UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 31 Januari 2013

Kemesraan Karpal, Nik Aziz lakonan semata-mata?



Kemesraan yang diperlihatkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh, disifatkan tidak lebih daripada lakonan kedua-dua belah pihak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berpendapat, agak sukar untuk melihat keikhlasan dalam kerjasama politik kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu kerana masing-masing mempunyai ideologi yang terlalu berbeza dan penyokong fanatik tersendiri.

"Mereka boleh berlakon supaya masyarakat tengok tiada masalah tetapi realitinya saya fikir mereka susah untuk menyelesaikan dan menyelaraskan pendirian mereka.

"Dalam hal ini, mereka tidak lagi mengira untung rugi kerana matlamat mereka hanya satu iaitu untuk menjatuhkan UMNO, kehendak masing-masing memang berbeza tetapi mereka berpakat asalkan UMNO hancur," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Dalam laporan berita propembangkang, Malaysiakini pada 27 Januari lalu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan membuat 'kejutan' apabila menyambut hari jadi yang ke-82 di rumah Karpal di Jalan Scotland, Pulau Pinang.


Portal berita itu juga melaporkan, Nik Abdul Aziz memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Nakhaie, dengan PRU-13 semakin hampir, beliau tidak terkejut untuk melihat lebih banyak lakonan menarik daripada pemimpin-pemimpin parti pembangkang.

"DAP kita tahu menuntut hak kesamarataan semua kaum, tiada hak istimewa orang Melayu, bumiputera dan kedudukan agama Islam, pendek kata acuan yang sama seperti Singapura.

"Pas pula menggunakan Islam sebagai slogan dan retorik dalam kehendak jelas mereka untuk memusuhi UMNO," katanya.

Mengulas lanjut kata Nakhaie, beliau melihat kelebihan kini diperoleh DAP berikutan Pas telah banyak melonggarkan asas perjuangan mereka termasuk dalam soal pelaksanaan hukum hudud, penubuhan negara Islam dan kalimah Allah.

"Orang akan terus tertanya macam mana Nik Abdul Aziz boleh anggap merayakan Maulidur Rasul sebagai bidaah tetapi dia pula boleh merayakan hari jadi dia, ini antara lakonan-lakonan yang kita akan nampak," katanya. Selanjutnya baca di sini.

Juragan Malawati..

Sabtu, 26 Januari 2013

Terkini!!!...Ustaz Nasharudin dipecat dari Majlis Syura PAS?



Majlis Syura Ulama PAS dalam mensyuaratnya pada 13 Januari lalu telah memutuskan untuk menggugurkan Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya. Keputusan itu dibuat kerana beliau didapati telah melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama PAS, lapor 'Harakah Bil 1813 Edisi Isnin, 29 Januari 2013 pada muka belakangnya.

Setiausaha Majlis Syura, Dato' Nik Muhamad Zawawi Salleh menjelaskan, selain itu, Majlis Syura Ulama PAS juga mendapati tindak tanduk Nasharudin kebelakangan ini merugikan parti. Menurut beliau, selain itu, gelagat bekas Timbalan Presiden PAS itu juga didapati telah menimbulkan suasana yang keroh di kalangan ahli-ahli parti.

Majlis Syura Ulama PAS juga mendapati tindak tanduk Nasharudin kebelakangan ini telah menimbulkan fitnah bagi jamaah, di samping bercanggah dengan kaedah-kaedah dan pendirian yang dibuat oleh parti, tegasnya kepada Harakah 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, tegas Ustaz Nik Zawawi, keahlian Nasharudin dalam PAS masih dikekalkan, tetapi kedudukannya sebagai ahli biasa sahaja. Ustaz Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama

PAS Pusat menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS hanya menggugurkan beliau sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS, bukannya menggugurkan beliau daripada parti.

Juragan Malawati..

Jumaat, 25 Januari 2013

Tiba masa Pas keluar pakatan?



Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) menyelar sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat semakin angkuh kerana mempertahankan pendirian pembangkang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Penyelarasnya, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dalam nada tegas berkata, tindakan Anwar itu memperlihatkan pembangkang langsung tidak menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas sekali gus 'merobek' maruah parti itu dan umat Islam di negara ini.

Katanya, ketetapan Anwar itu juga jelas menunjukkan sudah sampai masanya Pas meninggalkan pakatan pembangkang.

"Sebelum ini Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama Pas dan kali ini Anwar pula. Jadi sudah tidak ada sebab untuk Pas kekal bersama pembangkang yang langsung tidak menghormati pendirian dan maruah parti itu.

"Keluarlah Pas daripada pembangkang dengan bermaruah demi mempertahankan akidah umat Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang menambah, Pas tidak perlu takut untuk kembali berjuang secara bersendirian jauh daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sebelum ini terbukti Pas mampu berjuang secara bersendirian sehingga dapat mempertahankan Kelantan dan merampas beberapa negeri daripada Barisan Nasional (BN).

"Malah, sekiranya Pas meninggalkan pembangkang, parti itu mampu menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang dan menjadikan Pas lebih dihormati oleh kawan serta lawan," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamed Hafiz turut meminta kepimpinan tertinggi Pas untuk membuka minda dan melihat lebih jauh ke hadapan dalam perjuangan mereka.

Juragan Malawati..

Selasa, 22 Januari 2013

Najib tiba di Gaza, PM Malaysia pertama lawat Palestin!


Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh pada Majlis Sambutan Perdana Menteri di Rafah di Gaza, Palestin hari ini. Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin setelah melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza hari ini.

GAZA - Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin apabila beliau mengadakan lawatan kemanusiaan ke Gaza hari ini.

Najib tiba di kawasan sempadan Rafah di wilayah Palestin kira-kira 10.40 pagi (waktu tempatan) atau kira-kira (4.40petang waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, di kawasan sempadan. Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan Palestin berkumandang selepas itu. Najib juga memeriksa kawalan kehormat Pasukan Polis Palestin.

Sebelum itu, Najib menempuh perjalanan sejauh 55km dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.


Selepas memeriksa kawalan kehormat, Perdana Menteri dan Ismail mengadakan perbincangan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Rafah.

Di Gaza, Najib dijadual melawat sekolah yang dibiayai rakyat Malaysia, Al Madrasah Al Malaziah, sebelum melawat tapak pembinaan pejabat baharu untuk Ismail. Pejabat lama Ismail musnah semasa serangan Israel pada November tahun lepas.

Kemudian, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan Ismail di Hotel Movenpick sebelum melawat Universiti Al-Aqsa, di mana Najib akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran.

Selepas itu, Najib akan berlepas ke Kaherah dan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Mesir Mohamed Morsi.

Perdana Menteri, yang sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Mesir, dan isteri, tiba di Kaherah 9 malam tadi, waktu tempatan. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Sabtu, 19 Januari 2013

Isu Bible dalam Bahasa Malaysia : PMBPP buat laporan polis?


Muhamad Fazmin (kiri) dan Salleh Ismail (tengah) menunjukkan kitab Bible yang diedarkan kepada pelajar beragama Islam serta gambar di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

Kira-kira 10 orang wakil ahli Persatuan Muka Buku Pulau Pinang (PMBPP) membuat laporan polis malam tadi berhubung satu gerakan yang dikesan mengedarkan kitab Bible versi bahasa Melayu kepada pelajar sekolah termasuk pelajar beragama Islam.

Pengerusinya, Salleh Ismail berkata, pihaknya mahu satu siasatan lengkap dibuat terhadap gerakan itu yang dilihat sengaja mahu menimbulkan ketegangan agama di antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tegasnya, tidak sepatutnya kegiatan berkenaan dilakukan terutamanya di hadapan sekolah dan melibatkan pelajar beragama Islam.

"Kegiatan ini sangat melampau dan sengaja mahu menyentuh sensitiviti agama, jadi kita mahu satu siasatan lengkap dibuat dan tindakan tegas diambil kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kita tidak mahu timbul pula ketegangan dan perbalahan ekoran gerakan begini yang sengaja mahu menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Jelutong tengah malam tadi.

Laporan itu dibuat PMBPP selepas menerima maklumat daripada ahli persatuan berkenaan, Muhammad Fazmin Premnazeer, 20.

Muhamad Fazmin menyedari kegiatan itu ketika sedang membantu datuknya yang membuka sebuah kedai makan di hadapan sebuah sekolah menengah di Jelutong kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Salleh dalam pada itu menambah, pihaknya juga mahu satu enakmen atau akta yang selari dengan perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dirangka bagi membendung gejala seperti itu di masa hadapan.


"Perkara 11 (4) itu jelas menyebut agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam, jadi mengapa berlakunya perkara seperti ini. Sudah lebih 50 tahun kita hidup aman dan menghormati sesama sendiri.

"Oleh itu jangan kerana perkara seperti ini, keamanan yang kita nikmati hari ini hilang begitu sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Fazmin berkata, dia terkejut apabila melihat dua lelaki yang mulanya disangka mengedarkan keratan promosi tertentu kepada pelajar sekolah sebaliknya mengedarkan kitab Bible.

Katanya, kegiatan lelaki berkenaan terbongkar apabila seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun memasuki gerai makan milik datuknya.

"Saya curiga dengan tingkah laku dua lelaki berkenaan dan terus bertanya kepada pelajar terbabit selepas melihat dua lelaki itu ada memberikan sesuatu kepadanya.

"Terkejut saya apabila mendapati ia adalah sebuah kitab Bible yang turut mengandungi pelbagai bahasa dan bentuk tulisan seperti jawi, Tamil dan Inggeris," dakwanya.

Muhammad Fazmin berkata, dia terus menegur perbuatan dua lelaki terbabit dan meminta mereka beredar dan berhenti daripada terus mengedarkan kitab berkenaan.

"Namun setelah berkali-kali ditegur sehingga pihak pengurusan sekolah datang barulah mereka beredar selepas kira-kira 30 minit.

"Saya rasa sepanjang masa itu ada kira-kira 50 buah kitab Bible diedarkan kepada para pelajar termasuk mereka yang beragama Islam," katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 18 Januari 2013

Kejadian Aneh, Allah Tutup Arah Kiblat Untuk Peserta HKR?



Telah berfirman Allah SWT di dalam al-Quran :-

“And We have put a bar infront of them and a bar behind them , and further We have covered them up, so that they cannot see”.

Atau dalam bahasa melayu,

“Dan kami adakan tutupan dihadapan mereka dan tutupan dibelakang mereka dan kami tutup mata mereka sehingga mereka tidak dapat melihat”.

Surah Yaasin –ayat 9.

Bermakna walau mata mereka terbuka tetapi penglihatan tertutup. Bermakna juga walaupun mereka perasan nampak tapi sebenarnya telah dilindungi. Kerana Allah SWT maha berkuasa keatas segala perkara.

Himpunan melawan uli-amri telah tidak mendapat restu Allah SWT. Walaupun mereka ramai pada perkiraan mereka sendiri 40,000 dari 28 juta rakyat Malaysia boleh dikira ramai jugalah pada mereka yang bijak mengira. Jika ahli PAS sahaja yang ada sejuta lebih dan ahli PKR serta DAP yang ada lagi sejuta lebih, maka 40,000 orang mereka anggap sudah ramai .

Di antara yang ramai itu pastinya ada peralatan canggih dan moden, smartphone dan tablet atau pun paling 'cekai' kompas murah. Jika tidak ada ini semua pastinya matahari terbenam dan alihkan sikit mengadap itu.

Tetapi Allah SWT tidak izinkan itu berlaku. Jika didalam Quran Allah SWT ada menyampaikan perintah “dan berpesan-pesanlah kamu” maka pastinya berpesan sesama sendiri sudah cukup memadai. Tetapi nampaknya tidak, mereka gagal berpesan sesama sendiri. Mungkin juga kerana Allah SWT tidak mengizinkan kerana mahu menunjukkan sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Maka apakah yang terjadi? Mereka solat dalam keadaan seolah-olah tidak nampak arah kiblat. Tambahan berpuak-puak dan asing-asing, satu kumpulan mengadap ke sana, satu kumpulan mengadap ke sini. Dan paling pelik, antara mereka tidak ada yang dapat menegur pihak yang berlainan kiblatnya. Sedang kita jika nampak orang tersalah kiblat pun kita akan menegur, namun ia tidak terjadi di dalam stadium itu. Walau berpuluh-ribu ramainya pun tidak seorang dapat melihat kesilapan kumpulan yang mengadap kearah lain. Ini dengan kehendak Allah SWT.

Apakah berkumpul di antara mereka yang datang dengan niat jahat, mengharapkan sesuatu berlaku kepada negara walaupun sudah di sediakan pilihanraya yang aman untuk mereka. Apakah ayat Quran “dan jangan lah kamu melampaui batas” tidak pernah mereka baca?

Menuntut itu dan ini dari pihak uli-amri sedangkan mereka sendiri tidak tunaikan kerja dan tanggungjawap di negeri yang mereka sendiri perintah itu satu kebenaran?

Apakah menghina sesama Islam kerana konon-kononnya puak yang lain tidak Islam dan menolak Islam versi mereka itu satu kebaikan? Dan berakhir pula mereka dengan menyokong puak yang tolak Islam juga seperti calon pemimpin mereka sendiri.

Dan apakah perjuangan buku Jingga yang tiada Islam lansung didalamnya itu perjuangan Islam? Dan paling jengkel, adakah membela pihak yang terang-terangan mahukan pluralisma dan liberalisma itu satu perjuangan Islam?

Kini bakal tercatit didalam kotak minda rakyat bahawa himpunan ini sudah tersalah kiblat didalam solat dengan mengadap pelbagai penjuru hanya untuk menyembah tuhan yang satu yang mereka bantu menyerahkan namanya kepada puak kafir untuk dijadikan Allah SWT sebagai sekutu.

“Taatlah kepada Allah SWT, rasul dan uli-amri” tetapi puak ini tidak taat kepada uli- amri Islam nya, malah mereka mahu mengantikan dengan uli-amri yang ditunggang oleh pihak kafir.

Maka pihak yang engkar dengan perintah Allah SWT ini diaibkan. Sudahlah sikit jumlah nya, bersolat pula pelbagai arah. Yang tinggal cuma 'perasan' yang mereka lebih Islam dari orang lain. Datang membela pemimpin bermasalah dengan isteri orang kanannya di anggap kerja agama.

Kini akan tercatat lah dalam sejarah, kegagalan menentukan kiblat walaupun mereka ada ramai dimajlis yang tidak direstui uli-amri dan rakyat yang lain, kerana Allah SWT amat membenci mereka yang melakukan kerosakan dimuka bumi sambil mereka kufur nikmat.

Sumber : selangordaily

Juragan Malawati..

Khamis, 17 Januari 2013

Pas berjaya diperalat DAP dalam hal ehwal Melayu, Islam?



Apa yang ketara sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan dan berjaya memerintah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan, pengaruh DAP dalam pakatan itu adalah jauh lebih besar daripada bilangan kerusi DUN dan Parlimen yang dimenanginya dalam PRU 12.

Di Pulau Pinang, kuasa DAP adalah total dan anggapan bahawa Lim Guan Eng adalah 'tokong' di negeri itu merupakan satu ungkapan yang sungguh tepat.

Di Selangor, Exco dari DAP berpengaruh begitu kuat sehingga Menteri Besar dari PKR kelihatan seperti toothless (tak bergigi) dalam isu-isu tertentu, termasuk yang melibatkan hal ehwal Melayu dan Islam.

Malahan ia memaksa Pas mengorbankan pegawai kanan parti yang memegang jawatan Exco Kanan, atas desakan DAP. Apa yang jelas selama hampir lima tahun DAP berdamping dengan PKR dan Pas, parti itu telah dapat mengenali kelemahan-kelemahan mereka.

Mereka tahu Pas khasnya sanggup berkompromi mengenai perjuangan untuk mewujudkan negara Islam asalkan Pakatan Rakyat berkuasa. Mereka juga tahu Pas sedia berkompromi dalam hal-hal lain seperti pelaksanaan hukum hudud, dan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

DAP juga menggalak dan menyokong sepenuhnya PKR memeluk dan menyebarkan ideologi sekular, liberal dan pluralisme, walaupun kebelakangan ini ia sendiri menunjukkan kecenderungan mendokong agama Kristian.

Lebih dari segalanya kedua-dua DAP tahu PKR dan Pas kini terbelenggu dengan keghairahan untuk menakluk Putrajaya, tidak kira siapa yang menjadi 'pasangan tidur sebantal'.

Antara dua parti PR itu, Pas mengalami pergolakan yang lebih besar. Golongan sekular dalam parti itu yang mendapat inspirasi dari luar parti, kini mendominasi parti, sementara golongan ulamanya kini semacam terpinggir.

Pas juga dilanda krisis kepimpinan kerana ia telah begitu lama berpegang kepada ketaksuban kepada pemimpin tertentu dan tidak lagi mengamalkan mesyuwarah dan muzakarah seperti di zaman kegemilangannya.

Bahkan boleh dikatakan Pas telah mencapai satu peringkat spiritual dictatorship yang mengetepikan keagungan ilmu dan pandangan orang ramai.

Lebih menyedih dan membahayakan, strategi DAP mengeksploitasi kelemahan-kelemahan PKR dan Pas, telah menimbulkan perpecahan di kalangan orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya.

DAP tentu merasa begitu berpuas hati mendengar fatwa kepimpinan Pas yang berulang kali menghalalkan parti itu sebagai sahabat Islam sementara UMNO dianggap kafir kerana bekerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain parti bukan Islam dalam BN.

DAP tentu juga tersenyum lebar dengan tindakan Pas 'mendoakan' kejatuhan UMNO dan BN yang merupakan tikaman runcing bambu yang sungguh memilukan ke atas perpaduan Melayu dan Islam.

Sudah sampai masanya orang Melayu dan Islam menyedari musibah besar yang berlaku ke atas perpaduan mereka angkara tindak-tanduk dan permainan politik DAP dan kuda-kuda tunggangan mereka, PKR dan Pas.

Juragan Malawati..