2012

Syabas serbu pusat peranginan curi air?


Yusof Badawi (dua, kanan) dan Priscilla Afred (dua, kiri) serta dua pegawai Syabas melihat paip sambungan haram yang dilakukan oleh sebuah pusat peranginan di Morib, Selangor, semalam.

Sebuah pusat peranginan yang juga merupakan kawasan pembangunan komersial di Jalan Besar, Morib di sini hari ini diserbu oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) selepas disyaki mencuri bekalan air terawat sejak lapan bulan lalu.

Kegiatan itu disyaki mengakibatkan Syabas kerugian sebanyak RM108,000.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Syabas bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Pengarah Eksekutif Syabas, Yusof Badawi berkata, siasatan mendapati pemilik pusat peranginan berkenaan telah melakukan permohonan untuk menutup akaun bekalan air daripada Syabas pada Mac lalu.

"Kami telah membuat pemotongan dan menanggalkan meter di kawasan berkenaan pada 14 Mac lalu. Bagaimanapun hasil risikan dan aduan orang ramai kami mengesan terdapat sambungan haram dilakukan ke pusat peranginan tersebut dipercayai bagi menjalankan operasi harian mereka," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Yusof memberitahu, penyambungan bekalan air haram itu dilakukan terus dari paip utama Syabas dengan menggunakan paip poli berukuran 32 milimeter (mm) sepanjang 300 meter (m).

"Sambungan berkenaan menyalurkan bekalan air terus ke dua buah tangki simpanan khas berkapasiti 2,000 liter setiap satu.

"Ujian klorin telah dibuat dan keputusannya mendapati bekalan air tersebut adalah air terawat Syabas. Perbuatan mereka menyebabkan Syabas kerugian kira-kira RM108,000," katanya.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pemilik premis tersebut boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh didenda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Afred berkata, sehingga 3 Disember lalu Syabas kerugian sebanyak RM6.3 juta akibat kegiatan curi air di negeri ini.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 3,314 aduan telah diterima dan 669 daripadanya diklasifikasikan sebagai sahih.

"Kesan kegiatan mencuri air adalah kawasan sekitar akan mengalami tekanan air rendah dan menyebabkan gangguan bekalan air, masalah kualiti air dan juga berlaku pembaziran kerana lazimnya mereka akan membiarkan air mengalir begitu sahaja," katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 6 Disember 2012

Sokong walau siapa calon BN!


Dr. Mahathir Mohamad menerima sumbangan untuk Tabung Kecemasan Gaza daripada wakil Koperasi Felda Chemomoi pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul, Bentong, semalam.

Semua ahli UMNO diminta bersatu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang walaupun yang dipilih itu daripada pemimpin parti komponen.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain itu, untuk mendapatkan kemenangan dua pertiga, seluruh ahli UMNO perlu merapatkan barisan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Kita (ahli UMNO) harus ingat kalau diletakkan siapa saja calon walaupun mata sepet sebelah, hidung penyet, asalkan dia calon BN, kita undi sajalah.

"Yang hendak dan perlu menang ialah parti, bukan orang. Kalau Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menang saja pun tak guna juga sebab kita masih tidak dapat membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab dalam Majlis Bicara Tokoh di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selepas majlis tersebut, Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) menerima cek RM3,000 sumbangan Koperasi Felda Kemasul (RM2,000) dan Koperasi Felda Chemomoi (RM1,000) untuk Tabung Kecemasan Gaza.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir Sabtu lalu dilihat memberikan semangat baharu kepada ahli parti.

"Apa yang saya harapkan semangat ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti supaya kita menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ditanya seorang peserta dalam sesi soal jawab tersebut mengapa sehingga kini Perdana Menteri masih berteka-teki tentang tarikh pilihan raya umum, Dr. Mahathir berkata, Najib kini sedang berusaha memulihkan UMNO.

"Hal ini kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008 ada orang yang tidak berpuas hati dengan kita dan undi parti lawan," katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu terus mendampingi rakyat terutama orang Melayu agar BN kembali mendapat sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

"Orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, tetapi kita telah berpecah kepada UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan kita menjadi minoriti.

"Jadi kita harap orang lain untuk menang kerana kalau semua ahli undi calon UMNO yang dipilih tetap tak boleh menang dan sebab itu perlu sokongan daripada bukan UMNO (komponen BN)," katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Rabu, 5 Disember 2012

Izinkanlah transformasi dalam UMNO!



Sebaik-baik sahaja mengambil alih teraju kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Persekutuan, tanpa bertangguh lagi Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Agenda Transformasi sebagai respons kepada isyarat rakyat yang disampaikan melalui keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Kesungguhan beliau sangat jelas dibuktikan dalam Program Transformasi Kerajaan yang diketengahkan melalui pelaksanaan program, projek dan pendekatan baru oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kementerian, jabatan kerajaan dan agensi kerajaan yang dilancar dan diperkenalkan hampir setiap bulan itu.

Program Transformasi Kerajaan pimpinan Najib bukan sahaja memberikan warna baru yang ceria dan meyakinkan malah mampu membalut calar dan luka yang terguris oleh pendekatan lama yang agak jumud, stereotaip dan tidak begitu responsif terhadap perubahan persekitaran yang sedang berlaku dengan pantas di kalangan rakyat terbanyak.

Sementara setiap degup dan denyut nadi kehidupan rakyat mahu didengar dan diberikan pembelaan sewajarnya, apa jua kekangan, halangan dan hambatan yang wujud dalam mengembangkan potensi dalam pelbagai sektor ekonomi telah mula dileraikan dengan sebaik-baiknya melalui dasar-dasar yang lebih terbuka dan bersifat akomodatif.

Di sana sini terdapat keghairahan dan sambutan yang sangat positif terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. Walau apa pun percubaan dilakukan oleh pembangkang untuk meremeh dan memperlekeh kehadiran sebegitu ramai rakyat dalam majlis-majlis yang dihadiri oleh Najib, hakikatnya majoriti rakyat sangat teruja dengan gaya kepimpinan yang terbuka dan bergerak seiring dengan pendekatan kerajaan yang lebih inklusif itu.

Walaupun sesetengah istilah 'orang putih' seperti NKRA, NKEA, ETP dan lain-lain tidak begitu dapat menangkap imaginasi rakyat, petunjuk-petunjuk ekonomi berkaitan dengan peningkatan nilai pelaburan asing dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga turut memancing kembali keyakinan rakyat terhadap masa depan negara di bawah kerajaan sedia ada.


Sebagaimana slogan 1Malaysia yang telah mula mengakar dan meresap dalam kehidupan rakyat, Agenda Transformasi Kerajaan telah bertunas dan mula menjalar ke semua kementerian dan agensi kerajaan. Masa akan menjadi bukti betapa agenda transformasi ini akan benar-benar muncul sebagai agenda nasional yang akan melonjak rakyat dan negara ke era negara maju yang dicita-citakan itu.

Menjelang PRU-13, rakyat dan pengundi kini sedang menantikan apakah akan berlaku transformasi politik secara jelas dan menyeluruh dalam parti UMNO yang menunjangi Barisan Nasional.

Rakyat yang pernah dijanjikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan berubah untuk kekal relevan sedang memerhatikan dengan tekun. Apakah transformasi yang dijanjikan itu hanya berlaku di permukaan sahaja atau akan menyentuh sendi-sendi utama yang melonglaikan parti itu selama ini.

Umum mengetahui bahawa proses peremajaan kepimpinan UMNO di semua peringkat berlaku dengan amat perlahan sekali. Terdapat semacam suatu sindrom yang berbaur di antara semangat juang yang tinggi dan keengganan untuk berundur serta memberikan laluan kepada generasi pelapis yang sangat ketara berlaku dalam UMNO.

Sejajar dengan fitrah manusiawi yang akan kehilangan dinamisme apabila direnggut usia, UMNO nampaknya masih berdepan dengan dilema untuk mendepani cabaran proses peremajaan kepimpinan parti itu yang pastinya merupakan antara elemen transformasi politik yang tidak boleh ditangguh atau dielakkan lagi.


Syarat 'winnable candidate' atau calon boleh menang umpamanya telah dimanipulasikan habis-habisan oleh sebilangan pemimpin veteran UMNO untuk kekal sebagai calon PRU-13 walaupun rata-ratanya memahami akan perlunya transformasi dilakukan untuk memberikan imej dan wajah baru kepada UMNO.

Kenyataan umum yang sangat tipikal adalah menyerahkan masa depan mereka kepada Presiden parti, seolah-olahnya mereka tidak tahu dan tidak mampu membuat keputusan sendiri. Agak aneh bagi veteran yang sudah melewati usia 60-an dan sudah lebih empat penggal menjadi calon masih tidak dapat membuat pertimbangan yang saksama demi kepentingan UMNO.

Selain itu, politiking dalam UMNO sangat meresahkan profesional dan kumpulan terpelajar Melayu bumiputera yang berasa begitu sukar untuk mendapat peranan yang setimpal dengan latar belakang mereka dalam parti ini.

Ketidakseimbangan dalam komposisi kepimpinan UMNO yang dikuasai oleh kumpulan aktivis bukan profesional dan berpendidikan tinggi memudarkan keyakinan terhadap keupayaan parti dalam memimpin perjuangan dan masa depan. Anehnya ia tidak juga menjadikan parti ini sebagai parti yang merakyat lantaran kealpaan pemimpin dan aktivis UMNO menjuarai isu-isu rakyat yang berlegar di depan mata mereka.

Telah tiba masanya untuk komposisi kepimpinan, pendekatan dan orientasi kerja UMNO ditransformasikan supaya UMNO tidak sahaja dilihat memiliki keterampilan dan keupayaan untuk memimpin masa depan, malahan sentiasa dirasakan kehadirannya di tengah-tengah masyarakat lantaran komitmen luar biasa parti ini dalam membela nasib rakyat.


Sekali lagi Perhimpunan Agung UMNO kali terakhir sebelum PRU-13 sewajarnya menuturkan dengan lantang akan iltizamnya untuk melakukan transformasi dalam aspek kepimpinan - supaya intelektualisme juga menjadi sebahagian ciri, tradisi serta wibawa UMNO; dan agar pendekatan perjuangan parti kembali merakyat dan menyusur akar.

Sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam, UMNO juga sewajarnya kelihatan lebih jujur dan bersungguh-sungguh dalam memenuhi tanggungjawabnya itu. Jika sebagai kerajaan kita telah begitu berjaya membina dan mengangkat Malaysia sebagai model negara Islam yang berjaya, kenapakah sebagai sebuah parti politik kita dijadikan sasaran mudah kepada segala macam tohmahan yang ada kalanya agak melemaskan itu?

Apakah kerana kita amat defensif dan terlalu mengikut rentak Pas maka akhirnya kita juga ingin kelihatan seperti Pas dalam intonasi bicara dan penampilan hinggakan kita kehilangan originaliti dalam perjuangan menegakkan agama?

UMNO tidak boleh memindahkan tanggungjawab ini kepada Datuk Seri Jamil Khir, Datuk Dr. Mashitah, Datuk Seri Abdullah Mat Zain, Ustaz Fathul Bari, Ustaz Pirdaus dan beberapa orang intelektual atau tokoh agama semata-mata.

UMNO secara total dan konsisten harus memperlihatkan komitmennya dalam perjuangan agama; tentunya bukan sebagai suatu respons kepada Pas, sebaliknya berdasarkan perspektifnya yang lebih pragmatik dan tidak mengutamakan simbol dan retorik!

Sesungguhnya rakyat Malaysia sedang memerhati dan menilai janji-janji transformasi politik UMNO yang akan diisyaratkan dalam Perhimpunan Agung UMNO ini.

Mengisi debat dan perbahasan yang sarat dengan jenaka Pengerusi Tetap sahaja tentunya tidak cukup untuk menceriakan kembali wajah suram bahana PRU-12 yang lalu. Izinkanlah transformasi politik dilakukan dalam UMNO untuk parti kekal relevan dan terus diyakini rakyat.-UMO

Juragan Malawati..

Isnin, 3 Disember 2012

Maksud pengkhianat dalam UMNO?



Kira-kira pukul 8 malam Sabtu lalu, selepas bersidang selama lima hari, lebih 2,000 perwakilan dan ribuan lagi ahli serta penyokong UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2012 meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Mereka pulang ke kawasan masing-masing selepas 'disuntik' pelbagai vaksin oleh pemimpin-pemimpin parti itu bagi meningkatkan semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun kita harus mengakui apa yang menjadi kerisauan kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah apakah peringatan tentang perlu parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa benar-benar akan tersemat dalam hati para pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Apa yang paling meresahkan ialah sejauh manakah dalam pilihan raya umum kali ini tidak berlaku lagi perbuatan sabotaj atau pengkhianatan seperti mana-mana terjadi dalam pilihan raya umum 2008.

Itulah kebimbangan Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan apabila menyentuh soal keyakinan beliau, BN mampu mencapai kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Seorang pemimpin bahagian di Kedah ketika diminta pandangan berhubung perbuatan sabotaj itu berkata, ia berlaku kerana ramai ahli UMNO yang tidak faham apa itu sabotaj atau dalam bahasa kasarnya pengkhianatan kepada parti.

''Mereka ingat perbuatan khianat tu setakat keluar parti tetapi sedangkan ia berkait dengan apa yang mereka buat sepanjang pilihan raya sehingga memungkinkan parti kalah,'' katanya ketika ditemui semasa menghadapi perhimpunan agung berkenaan.

Berikut penulis senaraikan perbuatan yang dianggap mengkhianati parti tetapi tidak disedari oleh si pelakunya.

* Memburukkan calon - Apabila seseorang pemimpin itu tidak dipilih sebagai calon, dia akan berusaha untuk memburuk-burukkan peribadi calon yang dipilih oleh parti. Dia akan menggambarkan dirinya teraniaya dan sikap ini kebiasaannya dilakukan oleh mereka yang bertaraf YB tetapi tidak dipilih bertanding semula dan penyokong-penyokongnya.

* Tidak keluar berkempen - Oleh kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon atau pemimpin yang mereka sokong tidak terpilih, individu yang terlibat tidak keluar berkempen. Malahan ada antara mereka yang diberikan amanah akan menutup bilik-bilik operasi yang diamanahkan kepada mereka.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada antara mereka membawa diri termasuk naik ke gunung di waktu dinihari demi membawa hati yang lara dan ada pula berlepas ke luar negara ketika pilihan raya berlangsung.

* Berkempen jangan undi calon parti dipilih parti - Atas prinsip 'aku tak dapat, kau pun tak dapat', maka pemimpin yang kecewa tidak terpilih sebagai calon, akan berkempen supaya calon yang dipilih parti tidak disokong. Individu yang terlibat sanggup menghalang penyokong-penyokong daripada keluar mengundi. Perbuatan seumpama inilah yang memungkinkan dalam pilihan raya umum lalu ada kawasan yang UMNO dan BN tewas dengan majoriti yang cukup kecil.

* Protes senyap - Pemimpin yang tidak dipilih sebagai calon akan berkumpul bersama-sama dengan penyokong-penyokong di kediaman mereka. Tidak melakukan apa-apa sebagai tanda protes kepada pemilihan.

Sememangnya itulah antara tindakan dianggap mengkhianati parti yang kadang kala tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Semua itu berlaku kerana apabila seseorang pemimpin itu tidak terpilih menjadi calon pilihan raya apatah lagi apabila dia adalah ketua bahagian, seolah-olah dunia kiamat baginya.

''Janganlah ingat politik sahaja yang membolehkan mereka hidup, apabila tiba masanya mereka kena berhenti juga, oleh itu terimalah hakikat,'' kata seorang ketua UMNO bahagian kepada penulis.

Atas sebab itulah, laungan, jeritan dan ikrar untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum nanti bukan sekadar retorik di Dewan Merdeka, PWTC sahaja, sebaliknya ia perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab apabila pulang ke kawasan masing-masing.

Tetapi masalahnya ramai dalam kalangan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian bersikap hipokrit.

Ketika di Dewan Merdeka, mereka bertepuk tangan, berdoa dan menangis apabila mendengar seruan-seruan pentingnya UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum nanti.

Mereka juga berikrar dan berjanji akan akur seandainya tidak terpilih sebagai calon atau digugurkan sebagai calon tetapi apabila benar-benar perkara itu berlaku, mulalah mereka buat perangai.

Apabila pilihan raya umum berlangsung mereka bukannya mengatur strategi bagaimana untuk menewaskan pembangkang tetapi sebaliknya berfikir siang malam bagaimana hendak memastikan calon yang dipilih oleh parti sendiri kecundang.

Inilah perangai buruk yang masih wujud dalam kalangan pemimpin di peringkat bahagian yang ada antara mereka sudah bergelar 'YB' berpenggal-penggal.

Begitulah juga dengan mereka yang pernah tewas dalam pilihan raya berkali-kali, masih mahu bertanding dan tidak berhasrat memberi laluan kepada muka baru biar pun rakyat sudah pun tidak mahu mereka lagi.

Bagaimanapun mereka perlu faham pilihan raya kali ini amat penting. Ia bukannya berlangsung dalam keadaan UMNO dan BN berada dalam keadaan selesa, sebaliknya pilihan raya itu penentu sama ada parti itu akan berkuasa atau kehilangan kuasa, memerintah atau diperintah.

Apa gunanya kalau mereka mahu beria-ia bertanding tetapi akhirnya parti mengalami kerugian akibat kekalahan mereka?

Ini bukannya perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki, kalau kalah di perlawanan akhir sekadar tidak mampu memenangi piala, tetapi ini adalah pilihan raya - satu gelanggang yang bakal menentukan nasib bangsa, agama dan negara.

Kalau betul mereka berjiwa UMNO, ahli UMNO dan orang UMNO, maka bersedialah untuk berkorban demi kepentingan parti.

Janganlah bersikap menzahirkan diri seolah-olah pejuang di depan pucuk pimpinan tetapi hakikatnya bertindak sebagai pengkhianat di belakang.

Mereka ini biar pun masih berada dalam UMNO tetapi tiada bezanya dengan mereka yang melakukan pengkhianatan terbesar iaitu keluar parti.

Sedangkan selama ini mereka menikmati pelbagai kesenangan dan mendapat kedudukan kerana jasa parti, namun apabila parti menuntut pengorbanan mereka, maka balasan yang diberikan adalah pengkhianatan.

Tidak dapat dinafikan mungkin ada antara mereka mempunyai pengikut yang ramai dan boleh menjadi penentu kepada kejayaan seseorang calon di satu-satu kawasan.

Tetapi ini tidak bermakna pemimpin penyebar 'virus pengkhianat' itu perlu 'disembah' bagi meraih bantuan untuk menyokong calon yang terpilih.

Sebaliknya, pemimpin seumpama itu perlu sedar bahawa mereka adalah pengkhianat parti yang sama sekali tidak diperlukan.

Kerana Najib sudah mengingatkan, ''Satu undi untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan ke atas bangsa tercinta.''

Oleh itu jangan biarkan anda berkongsi dosa ini!.

Juragan Malawati..

Ahad, 2 Disember 2012

UCAPAN PENUH DARI PRESIDEN PARTI DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK.



Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.

2. Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.

Saudara dan saudari,

3. Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.

4. Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.

Saudara dan saudari,

5. Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan.

6. Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharu mandat.

7. Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

8. Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.

Saudara dan saudari,

9. Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional.

10. Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.

11. Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.

12. Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.

13. Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.

14. Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan.

15. Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

16. Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA

Saudara dan Saudari,

17. Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?

18. Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.

Saudara dan saudari,

19. Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.

20. Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima.

21. Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

22. Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.

23. Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.

24. Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.

CABARAN UMNO

Saudara dan saudari,

25. Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.

26. Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.

27. Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.

28. Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.

29. Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.

30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.

31. Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.

32. Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.

33. Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.

34. Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.

Saudara dan saudari sekalian,

35. Bersuluhkan jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.

36. Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.

Saudara dan saudari,

37. Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.

38. Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.

39. Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.

Saudara dan saudari,

40. Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.

41. Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan individu.

42. Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.

43. Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.

KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF

YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,

44. Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.

45. Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif.

46. Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

47. Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.

48. Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya.

Saudara dan saudari,

49. Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.

50. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.

Saudara dan saudari,

51. Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.

52. Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.

53. Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.

Saudara dan saudari,

54. Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.

55. Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.

56. Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.

57. Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index”.

58. Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.

59. Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.

60. Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar.

61. Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000 dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

62. Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan Malaysia”.

63. Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.

64. Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.

65. Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya :

66. Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.

67. Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?

Saudara dan saudari sekalian,

68. Inilah… inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.

69. Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.

70. Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pulak.

71. Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong pulak…heran..heran…

Saudara dan saudari,

72. Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus.

73. Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.

74. Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.

UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM

Saudara dan saudari sekalian,

75. Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.

76. Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.

77. Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.

78. Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?

79. Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.

Saudara dan saudari,

80. Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.

81. Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.

82. Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.

83. Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.

84. Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.

85. Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.

86. Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.

87. Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.

Saudara dan saudari,

88. Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.

89. Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.

90. Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.

91. Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.

92. Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.

93. Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma.

Saudara dan saudari,

94. Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.

95. Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

96. Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

97. Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.

98. Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.

99. Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.

100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.

101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.

102. Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.

103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.

KITA ATAU MEREKA

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

104. Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.

105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.

106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.

107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.

108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?

110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.

111. Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.

112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.

113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.

114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.

115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.

Saudara dan saudari,

116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.

117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.

118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara.

119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.

121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.

123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.

124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.

125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.

126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.

127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.

128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Saudara dan saudari,

129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.

130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?

131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan…

132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat dek…jer…” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.

Saudara dan saudari,

133. Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.

134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? …Cuba habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni… macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”.

135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.

Saudara dan saudari,

136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.

137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :
• kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
• kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi

138. Untuk jangka sederhana :
• kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
• kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan

139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. InsyaAllah.

Saudara dan saudari,

140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.

141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.

142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.

143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.

144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.

145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?

146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?

147. Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.

148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,

149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.

Saudara dan saudari,

Pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.

Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.

Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.

Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.

Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.

Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.

Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.

Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.

Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.

Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.

Saudara dan saudari,

Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.

Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

Di sini… di sinilah kita dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.

Duhai putera puteri… duhai para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan… pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah Putrajaya.

HIDUP UMNO!

HIDUP BARISAN!

HIDUP MALAYSIA!

Juragan Malawati..