UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 21 Oktober 2012

Isu Selangor : Rakyat Terus Bangkit Tuntut Hak Air Percuma Seperti Yang Dijanjikan!



Semakin ramai rakyat Selangor khususnya mereka yang menduduki flat dan pangsapuri sedar dan bangkit menuntut air percuma seperti yang dijanjikan kerajaan pakatan Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hari ini, penduduk Pangsapuri Selayang Height yang mengandungi 500 unit rumah pula menyatakan tuntutan mereka kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, rakyat tidak boleh menerima alasan kerajaan Khalid menolak pemberian air percuma seperti yang dijanjikan dalam manifestonya pada PRU12 yang lalu dengan memberi alasan hanya pengguna meter individu sahaja yang layak menerima, walhal dulu tidak disebut pun syarat-syaratnya.


“Ramai sudah sedar dan bangkit menuntut air percuma ini tetapi sehingga kini Khalid masih enggan mempertimbangkan untuk mengagihkan rebet RM11.40 yang tertunggak selama empat tahun kepada pengguna meter pukal.

Migrasi, pemberian kupon atau sebagainya tiada kena menggna dengan tuntutan rakyat terhadap air percuma ini. Rakyat menuntut tunggakan air percuma yang terhutang oleh kerajaan Khalid sejak tahun 2008 hingga kini,” ujarnya selepas demostrasi aman penduduk Selayang Height di sini pagi tadi.


Tambahnya, penduduk berhak menfailkan tuntutan mereka di mahkamah demi mendapatkan hak yang sengaja dinafikan oleh kerajaan negeri.

Mengikut kiraan, setiap isi rumah layak mendapat sebanyak RM570 iaitu tunggakan subsidi bernilai RM11.40 setiap bulan yang didarab selama 50 bulan (bagi tempoh dari Jun 2008 hingga September 2012)

Sebelum ini lima demostrasi telah dibuat iaitu di Aparmen Mentari Court, Bandar Sunway, Apartmen Vista Levander, Kinrara Puchong, Apartmen Angsana Bandar Mahkota Cheras, Apartmen Putra Perdana Puchongdan terakhir di Flat SPNB, Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya Selatan2.


“Kerajaan negeri sepatutnya mencari mekanisme yang sesuai untuk mengagihkan subsidi 20 meter padu air kepada seluruh rakyat di negeri Selangor, bukannya memberi alasan yang dangkal yang jelas menipu rakyat.

Kenyataan Khalid bahawa manifesto pilihanraya bukan janji yang perlu ditunai mendedahkan belang sebenar kerajaan pakatan pembangkang yang sebenarnya langsung tidak boleh dipercayai lagi,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Sumber : Sahabat Gunung

Juragan Malawati..

Isnin, 15 Oktober 2012

Jangan salahkan kerajaan jika SAR dan SAN tidak mahu sertai SABK?



Kementerian Pelajaran telah menukar status 195 daripada 382 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara kepada status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sejak 2005 hingga kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua SAR dan SAN yang telah mendaftar dengan kementerian itu bakal mendapat manfaat peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu selain RM95 juta yang diterima pada Bajet 2011.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak seharusnya timbul isu SAR atau SAN dianaktirikan oleh kerajaan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu kerana kerajaan sentiasa membuka pintu kepada dua jenis sekolah itu untuk menjadi sekolah bantuan kerajaan.

"Isu sebenarnya adalah pihak Lembaga Pengurusan SAR dan SAN tidak mahu berdaftar di bawah SABK kerana bimbang kuasa mentadbir hilang berikutan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai kelulusan bagi mentadbir sekolah.

"Ahli lembaga pengarah itu terdiri daripada pemilik asal sekolah sejak mula ditubuhkan. Jadi konsep yang mereka amalkan adalah warisan atau turun-temurun dan bukannya berdasarkan kepada kelayakan dalam pendidikan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 300 warga SAR dan SAN dari beberapa negeri dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Prof. Madya Zainal Abidin Kidam berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi ini bagi menuntut peruntukan daripada kerajaan melalui Bajet 2013.

Sambil menyatakan kerajaan sentiasa mengalu-alukan penukaran status SAR dan SAN kepada SABK, Mohd. Puad berkata, sekolah-sekolah di bawah SABK akan diberi geran berkapita, bantuan menaik taraf bangunan sekolah, latihan guru, guru-guru akan berjawatan tetap dan mempunyai pencen selain skim gaji yang lebih baik.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan menetapkan syarat ketat untuk mendaftar di bawah SABK dan menyifatkan itu hanya agenda politik pembangkang semata-mata.

"Kita mahu mereka berdaftar dengan SABK supaya sekolah mereka dimajukan, guru-guru mereka mendapat manfaat seperti guru-guru yang ada di Malaysia dan pendidikan pelajar lebih seimbang.

"Tetapi walaupun mereka telah berdaftar di bawah SABK, kerajaan tetap tidak mengganggu aspek kokurikulum mereka. SABK lebih kepada menjaga kebajikan warga sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan sengaja menganaktirikan SAR dan SAN melampau kerana berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, para pelajar di kedua-dua jenis sekolah itu turut menerima RM100 seorang menerusi Bantuan Persekolahan yang diperuntukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya juga mempersoalkan tindakan SAR dan SAN yang menggunakan tenaga pelajar-pelajar untuk berdemonstrasi. Seharusnya pelajar-pelajar itu tidak berada di luar Parlimen bagi berdemonstrasi pagi ini. Tempat mereka di dalam bilik darjah," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 14 Oktober 2012

Pas sudah jauh berubah?



SASTERAWAN Negara, PROF. EMERITUS DATUK DR. SHAHNON AHMAD, 79, kini agak uzur kerana penyakit myasthenia gravis berkaitan saraf selain masalah pendengaran yang dialaminya namun tetap bersemangat berbicara tentang senario politik tanah air terutama mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas.

Dalam satu pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. AZELI ALI dan jurugambar ISMAIL KAMADIN selama hampir satu jam di rumahnya di Changkat Minden, Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu, beliau yang juga ahli seumur hidup Pas turut bercerita mengenai novel terbarunya yang bertajuk Mahabbah.

Menurutnya, perumpamaan dua batang sungai yang mengalir menuju ke satu kuala yang digarap di dalam novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merujuk kepada persepakatan antara dua parti utama mewakili orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas.

Sambil meminta semua pihak menjaga keharmonian di dalam berpolitik, beliau tidak mengelak ketika ditanya tentang bahaya kerjasama Pas-DAP, pengaruh Anwarinas dalam Pas dan pesanan terhadap masyarakat Melayu Islam.

MINGGUAN: Boleh Datuk ceritakan perkembangan sekarang, adakah masih aktif dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air?

SHAHNON: Sekarang ini kesihatan saya tidak berapa baik kerana beberapa penyakit termasuk myasthenia gravis namun tidak berapa serius. Selain itu ada masalah pendengaran sikit-sikit. Saya juga masih boleh mengarang novel dan cerpen termasuk yang terbaru novel bertajuk Mahabbah yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel itu baru sahaja dilancarkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr. Omar Osman baru-baru ini. Mahabbah yang bermaksud cinta menjadi agenda bagi saya meneruskan perjuangan menyatupadukan orang Islam di Malaysia. Di dalam novel itu biarpun saya tak sebut nama tapi kalau orang baca dengan teliti penghujungnya merujuk kepada UMNO dan Pas yang akhirnya bersatu.

Bagaimana pula penglibatan Datuk di dalam Pas. Adakah masih aktif?

SHAHNON: Saya masih lagi ahli Pas seumur hidup sebab setakat ini tak ada apa-apa masalah tentang keahlian saya itu. Tapi saya dah tak aktif sebagai penggerak di dalam gerakan disebabkan keuzuran ini. Namun saya masih teruja mengutarakan persoalan politik di dalam karya-karya saya termasuk novel Mahabbah itu.

Satu ketika dahulu Datuk dilihat agak lantang mengkritik kerajaan tetapi kini dilihat semakin berkurangan. Apakah yang menyebabkan Datuk berubah sikap?

SHAHNON: Dahulu pun saya tidaklah begitu lantang bersuara tetapi lebih kritikal mempersoalkan isu-isu ketidakadilan serta amalan rasuah dalam kalangan pemimpin negara di dalam karangan-karangan saya. Sekarang ini saya lihat sudah ada perubahan yang optimis dan menggalakkan dilakukan oleh pemimpin negara kita. Walau saya tak kritik tapi setiap bulan melalui kolum khas di dalam majalah Dewan Sastera saya tetap menulis mengenai kegemilangan dan kestabilan negara serta isu kestabilan Malaysia.

Bagaimana Datuk melihat perjuangan Pas kini berbanding dahulu?

SHAHNON: Saya melihat Pas kini melalui dua perubahan besar iaitu para ulama tidak lagi memainkan peranan penting malah Timbalan Presidennya sendiri bukan dari kalangan ulama tetapi lebih kepada sekular. Pas adalah parti yang memperjuangkan Islam jadi seharusnya ia dipimpin oleh ulama. Mengambil contoh pada zaman Rasulullah SAW di Madinah, baginda mendapat wahyu daripada Allah dan memerintah berlandaskan al-Quran. Pas juga perlu memerintah berlandaskan al-Quran jadi kita perlukan orang yang fasih iaitu ulama untuk mentafsirkan kitab Allah itu di dalam pentadbiran. Saya sebenarnya bimbang Pas akan hilang arah sekiranya golongan ulama semakin berkurangan dan tiada pengganti kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang semakin dimamah usia. Oleh itu tokoh-tokoh muda Pas harus datang daripada golongan ulama muda yang boleh mentafsir al-Quran dan Sunah.

Kenyataan saya ini bukan bermakna saya menolak golongan muda yang liberal dan aktivis masyarakat kerana mereka juga penting tetapi tunjang parti sepatutnya golongan ulama. Perubahan kedua adalah kerjasama Pas dengan parti-parti lain terutama DAP. Saya tidak menolak Pas dan DAP bersama namun mereka harus menjadikan Islam sebagai penentu keputusan. Oleh itu saya menyokong kenyataan Nik Aziz tentang kerjasama dengan DAP cuma ia perlu diubah kepada DAP perlukan Pas. Sewaktu berhijrah ke Madinah dan mendirikan negara Islam, Rasulullah SAW juga bekerjasama dengan Yahudi, Nasrani dan Musyrikin Madinah tetapi syarat utama adalah mereka tidak boleh remeh-temeh terhadap Islam dan menerima Islam adalah penentu keputusan. Oleh itu kalau mereka (Pas) bekerjasama dengan DAP pasti tak ada salahnya jika mereka boleh bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-duanya nak negara Islam. Konteks kerjasama yang kita harapkan adalah selalu adakan pertemuan dan bermesyuarat bagi mencari titik persamaan.

Datuk pernah berkata Pas sudah tidak menepati kehendak Islam apabila bersekongkol dengan DAP, boleh Datuk ulas perkara ini lebih lanjut?

SHAHNON: Ia kembali kepada permasalahan utama iaitu Pas kini tidak lagi dipimpin oleh ulama yang membawa Pas lari dari landasan Islam sebenar. Saya juga dapati Pas kini lebih banyak berbicara isu-isu sekular serta bersifat kebendaan, berbentuk fizikal serta lebih ke arah keduniaan berbanding matlamat utama iaitu ukhrawi. Kita tidak boleh menolak dunia untuk akhirat tetapi perlu kedua-duanya kerana yang hakiki dan abadi adalah kehidupan di akhirat nanti. DAP pernah berkata mereka menolak hudud dan beberapa pemimpin di dalam Pas seolah-olah bersetuju dengan pandangan itu sedangkan hudud adalah matlamat utama Pas selain menubuhkan negara Islam.

Jadi adakah Datuk rasa perkara ini berlaku kerana kepimpinan Pas tidak nampak 'bahaya' kerjasama ini atau mereka hanya pejamkan mata?

SHAHNON: Saya setuju kalau dikatakan mereka tak nampak 'bahaya' itu atau mungkin beranggapan politik hanya untuk mengejar kuasa, publisiti atau kerusi dalam pilihan raya sahaja. Ramai golongan muda di dalam Pas hari ini saya rasa hanya melihat lingkungan politik sekular sahaja dan lari daripada matlamat parti Islam yang menjadi parti ke arah ukhrawi. Saya lihat Nik Aziz banyak menulis buku tentang perjuangan Pas untuk membawa rakyat mencapai kejayaan dunia dan akhirat namun kurang dipersetujui oleh golongan muda. Pas tak boleh lari daripada memperjuangkan dunia untuk mendapatkan akhirat. Tapi kalau masih ada orang muda yang lebih fikir duit, populariti atau kepujian semata-mata, tak ada bezalah Pas macam parti-parti lain yang sekular.

Tetapi kini Pas dilihat tidak memiliki peranan jelas dalam pakatan pembangkang malah semakin membisu dalam memperjuang perkara pokok parti iaitu penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Pada pandangan Datuk apa lagi matlamat Pas sekarang?

SHAHNON: Pas tidak boleh lari daripada matlamat utama iaitu menegakkan negara Islam dan dengan sendirinya mengutamakan hukum hudud kerana hanya Islam yang boleh membawa kita ke syurga serta membawa kebahagiaan sebenar di sisi Allah. Tapi kalau semua itu tidak lagi menjadi keutamaan dan Pas pula hanya pentingkan kerusi maka tunjang perjuangan Pas tiada makna lagi. Pada saya, kalau matlamat Pas adalah negara Islam jadi perkara pokok adalah pemimpin harus daripada golongan ulama. Ulama pun bukan yang penipu atau yang penakut tapi benar-benar ikhlas berjuang demi Islam dan berharap kepada keredaan Allah. Perjuangan untuk menegakkan Islam ini tak boleh atas usaha sendiri sahaja tetapi perlu kembali kepada Allah sebab kita tak memiliki kuasa yang agung seperti-Nya. Pastinya tiada erti nama parti Islam itu jika kita gagal memperjuangkan Islam serta memahami al-Quran sebagai teras amalan.

Bagaimana pula Datuk melihat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang dan pengaruh Anwarinas di dalam Pas?

SHAHNON: Kalau boleh saya malas nak ulas panjang tentang Anwar kerana pada saya beliau adalah orang politik yang hanya pentingkan kuasa dan kerusi dalam pilihan raya. Jadi beliau akan lakukan apa sahaja untuk mencapai kehendaknya itu asalkan mendapat kekuasaan. Kalau beliau nak bergabung dengan Pas sepatutnya beliau kena tunduk kepada Islam kerana saya lihat PKR ini didapati cuba membawa parti-parti lain di dalam pakatan ke arah sekularisme. Ini pastinya harus ditentang oleh Pas sekeras-kerasnya. Kebanyakan pemimpin PKR terdiri daripada golongan sekular dan liberal serta pengaruh mereka mula meresap di dalam diri ahli-ahli Pas yang terdiri daripada golongan muda yang tidak berapa teguh keislaman mereka. Pada masa sama, sifat retorik mereka serta kecekapan berpidato mampu mempengaruhi ahli-ahli Pas. Itu yang saya agak bimbangkan.

Bagaimana pula Datuk melihat kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada ia harus diteruskan atau tidak kerana ramai pemimpin Pas sendiri menolak usaha ini?

SHAHNON: Pas dengan UMNO ni nak kelahi buat apa. Macam yang saya katakan tadi perlunya ada kerjasama di antara Pas dan UMNO kerana ada titik persamaan antara kedua-dua parti bagi membela rakyat terutama masyarakat Melayu Islam. Sekarang ini pun setiap hari berlaku fitnah sesama kita yang akhirnya akan merugikan orang Melayu, jadi kedua-dua pihak harus mengamalkan musyawarah dan sentiasa duduk semeja bagi mencapai hasrat bersama. Kita lihat kepada slogan 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia seharusnya diulas dalam konteks yang lebih luas bukan sekadar satu bangsa dan satu agama sahaja bagi Pas dan UMNO. Tetapi budaya musyawarah itulah yang harus diutamakan dan kita nak pemimpin duduk mesyuarat bincang agenda yang membawa faedah kepada rakyat. Rakyat juga menunggu nak lihat kematangan berpolitik mereka. Kalau berpolitik semata-mata nak dapat populariti, pasti Pas dan UMNO tak akan ke mana dan yang rugi pasti kedua-duanya. Ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia kerana kalau nak kira negara kita ni unik. Kita miliki pelbagai etnik dan budaya tapi boleh hidup aman harmoni. Jadi parti politik yang ada pun harus ambil kesempatan atas kepelbagaian budaya ini dengan bekerjasama bagi mencapai erti kata sebenar 1Malaysia. Pas sendiri pun bukan sahaja dengan UMNO tapi nak kerjasama dengan DAP, MCA dan MIC pun pastinya tak ada masalah dengan syarat Islam diutamakan.

Apakah Datuk lihat UMNO dan Barisan Nasional kini berada di landasan yang betul dan apakah yang diperlukan untuk UMNO mendapat sokongan rakyat?

SHAHNON: Sebenarnya pada saya UMNO sebuah parti yang bersifat sekular dan mementingkan keduniaan juga kerana mereka lebih memikirkan soal harta benda dan wang ringgit berbanding aspek ukhrawi yang sepatutnya menjadi matlamat insan. Untuk diterima rakyat terutama orang Melayu Islam mereka harus ubah mentaliti itu kerana harta benda dan wang ringgit bukan kebahagiaan hakiki. Malah untuk mendapat sokongan juga mereka harus ikhlas bersama-sama Pas menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

Akhir sekali apa pesanan Datuk kepada orang Melayu Islam di negara ini yang semakin berpecah-belah kerana lebih tertumpu kepada politik?

SHAHNON: Pertama sekali sebagai orang Islam kita tak boleh lupakan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Jangan terlalu kejar aspek duniawi sehingga lupa janji Allah tentang akhirat kerana baginda sendiri berpesan kepada kita agar berpegang kepada dua perkara itu. Kehidupan kita harus menyeluruh antara dunia dan akhirat dan itulah politik yang harus dipegang oleh orang Melayu Islam. Dalam mengejar politik itulah kita memelihara keharmonian sesama masyarakat dan menghormati agama dan bangsa lain.-UMO

Juragan Malawati..

Selasa, 9 Oktober 2012

Loji air susut, lebih 30,000 terutama pesawah bakal terjejas?


Loji Pembersihan Air Sungai Sireh menyusut sejak seminggu lalu sehingga melebihi paras kritikal.

Lebih 30,000 pengguna air terutamanya pesawah di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam dikhuatiri terjejas kerana Loji Pembersihan Air Sungai Sireh di sini berdepan penyusutan lebih 50 peratus di terusan utama Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Difahamkan, keadaan itu menyebabkan pengeluaran air dari loji itu mula berkurangan daripada 21 juta liter sehari (JLH) kepada 16 JLH dan ketika ini pengeluaran air di loji terbabit terpaksa ditampung oleh beberapa loji lain.

Ekoran itu, paras air di Terusan Besar Sungai Sireh mencapai tahap kritikal iaitu 3.34 meter berbanding paras normal melebihi empat meter dan menyebabkan air sungai itu terpaksa disedut menggunakan pam kerana paras air yang susut.

Difahamkan juga, penyusutan air di terusan utama Sungai Sireh berpunca daripada taburan hujan yang berkurangan di kawasan tadahan air, musim kemarau dan penggunaan air untuk tanaman padi di kawasan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar.

Seorang pesawah, Ahmad Maidin Hussin, 60, berkata, pihaknya sedia maklum isu berhubung penyusutan air di terusan utama Sungai Sireh di sini yang jelas dapat dilihat dan turut bimbang sekiranya air terus kering jika krisis ini berterusan.

“Saya juga terkejut melihat paras air terlalu rendah sehingga boleh menyebabkan loji yang ada di sini terjejas. Jika masih berterusan, mungkin menimbulkan banyak masalah kepada pengguna.

“Mungkin pesawah di Sawah Sempadan tidak terjejas kerana musim menanam sudah berakhir dan kini hanya menunggu kerja menuai pada 20 Oktober nanti, namun turut bersimpati dengan nasib pesawah di Sekinchan kini tengah menanam padi,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Hussien Abdul Shukor, 43, berkata, sejak seminggu lalu, bekalan air di kawasan sawahnya di Sungai Sireh mula berkurangan apabila paras air di terusan berkenaan yang menjadi sumber utama bekalan mulai menyusut.

“Kebanyakan pesawah di sini terpaksa guna air simpanan dan parit, namun kami bernasib baik apabila tanaman padi di kawasan ini sudah hampir masa untuk dituai dan tidak memerlukan air banyak,” katanya yang mengusahakan sawah seluas 2.4 hektar.

Bagi seorang petani, Rosmi Ahmad, 57, berkata, dia juga terpaksa menggunakan air dalam tong untuk mengusahakan tanaman keladi dan jika sumber air sungai terus menyusut, dikhuatiri tanamannya akan musnah.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Md Khairi Selamat ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini pihaknya belum menerima laporan mengenai masalah terbabit dan akan memberi penjelasan selepas ini.

Juragan Malawati..

Tun Mahathir : Undi pembangkang sama seperti undi Soros?



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times hari ini.

Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti yang berlaku di Georgia.

Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.

Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.

''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.

''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.

Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran Soros.

''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary.

Juragan Malawati..

Ahad, 7 Oktober 2012

Politik bayang-bayang pembangkang?


Inilah Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang disiarkan oleh sebuah blog yang dikatakan diambil daripada sumber dalaman PKR.

Sebutlah apa juga istilah bayangan, gila bayang atau mengejar bayang-bayang sememangnya ia tidak boleh dipisahkan dengan pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Sejak 2008 lagi, pakatan pembangkang sememangnya sudah digerakkan untuk melaksanakan politik bayangan atau bayang-bayang apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggegarkan negara dengan impian 16 September pada tahun itu.

Pada masa itu, Anwar yang teruja dengan kemenangan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat apabila menguasai 84 kerusi Parlimen menguar-uarkan ke seluruh dunia bahawa kerajaan akan berubah tangan.

Anwar 'membayangkan' bahawa kira-kira 30 ahli Parlimen BN akan berpaling tadah untuk menyertai pembangkang dan sekali gus membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Bagaimanapun apa yang dikatakan oleh Anwar hanyalah sekadar mengejar bayang-bayang, impian berkenaan tidak tercapai. Tidak ada seorang pun ahli Parlimen BN yang melompat parti.

Apa yang sebaliknya berlaku dan tidak pernah terbayang di fikiran pakatan pembangkang ketika itu ialah mereka akan kehilangan penguasaan kerajaan negeri di Perak, apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PKR dan DAP menjadi wakil rakyat Bebas.

Tumbangnya kerajaan pakatan pembangkang di negeri tersebut menyebabkan ramai pemimpinnya menjadi gila bayang dengan kedudukan selama 11 bulan yang pernah mereka kecapi.

Namun begitu, semua itu tidak menjejaskan usaha pakatan pembangkang untuk mula hidup dalam bayangan bagi memburu kuasa politik dengan menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRY13) sebagai sasaran bagi menamatkan pemerintahan BN.

Di mana-mana sahaja mereka membayangkan bahawa pakatan pembangkang akan mampu menawan Putrajaya. Pelbagai janji mereka taburkan untuk mempengaruhi rakyat.

Mereka membayangkan kepada rakyat bahawa merekalah pilihan terbaik untuk menggantikan BN biar pun rakyat sudah boleh membayangkan apa yang akan berlaku jika mereka memerintah negara.

Corak pemerintahan di negeri-negeri di bawah penguasaan mereka menyebabkan rakyat boleh membayangkan kekalutan yang akan berlaku kepada negara jika pakatan pembangkang memerintah.

Namun pakatan pembangkang tidak pernah berputus asa untuk terus mengejar bayang-bayang politik mereka. Bagaimanapun ketika mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian dalam masa yang sama mereka juga bagaikan takut bayang-bayang sendiri.

Apa sahaja yang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin atau pentadbiran mereka akan dianggap satu konspirasi oleh UMNO, BN dan media prokerajaan.

Pakatan pembangkang tidak pernah mahu mengakui kelemahan mereka, sebaliknya mereka lebih suka hidup dalam dunia penafian dan bayangan kononnya mereka sempurna dan hebat.

Akibat takut kepada bayang-bayang juga, pembangkang sehingga ke hari ini tidak mahu mendedahkan Kabinet bayangan mereka. Sebaliknya, mereka lebih bersedia memaparkan bajet bayangan yang didakwa jauh lebih baik berbanding Bajet 2013 yang dibentangkan oleh kerajaan BN.

Memanglah sesiapa pun boleh membayangkan apa yang akan mereka lakukan jika mereka mempunyai kuasa tetapi bagi pakatan pembangkang, rakyat sudah menyaksikan bagaimana kelam-kabutnya mereka apabila diberi kuasa memerintah beberapa negeri.

Kini mereka kembali melaksanakan politik mengejar bayang-bayang untuk memburu kuasa memerintah negara.

Walaupun mereka mengerti kerjasama dalam pakatan pembangkang ibarat mengejar bayang-bayang sahaja kerana realitinya, perbezaan ideologi dan arah tuju perjuangan akan menjadi penghalang utama mereka berada dalam satu kapal, namun buat sementara perkara itu diketepikan.

Mereka berusaha menanam keyakinan kepada rakyat untuk bersama-sama memburu bayang-bayang itu dengan menjanjikan pelbagai perkara.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama mereka tidak boleh menafikan sehingga ke hari ini, hukum hudud bagaikan bayangan ngeri untuk DAP sehingga Pas yang selalu membayangkan mampu melaksanakan hukum berkenaan terkapai-kapai.

Walaupun Pas telah membayangkan siang dan malam kepada penyokong-penyokong mereka bahawa hukum hudud tidak pernah dilupakan namun mereka tetap diburu bayangan ngeri akibat penentangan DAP manakala PKR pula sentiasa menyokong pendirian DAP.

Begitu juga apabila ketiga-tiga parti mengambil jalan selamat dengan tidak mahu menyentuh soal Kabinet bayangan biar pun sudah ada pemimpin PKR membayangkan siapa dalam kalangan mereka yang dikatakan layak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Tentulah bayangan sedemikian tidak digemari oleh DAP dan Pas kerana mungkin masing-masing merasakan lebih layak mempunyai lebih ramai anggota Kabinet berbanding PKR.

Apatah lagi muncul pula senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang seperti mana disiarkan oleh blog papagomo.com yang menunjukkan PKR menguasai 13 jawatan, Pas (10) dan DAP (8).

Tidak apalah kalau pakatan pembangkang mahu menafikan senarai itu ada kaitan dengan mana-mana pemimpin mereka, namun semua itu terjadi kerana pakatan pembangkang takut dengan bayang-bayang untuk menyenaraikan barisan Kabinet, jika impian mereka menjadi kerajaan.

Apa pun tidak kisahlah sama ada diburu oleh bayang-bayang, sentiasa hidup dalam bayangan atau gila bayang untuk menubuhkan kerajaan tetapi apa yang pasti mereka tidak berhak menyeret rakyat hidup dalam politik bayang-bayang mereka.

Masa depan negara tidak boleh dirancang apatah lagi diuruskan melalui bayang-bayang atau bayangan sahaja. Sebaliknya, perkara itu perlu dilaksanakan secara realiti dan bukannya mengajak rakyat untuk membayangkan sesuatu yang tidak pasti.

Berdasarkan kepada hujah itu adalah diharapkan rakyat tidak akan terpengaruh dengan politik bayang-bayang pembangkang.

Kerajaan BN sejak merdeka lagi, tidak pernah mengajak rakyat untuk membayangkan sesuatu yang tidak pasti.

Sebaliknya apa yang dilakukan adalah melalui tindakan berdasarkan realiti semasa dan bukannya memburu bayang-bayang.

Apa pun, kita percaya politik bayang-bayang pembangkang akan berterusan sehinggalah PRU13 berlangsung. Bagaimanapun politik seumpama itu tidak akan ke mana.

Bak kata lirik lagu Bayangan Gurauan nyanyian kumpulan Mega, ''Di dalam jaga ku tercari-cari; Di dalam tidur termimpi-mimpi..''

Demikianlah politik pakatan pembangkang sentiasa mencari dan sentiasa bermimpi tetapi tidak pernah menjadi realiti.-UMO

Juragan Malawati..

Rabu, 3 Oktober 2012

Seri Paduka lawat Menara Skytree Tokyo


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah berkenan merakamkan gambar pemandangan bandar raya Tokyo ketika mengadakan lawatan ke Tokyo Skytree Tower, semalam.

TOKYO 2 Okt. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, yang dalam rangka lawatan lima hari ke negara matahari terbit ini, melawat Menara Skytree Tokyo, Selasa.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Presiden Tobu Tower Skytree Co Ltd. Michiaki Suzuki.

Seri Paduka berdua menaiki lif berkelajuan tinggi (600 meter sesaat) untuk ke dek pemerhatian di tingkat 350 bangunan berbentuk jarum itu.

Dek pemerhatian atau dek Tembo, menawarkan pemandangan menarik 360 darjah panorama bandar Tokyo.

Baginda berdua kemudian menaiki lif kedua untuk ke Galeri Tembo setinggi 450 meter.

Digelar sebagai 'skywalk tertinggi di dunia', Galeri Tembo terdiri daripada jalan lingkaran landai yang semakin meninggi apabila berpusing mengelilingi menara itu.

Tokyo Skytree atau Tokyo Sukaitsuri, yang berfungsi sebagai menara penyiaran untuk televisyen dan radio serta menjadi tarikan pelancong, diiktiraf oleh Guiness Book of Records sebagai menara paling tinggi di dunia, dengan ketinggian 634 meter.

Dibuka pada 22 Mei 2012, ia menggantikan Menara Tokyo setinggi 333 meter, yang menjadi mercu tanda ibu negara Jepun sejak 1958, sebagai hab penyiaran.

Dikendalikan oleh Tobu Tower Skytree Co Ltd, menara itu dilengkapi dengan pengkalisan gempa bumi, termasuk syaf tengah yang diperbuat daripada konkrit yang diperkuat.

Kemudahan lain yang terdapat di sini ialah kedai, restoran, kampus universiti dan akuarium. - BERNAMA

Juragan Malawati..