UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 7 Februari 2013

Henti berpolitik, segera selesai projek mitigasi?



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta menyiapkan segera projek mitigasi air bernilai RM354 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah air di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, adalah lebih baik projek itu disiapkan segera demi kemudahan rakyat berbanding mempolitikkan isu air seperti dilakukan kerajaan negeri ketika ini.

"Kerajaan negeri dan Menteri Besar baik selesaikan projek yang diberikan. Jangan biarkan rakyat menderita kerana masalah air.

"Kalau hendak ambil alih Syabas, Kerajaan Persekutuan memang tidak ada halangan, cari sahajalah dana untuk ambil alih konsesi itu. Bukan terus berpolitik dan salahkan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan wang sumbangan kerajaan bernilai RM1,000 kepada 455 bekas anggota tentera tidak berpencen di Bangunan UMNO Kuala Selangor, di sini hari ini.

Tahun lalu, Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek mitigasi untuk mengatasi masalah air di Selangor dengan peruntukan berjumlah RM606 juta.

Sebanyak RM354 juta daripada peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri dalam bentuk pinjaman bagi tujuan sama tetapi tiada perkembangan berhubung projek mitigasi air tersebut berlaku di Selangor.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM125 juta minggu lalu bagi projek tersebut.

Dalam perkembangan lain, Noh meminta bekas anggota tentera yang berjuang mempertahankan negara termasuk semasa menentang pengganas komunis menceritakan pengalaman mereka kepada golongan muda terutama anak dan cucu mereka.

Kata beliau, kisah itu dapat memberikan lebih kefahaman tentang sejarah negara sekali gus membolehkan generasi muda berfikir bagaimana keselamatan dan keharmonian negara dapat dikekalkan sehingga kini.

"Pengalaman bekas anggota tentera yang bergadai nyawa menjaga keselamatan negara semasa mencapai kemerdekaan dan ketika menentang pengganas komunis memang tidak dapat dijual beli dan ada yang tidak terdapat dalam catatan sejarah.

"Jika kisah itu diceritakan sendiri kepada anak cucu serta golongan muda pasti akan lebih berkesan dan menusuk ke jiwa mereka sekali gus membangkitkan rasa sayangkan keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan