UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 8 Oktober 2011

Sekitar siri kembara PM bersama program Nurani Rakyat, Sayangi Selangor ke Ladang Tuan Mee, Ijok. Kuala Selangor!


Bajet 2012, pembangkang mati akal - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak percaya parti-parti pembangkang ketika ini 'mati akal' dalam usaha mereka untuk menyerang Bajet 2012 yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat semalam.

Perdana Menteri berkata, ini kerana pembangkang sudah tidak mempunyai sebab dan alasan untuk memperlekehkan bajet tersebut yang jelas memberikan tumpuan penuh kepada soal kebajikan rakyat di samping memastikan pembangunan negara terus berjalan lancar.

''Pembangkang tidak ada jawapan untuk serang bajet kita (kerajaan). Mereka mati akal, tidak ada hujah, mereka hanya boleh kata bajet kita tidak realistik, itu sahaja.

''Hakikatnya, Bajet 2012 yang disediakan kerajaan dibuat berdasarkan pelbagai aspek membabitkan kepentingan rakyat dan negara oleh pakar-pakar Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain.

''Pakar-pakar itu bukan Pak Pandir, ada kepakaran masing-masing. Apabila kita bentang bajet, kita bentang bajet yang mampu dan boleh dilaksanakan oleh kerajaan," kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 1000 masyarakat kaum India dalam program walkabout bersama Perdana Menteri anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor di Ladang Tuan Mee di Ijok di sini hari ini.

Turut hadir dalam program yang bertema 'Nurani Rakyat, Sayangi Selangor' itu ialah Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas; Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Pengerusi Parti Gerakan negeri, Senator A. Kohilan Pillay.

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor menegaskan, kerajaan tidak menaburkan janji-janji kosong kepada rakyat dalam Bajet 2012 kerana apa yang terkandung dalam bajet berkenaan sebenarnya adalah komitmen kerajaan BN ke arah transformasi negara dan rakyat.

''Kita tidak buat janji-janji kosong untuk menyedapkan hati rakyat. Kita tidak tipu rakyat, ini adakah komitmen kerajaan BN. Rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada kerajaan BN.

''Ini kerana kita ada wawasan, perancangan dan pengalaman untuk membangunkan negara serta membawa perubahan besar ke arah transformasi negara kita," tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut memohon semua syarikat perladangan di negara ini sama ada yang melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC) atau swasta supaya menaikkan gaji para pekerja estet bagi memastikan golongan itu terus terbela.

''Sebelum pembentangan Bajet 2012, saya ambil tindakan memohon kepada semua pemilik ladang estet sama ada GLC atau swasta untuk menaikkan gaji kepada pekerja estet. Malah, saya difahamkan untuk Ladang Tuan Mee ini, pekerjanya telah menerima kenaikan gaji RM200 sebulan.

''Saya harap dalam masa terdekat, para pekerja estet ini akan menerima kenaikan gaji." ujarnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Bajet 2012 telah mengambil kira kebajikan dan pembangunan kaum India melalui pemberian pinjaman mikro kredit melibatkan peruntukan RM100 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, kerajaan juga memberi peruntukan tambahan RM100 juta untuk meningkatkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara selain pemansuhan yuran sekolah, bantuan RM100 kepada pelajar sekolah serta bantuan RM500 kepada isi rumah di bawah pendapatan RM3,000.



























Juragan Malawati..

Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara - Tamparan hebat buat Pakatan Rakyat!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi meneruskan agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengetepikan strategi untuk membangunkan negara.

Bertemakan Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Bajet 2012 yang merupakan bajet kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Najib, bakal menjadi pemacu untuk mencapai Wawasan 2020 dan matlamat negara berpendapatan tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dengan itu menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan di bawah Bajet 2012 iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.

Belanjawan kali ini begitu menyeluruh sehingga menyentuh secara langsung golongan akar umbi melalui pemberian pelbagai insentif yang tidak dijangka termasuk bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, selain manfaat keseluruhan RM7,560 untuk pemilik teksi bajet bagi meringankan beban mereka.

Turut menerima insentif Bajet 2012 ialah warga emas, peneroka Felda, nelayan, wanita dan belia.

Golongan penjawat awam pula terus menerima imbuhan berganda apabila Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus, kenaikan gaji tahunan RM80 hingga RM320 mengikut gred selain bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang akan dibayar pada Disember ini.

Kerajaan juga tidak melupakan golongan pesara apabila mengumumkan pelarasan pencen dua peratus setahun secara automatik mulai 2013 di samping menerima bayaran khas RM500.

Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan yuran tambahan sekolah mulai tahun depan, pemberian bantuan RM100 kepada semua pelajar daripada tahun satu hingga tingkatan lima, selain baucar buku RM200 kepada semua pelajar warga Malaysia daripada tingkatan enam hinggalah ke universiti.

Najib juga sempat menyindir pembangkang yang sering menguar -uarkan konsep negara berkebajikan sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah sejak sekian lama mengamalkannya.

“Keseluruhannya subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?” katanya.

Bajet 2012 menyediakan peruntukan berjumlah RM232.8 bilion meliputi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek bagi tahun depan di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion untuk merancakkan pelaburan.

Perdana Menteri turut mengumumkan empat dana khas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempergiatkan industri itu.

Dalam pada itu, berpegang kepada falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib turut menjanjikan proses besar islah undang-undang di bawah Program Transformasi Politik bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara moden dan progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.

“Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi rakyat, ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah sekalipun menengah atau tinggi dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di desa,” katanya.

Perdana Menteri mengakhiri ucapan belanjawannya yang memakan masa dua jam itu dengan menegaskan kerajaan BN tidak tunduk kepada tekanan atau paksaan untuk mengambil jalan benar dan betul demi warga Malaysia.

“Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukan dibuat-buat atau ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan sahsiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak,” tegasnya.

Juragan Malawati..

Khamis, 6 Oktober 2011

PM Gempur Ijok, Kuang, Rawang Dan Gombak Sabtu Ini!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melakukan tinjauan mesra sehari di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor Sabtu ini.

Penduduk tempatan dari kawasan DUN Ijok, Kuang, Rawang dan Gombak Setia berpeluang mendekati Perdana Menteri dalam program bertemakan ‘Nurani Rakyat Sayangi Selangor, Yakini BN’ anjuran Barisan... Nasional (BN) Selangor.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata program itu diadakan sebagai satu usaha untuk mendekati rakyat daripada semua kaum selain memahami serta menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi mereka.

“Program ini merupakan siri pertama program jelajah Perdana Menteri di Selangor untuk bertemu, mendengar masalah dan membantu rakyat.

“Kita jangkakan seramai 40,000 orang akan turut serta dalam program ini nanti,” katanya selepas menghadiri majlis taklimat mengenai tinjauan mesra Najib ke Selangor di sini, hari ini.

Najib dijadual memulakan tinjauan mesranya di lapang Ladang Tuan Mee di Ijok, Kuala Selangor sebelum ke Bandar Tasik Puteri di Kuang dan seterusnya ke Pekan Rawang.

Nurani Rakyat Sayangi Selangor, Yakini BN

Jumpa disana..disana..disana..!!!

Juragan Malawati..

Jom Berubah bangun potensi belia!


Razali Ibrahim (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Budiman Mohd. Zohdi, Setiausaha Agung Majlis Belia Selangor, Datuk Irmuhizam Ibrahim dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd. Zaidi Aziz pada perasmian program Jom Berubah di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


STATISTIK pada 2007 menunjukkan golongan belia yang berumur dari 15 hingga 40 tahun di negara ini berjumlah 11.5 juta orang.

Ia menghampiri 45 paratus dari jumlah penduduk negara ini yang membuktikan mereka merupakan entiti yang perlu diberi perhatian. Tenaga belia pula menjadi sumber penting dalam pembangunan negara.

Malangnya bukan semua belia bernasib baik dan mempunyai taraf kehidupan yang selesa. Ramai masih lagi mencari-cari arah dan panduan untuk berjaya didalam hidup.

Kursus-kursus, program keusahawanan, motivasi dan peningkatan diri pula mengenakan kadar bayaran yang agak tinggi dan tidak ramai belia mampu menyertai kursus-kursus berkenaan.

Menyedari hakikat tersebut, sekelompok anak muda, aktivis belia dan belia professional mula berbincang bagi mencari jalan membantu golongan belia terbabit. Daripada beberapa sesi perbincangan dan cambah fikiran maka terhasillah program Jom Berubah khusus untuk golongan belia.

Wawasan program ini ialah mewujudkan 1,000 belia yang berjaya dan berdaya saing sebagai ejen transformasi masyarakat ke arah wawasan 2020. Melaluinya, golongan belia diajar mengenali diri, memahami persekitaran yang membantu selain menilai faktor-faktor boleh ubah ke arah kejayaan.

Akhirnya ia diharap dapat membantu mereka mencipta matlamat dan pelan tindakan yang dapat membantu belia ke arah kejayaan. Program Jom Berubah menggunakan gabungan pendidikan dan hiburan atau edutainment.

Ia banyak menggunakan alat bantuan latihan seperti LCD, Laptop dan sistem audio visual dalam menyampaikan mesej semasa program.

Menurut pengasas program ini yang juga Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Sabak Bernam, Budiman Mohd. Zohdi, kaedah program Jom Berubah adalah berasaskan kuliah dan perkongsian pengalaman.

"Ketika menyertai program ini mereka akan mengikuti pratonton bahan audio visual selain disediakan buku aktiviti Jom Berubah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kaedah yang digunakan juga katanya, boleh maknfaatkan oleh para peserta yang sudah dilatih bagi membantu belia-belia lain.

"Setiap bahan program dan juga bahan bacaan boleh juga dimuat turun diblog:http://jom-berubah.blogspot.com," ujarnya.

Kata Budiman, Jom Berubah merupakan program transformasi remaja yang berusia dari 16 hingga 21 tahun.

"Penekanannya adalah kepada perubahan daripada sifat negatif kepada positif. Perubahan kepada sifat bertanggungjawab kepada pencipta, keluarga dan diri sendiri.

"Selain itu perubahan kepada remaja berperancangan dan berwawasan yang turut membawa kepada perubahan akhlak, moral dan jati diri," jelasnya.

Katanya, program itu dianjurkan oleh Sekretariat Jom Berubah, Majlis Belia Selangor (MBS) dengan kerjasama Belia 4B dan MAYC selain disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Program yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim pada 20 September lalu akan bermula pada 22 Oktober ini. Ia menyasarkan penyertaan kira-kira 2,000 belia dari seluruh Selangor.

Bagi belia yang berminat menyertai program ini boleh hubungi Sekretariat Jom Berubah di talian 03-8063 6562 dan 03-8051 2424

Mereka juga boleh menghubungi Budiman yang juga pengasas program ini di 013 341 8011 atau Azman Mat Isa 019319 4869 atau layari laman web http://www.jomberubah.com serta Facebook http://facebook.com/jomberubahmalaysia.

Juragan Malawati..

Isnin, 3 Oktober 2011

Karpal Singh hilang mood - Akui Anwar sudah tiada lagi hujah bela diri!

Karpal Singh, Ketua Peguam Bela Kes Liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui hari ini bahawa anak guamnya sudah tidak lagi peluang untuk memenangi kes itu jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ditolak mahkamah untuk menjadi saksi.

“Justeru, Rosmah mesti tampil ke mahkamah kerana itu sahaja peluang yang tinggal bagi Anwar.

“Kami berdoa Yang Arif menolak permohonan yang dibuat oleh Najib dan isterinya,” kata Karpal seperti dilaporkan portal pro Anwar, Malaysiakini, hari ini.

Karpal dilaporkan membuat kenyataan di atas, ketika mendengar permohonan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah untuk mengenepikan sapina menjadi saksi yang dikenakan ke atas mereka hari ini.

Sebelum ini, satu lagi portal pro Anwar, The Malaysian Insider pada 28 September lalu melaporkan kehadiran Najib dan Rosmah menjadi saksi adalah penting bukan untuk melengkapkan teori konspirasi, tetapi untuk mendapatkan penjelasan berkenaan pertemuan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan Najib dan Rosmah pada 24 Jun 2008.

Semasa memohon mengenepikan sapina, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib dan Rosmah berkata kedua anak guamnya bukan saksi yang penting dan relevan dalam kes liwat itu kerana pertemuan pada 24 Jun 2008, di luar daripada skop pertuduhan mahkamah iaitu pada 26 Jun 2008.

Merujuk kepada afidavit Najib untuk menyokong permohonannya bagi mengetepikan sapina itu, Hisyam berkata pertuduhan yang dihadapi Anwar ialah kejadian liwat yang didakwa berlaku pada 26 Jun 2008 manakala pertemuan pegadu dengan kedua anak guamnya berlaku pada 24 Jun 2008, bermakna kedua anak guamnya tidak relevan menjadi saksi dalam kes ini.

“Hujahan kami ialah ianya berupa “ekspedisi memancing” dan menyalahgunakan proses mahkamah di pihak responden pertama dan dengan itu mahkamah patut membenarkan permohonan pemohon-pemohon untuk mengetepikan sapina itu,” katanya.

Hujahnya lagi, adalah amat jelas bahawa tujuan kedua-dua sapina itu adalah untuk Najib dan Rosmah memberikan penjelasan dan pengesahan mengenai apa yang berlaku semasa perjumpaan dengan Mohd Saiful.

“Undang-undang membenarkan kedua-dua pemohon mengetepikan sapina itu jika pihak yang memohon sapina itu dikeluarkan tidak memenuhi keperluan daripada segi kerelevanan dan kepentingannya,” katanya.

Jyragan Malawati..

Ahad, 2 Oktober 2011

Hudud: DHPP kecewa tidak dipanggil berbincang!

Pemimpin Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) mendedahkan mereka tidak pernah dipanggil untuk berbincang atau diberikan penjelasan yang mendalam mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Ekoran daripada itu wujud 'cakap-cakap' yang menyatakan kepimpinan DHPP amat kecewa sehingga menyebabkan sayap yang baru ditubuhkan dalam parti itu kira-kira dua tahun lalu hilang kepercayaan kepada pemimpin tertinggi Pas dan mengancam untuk meninggalkan parti itu beramai-ramai.

Ketuanya, Hu Pang Chow ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini berkata, dalam politik tidak ada sesuatu yang pelik dan banyak perkara boleh berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam Pas sekarang. Saya tidak dipanggil untuk berbincang mengenai hudud ini, di Pantai Timur isu hudud tidak menjejaskan Pas kerana bukan Islam adalah minoriti tetapi kalau di Pantai Barat ya, malah saya mendapat terlalu banyak panggilan telefon mengenai isu ini.

"Masa depan DHPP saya tidak tahu tetapi dalam politik apa pun boleh berlaku. Kalau bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad boleh keluar Pas, jadi tidak ada sesuatu yang pelik dalam politik," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa DHPP akan dibubarkan sebagai tanda tidak puas hati dengan kepimpinan Pas.

Pang Chow turut mendakwa pihaknya tidak pernah diberikan peranan dalam Pas biarpun mempunyai kira-kira 20,000 penyokong.

Sementara itu : DHPP mahu satu kerusi setiap negeri

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berharap sekurang-kurangnya seorang calon bukan Melayu diletakkan di setiap negeri dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti, kata Pengerusinya, Hu Pang Chow.

“Tidak kira calon kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) saya berharap seorang calon bukan Melayu akan bertanding kali ini.

“Bergantung kepada kesesuaian, jika ia sesuai untuk kerusi Parlimen maka calon bukan Melayu harus bertanding di kerusi itu. Kalau calon bukan Melayu sesuai untuk kerusi Dun, ia perlu bertanding di kerusi Dun,” kata beliau.

Tuntutan ini dibuat berikutan pemerhatian dan maklum balas yang mendapati bahawa sokongan masyarakat Cina terhadap parti Islam itu semakin meningkat.

“Sokongan di kalangan masyarakat Cina telah meningkat kerana masyarakat mahukan perubahan,” kata Hu.

Pada PRU 2008, PAS mencalonkan seorang calon keturunan India untuk bertanding kerusi Dun Tiram di Johor. R Kumutha telah bertanding atas tiket PKR kerana perlembagaan PAS tidak membenarkan masyarakat bukan Islam bertanding atas tiket parti Islam itu.

Bagaimanapun katanya, kepimpinan PAS mempunyai kata putus untuk menentukan sama ada mahu meletakkan calon bukan Melayu atau sebaliknya.

“Saya percaya pucuk pimpinan PAS mempunyai pertimbangan dan keputusan tersendiri dalam menentukan calon-calon untuk bertanding.

“Tentunya PAS akan mengutamakan calon yang boleh menang tidak kira mereka calon orang Islam atau bukan Melayu. PAS dan DHPP boleh berbincang untuk mengenal pasti kerusi yang sesuai untuk calon bukan Melayu bertanding,” tambahnya.

Namum sehingga hari ini katanya, kedua-dua pihak belum mengadakan sebarang rundingan atau perbincangan berkenaan calon bukan Melayu bertanding dalam PRU akan datang.

Jawap PAS..jangan tak jawap?

Juragan Malawati..

Sabtu, 1 Oktober 2011

Apabila PRU semakin dekat, kerajaan PKR Selangor sibuk bahagi-bahagikan 'Harta Perang'!

Kerajaan negeri Selangor kini diibaratkan sedang membahagi-bahagikan `harta perang’ antara mereka, selain menghabiskan aset dan harta yang telah dibangunkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Dato’ Haji Nawawi Mohd Zin berkata, negeri Selangor membangun ketika pentadbiran BN, dari sebuah negeri pertanian kita bangunkan menjadi sebuah negeri yang kaya raya sehingga Selangor mencari gelanggang untuk rakyat negeri lain mencari rezeki.

”Selepas menang PRU12 lalu, apa yang kerajaan negeri buat untuk memakmurkan Selangor. Apa pembangunan yang mereka buat selama mereka mentadbir Selangor.

Apa jasa mereka melainkan menghabiskan harta dan aset yang telah BN tinggalkan, habis semuanya hendak digadaikan untuk memenuhkan semula kantung kerajaan negeri yang telah dibahagi-bahagikan antara mereka,” ujarnya ketika dihubungi UMNO-Online mengulas isu tiga bangunan komersial PKNS iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Menara PKNS Petaling Jaya yang kini dalam proses pengambil alihan oleh ARREIT, sebuah konglomerat pelaburan.

Dalam masa yang sama, Nawawi turut mempersoalkan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

”Sekadar untuk menasihatkan agar jual aset sana, gadai aset sini, habiskan duit PKNS, lesapkan duit Yayasan Selangor, semua orang boleh buat tetapi apa kesannya kepada rakyat negeri Selangor.

Contohnya, kita difahamkan bahawa kadar sewa di Kompleks PKNS Shah Alam akan dinaikkan sehingga 100%. Peniaga dan penjaja yang menyewa tentunya akan meraung kerana kezaliman pentadbiran Kerajaan Dap-Pkr-Pas Selangor ini. Hampir 80% peniaga dan penjaja di Kompleks PKNS Shah Alam ialah orang Melayu,” ujarnya lagi.

Kerajaan negeri Selangor dan PKNS kini bukan lagi tempat untuk orang Melayu mengadu nasib untuk berjaya dalam kehidupan yang serba mencabar sekarang khususnya dalam dunia peniagaan.

Komen : Duit sepeninggalan BN di Yayasan Selangor sebanyak lebih RM80 juta dah tinggal defisit RM7 juta. Dalam masa 3 tahun, kemana mereka melesapkan wang tersebut. Sebanyak RM115 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat melalui MRRES kepada JKR negeri untuk penyelenggaraan jalan-jalan di negeri Selangor. Akan tetapi JKR negeri hanya dapat sebanyak RM45 juta sahaja. Kemana hilangnya baki sebanyak RM70 lagi? Aset PKNS juga telah ada yang dijual, tetapi tidak dimaklumkan kepada rakyat? Ini tidak termasuk duit dari hasil pasir lagi. Apa cerita MB Khalid? Wallahuallam.

Juragan Malawati..