UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 7 April 2010

6 inisiatif 'Deklarasi Darul Ehsan'

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor menggariskan enam inisiatif sebagai ketetapan bagi memastikan parti itu terus kukuh dan dapat meneruskan aspirasi serta mengembalikan keyakinan rakyat.

Inisiatif yang dikenali sebagai 'Deklarasi Darul Ehsan' itu dibuat atas usaha serta kesedaran seluruh ahli serta kepimpinan BN Selangor ekoran landskap politik yang kini dilihat berkecamuk kesan dasar destruktif pakatan pembangkang genap dua tahun mentadbir negeri itu.

Deklarasi yang dibacakan serentak lebih 2,000 ahli serta pemimpin daripada parti-parti komponen BN di hadapan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menggariskan enam inisiatif bagi mencapai matlamat tersebut iaitu berubah dan melakukan transformasi menjadi barisan hadapan juarai isu rakyat; bersungguh dan ikhlas berkhidmat membela nasib rakyat; memacu menggerakkan gagasan 1Malaysia.

Selain itu, inisiatif lain ialah mengembalikan maruah dan peranan negeri Selangor sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negara; memulih keyakinan rakyat dalam kelancaran pentadbiran dan keharmonian antara kaum; menilai dan memperkukuhkan strategik terbaik untuk menjamin kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Deklarasi tersebut diserahkan kepada Najib oleh Setiausaha UMNO Bahagian Sepang, Mohd. Arifin Mohd. Razid sebagai simbolik terhadap kesungguhan dan azam keseluruhan ahli serta pemimpin BN negeri itu agar parti terus diharapkan dan diyakini rakyat.

DEKLARASI DARUL EHSAN

Menyedari lanskap politik negeri berkecamuk kesan 'Dasar Destruktif' Pakatan Rakyat yang lebih banyak beretorik berbanding usaha menjulang aspirasi rakyat,maka seluruh kepimpinan Barisan Nasional Negeri Selangor Darul Ehsan membulatkan tekad menguatkan azam dan berikrar dengan sesungguh hati untuk melaksanakan inisiatif berikut:

BERUBAH DAN MELAKUKAN TRANSFORMASI
-untuk menjadi 'barisan hadapan' dalam menjuarai isu rakyat

BERSUNGGUH DAN IKHLAS BERKHIDMAT
-demi membela nasib masyarakat

MEMACU DAN MENGGERAKKAN GAGASAN
-"BN Mampu Berubah- Sayangi Selangor, Yakini BN". Bagi meletakkan kembali rakyat Selangor ke Landasan sebenar agar aspirasi dan kebajikan mereka terus terbela. Selaras dengan gagasan

1 MALAYSIA : ' RAKYAT DI DAHULUKAN, PENCAPAIAN DI UTAMAKAN '

MENGEMBALIKAN MARUAH DAN PERANAN
-Negeri Selangor sebagai pemankin kemakmuran Ekonomi negara agar nikmat kemajuannya dapat dirasa oleh semua bangsa.

MEMULIHKAN KEYAKINAN RAKYAT
-Supaya kelancaran pentadbiran,keharmonian antara kaum, prospek kemakmuran yang di nikmati Selangor selama mampu di teruskan.

MENILAI DAN MEMPERKUKUH STRATEGI TERBAIK
-Bagi menjamin kemenangan mutlak dalam PRU-13 nanti.Maka dengan tercetusnya inisiatif ini, kami seluruh pimpinan dan ahli Barisan Nasional Negeri Selangor Darul Ehsan berazam dengan sepenuh tenaga dan daya kami untuk terus berusaha dengan seikhlas hati bagi memastikan 'Janji Dikota, Kata Terlaksana.

"1 MALAYSIA',
RAKYAT DI DAHULUKAN,
PENCAPAIAN DI UTAMAKAN'.

JM...

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor .

BN kenal pasti punca ditolak di Selangor

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengenalpasti enam punca pengundi menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 sehingga negeri yang merupakan kubu kuat BN itu jatuh ke tangan pakatan pembangkang.

Pengerusi Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed berkata, enam punca itu menunjukkan seolah-olah BN tidak berpijak pada realiti sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap mereka.

Beliau berkata, punca pertama ialah prinsip muafakat mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat terutamanya di kalangan hubungan parti komponen BN itu sendiri.
"Punca kedua apabila usaha yang sepatutnya dilakukan untuk menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan konvensyen selama sehari itu di SACC Convention di sini hari ini.

Mohd. Zin berkata, turut menjadi punca ialah pergolakan dalaman BN lebih dijadikan tumpuan berbanding usaha membina kekuatan parti itu sendiri selain khidmat dan pendekatan yang dilakukan BN lebih bercorak eksklusif bukan lagi inklusif.

Beliau berkata, punca lain yang turut menyumbang kepada hilangnya kepercayaan pengundi terhadap BN ialah apabila BN ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini. Punca paling nyata mengapa pengundi menolak BN pada PRU lepas, tegasnya ialah apabila BN kurang dan tidak memahami aspirasi pengundi muda.

Sementara itu : Hulu Selangor pengukur BN rampas Selangor

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini bakal menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang, kata Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kemenangan BN pada pilihan raya kecil tersebut bukan sahaja akan mengubah landskap BN di Selangor yang sebelum pilihan raya umum ke-12 tetapi juga mengubah senario politik negara.

Selangor pernah menjadi kubu kuat BN sebelum jatuh ke tangah pembangkang. "Pilihan raya kecil ini berisiko tinggi kerana di Hulu Selangor nanti kita akan menghadapi cabaran yang cukup kuat kerana berdepan dengan kerajaan negeri yang sudah tentu akan menggunakan pelbagai kemudahan mereka.

"Kita kena terima hakikat, kalau kita menang akan ada perubahan tapi kalau kita kalah, kita akan bimbang kerana rakyat seolah-olah memberi tamparan yang hebat kepada kita, setelah banyak perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor di sini hari ini yang dihadiri lebih 2,000 anggota parti komponen BN.

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor berlaku ekoran kematian penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

JM...

Sabtu, 3 April 2010

Pemimpin Gerakan, MCA, akhbar Cina dituntut mohon maaf!

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mahu dua pemimpin daripada Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) dan MCA serta dua lagi akhbar berbahasa Cina untuk memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kerana melabelkan pertubuhan mereka sebagai rasis.

Ketua Wiranya, Arman Azha Abu Hanifah berkata, dua pemimpin tersebut ialah Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Teng Hock Nam dan Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Low Chew June serta akhbar Sin Chew Daily dan China Press.

Selain itu, katanya, Perkasa turut mendesak Hock Nam dan Chew June untuk memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana melabelkan ucapan beliau sebagai menjijikkan dan bersifat perkauman semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa Perkasa bukan pertubuhan rasis dan berhaluan kanan atau parti politik kerana ia ditubuhkan untuk mempertahankan perlembagaan negara yang melindungi hak keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Adakah salah sekiranya bekas Perdana Menteri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa mempertahankan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?" soalnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arman Azha berkata, sekiranya mereka tidak memohon maaf dalam tempoh yang diberikan, Perkasa akan mendesak pimpinan tertinggi parti Gerakan dan MCA untuk menggantung atau memecat dua pemimpin tersebut kerana menolak perlembagaan negara. Bukan itu sahaja, beliau berkata, Perkasa juga akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dua akhbar berbahasa Cina itu tidak mengendahkan teguran tersebut.

"Sekiranya mereka menolak perjuangan Perkasa, secara tidak langsung ini bermakna mereka menolak perlembagaan negara. "Saya desak mereka untuk pergi ke kursus Biro Tata Negara (BTN) dan belajar mengenai perlembagaan negara sebelum menjadi pemimpin," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Gerakan dan MCA tidak seharusnya masuk campur dalam urusan Perkasa kerana mereka tidak pernah bersifat perkauman sebaliknya hanya memperjuangkan beberapa fasal yang terdapat dalam perlembagaan negara.

Beliau berkata, perbuatan menjulang keris semasa mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu baru-baru ini hanya merupakan sebahagian daripada budaya Melayu yang harus dipertahankan. Selain itu, katanya, sebarang dakwaan yang mengatakan pertubuhan tersebut 'berlawan arus' dengan gagasan 1Malaysia adalah tidak benar kerana konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri itu adalah berlandaskan kepada perlembagaan negara.

"Kita bukan ekstremis atau mencetuskan sebarang api perkauman tetapi kita mahu pelbagai parti politik tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang untuk sama-sama mendukung perlembagaan negara kerana ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia," katanya.

Juragan..

Selasa, 30 Mac 2010

'YB PKR gagal beri khidmat terbaik kepada rakyat'

Penduduk Parlimen Hulu Selangor mendakwa Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin gagal memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di daerah berkenaan.Mereka mendakwa, selepas Dr Zainal Abidin menang dalam Pilihan Raya Umum pada 2008, penduduk sukar bertemu dengan beliau untuk mengadu masalah mereka.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Razally Abdullah, berkata, janji yang ditabur pemimpin itu hanyalah omong kosong belaka.Katanya, selain sukar bertemu dengannya setiap minggu penduduk berbilang kaum yang mengundinya dibiarkan tanpa peduli. “Pejabat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Taman Tamu Hill, Batang Kali sentiasa ditutup menyukarkan rakyat bertemu dengannya. Kami serik memberi peluang kepada pemimpin yang tidak membela rakyat di kawasan Hulu Selangor ini, " katanya.

Misliah Rosdi, 53 dari Kampung Sungai Buaya, berkata pelbagai janji yang ditabur pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mampu ditunaikan termasuklah menyalurkan bantuan kepada orang tua di setiap kampung.“Bukan hanya tidak kerap berada di pejabatnya malahan beliau juga gagal turun padang bertemu penduduk dan beberapa kali saya cuba mahu bertemu dengannya tetapi gagal, ” katanya.

Sivakumar Balasundram dari Batang Kali berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat Dr Zainal Abidin sering mengambil cuti sakit dan gagal memaklumkan kepada penduduk yang menunggu dengannya lebih tiga jam di pejabatnya. Katanya, penduduk berbilang kaum perlu mendapat khidmat yang terbaik seperti yang dijanjikan dalam kempen mereka.

Seorang peniaga, Lim Yiew Wah dari Kuala Kubu Bharu, berkata, peniaga kecil juga tidak menerima sebarang manfaat selepas memilih wakil rakyat yang kurang efektif dan keadaan semakin sulit apabila beliau gagal menyelesaikan masalah menjaja. “Banyak perkara masih belum berjaya diselesaikan dan penduduk perlu seorang wakil rakyat yang berkhidmat untuk mereka, ” katanya.

Juragan..

Sabtu, 27 Mac 2010

Negara Islam: Zul Noordin cabar Karpal Singh!


Empat ahli Parlimen Bebas mencabar Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya mengemukakan pendiriannya terhadap beberapa perkara sebelum meminta kesemua mereka mengosongkan kerusi masing-masing setelah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), berkata, beliau dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) turut mendesak supaya Karpal menjelaskan pendirian DAP sebelum ini bahawa parti itu sudah boleh menerima Islam.

"Sebelum minta kami mengosongkan kerusi, kami minta Karpal jawab dulu apa yang kami sebut hari ini dan kita akan tengok daripada situ," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. Beliau mengulas kenyataan ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di dalam Dewan Rakyat hari ini yang mencabar keempat-empat mereka supaya mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula.

Antara lain, Zulkfli berkata, Karpal juga perlu menjawab terlebih dahulu desakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini supaya meminta maaf atas kenyataannya yang mempertikai kedudukan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. "Selain itu, kami mencabar Karpal supaya menyatakan pendiriannya tentang penubuhan negara Islam.


Adakah masih lagi perlu langkah mayat dia dulu sebelum boleh tubuh negara Islam? Atau dia sendiri sudah jadi mayat hidup sekarang," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Zulkifli berkata, beliau dan rakan-rakannya juga mencabar Karpal supaya menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mencadangkan Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan ditukar kepada Kepercayaan Kepada Allah.

"Beliau juga perlu jelaskan apa pendiriannya terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar dari Barisan Nasional (BN) untuk sertai PKR. Kenapa masa itu dia tak cakap apa-apa semasa itu tetapi dia nak mencabar kami hari ini?.
"Akhir sekali, kenapa beliau tidak mendesak Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang kalau benar dia kata mempertahankan nilai demokrasi," katanya.

Kata beliau, kenyataan Karpal bahawa beliau dan rakan-rakannya itu melompat parti adalah tidak benar memandangkan mereka tidak menyertai mana-mana parti lain sebaliknya menjadi wakil rakyat Bebas. Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau akan meneliti keadaan sekiranya pihak polis mahu memanggilnya untuk menerangkan tentang pendedahan yang dibuat di dalam Dewan Rakyat semalam.

Zulkifli semalam mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

JM...

Khamis, 25 Mac 2010

Al-Fatihah Buat Ahli Parlimen Hulu Selangor


Ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.27 malam tadi di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang akibat barah otak. Dr. Zainal Abdidin, 71 adalah juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.
Juragan Malawati : Salam takziah buat keluarga allahyarham. Al Fatihah. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh nya dan di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.
JM...

Ahad, 21 Mac 2010

Apabila Belanda minta tanah, kaduk naik junjung...
























PADA 13 Mac 2010, saya menerima e-meldaripada seorang saudara yang amat prihatin dengan nasib Melayu di bumi Melayu yang selalu dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu terutama parti ultra kiasu dan rakan sekutunya yang boleh diibaratkan seperti Belanda minta tanah dan kaduk naik junjung.

Saya terpaksa mengubah tajuk artikel yang sepatutnya kerana saya fikirkan emailnya amat penting, apatah lagi isu ini telah disensasikan oleh laman-laman web mereka.

Isunya berkaitan dengan penduduk Kampung Sungai Terentang, Rawang yang membantah kerja-kerja pemasangan kabel voltan tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat bukan Melayu untuk memahami sentimen kebanyakan masyarakat Melayu. Janganlah tuduh saya lebih Melayu dari Melayu selepas ini kerana saya tidak pernah mengakuinya walaupun ia diikhtiraf oleh Perlembagaan.

Sepanjang pengetahuan saya, tanah yang diduduki oleh penduduk kampung berkenaan bukannya tanah mereka pun. Tanah itu milik TNB dan mereka hanyalah setinggan di situ. Tetapi apabila ada ura-ura hendak merobohkan kediaman mereka dan memindahkan mereka yang terlibat, semuanya menjadi kecoh dan ramai yang menentang.

Pemimpin-pemimpin ultra kiasu mula masuk kampung kerana mereka mahu menjadi jaguh kampung untuk mendapatkan publisiti murahan. Bayangkanlah jika tanah tersebut diduduki oleh orang Melayu, sudah tentu TNB akan meneruskan kerja-kerjanya. Orang Melayu akan memberikan laluan atas dasar pembangunan walaupun pampasannya tidak seberapa. Apakah mungkin ultra kiasu ini akan membela mereka dengan bersungguh-sungguh?

Setinggan tetap setinggan. Dari segi undang-undang, mereka tidak ada hak pun untuk mempertahankan tanah tersebut. Saya tidak nampak semua rumah akan dirobohkan, mungkin sebahagian. Namun, mereka telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

Mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu sebab itu adalah tanah TNB, muktamad. Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan. Tidakkah jumlah wang tersebut begitu besar?

Tetapi inilah sifat ultra kiasu yang telah menyelubungi mereka yang setelah dihasut oleh parti ultra kiasu. Jika di Pulau Pinang, senang sahaja tanah Melayu diambil dan gerai mereka diroboh, tetapi bila kena batang hidung sendiri? Alahai, itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Lebih menyedihkan orang Melayu tidak banyak tampil membela Melayu itu sendiri.

Menitis air mata memikirkan bila bukan Melayu seperti saya terpaksa membela Melayu hanya dek kerana Melayu beragama Islam, walaupun terpaksa dihina dan dikeji oleh bangsa sendiri termasuk saudara mara saya. Tetapi apakan daya, semangat Islam mengatasi segala-gala.

Keistimewaan

Sepatutnya mereka mesti faham mengapa masyarakat bumiputera diberikan keistimewaan di sebuah negara yang diwarisi daripada nenek moyang mereka selama beratus bahkan beribu tahun. Jika mereka yang baru tinggal di situ secara haram tidak sampai seratus tahun bermati-matian berpendapat mereka berhak atas tanah tersebut disebabkan apa yang mereka telah usahakan, apakah salahnya bagi kaum bumiputera diberikan keistimewaan dari segi polisi pentadbiran kerana mereka juga telah berusaha selama ratusan (bahkan mungkin ribuan) tahun untuk memakmurkan wilayah mereka sendiri?

Di samping itu saya juga ingin berkongsi pengalaman seseorang yang pernah bekerja di bahagian kewangan sebuah kementerian yang diterajui oleh menteri bukan Melayu. Menurutnya, jika dalam kampung tersebut adalah terdiri daripada bukan Melayu yang sebangsa dengan menteri tersebut, maka jumlah gantirugi yang diberikan kepada penduduk tersebut adalah berlipat kali ganda.

Manakala, jika kawasan tersebut dihuni oleh orang Melayu atau bumiputera, maka peruntukan atau ganti rugi tersebut dibuat lebih kurang sahaja. Orang Melayu tidak banyak cakap dan menerima sahaja kerana pada mereka wang selonggok di depan mata sudah mencukupi. Mereka tidak sedar bahawa sejumlah wang tersebut hanya boleh menyaranya untuk jangka masa yang singkat, berbanding orang lain yang mungkin mendapatkan perlindungan atau pampasan jangka panjang.

Hari ini, mungkin pada luarannya dasar kerajaan nampak melebihkan bumiputera, tapi secara aplikasinya tidaklah begitu. Malah apa yang diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat bukan Melayu selama ini mungkin telah pun mereka dapat secara senyap-senyap. Cuma tidak diberikan publisiti secara besar-besaran sebagaimana cara kita membantu orang Melayu. Publisitinya begitu meluas. Inilah sifat kita, selalunya suka dipuji sehingga pujian tersebut mengalpakan kita, ibarat menang sorak kampung tergadai.

Saya memetik kata-kata e-mel tersebut yang amat menyentuh hati saya: "Apa pun saya bukanlah sayang sangat bangsa saya, bahkan saudara-saudara baru (mualaf) lebih saya sayang daripada kebanyakan Melayu muslim. Terus terang saya katakan jika ada seorang Cina/India /Siam/Iban/Kadazan dan lain-lain yang baru memeluk Islam tidak sampai sebulan, tapi lebih alim, bertaqwa, cekap dan berkaliber dalam memerintah negara, saya lebih rela negara ini diperintah olehnya.

Ini kerana, seorang mukmin yang bertaqwa pasti akan berusaha memerintah dengan penuh keadilan tidak kira apa pun bangsanya. Yang Melayu Muslim memerintah sekarang ini ramai yang lebih banyak memalit arang kepada imej Islam (termasuklah daripada PAS sendiri). Cuma saya menulis di sini kerana ada pihak yang sudah jadi macam Belanda minta tanah, diberi betis nakkan peha".

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata beliau kerana agak sensitif. Apa pun saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sensitiviti penghantar email tersebut terhadap permasalahan ummah dalam pembinaan negara bangsa. Bandingkanlah tolak ansur, berapa banyak tanah-tanah Melayu termasuk tanah rezab yang telah tergadai kerana memberikan laluan kepada pembangunan? Hatta, masjid surau pun sanggup dirobohkan?

Bayangkan jika satu kuil atau rumah ibadat mereka dirobohkan, apakah reaksinya? Kenapa penduduk di kawasan tersebut begitu bimbang rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara untuk kepentingan masa depan dan anak cucu mereka? Isunya hanya berkaitan pemasangan kabel elektrik dan pampasan telah pun disediakan? Takkan mereka mengharapkan TNB menyedia rumah banglo untuk mereka di kawasan bukan milik mereka?

Bantahan mereka masih belum berakhir. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin memberi jaminan bahawa tidak ada kerja-kerja merobohkan akan diadakan sehingga mesyuarat antara TNB dan wakil penduduk diadakan Jumaat lalu. Saya tidak tahu apakah keputusan kerana artikel ini terpaksa dihantar lebih awal.

Namun, saya boleh menjangkakan bahawa mesyuarat tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah, apatah lagi kawasan tersebut berada di negeri yang perintah oleh ultra kiasu. Awal-awal lagi mereka telah bersekongkol walaupun ia bercanggah dengan undang-undang. Ini yang selalu saya katakan, bila nasib sebegini menimpa umat Islam, tidak banyak timbul masalah.

Tetapi bila kena pada bukan Islam, satu Malaysia seolah-olah tidak ada berita lain. Tindakan sebegini ternyata amat bercanggah dengan konsep 1Malaysia yakni memberikan hak kepada yang berhak mengikut lunas undang-undang bukannya menuntut apa yang telah dapat dan menambah sampai membukit.

Seultra kiasu

Melayu yang saya kenal tidaklah seultra kiasu seperti sekumpulan mereka yang berada di negeri ultra kiasu ini. Mereka rela hasil bumi dikaut oleh orang lain selagi budaya dan agama Islam terpelihara. Mereka jarang cemburu atau dengki kepada orang lain, walaupun sifat ini berlaku di kalangan sesama mereka. Bapa saya boleh membina kekayaan di kawasan majoriti orang Melayu, tanpa diganggu-gugat. Bapa saya berjaya membeli beberapa keping tanah di kampung-kampung Melayu.

Satu kelemahan orang Melayu mudah cair apabila melihat wang di depan mata dan pada masa sama mereka suka berhutang. Berhutang pula jarang mahu bayar, tetapi mereka tidak sedar keuntungan telah pun diperolehi daripada hutang pokok yang tidak dibayar. Bila hutang tidak dapat dibayar, maka hutang tersebut akan ditebus dengan menjualkan barang kepunyaan mereka seperti barang kemas, tanah, hasil subsidi kerajaan seperti biji benih, baja dan sebagainya.

Semasa saya kecil dahulu, saya melihat begitu banyak hasil subsidi kerajaan telah dijual kepada bapa saya bagi mereka yang tidak mampu membayar hutang. Kalau dulu hutang dipotong dengan menjual subsidi kerajaan, hari ini along telah mengambil alih tugas tersebut. Hutang mesti dibayar bersama faedah yang tinggi. Hutang bersama faedah akan terus bertambah dari masa ke semasa jika tidak dibayar.

Inilah sifat yang menyamai sifat Yahudi. Kebanyakan harta umat Islam tergadai kepada along kerana harta mereka telah tergadai. Saya ingin ingatkan rakan sebangsa saya, orang Melayu yang saya kenali suka memendam rasa. Hari ini mereka asyik mengalah. Kita pula seronok melihat orang lain kalah atau dikenakan tindakan.

Kita sentiasa mahu menang, tanpa menyedari kemenangan itu meninggalkan implikasi besar ke atas orang lain. Kita jarang mengkaji parut yang tinggal akibat kekalahan yang diterima. Parut inilah yang bahaya kerana parut ini akan meninggal kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Dari sudut psikologi, parut itu akan dikenang hingga ke akhir hayat. Inilah yang disebut luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Parut ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu memendam rasa. Sesuatu yang dipendam tidak selama-lamanya terpendam. Satu hari ia akan meletup. Letupan itulah yang paling saya takuti.

Saya bangkitkan isu ini kerana saya sayangkan bangsa saya yang tidak ultra kiasu. Saya bimbang mereka turut menjadi mangsa disebabkan oleh tindakan segelintir ultra kiasu. Mungkin sekarang kita tidak dapat kesannya. Tetapi ia tidak mustahil akan berlaku. Cuma masa akan menentukan. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata bahawa negara kita nampak sahaja stabil tetapi sebenarnya tension.

JM...