UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 8 Januari 2010

BERTENANG!

Adalah dimaklumkan bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Memandangkan pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut menzahirkan harapan baginda agar semua pihak terutama orang Islam agar bertenang.

Baginda juga menitahkan agar semua pihak saling menghormati semua tempat ibadat tanpa mengira agama.

Istana Negara,
Kuala Lumpur
8 Januari 2010

1 ulasan:

  1. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara semalam, Seri Paduka yang memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, baru-baru ini juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum.

    Seri Paduka amat berharap semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara sentiasa dijaga.



    Selain itu, baginda menitahkan semua pihak, terutama umat Islam bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

    “Memandangkan kerajaan sedang mengambil langkah perlu, semua pihak diminta menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam perlembagaan.

    “Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sejak sekian lama diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia,” titah Seri Paduka.

    Rabu lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald-The Catholic Weekly.

    Penangguhan ini berjaya diambil berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri serta Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara.

    BalasPadam