UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 15 Februari 2013

PAS tidak rela Karpal campur tangan?




Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan beliau tidak rela Pengerusi DAP, Karpal Singh campur tangan dalam urusan Majlis Syura Ulama parti itu.

Menurut Harun, Karpal tidak boleh campur tangan dalam urusan Majlis Syura Ulama Pas walaupun Pas dan DAP berada dalam satu pakatan.

''Saya tak suka orang lain ataupun dia campur tangan.

''Saya harap Karpal jangan lagi campur tangan hal dalaman Majlis Syura Ulama. Saya pun malas nak melayan dia," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal yang menganggap dakwaan Majlis Syura Ulama menolak Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai spekulasi semata-mata.

Sebelum ini, timbul khabar angin mengenai penolakan Majlis Syura Ulama parti itu berkaitan pelantikan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.



Karpal juga mahu Majlis Syura Ulama Pas menghormati keputusan bersama yang dicapai oleh pemimpin pakatan pembangkang tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Selain kenyataannya hari ini, pada 3 Februari lalu Harun turut menyanggah tindakan Karpal apabila Pengerusi DAP itu cuba mengarahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama Pas dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.

Harun menegaskan, Karpal tidak sepatutnya mencampuri urusan dalaman parti lain dan dalam masa sama mempertikaikan kelayakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memberikan pandangan dalam isu tersebut.

Harun seterusnya berkata, soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang bergantung kepada sokongan serta populariti seseorang calon, tidak kira sama ada Anwar atau Abdul Hadi.

Beliau meminta semua pihak supaya 'bersabar' dan menunggu berlangsungnya pilihan raya umum untuk mengetahui siapa sebenarnya paling layak menjadi pemimpin nombor satu negara nanti.

"Sebenarnya saya tak boleh jawab sekarang. Kita tunggu pilihan raya nanti. Yang pasti, calon yang menjadi Perdana Menteri adalah berdasarkan populariti.

"Siapa yang dapat sokongan ramai atau paling popular, tak kira Anwar atau Abdul Hadi, dialah yang akan menjadi Perdana Menteri," katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 14 Februari 2013

Karpal menentang apa saja yang 'berbau Islam'?



Apabila Pas ingin memperjuangkan Negara Islam dan hukum hudud, Karpal Singh menyatakan "langkah mayat saya dulu." Pas semacam akur dengannya dan bersetuju menukar hala tuju perjuangan kepada Negara Berkebajikan.

Bila berbangkit isu kalimah Allah sesuatu yang pokok bagi Islam, Majlis Syura Pas mengambil pendekatan berbeza dengan keputusan kepimpinan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Karpal Singh menyanggah kenyataan Haji Abdul Hadi Awang, "Pas sepatutnya mempertimbangkan keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat dan bukan Majlis Syura. Saya kesal dengan kenyataan Haji Hadi. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya".

Siapa Karpal Singh yang mempersoalkan keputusan Majlis Syura yang sifatnya binding dan terikat dalam status sebuah jamaah Islam. Kalaulah Pas akhirnya tunduk dengan tuntutan Karpal Singh, sekali lagi Pas mengalah terhadap isu pokok dan asas bagi akidah tauhid umat Islam.


Kalaulah benar Haji Hadi sudah bersetuju dengan keputusan Majlis Syura, ia adalah sesuatu yang baik bagi umat Islam. Karpal Singh dan Anwar Ibrahim tidak payah sibuk-sibuk memaksa Haji Hadi berpatah balik dengan persetujuan 8 Januari yang mana Haji Hadi khilaf menyatakan pendiriannya bersama pimpinan Pakatan.

Karpal Singh tahu undang-undang, kuasa Raja dan Sultan di Malaysia dalam hal ehwal agama Islam. Anwar lebih patut tahu mengenai keputusan Majlis Syura kerana semasa dalam ABIM dulu keputusan Majlis Syura adalah binding atau terikat kerana berlandaskan hukum syarak.

Anwar sepatutnya menasihati Karpal Singh, Lim Guan Eng dan DAP mengenai perkara ini, bukan sebaliknya bersekongkol dengan mereka. Ia seolah-olah membayangkan faktor syarak tidak penting berbanding dengan faktor politik. Orang Islam semakin hairan apakah Karpal Singh menolak enakmen agama negeri-negeri yang telah membuat keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah yang berkaitan.

Enakmen yang diluluskan secara undang-undang adalah valid atau sah. Takkan kerana nak ke Putrajaya, semua itu dilanggar. Haji Hadi harus teguh dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syura. Kalau tidak, apa makna Haji Hadi memimpin sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam sedangkan perkara pokok yang melibatkan akidah dipandang remeh saja.

Walaupun Nik Aziz terpaksa turun ke Pulau Pinang dan dikatakan untuk melakukan diplomasi politik dengan Karpal Singh, Pengerusi DAP itu menafikan pertemuan tersebut ada membincangkan isu kalimah Allah dan menganggap isu itu masih tidak selesai.

Sepatutnya Nik Aziz selaku Pengerusi Majlis Syura menjawab dengan tegas keputusan Pas yang ditandatanganinya. Nampaknya dengan DAP, Nik Aziz amat lunak tetapi dengan UMNO terlalu kasar. Apakah ini selari dengan ajaran al-Quran lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perkara pokok iaitu isu kalimah Allah yang kalau dirujuk pendirian Dr. Haron Din, salah guna kalimah Allah ini boleh membawa kufur dan syirik.


Cukuplah bagi Pas dilakukan sebegitu rupa. Majlis Syura patut bersidang segera dengan melibatkan Haji Hadi supaya pendirian tegas dapat dibuat terhadap permintaan Karpal Singh dan Anwar supaya Pas kembali bersetuju dengan keputusan Haji Hadi 8 Januari menerima guna pakai kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kalau keputusan Majlis Syura masih dipertikai juga, Pas tahu jalan keluarnya. Khalayak sedang meneliti gelagat Pas sama ada sekali lagi tunduk dengan kehendak Karpal Singh dan Anwar atau hanyut dalam perangkap politik yang menjejaskan imej perjuangan Pas itu sendiri.

Pas juga tahu bahawa Karpal Singh cukup sensitif sesuatu yang 'berbau Islam.' Sepatutnya melakukan tahalluf siasi atau kerjasama politik, DAP kena ada kefahaman bahawa Islam itu agama tamadun. Takkan Karpal Singh tak baca sejarah kebangkitan tamadun Eropah yang ada kaitannya dengan tamadun Islam.

DAP memperjuangkan faham sosialis demokratik yang sekular. Pas juga tahu tentang integriti Anwar dengan hala tuju perjuangan PKR cenderung kepada faham librealisme dan pluralisme agama.

UMNO tidaklah seteruk itu. Masih lagi memberi ruang kepada Islam berkembang. Pas tidak harus menjadi pendukung tegar terhadap politik kebencian dan dendam kesumat. Kembalikan kepada ajaran Islam yang sebenar. Kalau tidak isu kalimah Allah akan memerangkap Pas dalam satu persimpangan ingin mempertahankan akidah atau bakal cair dalam politik pragmatik Anwar dan DAP.

Juragan Malawati..

Selasa, 12 Februari 2013

Melayu pengemis politik?



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan masyarakat Melayu kini sebagai 'pengemis politik' yang memerlukan sokongan kaum lain untuk menjaga kepentingan mereka.

Katanya, perkara itu berlaku kerana kekuasaan politik Melayu kini semakin terhakis apabila mereka terpecah kepada tiga parti berbeza iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perpecahan itu, menurutnya, berlaku kerana para pemimpin pembangkang terutama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ghairah mengejar kekuasaan serta 'berebut-rebut' menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata, perpecahan itu menjadikan kelompok-kelompok Melayu semakin banyak dan muncul sebagai golongan minoriti politik sehingga sukar untuk menjaga kelangsungan mereka seperti di zaman penjajahan British dan Jepun dahulu.

"Melayu kini terpecah kepada tiga dan lawan sesama kita, jadi macam Arab apabila Sunni lawan Syiah, mereka bukan lawan 'orang putih' dan ini membuatkan Barack Obama (Presiden Amerika Syarikat) dan David Cameron (Perdana Menteri Britain) tepuk tangan.

"Di Malaysia macam itu juga, kita berpecah, jadi lemah, jadi pengemis dan perlu sokongan orang lain untuk nak jadi pemerintah," katanya ketika berucap dalam program 'Perlembagaan Malaysia: Masa Depan Keselamatan Negara' anjuran Kelab Pembangunan Insan Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, rakyat negara ini perlu sentiasa bijak menangani sesuatu isu menggunakan akal dan tidak terikut-ikut dengan emosi bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini.

Merujuk kepada pembentukan Malaysia katanya, rakyat secara amnya bersetuju dengan Perlembagaan Persekutuan yang turut memberikan hak kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India yang dibawa masuk British bagi membangunkan ekonomi negara.

Menurut beliau, persefahaman yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak dahulu sehingga sekarang, berjaya mengekalkan keamanan negara sehingga ke hari ini.

"Kalau nak selamatkan negara, kita perlu kepada sebuah kerajaan yang kuat. Kita perlukan calon kita menang asalkan (calon) Barisan Nasional (BN), kita kena pastikan dia menang," katanya.

Juragan Malawati..

Isnin, 11 Februari 2013

Kenapa sekarang tolak Anwar?



Majlis Syura Ulama Pas sepatutnya daripada dahulu menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berasa hairan kenapa baru sekarang majlis agama tertinggi parti berlabel Islam itu mahu bertindak demikian.

“Sepatutnya daripada dulu lagi dah tolak Anwar. Orang yang berkelakuan macam itu macam mana nak terima," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina di Flat Sri Johor, Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang dalam PRU-13 nanti dikatakan kembali menjadi tumpuan apabila tercetusnya khabar bahawa Majlis Syura menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan.


Menurut sumber, walaupun kesahihan mengenai pendirian majlis syura itu masih belum dipastikan namun ia didakwa dibuat dalam satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan. Dalam pada itu, Dr. Mahathir tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) mampu menang dua pertiga majoriti pada PRU-13 akan datang.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kepada sambutan rakyat termasuk majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA hari ini.
“Nampak sambutan baik. Mungkin keputusan pada PRU-13 pun baik. Harap BN mampu menang dua pertiga kerusi,’’ katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 8 Februari 2013

Makna kehadiran pengundi India?


G Palanivel di sebelah kiri Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor ketika meraikan sambutan Pesta Ponggal Peringkat Kebangsaan 2013 di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Berduyun-duyun masyarakat India membanjiri Dataran Merdeka Sabtu lalu - lokasi Festival Perpaduan Ponggal. Sambutannya cukup luar biasa sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khabarnya teruja.

Di sebalik festival Ponggal itu, sokongan pengundi kaum India dipercayai akan memberi kesan besar pada pilihan raya umum nanti.

Walaupun MIC mempunyai peluang lebih cerah pada PRU nanti berbanding pada 2008 - meskipun tidaklah sebaik pada 2004 - kemenangan akan hanya menjadi kenyataan jika diletakkan calon yang berfikiran terbuka serta disenangi ramai.

Setakat ini agak sukar untuk membaca apa yang tersirat dan tersurat di hati Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dalam penentuan calon-calon MIC di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN. Beliau yang buat pertama kali memimpin parti di medan pilihan raya umum dikatakan telah menyenaraipendek calon yang berpotensi di kesemua negeri.

Walaupun pengundi masyarakat India hanya mewakili 1.9 juta atau 7.3 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia, kehadiran mereka begitu bermakna di kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan perubahan arus yang ketara apabila hampir 85 peratus pengundi kaum India menyokong pembangkang. Antara punca dikaitkan ialah kelibat dan isu yang dimainkan Hindraf.

Cuma satu arah aliran baru dikesan muncul ketika ini - sokongan kaum India terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat. Ini hasil daripada beberapa tindakan proaktif yang diterajui Perdana Menteri berkisar perkara dan soal-soal penting membabitkan kaum India. Antaranya, sekolah-sekolah Tamil, kuil Hindu, pendidikan dan bantuan usahawan (Tekun).

Tanda-tanda sokongan awal sebahagian besar masyarakat India kepada BN ditunjukkan melalui keputusan beberapa pilihan raya kecil sejak 2008. Antaranya, melibatkan kawasan Bukit Selambau, Bukit Gantang, Bagan Pinang dan Hulu Selangor.

Selepas 2008, Hindraf berpecah kepada lima kumpulan. Satu kumpulan menyebelahi DAP, dua lagi membentuk Parti Makkal Sakti dan Parti Hak Asasi Manusia (HRPM) yang tidak didaftarkan. Selebihnya bergiat sebagai NGO.

Daripada lima kumpulan itu, HRPM kumpulan paling berpengaruh. Jika parti itu memasuki gelanggang pilihan raya, ia dikatakan mampu memecahkan sokongan terhadap BN dan pembangkang.

Di pihak MIC, parti itu sememangnya telah bersiap-siaga. Jawatankuasa pengurusan parti yang dibentuk, bersidang setiap minggu membincangkan hal-ehwal Pilihan Raya Umum Ke-13 serta persiapan parti.

Di Kedah, Palanivel melantik Naib Presiden MIC, Datuk M.Saravanan untuk menjaga negeri itu serta memastikan MIC dapat merampas semula DUN Lunas dan Bukit Selambau. Seorang lagi Naib Presiden, Datuk S. K. Devamany ditugaskan untuk menjaga Negeri Sembilan. Misi merampas semula Parlimen Teluk Kemang dan DUN Port Dickson sedang direncanakan. MIC hanya menang di DUN Jeram Padang menerusi Datuk V.S. Mogan yang kini merupakan Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun khabar yang hinggap di telinga penulis menyebut, Saravanan akan membawa cabaran BN di Tapah lagi manakala Devamany di Sungai Siput.

Palanivel sendiri yang mengambil alih kepimpinan MIC Perak sedang memantau dengan serius perkembangan politik di negeri tersebut. Di Perak, MIC hanya berjaya mempertahankan kerusi Tapah dan tewas di Sungai Siput dan di DUN Behrang, Hutan Melintang, Pasir Panjang dan Sungkai. Satu lagi, DUN Buntong dikatakan amat sukar sama sekali untuk menang.

Meskipun Palanivel masih merahsiakan kawasan pilihannya untuk PRU-13, namun pemerhati politik percaya beliau akan memilih satu kawasan yang sesuai dan terbaik selepas empat penggal berkhidmat di Hulu Selangor. Kerusi Parlimen Cameron Highlands antara yang diintainya. Dan hampir pasti.

Selaku Pengerusi MIC Selangor, Palanivel juga kerap mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin negeri tersebut.

MIC memiliki 4 kawasan Parlimen di Selangor iaitu - Kota Raja, Kapar, Subang dan Hulu Selangor serta tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ijok , Seri Andalas dan Batu Caves. Pada PRU-12, MIC kalah di kesemua kawasan tersebut. Namun MIC berjaya merampas semula Parlimen Hulu Selangor pada 2009 dalam satu pilihan raya kecil.

Di Selangor, MIC bakal menghadapi saingan sengit di Parlimen Subang, Kota Raja dan Kapar. Setelah kekalahan Setiausaha Agung MIC, S.Murugessan di Parlimen Subang pada PRU 2008, kerusi yang penuh cabaran berliku ini dikatakan sedang 'ditinjau-tinjau'. Bukan sahaja daripada seorang dua dari MIC tetapi juga dari PKR.

Bukan rahsia lagi penyandang kerusi Subang dari PKR, Sivarasa sedang melalui tempoh sukar akibat kanser yang dihidapinya, dikatakan kerusi ini turut diperhatikan oleh Nurul Izzah. Ini berikutan ketrampilannya yang semakin hambar di kerusi Lembah Pantai yang disandangnya kini - kesan daripada pendekatan turun padang - mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat oleh pesaingnya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Seandainya benar percaturan sedemikian, maka kerusi Parlimen Subang memerlukan seseorang daripada MIC yang berwibawa dan mampu terkesan di hati rakyat. Umum maklum persekitaran dan dalam kawasan Parlimen Subang sendiri, cukup diasak isu-isu perbandaran yang menebal.

Di situ dan sekelilingnya penuh dengan isu-isu perumahan, sampah, air dan pendek kata, memerlukan calon profesional atau berlatarbelakangkan korporat. Atau setidak-tidaknya seorang anak muda berpendidikan tinggi yang mampu berkomunikasi dengan semua kaum diperlukan untuk menggalas cabaran BN di situ. Lebih cantik lagi, dengan komposisi pengundi Subang yang tampak seimbang Cina dan Melayunya, maka elok sangatlah calon terbabit mahir dan fasih dalam soal bahasa, termasuklah Mandarin, Kantonis dan Inggeris.

Apa pun, kedengaran yang diuar-uarkan ialah Murugessan atas kapasiti Setiausaha Agung MIC dan perlu menang PRU-13, dipercayai akan bersaing di Telok Kemang. Di kerusi Parlimen Kota Raja pula, bekas Ketua Pemuda MIC S.A.Vikneswaran yang kini dipertanggungjawabkan sebagai Penyelaras BN Sri Andalas yang terletak di bawah Parlimen Kota Raja - mempunyai peluang untuk dicalonkan semula di situ.

Kota Raja, adalah kawasan yang ditandingi Vikneswaran pada PRU 2008 tetapi tewas kepada calon Pas. Begitupun ini bukan satu tugas yang mudah setelah MIC tewas dengan majoriti yang besar iaitu 20,751 undi.

Di Segamat, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia dijangka kekal menggalas cabaran di situ. Beliau dijangka menerima cabaran hebat daripada bekas Menteri dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chua Jui Meng yang mengetuai PKR Johor.

Satu gandingan calon yang mantap termasuklah daripada pemimpin muda selain mengekalkan beberapa penyandang dan pemimpin MIC yang berpengalaman - sedang diusahakan oleh Palanivel. Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan bakal menentukan survival kuasa politik MIC pada PRU-13.

MIC tewas di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN pada 2008 - kekalahan paling teruk dalam sejarah MIC sebagai sebuah parti politik yang mewakili masyarakat India di negara ini .

Keempat-empat negeri terbabit mempunyai pengundi kaum India yang ramai. Dengan itu, MIC mesti buktikan parti itu masih dan tetap menjadi pilihan masyarakat India. Dan sekali gus membantu BN menang.

Juragan Malawati..

Khamis, 7 Februari 2013

Henti berpolitik, segera selesai projek mitigasi?



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta menyiapkan segera projek mitigasi air bernilai RM354 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah air di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, adalah lebih baik projek itu disiapkan segera demi kemudahan rakyat berbanding mempolitikkan isu air seperti dilakukan kerajaan negeri ketika ini.

"Kerajaan negeri dan Menteri Besar baik selesaikan projek yang diberikan. Jangan biarkan rakyat menderita kerana masalah air.

"Kalau hendak ambil alih Syabas, Kerajaan Persekutuan memang tidak ada halangan, cari sahajalah dana untuk ambil alih konsesi itu. Bukan terus berpolitik dan salahkan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan wang sumbangan kerajaan bernilai RM1,000 kepada 455 bekas anggota tentera tidak berpencen di Bangunan UMNO Kuala Selangor, di sini hari ini.

Tahun lalu, Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek mitigasi untuk mengatasi masalah air di Selangor dengan peruntukan berjumlah RM606 juta.

Sebanyak RM354 juta daripada peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri dalam bentuk pinjaman bagi tujuan sama tetapi tiada perkembangan berhubung projek mitigasi air tersebut berlaku di Selangor.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM125 juta minggu lalu bagi projek tersebut.

Dalam perkembangan lain, Noh meminta bekas anggota tentera yang berjuang mempertahankan negara termasuk semasa menentang pengganas komunis menceritakan pengalaman mereka kepada golongan muda terutama anak dan cucu mereka.

Kata beliau, kisah itu dapat memberikan lebih kefahaman tentang sejarah negara sekali gus membolehkan generasi muda berfikir bagaimana keselamatan dan keharmonian negara dapat dikekalkan sehingga kini.

"Pengalaman bekas anggota tentera yang bergadai nyawa menjaga keselamatan negara semasa mencapai kemerdekaan dan ketika menentang pengganas komunis memang tidak dapat dijual beli dan ada yang tidak terdapat dalam catatan sejarah.

"Jika kisah itu diceritakan sendiri kepada anak cucu serta golongan muda pasti akan lebih berkesan dan menusuk ke jiwa mereka sekali gus membangkitkan rasa sayangkan keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Juragan Malawati..

Selasa, 5 Februari 2013

Pas terima kesan negatif hasil tindakan Hadi?



Tindak- tanduk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu kalimah Allah kini secara tidak langsung telah mencemarkan Pas di mata masyarakat terutama ahli dan penyokong parti itu.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, Pas menerima kesan negatif itu selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang juga rakan seperjuangan Abdul Hadi bertindak menyanggah kenyataannya yang mendakwa isu kalimah suci itu telah selesai.

Namun katanya, usaha Abdul Hadi untuk menutup rapat isu kalimah suci itu telah menjadi obligasi moral di pihaknya sendiri kerana jelas Presiden Pas tersebut tidak membuat kenyataan benar dan tindakan berkenaan hanya akan mengakibatkan kredibilitinya dipersoal sebagai Presiden dan ulama yang disegani.

Menurut beliau, Abdul Hadi terpaksa menerima implikasi daripada kenyataannya dalam isu kalimah Allah.

‘‘Abdul Hadi telah menyebabkan masyarakat melihat parti Islam itu sanggup memilih jalan yang tidak berakhlak semata-mata untuk menutup maruah parti yang semakin merudum.



‘‘Pas dilihat sering berdolak-dalik, cair dan diselimuti dengan perbezaan pendapat oleh kalangan ulama dan parasit yang banyak dipengaruhi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Karpal baru-baru ini yang mahu Abdul Hadi mengkaji semula keputusan majlis syura parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Karpal juga menyanggah kenyataan Abdul Hadi kononnya isu itu telah selesai selepas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjumpa dengan Karpal di Pulau Pinang baru-baru ini

Bagi DAP, kata Hasan, isu kalimah Allah telah mencapai matlamat terutama mendapat sokongan ahli-ahlinya yang melihat parti itu tidak pernah berganjak daripada perjuangan anti-Islam dan anti-Melayu.

Juragan Malawati..