UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 8 Februari 2013

Makna kehadiran pengundi India?


G Palanivel di sebelah kiri Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor ketika meraikan sambutan Pesta Ponggal Peringkat Kebangsaan 2013 di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Berduyun-duyun masyarakat India membanjiri Dataran Merdeka Sabtu lalu - lokasi Festival Perpaduan Ponggal. Sambutannya cukup luar biasa sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khabarnya teruja.

Di sebalik festival Ponggal itu, sokongan pengundi kaum India dipercayai akan memberi kesan besar pada pilihan raya umum nanti.

Walaupun MIC mempunyai peluang lebih cerah pada PRU nanti berbanding pada 2008 - meskipun tidaklah sebaik pada 2004 - kemenangan akan hanya menjadi kenyataan jika diletakkan calon yang berfikiran terbuka serta disenangi ramai.

Setakat ini agak sukar untuk membaca apa yang tersirat dan tersurat di hati Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dalam penentuan calon-calon MIC di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN. Beliau yang buat pertama kali memimpin parti di medan pilihan raya umum dikatakan telah menyenaraipendek calon yang berpotensi di kesemua negeri.

Walaupun pengundi masyarakat India hanya mewakili 1.9 juta atau 7.3 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia, kehadiran mereka begitu bermakna di kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan perubahan arus yang ketara apabila hampir 85 peratus pengundi kaum India menyokong pembangkang. Antara punca dikaitkan ialah kelibat dan isu yang dimainkan Hindraf.

Cuma satu arah aliran baru dikesan muncul ketika ini - sokongan kaum India terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat. Ini hasil daripada beberapa tindakan proaktif yang diterajui Perdana Menteri berkisar perkara dan soal-soal penting membabitkan kaum India. Antaranya, sekolah-sekolah Tamil, kuil Hindu, pendidikan dan bantuan usahawan (Tekun).

Tanda-tanda sokongan awal sebahagian besar masyarakat India kepada BN ditunjukkan melalui keputusan beberapa pilihan raya kecil sejak 2008. Antaranya, melibatkan kawasan Bukit Selambau, Bukit Gantang, Bagan Pinang dan Hulu Selangor.

Selepas 2008, Hindraf berpecah kepada lima kumpulan. Satu kumpulan menyebelahi DAP, dua lagi membentuk Parti Makkal Sakti dan Parti Hak Asasi Manusia (HRPM) yang tidak didaftarkan. Selebihnya bergiat sebagai NGO.

Daripada lima kumpulan itu, HRPM kumpulan paling berpengaruh. Jika parti itu memasuki gelanggang pilihan raya, ia dikatakan mampu memecahkan sokongan terhadap BN dan pembangkang.

Di pihak MIC, parti itu sememangnya telah bersiap-siaga. Jawatankuasa pengurusan parti yang dibentuk, bersidang setiap minggu membincangkan hal-ehwal Pilihan Raya Umum Ke-13 serta persiapan parti.

Di Kedah, Palanivel melantik Naib Presiden MIC, Datuk M.Saravanan untuk menjaga negeri itu serta memastikan MIC dapat merampas semula DUN Lunas dan Bukit Selambau. Seorang lagi Naib Presiden, Datuk S. K. Devamany ditugaskan untuk menjaga Negeri Sembilan. Misi merampas semula Parlimen Teluk Kemang dan DUN Port Dickson sedang direncanakan. MIC hanya menang di DUN Jeram Padang menerusi Datuk V.S. Mogan yang kini merupakan Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun khabar yang hinggap di telinga penulis menyebut, Saravanan akan membawa cabaran BN di Tapah lagi manakala Devamany di Sungai Siput.

Palanivel sendiri yang mengambil alih kepimpinan MIC Perak sedang memantau dengan serius perkembangan politik di negeri tersebut. Di Perak, MIC hanya berjaya mempertahankan kerusi Tapah dan tewas di Sungai Siput dan di DUN Behrang, Hutan Melintang, Pasir Panjang dan Sungkai. Satu lagi, DUN Buntong dikatakan amat sukar sama sekali untuk menang.

Meskipun Palanivel masih merahsiakan kawasan pilihannya untuk PRU-13, namun pemerhati politik percaya beliau akan memilih satu kawasan yang sesuai dan terbaik selepas empat penggal berkhidmat di Hulu Selangor. Kerusi Parlimen Cameron Highlands antara yang diintainya. Dan hampir pasti.

Selaku Pengerusi MIC Selangor, Palanivel juga kerap mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin negeri tersebut.

MIC memiliki 4 kawasan Parlimen di Selangor iaitu - Kota Raja, Kapar, Subang dan Hulu Selangor serta tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ijok , Seri Andalas dan Batu Caves. Pada PRU-12, MIC kalah di kesemua kawasan tersebut. Namun MIC berjaya merampas semula Parlimen Hulu Selangor pada 2009 dalam satu pilihan raya kecil.

Di Selangor, MIC bakal menghadapi saingan sengit di Parlimen Subang, Kota Raja dan Kapar. Setelah kekalahan Setiausaha Agung MIC, S.Murugessan di Parlimen Subang pada PRU 2008, kerusi yang penuh cabaran berliku ini dikatakan sedang 'ditinjau-tinjau'. Bukan sahaja daripada seorang dua dari MIC tetapi juga dari PKR.

Bukan rahsia lagi penyandang kerusi Subang dari PKR, Sivarasa sedang melalui tempoh sukar akibat kanser yang dihidapinya, dikatakan kerusi ini turut diperhatikan oleh Nurul Izzah. Ini berikutan ketrampilannya yang semakin hambar di kerusi Lembah Pantai yang disandangnya kini - kesan daripada pendekatan turun padang - mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat oleh pesaingnya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Seandainya benar percaturan sedemikian, maka kerusi Parlimen Subang memerlukan seseorang daripada MIC yang berwibawa dan mampu terkesan di hati rakyat. Umum maklum persekitaran dan dalam kawasan Parlimen Subang sendiri, cukup diasak isu-isu perbandaran yang menebal.

Di situ dan sekelilingnya penuh dengan isu-isu perumahan, sampah, air dan pendek kata, memerlukan calon profesional atau berlatarbelakangkan korporat. Atau setidak-tidaknya seorang anak muda berpendidikan tinggi yang mampu berkomunikasi dengan semua kaum diperlukan untuk menggalas cabaran BN di situ. Lebih cantik lagi, dengan komposisi pengundi Subang yang tampak seimbang Cina dan Melayunya, maka elok sangatlah calon terbabit mahir dan fasih dalam soal bahasa, termasuklah Mandarin, Kantonis dan Inggeris.

Apa pun, kedengaran yang diuar-uarkan ialah Murugessan atas kapasiti Setiausaha Agung MIC dan perlu menang PRU-13, dipercayai akan bersaing di Telok Kemang. Di kerusi Parlimen Kota Raja pula, bekas Ketua Pemuda MIC S.A.Vikneswaran yang kini dipertanggungjawabkan sebagai Penyelaras BN Sri Andalas yang terletak di bawah Parlimen Kota Raja - mempunyai peluang untuk dicalonkan semula di situ.

Kota Raja, adalah kawasan yang ditandingi Vikneswaran pada PRU 2008 tetapi tewas kepada calon Pas. Begitupun ini bukan satu tugas yang mudah setelah MIC tewas dengan majoriti yang besar iaitu 20,751 undi.

Di Segamat, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia dijangka kekal menggalas cabaran di situ. Beliau dijangka menerima cabaran hebat daripada bekas Menteri dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chua Jui Meng yang mengetuai PKR Johor.

Satu gandingan calon yang mantap termasuklah daripada pemimpin muda selain mengekalkan beberapa penyandang dan pemimpin MIC yang berpengalaman - sedang diusahakan oleh Palanivel. Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan bakal menentukan survival kuasa politik MIC pada PRU-13.

MIC tewas di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN pada 2008 - kekalahan paling teruk dalam sejarah MIC sebagai sebuah parti politik yang mewakili masyarakat India di negara ini .

Keempat-empat negeri terbabit mempunyai pengundi kaum India yang ramai. Dengan itu, MIC mesti buktikan parti itu masih dan tetap menjadi pilihan masyarakat India. Dan sekali gus membantu BN menang.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan