UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 3 Ogos 2013

GEMPAR...!!! Buaya Tembaga 1 Tan Mati Terdampar Di Selangor!!


Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.

Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai.

“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan dapati buaya itu sudah tidak bergerak.

“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh 10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.

“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis ikan.

“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan, pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.

“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.

“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang mengakibatkan kematian,” katanya. - Metro

Juragan Malawati..

Rabu, 31 Julai 2013

Kaligrafi Kalimah Syahadah: Permohonan Maaf Courts Malaysia Ditolak?


Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) tegas menolak permohonan maaf daripada Courts Malaysia ekoran pengedaran risalah promosi terkini Hari Raya Courts yang mengandungi kaligrafi kalimah syahadah yang dicetak secara terbalik.

Setiausahanya, Syed Anuar Syed Mohamed berkata, GAGASAN berpendapat ia terjadi bukan secara tidak disengajakan berdasarkan cara penulisan yang tiada kesilapan, dan dapat dibaca dengan jelas melalui paparan cermin seolah-olah merupakan perancangan yang cukup terancang untuk menghina umat Islam.

"Sehubungan dengan itu, GAGASAN memberi tempoh tiga hari kepada pihak pengurusan Courts Malaysia untuk membuat siasatan dalaman dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggung jawab.

Jika tidak pihak GAGASAN akan bersama-sama seluruh NGO’s Islam dan Melayu akan mendesak kerajaan mengambil tindakan melalui Akta Penerbitan dan Mesin Cetak bersama Akta Hasutan termasuk mengadakan kempen memboikot barangan Courts," ujarnya dalam satu kenyataan.

Juragan Malawati..

Perkasakan semangat kepahlawanan

17 buah kereta perisai berantai ACV Adnan tiba ke Felda Sahabat bagi membantu operasi Anggota Tentera memburu pengganas Sulu dalam Ops Daulat, pada Mac lalu.

Sambutan Hari Pahlawan diraikan setiap tahun pada tanggal 31 Julai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sambutan diadakan bergilir-gilir sejak tahun 1968 antara PDRM dan ATM, pada tahun ini PDRM sebagai tuan rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam perutusannya sempena sambutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kelmarin meminta masyarakat terus menghayati semangat dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para pahlawan tanah air.

Berikut adalah antara inti pati perutusan Khalid sempena sambutan Hari Pahlawan:

Hari Pahlawan atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'Heroes Day' atau 'Warriors Day'.

Negara-negara lain di seluruh dunia turut menyambutnya walaupun berbeza tarikh dan secara tradisinya istiadat kemuncak diadakan di Tugu Negara.

Mulai 2010, sambutannya berubah di Dataran Merdeka sehinggalah pada kali ini dan sambutan Hari Pahlawan sebenarnya sudah bermula.

Pada 26 Julai lalu, khutbah khas Hari Pahlawan diadakan di Masjid Negara dan pada 30 Julai majlis berbuka puasa, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Negara dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pembesar-pembesar negara serta kepimpinan dan anggota PDRM dan ATM.


Pada 31 Julai, kemuncak acara iaitu istiadat sambutan di Dataran Merdeka dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, pegawai-pegawai kanan polis dan tentera, diplomat-diplomat dan kedutaan serta orang ramai.

Tujuan sambutan ini bagi mengenang jasa para pejuang dan pahlawan negara yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta iaitu pengorbanan jiwa dan raga.

Rakyat perlu menghargai pengorbanan para pahlawan kita yang berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi pengganas komunis, anasir-anasir subversif serta musuh-musuh negara,

Perjuangan terbaharu pasukan keselamatan PDRM dan ATM adalah semasa Ops Daulat di Lahad Datu baru-baru ini.

Sambutan ini juga untuk memperlihatkan kepada generasi kini dan akan datang bahawa kita sentiasa mengenang dan menghargai jasa para pahlawan yang telah terkorban dan juga menghargai pengorbanan mereka yang tercedera mengalami kecacatan fizikal yang kekal semasa berjuang di medan juang.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan dalam semangat 1Malaysia, bersatu dan bersama-sama memberi penghargaan yang sewajarnya dalam apa jua bentuk sama ada bantuan atau sokongan, kepada pahlawan-pahlawan negara yang masih ada, atau pun kepada balu-balu, keluarga serta waris-waris yang ditinggalkan mereka.

Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara ini, pelbagai penghargaan dan pingat-pingat kebesaran serta keberanian telah dikurnia serta dianugerah kerajaan kepada para pahlawan, seperti pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan darjah kebesaran tertinggi negara dan pingat keberanian seperti Panglima Gagah Berani (PGB) dan juga pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).

Sehingga kini jumlah penerima pingat tersebut adalah seperti berikut: SP (7), PGB (15) manakala JPP (30).

Kerajaan juga sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga para pahlawan, termasuk anak-anak dan isteri mereka.

Dalam erti kata lain, kebajikan para pahlawan negara dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan kita tidak pernah melupakan mereka.

Bersempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini, saya ingin menyeru kepada semua peringkat lapisan rakyat, agar meningkatkan lagi semangat patriotisme iaitu semangat sanggup berkorban demi negara, perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa.


Kepada para pahlawan yang masih ada, tetapi telah hilang upaya, serta sanak-saudara, pahlawan-pahlawan yang telah kehilangan tempat bergantung diharap agar mereka dapat menempuh ujian dan dugaan hidup dengan penuh ketabahan, kesabaran dan keyakinan.

Kita sentiasa berdoa, agar Allah SWT memberikan rahmat dan hidayah serta kesejahteraan kepada mereka.

Bagi para pahlawan yang masih berkhidmat, diharap teruskanlah khidmat bakti yang murni ini. Ingatlah bahawa harapan masyarakat kepada para anggota pasukan keselamatan adalah cukup tinggi.

Sebagai perisai dan pedang negara jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini secara yang terbaik sesuai dengan semangat sumpah ikrar yang telah kita lafazkan sebelum ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, agar mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban utk negara.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negara kita sentiasa dicucuri limpah kurnia dan rahmat-Nya yang berkekalan.

Juragan Malawati..

Selasa, 30 Julai 2013

Isu fitnah 'Kantin Tandas' SK Seri Pristina : 'Orang luar sengaja mahu buat kecoh'?



Dua ugutan yang diterima Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana (SKSP), Mohamad Nasir Mohd Noor dipercayai didalangi orang luar yang sengaja mahu menimbulkan kekecohan atau mempunyai agenda tertentu.

Ketua Polis Darah Sungai Buloh, Asisten Komisioner Junaidi Bujang, berkata siasatan awal turut menolak kemungkinan ia dilakukan ahli keluarga murid di sekolah berkenaan.

Orang Luar

“Polis sudah membuka kertas siasatan sebaik menerima laporan daripada guru besar sekolah berkenaan semalam (kelmarin). Kes berkenan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


“Bagaimanapun, hasil penelitian pihak polis mendapati, mereka yang melakukan ugutan itu adalah orang luar yang tiada kaitan langsung dengan sekolah berkenaan. Mungkin kerana terlalu emosi tanpa mengetahui kebenaran sebenar.

“Siasatan lanjut giat dilakukan dan polis kini mengesan individu yang bertanggungjawab membuat ugutan jenayah itu,” katanya ketika dihubungi disini semalam.

Buat laporan polis

Akhbar semalam melaporkan, Mohamad Nasir membuat laporan polis selepas menerima dua ugutan dipercayai berkaitan isu penggunaan bilik persalinan yang dijadikan kantin sementara di sekolah berkenaan.

Mohamad Nasir menerima dua ugutan oleh individu tidak dikenali selain dikecam dengan kata-kata kesat di dalam laman sosial sehingga mengganggu emosi beliau sekeluarga.

Pada masa sama, Ketua Cawangan UMNO Seri Pristana, Rosli Lep turut membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama berikutan berlaku kekecohan di pintu masuk sekolah berkenaan membabitkan 30 individu yang bukan penduduk dari kawasan berkenaan.

Reaksi positif

Junaidi berkata, sejak gambar berkenaan tersiar dalam Facebook, pihaknya menerima 12 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak termasuk ibu bapa pelajar terbabit.


Bagaimanapun, katanya, kebanyakan laporan yang dibuat keluarga murid sekolah itu tidak menyalahkan tindakan pihak sekolah terbabit yang menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara, sebaliknya menyokong dan memahami kesulitan yang dialami sekolah itu.

“Semua ibu bapa memberikan reaksi positif, namun yang menimbulkan kekecohan adalah orang luar yang tiada kaitan dengan sekolah berkenaan tanpa mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Juragan Malawati..

Sabtu, 27 Julai 2013

Luahan hati kekecewaan Guru Besar Melayu SK Sri Pristina terhadap Umno !!


"Mana perginya pemimpin UMNO, tidak ada seorang yang tampil membela saya," luah Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Noor.

Sedangkan menurut Mohamad Nasir beliau telah bekerja bertungkus-lumus untuk UMNO semasa pilihan raya lalu sehingga beliau tidak dapat memberi perhatian kepada allahyarham isterinya yang ketika itu sakit kanser.

Katanya, setelah berkhidmat sepenuh jiwa untuk UMNO, wakil rakyat di kawasan pun tidak datang mempertahankan beliau yang telah dianiaya dengan tuduhan tidak berasas.

Mohamad Nasir diarahkan bercuti seminggu setelah terkait dengan kontroversi apabila seorang bapa murid bukan Islam di sekolah berkenaan mendakwa mereka ditempatkan di dalam tandas ketika waktu rehat.

Sebuah blog sebelum ini melaporkan murid-murid bukan beragama Islam di sekolah berkenaan telah ditempatkan di dalam tandas sewaktu rehat pada bulan Ramadan.


Menurut Mohamad Nasir, semua laporan polis dibuat adalah terhadap beliau yang dituduh mengambil tindakan yang tidak bertamadun.

Tambah Mohamad Nasir, beliau pada masa ini diarahkan supaya bercuti rehat seminggu dan sebarang tindakan akan diambil selepas itu.

Beliau juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama di Sungai Buloh, setelah merasakan dirinya telah difitnah. Mohamad Nasir Mohd Noor membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama pada pukul 11 pagi ini.

Laporan polis itu katanya, dibuat kerana kecewa dengan sikap ibu bapa pelajar dan beberapa pihak lain yang menfitnahnya sebagai bertindak secara tidak bertamadun.

"Saya juga menerima panggilan telefon yang mencerca dan termasuk mengugut berikutan fitnah tersebut," katanya.



Mengulas mengenai dakwaan bapa murid berkenaan, Mohamad Nasir berkata, murid-murid ditempatkan di bilik persalinan berkenaan sejak tiga bulan lalu, tanpa mengira kaum atau agama.

Tambah beliau, ini adalah kerana kantin sekolah berkenaan kecil dan tidak mampu memuatkan jumlah murid yang ramai.

Pada sebelah pagi pula ujar beliau, matahari memancar terus ke kawasan kantin dan murid-murid tidak mahu makan di kawasan berkenaan kerana panas dan mereka makan di tepi longkang.

"Saya lihat tempat berkenaan tidak bersih, jadi saya tempatkan mereka di bilik persalinan yang kebetulan tidak digunakan sepenuhnya," katanya.

Bilik persalinan berkenaan, katanya, memang jarang digunakan kerana murid-murid dibenarkan memakai pakaian sukan jika terdapat mata pelajaran jasmani atau aktiviti kokurikulum.

Pada masa yang sama beliau telah meletakkan notis melarang murid-murid membuang air di bilik berkenaan dan paip air di bilik berkenaan telah dikunci.

Bilik berkenaan juga, katanya, mempunyai sinki untuk digunakan bagi mencuci tangan sebelum makan.

Adakah kita bakal mendapat seorang lagi pembangkang! Fikir-fikirkanlah...!!!

Juragan Malawati..

Jumaat, 26 Julai 2013

Penjelasan Guru Besar SK Seri Pristana!


Bilik tersebut adalah bilik persalinan yang sudah diubah suai untuk dijadikan tempat kantin sementara dan bukannya tandas. Bilik itu juga sangat bersih dan bukan sahaja non muslim yang menggunakan bilik tersebut. Murid dan guru muslim juga turut menggunakan bilik persalinan itu untuk majlis jamuan dan sebagainya.

Bilik persalinan itu sebenarnya digunakan sejak Mac lalu berikutan kantin sekolah berkenaan tidak mampu menampung bilangan murid pada waktu rehat. Difahamkan, bilik persalinan itu yang baru dibina tidak pernah digunakan dan ia hanya digunakan sebagai tempat makan sejak awal tahun ini, malah ia digunakan semua murid di sekolah berkenaan tanpa mengira agama dan bangsa. Bilik persalinan itu dihias seperti kantin dan meja dan kerusi yang ditempatkan di dalam bilik berkenaan juga sama seperti yang ada di kantin.

Pada masa yang sama, bilik persalinan itu tidak pernah digunakan untuk membuang air kecil dan sebagainya. Perkara ini tersebar tanpa mendengar penjelasan dari dua pihak dan akhirnya menyebabkan isu sensitiviti berlaku pada bulan Ramadan.



Berita terbaru :

KUALA LUMPUR : Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini, membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lalu.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

"Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan 'If I meet you, i will kill you' (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.

"Sebelum ini, memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. - BERNAMA

Juragan Malawati..


Khamis, 25 Julai 2013

ISU KANTIN : KESILAPAN KAMALANATHAN TERIKUT PROPAGANDA PIHAK NAK CETUS PERKAUMAN!


Bila menonton di Buletin Utama TV3 baru-baru ini , nada lain telah kedengaran dari mulut Timb Menteri P.Kamalanathan dan isu ini berjaya diselesaikan selepas kantin akan dibuka semula .

Baru dia sebut didalam sidang medianya:

1 - Bilik persalinan ini sudah digunakan pada bulan Mac

2- Pelajar dan Guru berbangsa Melayu pun makan di bilik persalinan ini

3- PIBG juga telah dimaklumkan dan dipersetujui ibubapa

Sebelum ini beliau bukan main lagi marah lagi kepada pihak sekolah dan anda boleh lihat kenyataannya ini .

"Perkara ini tidak harus berlaku. Saya kecewa. Kementerian memandang serius perkara ini dan meminta BPSH membuat siasatan serta-merta dan katakan pada kita mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pegawai yang membuat keputusan ini (makan di bilik persalinan)," katanya kepada Bernama di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

"Ia hanya bilik persalinan dan bukanlah tandas. Walaupun ia bilik persalinan, itu bukanlah tempat untuk kita makan, no foods allowed," tegasnya sambil berkata beliau difahamkan kantin sekolah itu baru memulakan proses penambahbaikan hari ini.


Kesimpulannya, kepada semua Pak Menteri supaya jangan ulangi kesilapan yang dilakukan P Kamalanathan akibat termasuk perangkap isu perkauman & agama yang dimainkan pihak tertentu termasuk pembangkang .


Isu ini kecil sahaja tetapi bila dimuatkan oleh ibubapa ( Bodoh ) ke laman media sosial facebook dan tidak mengikut saluran sepatutnya ( laporan aduan ke PPD , sekolah ), ia meletop kerana disensasikan oleh pihak yang mahu cetuskan isu perkauman!

Pak Menteri seperti Kamalanathan pulak cepat melompat maklumlah beliau antara Menteri BN yang cukup aktif di twitter & media sosial. Jadi tanpa menyiasat terlebih dahulu dan mendapat info sebelah pihak sahaja terus dibuat kenyataan media yang terang-terang menghentam pihak sekolah seperti pembangkang.



Sewajarnya beliau sebagai Menteri perlu pertahankan sekolah dengan menyatakan siasatan akan dibuat kementerian seperti mana hari di mana beliau sendiri baru turun padang .

Jadi, hati-hati dengan propaganda pihak nak cetuskan perkauman terutama di laman media sosial facebook. Kebenaran hanya dapat diketahui bila siasatan lengkap dan tepat dibuat bukannya meluahkan kemarahan terus setelah mendapat berita.

Juragan Malawati..