UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 31 Januari 2010

Khalid akur tetapi terus kritik!

Khalid Abdul Samad akur dengan hukuman yang diterimanya semalam tetapi pada masa sama terus mengkritik pimpinan Pas yang didakwanya enggan menerima teguran rasmi secara 'dalaman' daripada ahli bawahan.

Malah adik kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad itu terus menggunakan medium blog beliau untuk terus 'mengusik' Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Dalam entri terbarunya di www.khalidsamad.com, beliau menyatakan masih belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap hukuman itu tetapi cenderung untuk tidak melakukannya kerana tidak mementingkan jawatan dalam perjuangan politiknya.

Semalam, Jawatankuasa Disiplin Pas memutuskan Khalid digantung jawatan sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik Pas selama enam bulan berkuat kuasa semalam.

Beliau didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan imej parti serta mendedahkan kerahsiaan parti di dalam blognya itu. Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut memutuskan Hasan sebagai bersalah tetapi hanya diberikan amaran bertulis atas tuduhan mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan Selangor.

Kedua-dua pemimpin itu juga dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti dan sekiranya ia berlaku, jawatankuasa akan bertindak mengikut peruntukan sedia ada.

Khalid di dalam blognya, berkata:

"Harap semua faham, saya dikenakan tindakan kerana cara saya menegur Datuk PJ (Hasan) dianggap memudaratkan Pas. Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil.
"Budaya wala' (setia kepada pemimpin) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli. Akhirnya saya tiada pilihan kecuali berhadapan perbalahan secara terbuka. Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena.

"Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi. Kalau terus dengan cara lamanya, saya tidak akan menyanggahnya lagi. Saya sendiri yang akan buat laporan kepada JK Disiplin. Seperti yang dibuatnya terhadap saya dalam kes ini. Itu caranya dan kita lihat pula sejauhmana kesungguhan amaran yang diberi," katanya.

Menyentuh lebih lanjut mengenai Hasan, Khalid menambah:

"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai. Tindakan Datuk PJ selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar 'salah' dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejas pakatan pembangkang Selangor. Beliau tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.

Sementara itu, Khalid juga secara terbuka mengkritik pimpinan Pas dengan menyatakan:

"Pas sememangnya mementingkan disiplin ahli, ketaatan kepada pemimpin, thiqah dan wala'. Saya tahu semua itu, tetapi semua telah saya usahakan. Bukan semakin baik, semakin parah.
"Akhirnya saya tiada pilihan kecuali melakukan apa yang pasti sukar diterima parti. Walaupun berasas tetapi akan dilihat melanggar disiplin," katanya.

Mengikut pendakwaan, Khalid dituduh mengkritik Hasan secara terbuka berhubung isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) serta menyiarkan minit mesyuarat Pas Selangor di dalam blognya pada 27 September 2009.

Hasan pula dituduh mengkritik prosedur pendengaran Selcat selain membuat kritikan terbuka terhadap pelantikan Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Low Siew Moi.

JM...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan