UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 21 Januari 2010

MB hilang jawatan ketua bahagian!

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kuala Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dibubarkan setelah 13 ahli jawatankuasanya (AJK) meletak jawatan.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat bermula November lalu hingga kelmarin.
Mereka bertindak demikian kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Pengumuman pembubaran PKR Bahagian Kuala Selangor itu dibuat oleh Timbalan Ketua bahagian itu, Arshad Abu Bakar di sini hari ini. Dengan pengumuman itu, bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada Mac ini.

Arshad pada sidang akhbar juga berkata, pembubaran itu dibuat kerana AJK bahagian itu yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian 2007 (untuk sesi 2007-2010) kini hanya tinggal tiga orang.

Beliau berkata, ia selaras dengan Artikel 25.7 (Pindaan 25.9) Perlembagaan PKR iaitu jika dua pertiga daripada AJK bahagian berhenti serentak, Majlis Pimpinan Pusat hendaklah mengadakan mesyuarat agung khas untuk melantik semula AJK baru. ''Kita mempunyai 30 AJK bahagian. Mereka yang dipilih dan mempunyai kuasa hanya 20 orang manakala 10 lagi adalah lantikan.

"Sekarang 13 daripada 20 yang dipilih telah meletak jawatan, dua lagi meninggal dunia, seorang keluar parti (Azmi Mohamad) dan seorang lagi dipecat (Ketua Penerangan, Ibrahim Mahidin). Jadi, yang tinggal hanya tiga orang iaitu saya, Abdul Khalid serta seorang AJK iaitu Faridah Abdul Rahman. Mengikut Perlembagaan PKR, bahagian ini boleh dibubarkan kerana tidak cukup ahli," katanya.

Menurut Arshad, peletakan jawatan beramai-ramai dibuat kerana AJK telah hilang kepercayaan dan kecewa dengan kepimpinan Abdul Khalid yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua.

Jelasnya, AJK bahagian juga berasa terpinggir dan diabaikan kerana sejak 14 bulan lalu, tiada mesyuarat diadakan menyebabkan aktiviti dan gerak kerja tidak dapat dilakukan.
Malah dakwanya, PKR Bahagian Kuala Selangor tidak mempunyai pejabat pentadbiran sendiri sebaliknya menggunakan kemudahan Pejabat Kerja Menteri Besar di Pekan Ijok yang dibiayai oleh kerajaan negeri.

"Abdul Khalid juga mula mewujudkan jurang dan tidak percayakan AJK yang dilantik, bersikap diktator, angkuh, membawa gaya pentadbiran autokrasi dan langsung tidak mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan parti walaupun ada ahli keluar parti.

"Segala pengorbanan, tenaga dan penat lelah AJK di awal penubuhan parti sehingga berjaya merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN) juga tidak dihargai. Ini bukan rintihan kami sebagai AJK sahaja malah juga sebagai penyokong PKR," kata beliau. Sehubungan itu kata Arshad, pembubaran itu diharap dapat mengubah kepimpinan bahagian tanpa Abdul Khalid.

JM...

3 ulasan:

  1. Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah tidak layak untuk memegang jawatan itu apabila PKR bahagian Kuala Selangor dibubarkan semalam setelah 13 ahli jawatankuasanya meletak jawatan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata, ini membuktikan kesemua mereka yang meletak jawatan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.

    "Insiden ini seperti memberikan sokongan kepada keputusan saya keluar PKR pada 29 Oktober lalu. Terima kasih kepada mereka semua.

    "Sudah pasti ini menjadi tamparan hebat kepada Menteri Besar Selangor itu kerana terbukti beliau gagal untuk memimpin di peringkat bahagiannya sendiri.

    "Belum pernah berlaku dalam mana-mana cabang PKR di Selangor, seorang ketua ditentang dan ditolak oleh barisan AJK sendiri dan nampaknya Abdul Khalid menjadi mangsa pertama," kata Badrul Hisham dalam blognya, http://adunbebasn46.blogspot.com/.

    Pengumuman pembubaran PKR bahagian Kuala Selangor itu dibuat oleh Timbalan Ketua bahagian berkenaan, Arshad Abu Bakar, semalam.

    Arshad berkata, pembubaran itu dibuat kerana AJK bahagian yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian 2007 (untuk sesi 2007-2010) kini hanya tinggal tiga orang.

    Dengan peletakan jawatan barisan AJK itu bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru nanti, yang dijangka pada Mac ini.

    Sementara itu menurut Badrul Hisham, keseluruhan pimpinan PKR di semua peringkat di negeri Selangor harus jujur untuk memikirkan sama ada Abdul Khalid masih layak menjadi ketua mereka atau tidak.

    "Abdul Khalid pernah kata saya tidak layak menjadi wakil rakyat, padahal sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu, majoriti undi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang saya menangi adalah jauh lebih baik berbanding beliau yang bertanding di DUN Ijok.

    "Saya berupaya meraih majoriti 4,407 tetapi Abdul Khalid hanya mampu mendapat lebihan undi 1,920 sahaja," katanya.

    Beliau menegaskan, insiden terbaru itu serta pergolakan krisis kepimpinan di Kuala Selangor, juga membuktikan Abdul Khalid tidak layak memimpin negeri Selangor.

    BalasPadam
  2. Salam Perjuangan,

    Kami dari UMNO CAWANGAN GOMBAK SELATAN amat terpegun dan meminati penghasilan blog anda yang amat berani mengutarakan isu2 berkaitan politik tanah air..

    Jutaan Terima Kasih juga kami ucapkan kerana telah link blog kami..

    Semoga kita dapat bekerjasama dalam menjawab segala dakyah dan fitnah pembangkang.

    Ketua UMNO Cawangan Gombak Selatan, En. Abd. Razak Muhamad menyampaikan Salam Kasih khas buat anda.

    Kami juga telah link blog anda di blog kami.

    SEKIAN,

    CREW EDITOR BLOG,
    UMNO CWGN. GOMBAK SELATAN,
    BAHAGIAN WANGSA MAJU.

    BalasPadam
  3. Untuk harga emas jongkong dan lain-lain yang hebat sila hubungi kami di goldman999.9@hotmail.com.

    Harga lagi murah daripada Habib, Poh Kong dan dealer2 lain. Bekalan antarabangsa.

    Rebat tunai segera RM 1,000 hingga RM 1, 500.

    Terima kasih.

    BalasPadam