UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 3 Oktober 2011

Karpal Singh hilang mood - Akui Anwar sudah tiada lagi hujah bela diri!

Karpal Singh, Ketua Peguam Bela Kes Liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui hari ini bahawa anak guamnya sudah tidak lagi peluang untuk memenangi kes itu jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ditolak mahkamah untuk menjadi saksi.

“Justeru, Rosmah mesti tampil ke mahkamah kerana itu sahaja peluang yang tinggal bagi Anwar.

“Kami berdoa Yang Arif menolak permohonan yang dibuat oleh Najib dan isterinya,” kata Karpal seperti dilaporkan portal pro Anwar, Malaysiakini, hari ini.

Karpal dilaporkan membuat kenyataan di atas, ketika mendengar permohonan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah untuk mengenepikan sapina menjadi saksi yang dikenakan ke atas mereka hari ini.

Sebelum ini, satu lagi portal pro Anwar, The Malaysian Insider pada 28 September lalu melaporkan kehadiran Najib dan Rosmah menjadi saksi adalah penting bukan untuk melengkapkan teori konspirasi, tetapi untuk mendapatkan penjelasan berkenaan pertemuan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan Najib dan Rosmah pada 24 Jun 2008.

Semasa memohon mengenepikan sapina, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib dan Rosmah berkata kedua anak guamnya bukan saksi yang penting dan relevan dalam kes liwat itu kerana pertemuan pada 24 Jun 2008, di luar daripada skop pertuduhan mahkamah iaitu pada 26 Jun 2008.

Merujuk kepada afidavit Najib untuk menyokong permohonannya bagi mengetepikan sapina itu, Hisyam berkata pertuduhan yang dihadapi Anwar ialah kejadian liwat yang didakwa berlaku pada 26 Jun 2008 manakala pertemuan pegadu dengan kedua anak guamnya berlaku pada 24 Jun 2008, bermakna kedua anak guamnya tidak relevan menjadi saksi dalam kes ini.

“Hujahan kami ialah ianya berupa “ekspedisi memancing” dan menyalahgunakan proses mahkamah di pihak responden pertama dan dengan itu mahkamah patut membenarkan permohonan pemohon-pemohon untuk mengetepikan sapina itu,” katanya.

Hujahnya lagi, adalah amat jelas bahawa tujuan kedua-dua sapina itu adalah untuk Najib dan Rosmah memberikan penjelasan dan pengesahan mengenai apa yang berlaku semasa perjumpaan dengan Mohd Saiful.

“Undang-undang membenarkan kedua-dua pemohon mengetepikan sapina itu jika pihak yang memohon sapina itu dikeluarkan tidak memenuhi keperluan daripada segi kerelevanan dan kepentingannya,” katanya.

Jyragan Malawati..

Ahad, 2 Oktober 2011

Hudud: DHPP kecewa tidak dipanggil berbincang!

Pemimpin Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) mendedahkan mereka tidak pernah dipanggil untuk berbincang atau diberikan penjelasan yang mendalam mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Ekoran daripada itu wujud 'cakap-cakap' yang menyatakan kepimpinan DHPP amat kecewa sehingga menyebabkan sayap yang baru ditubuhkan dalam parti itu kira-kira dua tahun lalu hilang kepercayaan kepada pemimpin tertinggi Pas dan mengancam untuk meninggalkan parti itu beramai-ramai.

Ketuanya, Hu Pang Chow ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini berkata, dalam politik tidak ada sesuatu yang pelik dan banyak perkara boleh berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam Pas sekarang. Saya tidak dipanggil untuk berbincang mengenai hudud ini, di Pantai Timur isu hudud tidak menjejaskan Pas kerana bukan Islam adalah minoriti tetapi kalau di Pantai Barat ya, malah saya mendapat terlalu banyak panggilan telefon mengenai isu ini.

"Masa depan DHPP saya tidak tahu tetapi dalam politik apa pun boleh berlaku. Kalau bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad boleh keluar Pas, jadi tidak ada sesuatu yang pelik dalam politik," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa DHPP akan dibubarkan sebagai tanda tidak puas hati dengan kepimpinan Pas.

Pang Chow turut mendakwa pihaknya tidak pernah diberikan peranan dalam Pas biarpun mempunyai kira-kira 20,000 penyokong.

Sementara itu : DHPP mahu satu kerusi setiap negeri

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berharap sekurang-kurangnya seorang calon bukan Melayu diletakkan di setiap negeri dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti, kata Pengerusinya, Hu Pang Chow.

“Tidak kira calon kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) saya berharap seorang calon bukan Melayu akan bertanding kali ini.

“Bergantung kepada kesesuaian, jika ia sesuai untuk kerusi Parlimen maka calon bukan Melayu harus bertanding di kerusi itu. Kalau calon bukan Melayu sesuai untuk kerusi Dun, ia perlu bertanding di kerusi Dun,” kata beliau.

Tuntutan ini dibuat berikutan pemerhatian dan maklum balas yang mendapati bahawa sokongan masyarakat Cina terhadap parti Islam itu semakin meningkat.

“Sokongan di kalangan masyarakat Cina telah meningkat kerana masyarakat mahukan perubahan,” kata Hu.

Pada PRU 2008, PAS mencalonkan seorang calon keturunan India untuk bertanding kerusi Dun Tiram di Johor. R Kumutha telah bertanding atas tiket PKR kerana perlembagaan PAS tidak membenarkan masyarakat bukan Islam bertanding atas tiket parti Islam itu.

Bagaimanapun katanya, kepimpinan PAS mempunyai kata putus untuk menentukan sama ada mahu meletakkan calon bukan Melayu atau sebaliknya.

“Saya percaya pucuk pimpinan PAS mempunyai pertimbangan dan keputusan tersendiri dalam menentukan calon-calon untuk bertanding.

“Tentunya PAS akan mengutamakan calon yang boleh menang tidak kira mereka calon orang Islam atau bukan Melayu. PAS dan DHPP boleh berbincang untuk mengenal pasti kerusi yang sesuai untuk calon bukan Melayu bertanding,” tambahnya.

Namum sehingga hari ini katanya, kedua-dua pihak belum mengadakan sebarang rundingan atau perbincangan berkenaan calon bukan Melayu bertanding dalam PRU akan datang.

Jawap PAS..jangan tak jawap?

Juragan Malawati..

Sabtu, 1 Oktober 2011

Apabila PRU semakin dekat, kerajaan PKR Selangor sibuk bahagi-bahagikan 'Harta Perang'!

Kerajaan negeri Selangor kini diibaratkan sedang membahagi-bahagikan `harta perang’ antara mereka, selain menghabiskan aset dan harta yang telah dibangunkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Dato’ Haji Nawawi Mohd Zin berkata, negeri Selangor membangun ketika pentadbiran BN, dari sebuah negeri pertanian kita bangunkan menjadi sebuah negeri yang kaya raya sehingga Selangor mencari gelanggang untuk rakyat negeri lain mencari rezeki.

”Selepas menang PRU12 lalu, apa yang kerajaan negeri buat untuk memakmurkan Selangor. Apa pembangunan yang mereka buat selama mereka mentadbir Selangor.

Apa jasa mereka melainkan menghabiskan harta dan aset yang telah BN tinggalkan, habis semuanya hendak digadaikan untuk memenuhkan semula kantung kerajaan negeri yang telah dibahagi-bahagikan antara mereka,” ujarnya ketika dihubungi UMNO-Online mengulas isu tiga bangunan komersial PKNS iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Menara PKNS Petaling Jaya yang kini dalam proses pengambil alihan oleh ARREIT, sebuah konglomerat pelaburan.

Dalam masa yang sama, Nawawi turut mempersoalkan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

”Sekadar untuk menasihatkan agar jual aset sana, gadai aset sini, habiskan duit PKNS, lesapkan duit Yayasan Selangor, semua orang boleh buat tetapi apa kesannya kepada rakyat negeri Selangor.

Contohnya, kita difahamkan bahawa kadar sewa di Kompleks PKNS Shah Alam akan dinaikkan sehingga 100%. Peniaga dan penjaja yang menyewa tentunya akan meraung kerana kezaliman pentadbiran Kerajaan Dap-Pkr-Pas Selangor ini. Hampir 80% peniaga dan penjaja di Kompleks PKNS Shah Alam ialah orang Melayu,” ujarnya lagi.

Kerajaan negeri Selangor dan PKNS kini bukan lagi tempat untuk orang Melayu mengadu nasib untuk berjaya dalam kehidupan yang serba mencabar sekarang khususnya dalam dunia peniagaan.

Komen : Duit sepeninggalan BN di Yayasan Selangor sebanyak lebih RM80 juta dah tinggal defisit RM7 juta. Dalam masa 3 tahun, kemana mereka melesapkan wang tersebut. Sebanyak RM115 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat melalui MRRES kepada JKR negeri untuk penyelenggaraan jalan-jalan di negeri Selangor. Akan tetapi JKR negeri hanya dapat sebanyak RM45 juta sahaja. Kemana hilangnya baki sebanyak RM70 lagi? Aset PKNS juga telah ada yang dijual, tetapi tidak dimaklumkan kepada rakyat? Ini tidak termasuk duit dari hasil pasir lagi. Apa cerita MB Khalid? Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Khamis, 29 September 2011

Soalan yang sering ditanyakan kebanyakan orang, mengapa kerajaan tidak melaksanakan hukum HUDUD!

Sudah dinyatakan bahawa tidak semestinya hudud itu perlu dilaksanakan sekaligus atau secara terus. Perlu ada perancangan dan perencanaan yang teliti dan rapi dibuat sebelum kita mahu melaksanakannya secara total di negara kita. Tidak boleh kalau kita perintah hari ni, terus laksana hudud sedangkan masih ramai lagi yang jahil dan belum memahami sepenuhnya mengenai hukum Allah yang maha adil ini.

Pelaksanaannya bukan boleh main-main atau untuk dijadikan modal politik. Ia berkaitan dengan pandangan masyarakat terhadap Islam itu sendiri. Jika pelaksanaannya gagal, maka tidak dapat tidak akan timbul salah faham di kalangan masyarakat bukan Islam dan Islam sendiri. Mereka mungkin beranggapan bahawa undang-undang Islam itu tidak adil dan kacau. Padahal hukum Islam itu memang perfect tetapi disebabkan implementasinya lemah dan tidak bijaksana maka ia akan mencacatkan matlamat perundangannya.

Pelaksanaan hudud bukan soal kewajipan seperti solat dan puasa. Ia berkenaan istitho‘ah, kemampuan pemerintah melaksanakannya mengikut kesesuaian zaman dan tempat, sama seperti kewajipan ibadat haji. Suasana persekitaran yang tidak sesuai tidak memungkinkan pelaksanaan sesuatu undang-undang hudud. Ini pernah disebutkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Shukri Mohamed.

Memang menjadi kewajipan pemerintah melaksanakan hudud sama seperti kewajipan ibadat haji itu sendiri. Menolak kewajipannya bererti kita terkeluar daripada akidah Islam dan dengan sendirinya dihukum murtad. Tidak melaksanakannya atau menangguhkannya itu lain cerita. Kalau ada pemerintah yang tak mahu laksana tapi tak mempertikaikan kewajipannya walaupun dilihat mampu melaksanakan sepenuhnya hukum tersebut, ia tak boleh dihukum murtad. Ia samalah dengan orang yang sudah mampu mengerjakan haji tetapi masih belum mahu menunaikannya, hukumnya berdosa besar.

Adapun mengenai menangguhkan atau melakukan pemeringkatan dalam pelaksanaan undang-undang Islam, ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Jika sesebuah negara itu masih belum mampu melaksanakannya ia tidak mengapa sama seperti hukum mengerjakan haji terbabit. Bahkan mengikut kaedah fiqh yang masyhur, “Setiap perkara yang membawa kepada suatu kesempurnaan suatu kewajipan, maka perkara tersebut menjadi wajib pula dihukumnya.” Wajib bagi pemerintah menerapkan pemahaman secara berperingkat dan membuat perencanaan sebelum melaksanakan hukum hudud itu.

Ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan kita dan ianya terbukti apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana beliau mengakui bahawa kerajaan telah pun menghubungi kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan satu model yang boleh dijadikan contoh untuk pelaksanaan hudud. Bagaimanapun, masih belum diterima sebarang respon daripada Arab Saudi. Melalui pendidikan, kita boleh lihat melalui matapelajaran Tamadun Islam yang diperkenalkan di peringkat pengajian tinggi dan penyusunan semula sukatan Pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah.

Berkaitan pemeringkatan dalam pelaksanaan hudud ini, Dr. Yusuf Al Qardhawi ada membincangkan di dalam tulisan beliau. Kata beliau, pemeringkatan itu merupakan salah satu sunnah Allah di alam semesta dan di dalam syariah. Allah telah menentukan pelbagai perintah dan mengharamkan perkara yang haram secara berperingkat sebagaimana diwajibkan puasa, diharamkan arak dan seumpamanya.

Alangkah baiknya di sini apa yang dinyatakan oleh para ahli sejarah tentang Umar bin Abdul Aziz sewaktu beliau menjadi Khalifah, setelah manusia menyeleweng daripada manhaj al Khulafa’ ar Rasyidin, melakukan kezaliman, mencuaikan hak manusia dan melampaui hudud Allah.

Anaknya yang beriman lagi bertakwa bernama Abdul Malik datang menemui beliau dan berkata dengan penuh semangat, “Wahai ayahku, kenapa kamu lambat melaksanakan semua perkara ini? Demi Allah, saya tidak akan peduli sekiranya saya dan ayah mengelegak pada jalan Allah ini.”

Lalu bapa yang bijaksana ini menjawab, “Wahai anakku, sesungguhnya Allah telah mencela arak pada dan ayat dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang untuk membawa manusia kepada kebenaran secara sekaligus lalu mereka menolaknya secara sekaligus juga.”

Jelas beliau berpandangan bahawa adalah suatu kebijaksanaan bersikap lemah lembut dan berperingkat dengan manusia sehinggalah mereka menerima kebenaran yang sepatutnya diterima.

Dalam masalah yang sama, Umar Abdul Aziz juga pernah berkata, “Sesungguhnya kaum kamu (Bani Umaiyah) telah mengikatkan perkara ini satu ikat demi satu ikat. Apabila kamu mahu memaksa mereka untuk menarik balik apa yang ada pada tangan mereka , maka saya tidak jamin mereka tidak akan menentang saya yang akan membanyakkan lagi pertumpahan darah. Demi Allah, runtuhnya dunia ini adalah lebih ringan bagi saya daripada ditumpahkan darah kerana saya! Tidakkah kamu redha sekiranya kamu datang pada setiap satu hari mendatangi ayah kamu melainkan kamu ini telah mematikan satu bidaah dan menghidupkan satu sunnah?”

Inilah dia pandangan realiti yang bijaksana yang diyakini, tetapi hendaklah difahami bahawa pemeringkatan (beransur-ansur) dalam pelaksanaan syariah bukanlah bererti membatalkan pelaksanaan hukum syariah atau menggantungkan pelaksanaannya hingga ke tempoh yang tidak ditetapkan. Bahkan ia sebenarnya bererti meletakkan perancangan rapi yang mempunyai peringkat yang telah ditetapkan bagi memindahkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dengan memberikan keutamaan bagi sudut pendidikan, media massa dan thaqafah yang bekerja secara bekerjasama dan saling melengkapkan bagi membina manusia yang dikehendaki oleh Islam dan menyediakan suasana yang patut bagi memastikan seluruh syariat Islam itu dilaksanakan dengan jayanya.

Permulaan bagi itu semua ialah menghapuskan halangan di hadapan para pendokong Islam yang benar dalam bentuk individu dan kumpulan dan memberikan jaminan kebebasan yang perlu untuk mereka, supaya mereka dapat melaksanakan tugas mereka untuk berdakwah, memberikan kesedaran, pendidikan dan pembentukan diri. Ini semua adalah perkara yang paling utama.

Pemeringkatan yang perlu menurut Dr. Yusuf Al Qardhawi ialah dengan meletakkan matlamat di hadapan mata, berusaha keras untuk sampai kepadanya, tidak berlalu satu hari, sebagaimana yang dinyatakan oleh Umar bin Abdul Aziz, melainkan dia telah mematikan satu bidaah jahiliyah dan menghidupkan satu sunnah Islam.

“Ziad bin Hudair meriwayatkan bahawa Umar r.a. telah berkata kepadanya: Apakah engkau ketahui apa yang akan meruntuhkan Islam? Kata Ziad: Aku menjawab: Tidak! Beliau berkata: Islam diruntuhkan oleh kesalahan alim ulama dan perdebatan orang munafiq dengan al Kitab dan pemerintahan imam-imam yang menyesatkan.” (H/R Ad Darimi : Sahih)

“Janganlah seseorang itu menuduh seseorang yang lain dengan tuduhan kafir atau fasik, maka perbuatan itu akan kembali kepadanya sekiranya orang yang dituduh itu bukan seperti itu (bukan golongan kafir atau fasik).” [H/R Muslim dan Ahmad].

Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Isnin, 26 September 2011

Amaran di Raja : Jangan peralatkan Islam untuk dapatkan kuasa!

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada prinsip-prinsip menyentuh akidah.

Pada masa sama baginda dalam titah ucapannya turut mengingatkan bahawa kemusnahan ummah bukan lagi menghadapi pencerobohan daripada Alfonso de Alburque atau Stamford Raffles atau Francis Light mahu pun Yamashita tetapi ia datang daripada pencerobohan baru melalui manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara.

Baginda bertitah pencerobohan baru itu turut berlaku melalui perlanggaran penggunaan kalimah suci Allah yang telah sekalian lama menjadi hak eksklusif umat Islam tanpa menghiraukan sensiviti serta terhirisnya perasaan mereka.

''Nama suci Allah yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. Allah yang merupakan kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.

''Kalimah suci Allah bukan sekadar nama am yang bermaksud Tuhan walau apa bentuknya. Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut apabila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Allah adalah nama khas-Tuhan Maha Suci-Tuhan Maha Agong. Allah adalah satu-satunya," titah baginda.

Baginda bertitah ketika menyampaikan titah ucapan diraja yang bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu Raja Nazrin berkata, adalah amat merbahaya sekiranya prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.

''Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku itu merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh Allah terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini. Ujian Allah terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya sama ada di kalangan ulama, barisan kepimpinan, organisasi politik hatta raja-raja.

''Ini juga merupakan ujian terhadap ketegasan umat Islam dalam mempertahankan kalimah tauhid, keesaan ilahi, Allah yang satu lagi berkuasa atas segala-galanya dan Allah yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan," titah baginda.

Dalam menghadapi cabaran besar ini baginda menyeru semua umat Islam berpegang dan yakin kepada kalam Allah yang terkandung dalam petikan ayat 26 surah Ali Imran yang bermaksud 'Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Raja Nazrin bertitah, yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah Allah kerana ia datang daripada Allah dan Allah sahaja yang boleh memberi berkat, memberi kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.

''Hanya disebabkan politik, umat Islam janganlah sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang kepada sesiapa sahaja 'mengAllahkan' apa sahaja yang mereka anggap tuhan. (Ia merupakan) satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan akidah," titah baginda.

Siapa yang makan cili, maka merekalah yang akan terasa pedasnya. Mudah-mudahan kita semua mengambil iktibar dari apa yang telah disampaikan oleh baginda Tuanku Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. InsyaAllah.

Daulat Tuanku!

Juragan Malawati..

Ahad, 25 September 2011

Email dari bekas ahli PAS : Antara realiti dan sandiwara PAS!

Saya sering mengikuti ceramah anjuran parti pembangkang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya sanggup mendengar ceramah hingga ke luar daerah kerana tertarik dengan pelbagai isu hangat dan sensasi yang didedahkan oleh tokoh terkenal Pakatan Rakyat.

Selepas ceramah didengar, saya akan balik dan dengan bangganya mengulas dan memberitahu perkara yang ditimbulkan kepada rakan-rakan lain yang sealiran. Kadang-kadang membabitkan rakan lain yang tidak sealiran hingga timbul perbincangan dan perdebatan hangat.

Kami menghabiskan masa berjam-jam setiap kali berkumpul di warung untuk mengupas persoalan semasa, seolah-olah warung itu menjadi ‘mini Parlimen’.

Kami puas membelasah apa saja yang dilakukan oleh kerajaan, sepertimana penceramah pembangkang yang kami dengar memaki-hamun pemimpin kerajaan secara terbuka. Pendeknya kebencian lami sungguh mendalam dan meluap-luap hingga jika kami disuruh membakar Putrajaya pun kami sanggup.

Bagaimanapun keyakinan kami kepada pembangkang sedikit demi sedikit menjadi luntur tanpa kami sedari. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang dengan sendirinya menjadikan kami garu kepala yang tidak gatal. Malah kami gagal membela hujah pemimpin kami disamping gagal menangkis serangan dan bidasan oleh rakan kami yang tidak sealiran dengan kami.

Dari rancangan lama PAS untuk melelong Putrajaya, mengeluarkan Perlis dari Malaysia, mengharamkan BSKL, bekerjasama dengan DAP, memilih perempuan tidak cantik untuk bekerja, tindakan menyimpan dokumen rahsia kerajaan di luar negara dan bermacam-macam lagi agenda politik pembangkang benar-benar merimaskan kami. Ini termasuklah yang terbaru apabila Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu pula mengakui komunis adalah pejuang kemerdekaan!

Kami baru terfikir bahawa bercakap dan mengkritik memang mudah tetapi untuk melaksanakannya adalah satu hal yang lain. Macam-macam ikrar dan janji boleh dibuat sekarang, tetapi bolehkah ia diterima rakyat?

Seorang rakan saya dari Pantai Timur mencemuh pemimpin pembangkang yang hanya pandai menjelajah ke seluruh negara mencaci pemimpin dan dasar kerajaan dengan bahasa yang memualkan. Tapi katanya mereka ini mengata dulang paku serpih lagaknya. Kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Katanya bagus sangatkah pemimpin pembangkang menjaga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen mereka? Menurutnya ada di antara mereka ini sukar ditemui. Apa tidaknya, saban malam berarak dari Perlis ke Sabah! Maknanya mereka ini bukan pemimpin berjiwa rakyat.

Sambungnya lagi ada di antara mereka ini berada dalam kebimbingan kerana bimbang pengundi tempatan akan menghukum mereka pada pilihanraya nanti. Sebab masa kempen tahun 2008, mereka janji tetapi lepas itu batang hidung pun susah nampak. Sesetengahnya sudah melobi untuk berpindah kawasan, supaya pengundi kawasan baru boleh digula-gulakan.

Berhubung soal ceramah pembangkang, kami juga senak perut mendengar kata-kata nista mereka apabila berceramah. Dalam masa kira-kira sejam, kita boleh kumpul lebih 20 kata kesat yang tidak sanggup saya senaraikan di sini. Saya hairan mereka berkelulusan agama dan ada yang boleh dipanggil ulama sanggup bertindak demikian. Tidak rasa bersalah ke?

Mana akhlak dan moral pemimpin berjiwa Islam? Apa perasaan mereka apabila orang lain melontarkan kata-kata sedemikian kepada mereka?

Yang pasti kalau kita harapkan peningkatan ilmu dan iman hasil daripada mendengar ceramah Pakatan Rakyat, maka kita akan kehampaan. Peliknya apabila kata-kata kesat dituju pada pihak kerajaan, disahut dengan takbir. Pada saya hal ini amat tidak kena.

Seperkara yang saya nampak pihak pakatan rakyat begitu yakin akan kejayaan mereka membentuk kerajaan selepas pilihanraya. Mereka mendakwa kemenangan sudah dalam tangan. Pastinya mereka terpukau dengan kehadiran puluhan ribu ketika berceramah. Mereka ingat parti pemerintah sudah kecut perut dan hanya ‘menghitung hari’ untuk jadi pembangkang selepas pilihanraya.

Ingin saya ingatkan mereka jangan terlalu yakin hingga mengundang rasa takbur. Cuba lihat ketika pilihanraya Sarawak yang lalu. Kehadiran sungguh hebat ketika Pas mengadakan caramah tetapi ada calonnya hilang wang pertaruhan.

Mahu dapat 300 undi pun amat perit. Begitu juga ceramah PKR yang tidak kurang hebat kehadiran orang ramai. Hinggakan media asing begitu ghairah melaporkan BN pasti kecundang. Tetapi realitinya tidak begitu dan BN kekal berkuasa.

Oleh itu suka saya menyeru rakan-rakan saya dalam pakatan rakyat supaya merenung semula hakikat sekarang. Betapa kita perlu bersyukur atas kestabilan politik, ekonomi dan social sekarang. Betapa keamanan dan keharmonian yang dibina sejak merdeka perlu dipertahankan kerana BN sudah menyediakan landasan pemerintahan berkongsikuasa yang telus dan penuh kejujuran.

Tiada jaminan langsung gabungan Pas, Keadilan dan DAP mampu bersatu kerana mereka mempunyai mimpi yang berlainan. Lihatlah sekarang timbul pula isu HUDUD sehingga membuatkan DAP mengugut untuk keluar dari Pakatan Rakyat!

Bagaimana hendak dicapai kestabilan pemerintahan nanti jika tiada parti dan pemimpin yang dominan. Bolehkah DAP menerima Hadi Awang atau Nik Aziz Nik Mat sebagai Perdana Menteri?

Atau adakah akan digilirkan setiap dua tahun antara Lim Kit Siang, Haji Hadi dan Anwar Ibrahim? Kita tunggu dan lihat badut politik ini bersandiwara tetapi yang pasti jangan beri undi kepada mereka dalam PRU ke-13 nanti!

Dulu Pas Sekarang UMNO
Oleh : Ibni Walid Hamzah

Juragan Malawati..

Sabtu, 24 September 2011

Apakah petanda ini?


Pesuruhjaya PAS Selangor Sertai Muhyiddin Yassin Di Meru?

Apa kata PAS Pusat dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman ( berbaju merah) di majlis anjuran BNBCC bersama rakyat di Meru, kawasan Parlimen Kapar, Selangor. Kalau nak dikatakan sebagai memenuhi protokol apabila TPM Muhyiddin Yassin berkunjung ke DUN yang diwakilinya, bagaimana pula dengan malam sebelumnya di Kuala Selangor ketika majlis yang sama diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak! Tak nampak pula kelibat MB Khalid dan juga Ahli Parlimen Kuala Selangor YB Dzulkifli?



Dan lebih menarik lagi ketika upacara penutup, Dr Rani dijemput naik ke pentas untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan YB-YB Kelab Penyokong BN menyanyikan lagu 1Malaysia!

Alhamdulillah, ketika PAS bergelut dengan isu komunis yang dibawa oleh Timbalan Presidennya, Mat Sabu dan juga ketika Tok Guru Nik Aziz mula mendendangkan " lagu lama HUDUD ", Dr Rani dengan riang gembira menyambut kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ke Pekan Meru. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Dr.Rani? Selepas ini bolehlah memohon borang menyertai UMNO pula ya. Wallahuallam!

Juragan Malawati..