UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 8 Disember 2013

Pengukuhan kuasa UMNO!


Saya bagi pihak Majlis Tertinggi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua perwakilan kerana persidangan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-67 ini telah berlangsung dalam suasana yang cukup baik, tertib dan penuh bersemangat.

Persidangan kita adakala jadi riuh-rendah kerana gelagat Pengerusi Tetap dengan cerita Mak Long Timah, tak kurang hebat juga beberapa perwakilan yang telah menyampaikan ucapan yang sangat menarik walaupun ada yang cakap dengan nada serius tetapi perwakilan tetap memberi perhatian kepada ucapan-ucapan mereka.

Saya kira ini sikit sebanyak melambangkan kematangan parti kita, bahawa bila kita berhimpun dalam dewan ini kita sebenarnya membicarakan tentang nasib kita, masa depan kita kerana tanpa UMNO gelaplah masa depan orang Melayu di buminya sendiri.

Saya juga turut rasa amat simpati kepada rakan-rakan kita khususnya mereka di Pantai Timur termasuk di kawasan saya sendiri Pekan, Kuantan, Rompin, Kemaman dan juga beberapa kawasan yang lain, Timbalan Presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri dah turun melawat dan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara telah mengeluarkan arahan yang tegas kepada semua jabatan, agensi kerajaan bantu mangsa banjir bersungguh-sungguh.

Saya turut juga mengalu-alukan cadangan malah langkah pertama telah dibuat oleh Malayan Banking supaya hutang bank bagi mangsa banjir ditangguhkan. Saranan Ketua Pemuda tadi saya terima dan saya sebagai Menteri Kewangan minta semua bank untuk mengikut langkah menangguhkan pembayaran balik sementara waktu.

Saya faham bila kena banjir sebab saya Ahli Parlimen kawasan yang selalu kena banjir, saya tahu susah payahnya dan penderitaan mereka, jadi sebagai tanda kasih dan keprihatinan kerajaan maka saya nak umumkan pembayaran RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam banjir ini.

Saya turut melawat mangsa-mangsa banjir selepas memberi ucapan dasar pada hari pertama maka sebahagian daripada perbahasan ucapan dasar, saya tidak dapat mengikutinya dalam dewan ini.

Saya tak dapat mengikuti ucapan wakil Bahagian Gua Musang dari Kelantan yang saya dengar sangat menarik. Saya tertarik hati kepada ucapan wakil Bahagian Titiwangsa, bila dia bawa cerita `I am sorry two' kepada `I am sorry seven', sebab bila orang tak faham bahasa Inggeris itulah akibatnya.

Saya teringat cerita ada seorang daripada kita yang nama tak boleh disebut bila turun di lapangan terbang di London disambut oleh seorang orang putih. Sebab nama orang kita ini panjang, jadi orang putih ini tanya: “How do you like to be address?" , dia jawab: “Bentong, Pahang". Itulah akibatnya kalau kita tak mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi saya percaya di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) akan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris, Insya-Allah.

SUMBANGAN ISTERI

Saya juga tertarik hati kepada wakil Sabah yang telah berucap semasa usul agama, bila wakil Sabah sebut kita ini orang Semenanjung tahu hujung `bah' je, ubah mana Sabah tetapi hujung tu bila sebut jangan tambah, cari musibah, jadi saya setuju 100 peratus. Bukan kerana tulang belakang saya ada di belakang ini, saya nak sebut di sini bahawa terlanjur dah sebut orang rumah ini saya nak sebut, nak beritahu sebab kadang-kadang dalam politik ini kalau peluru tak kena pada saya, dia tembak isteri saya.

Saya nak beritahu pada tuan-tuan dan puan-puan bahawa ada juga peranan dimainkan oleh isteri saya untuk bantu rakyat Malaysia. Kalau nak terang program Permata, kita semua tahu program Permata, terima kasih perwakilan kerana nak tambah program Permata lagi. Tapi ada juga jasa yang isteri saya lakukan yang saya tak pernah terangkan, saya belum maklumkan sebelum ini.

Yang pertama, waktu Flotila lebih kurang dua tahun yang lalu, seorang pelajar kita telah disalah anggap oleh kerajaan Mesir sebagai seorang spy dan telah disumbat dalam penjara, ditahan. Saya minta isteri saya telefon pada masa itu, isteri Presiden Mubarak, Susan Mubarak, Mubarak berkuasa pada masa itu, merayu supaya pelajar kita itu dibebaskan, dalam masa dua jam sahaja pelajar kita telah dibebaskan.

Yang kedua, bila Ops Piramid berjalan, nak bawa pelajar-pelajar kita dari Mesir balik kita tak cukup penerbangan, kita terpaksa minta supaya kerajaan Arab Saudi membenarkan pelajar-pelajar kita menaiki pesawat Charlie yang turun di Jeddah. Dari Jeddah ke Kuala Lumpur tanpa visa, satu permintaan yang sukar diberikan oleh kerajaan Arab tetapi kerana networking dengan keluarga diraja yang telah diusahakan oleh isteri saya, kerajaan Arab Saudi membenarkan.

Malah bukan setakat itu sahaja, dua penerbangan Jumbo 747 diatur kerajaan Saudi secara percuma bagi membawa balik pelajar-pelajar kita.

Inilah yang nak saya terangkan, belum pernah saya terangkan sumbangan oleh isteri saya kepada rakyat Malaysia.

Saya ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong UMNO dan BN tetapi rasa saya ada dua negeri yang mungkin signifikan dengan kejayaan kita.

Yang pertama, kita berjaya mengembalikan negeri Kedah ke pangkuan BN. Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Kedah kerana memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Mukhriz (Mahathir).

Kedua, saya tahu banyak orang rasakan bahawa amat sukar kita menang di negeri Perak. Saya tahu keadaan di Perak, perasaannya, tetapi saya tahu Datuk Seri Zambry (Abdul Kadir) dan orang Perak gigih.

MESEJ DARIPADA PERHIMPUNAN

Kalau kita nak menilai kejayaan perhimpunan kita, apa agak ukurannya?

Pada hemat saya, ukurannya semestinya berkisar kepada apa bekalan yang boleh kita bawa balik. Bekalan dari segi mesej daripada perhimpunan ini. Apakah yang boleh kita jadikan sebagai ingatan dan panduan kita untuk meneruskan perjuangan kita hasil daripada Perhimpunan Agung UMNO yang ke-67 ini .

Saya simpulkan tiga perkara.

* Pertama: Islam

Perhimpunan kali ini dengan jelas menyatakan sokongan atas kesungguhan kerajaan meninggikan syiar dan syariat Islam di tanah air ini serta mempertahankan kemuliaan dan kesucian agama Islam ini.

Dalam hal ini kalau ada pihak yang tidak menerima hakikatnya, saya setuju dengan kata-kata seorang perwakilan, “kalau dah buta hati, kita buat baik pun mereka tak terima kebaikan kita" tetapi percayalah kita tidak akan merasa lemah semangat kerana UMNO berada atas landasan betul dan benar.

Dalam perhimpunan ini kita telah menerima beberapa tokoh dari luar negara sama-sama dengan kita. Ada dua tiga tokoh Islam dan saya nak kongsi dengan perwakilan apa mereka beritahu saya pada pertemuan tertutup itu.

Pertama, Timbalan Komisioner Perhubungan Antarabangsa Al-Fatah, Palestin, Dr. Abdullah M.I. Abdullah. Dia kata “Malaysia under UMNO leadership is an inspiration to the muslim world." (Malaysia di bawah kepimpinan UMNO memberi inspirasi kepada dunia Islam).

Seorang lagi, (pemimpin Hamas) Khaled Meshaal yang diletakkan dalam senarai Mosad sebagai “the most wanted man" beberapa tahun lalu dan cuba membunuhnya dengan menyembur racun kimia melalui telinganya sehingga dia koma.

Kuasa Allah selamatkan dia. King Hussin beri kata kepada PM Israel, kalau Khaled Meshaal mati, maka perjanjian damai antara Jordan dan Israel akan mati jua. Baginda minta antidot daripada Israel. Israel bagi antidot. Dia selamat.

Pejuang kebebasan Palestin ini datang berjumpa kita dan beliau berkata kepada saya: “Selama ini kami lebih rapat dengan Pas, kami lebih mengenali Pas tetapi hari ini kami akui perjuangan UMNO yang berada atas landasan betul."

Malah beliau kata, Malaysia boleh bangga kerana menjadi role model kepada dunia Islam.

Dua pemimpin Islam yang bertelagah yang tidak boleh bersama antara satu sama lain. Kedua-duanya menghormati kita dan dua-dua hendak UMNO bantu usaha damai antara Fatah dan Hamas.

Imam Masjidil Haram, Dr. Khalid Ali Al-Ghamidi yang mengimamkan solat Jumaat di bangunan PWTC kepunyaan UMNO dalam khutbahnya menyebut soal wasatiyyah.

Dia kata itulah prinsip perjuangan yang sangat kena dengan kehendak Islam.

Dia berbangga apabila kita buat penegasan takrif Sunnah Wal Jamaah. Dia kata Malaysia satu-satunya negara yang menyatakan perkara tersebut dengan jelas dan terang sekali. Sebab itulah hasil suara wakil-wakil dalam perhimpunan ini, kita akan pinda fasal 3.3 dalam perlembagaan UMNO, bukan lagi sebut Islam agama rasmi, kita sebut Islam agama Persekutuan dan kita nak Islam agama Sunnah Wal Jamaah dalam perlembagaan parti UMNO.

* Kedua: Agenda bumiputera

Kita ahli UMNO, orang Melayu dan bumiputera amat ingin melihat perjuangan memperkasa agenda ekonomi bumiputera dilaksana dengan bersungguh-sungguh.

Saya terima. Parti UMNO terima mesej ini dan saya nak nyatakan, saya dan rakan-rakan komited untuk menzahirkan tuntutan parti kita dalam hal ini.

Malah kita dah mesyuarat dan mengadakan perbincangan dan saya dah jumpa dengan ketua eksekutif GLC dan katakan kepada mereka agenda pemerkasaan bumiputera adalah sebahagian agenda nasional dan oleh itu setiap ketua eksekutif dan pengurusan GLC perlu laksanakan agenda ini dengan sebaik mungkin.

Untuk memperlihatkan kesungguhan kita memantau perkara ini dengan teliti maka kita akan jadikan ini sebagai KPI kepada setiap CO (ketua eksekutif) GLC. Saya dan rakan-rakan memantau perkara ini, akhir tahun saya nak tengok report card dan skor kadnya.

Kalau baik, baiklah dan bolehlah sambung agaknya... ini cara kita. Mesti laksanakan sebab apa? Sebab saya beritahu, “we don’t have to be apologetic."

Saya ditemu bual oleh CNN. Saya kata bahawa kalau kita kira prinsip keadilan sosial, 67 peratus dalam negara kita terdiri Melayu dan bumiputera. Kalau 67 peratus di setengah negara soal tindakan afirmatif kepada golongan minoriti, mereka tidak mahu minoriti terpinggir.

Tetapi dalam negara kita, kalau majoriti terpinggir lagi parah keadaannya.

Sebab itu saya kata demi keadilan sosial dan kestabilan jangka panjang, orang Melayu dan bumiputera mesti ditingkatkan kedudukan mereka, seimbang kongsi kekayaan.

Itu sebab saya kata jangan apologetik. Ini hak kita. Ini kita mesti laksanakan tapi kita tidak nafikan hak kaum lain. Bila masa kaum lain terbantut perkembangan kedudukan mereka dalam negara kita? Bila masa kita laksanakan DEB sehingga mereka ini terpinggir. Adakah rezeki mereka terputus?

Terbukti bahawa kerajaan di bawah pimpinan UMNO adil kepada semua kaum.

Jangan menuding jari dekat kita mengatakan kita rasis. We are not racist, UMNO has never been racist, UMNO has always been fair to all (Kita bukan rasis, UMNO tidak pernah rasis, UMNO selalu adil kepada semua). Ini saya nak beritahu dan kita hendak mereka sama-sama dengan kita, orang Cina, India, Iban, Kadazan, apa semua sama-sama dengan kita move forward together (bersama maju ke hadapan) tetapi kepimpinan negara ini terajunya mesti dipegang oleh parti UMNO kita ini.

Ini konsepnya. Ini dia. Sebab apa? Sebab di bawah UMNO, orang lain boleh dapat keadilan! Di bawah orang lain tak pasti orang Melayu dapat keadilan. Sebab itulah kita mesti jalankan perkara ini.

We are fair, we are considerate (Kita adil dan bertimbang rasa), ini orang Melayu dan kita perlu laksana apa yang kita fikirkan akan membangunkan negara kita, akan memperkukuhkan perpaduan nasional.

Kita akan tegakkan prinsip keadilan nasional. Visi kita nak mentransformasikan negara kita ini, menjadi sebuah negara maju dalam masa terdekat.

Kita tidak mahu bersaing dengan negara tertentu. Kita nak berada di saf hadapan negara maju, bangga di bawah panji UMNO, kita boleh capai status negara maju. Ini dia, advanced nation progressive nation, Muslim Islamic nation but very progressive nation. Ini dia model kita untuk masa depan.

Sebab itu bila kita sebut pasal pengukuhan kuasa UMNO, tak lain tak bukan sebab hala tuju negara kita ini jelas, visi untuk masa depan kita terang. Kita akan membawa negara kita ke puncak kecemerlangan di bawah pimpinan UMNO.

EKONOMI

Salah satu dari masalah ekonomi kita kerana bebanan subsidi kita terlalu besar, untuk tahun ini RM46.64 bilion untuk subsidi saja, kita punya peruntukan untuk pembangunan RM49 bilion, RM46 bilion subsidi berapa lama boleh bertahan? Jawabnya tak lama, orang putih kata not sustainable, tak boleh, tak payah kita ini pakar ekonomi.

Tuan-tuan pun boleh faham kalau kita peruntukkan pembangunan RM49 bilion, subsidi RM46 bilion macam mana berapa lama kita boleh bertahan... tak boleh, rating agensi sudah bagi signal kepada kita, Fitch dah bagi signal dekat kita, tapi bila kita berani ambil ubat, bila kita naikkan harga minyak, pada bulan September 20 sen, hapuskan subsidi gula 34 sen, kita juga nak naikkan tarif elektrik sikit, makna apa sekarang ini? Sekarang ini Moody’s dah bagi kita outlook positif, untuk masa depan kita, bererti kalau kita teruskan usaha kita, konsidilasi fiskal, kita mungkin dapat upgrade A3 kepada A2.

Kalau grading kita, tarif kita menurun, pinjaman pun naik, bila kita nak pinjam, pinjaman rumah, untuk perniagaan dan kereta naik, kadar faedah naik.

Sebab itu penarafan penting pada kita, untuk kesihatan ekonomi kita. Bila ekonomi dah tegap teguh, kita boleh tambah lagi peruntukan untuk luar bandar sebab orang luar bandar adalah kekuatan teras parti UMNO dan BN. Saya tak lupa.

Seperti Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebut tadi memang ada sentiasa dalam hati kecil saya, orang luar bandar. Sebab itu saya terus tambah (peruntukan) tetapi perlu ekonomi dikukuhkan. Kurangkan fiskal defisit kita, bila ekonomi kuat, pada masa itu peruntukan perumahan boleh tambah, peruntukan luar bandar boleh tambah.

Orang kita ini manja, nak jalan dalam kampung, jalan itu nak sampai depan rumah kita, bukan setakat jalan ke kampung, jalan depan rumah kita.

ISU BONUS

Kalau saya bentang bajet tahunan yang paling dia tunggu...bonus, dia tak fikir bab-bab lain. Kalau tiada bonus bajet tak baik, itu dia punya calculation mudah.

Tapi kalau sebulan bonus RM56 bilion, ini dia kena terangkan setengah bulan RM26 bilion, jadi ini semua tuntutan pada punca kewangan kita dan kalau kita tak kukuhkan tak mungkin kita dapat lakukan.

Bila ekonomi kita kukuh kita boleh beri lebih bantuan kepada rakyat pada masa akan datang.

Ini dia strategi kita, cakaplah orang kata ini short term aid sikit, bukan sakit sangat tak, sikit saja, kita jentik sikit saja, tak sakit sangat, sikit saja, tapi kesihatan Insya-Allah kita akan bertambah lebih sihat, ekonomi negara Malaysia dan Insya-Allah fajar menyinsing tahun 2020 kita akan jadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Inilah harapan kita di bawah perjuangan UMNO.

* Ketiga: Transformasi UMNO

Seperti Muhyiddin terangkan tadi kita kena buat pindaan kepada cara kita buat kerja dalam UMNO.

Orang UMNO ini semangatnya kuat. Kadang-kadang semangat dalam dewan ini seronok saya tengok dia punya gah, hebat tapi bila dia balik ke bahagian, dia balik ke cawangan, apa cerita dia?

Inilah yang kita nak tahu, sebab itu kalau kita nak lakukan perubahan, orang putih kata “business as usual" tak boleh, sebab kita sudah ubah landskap politik negara, sudah berubah, landskap politik dunia sudah berubah. Sekarang ini kalau kita tak faham the new environment and the new politics kita akan kecundang, kita tak kebal, parti kongres pun tak kebal, parti LDP pun tak kebal , parti Golkar pun tak kebal masakan UMNO boleh kebal.

Kita tak kebal. Hanya parti yang sanggup berubah ikut tuntutan zaman menjadikannya relevan, parti itu akan terus memegang tampuk kepimpinan pemerintahan negara.

Kita tahu kita kena ubah cara kita.

KPI ini sudah ada dalam perlembagaan parti cuma kita tidak sedar saja. Saya katakan demikian sebab bila saya semak perlembagaan parti sudah ada KPI.

Cawangan mesti mesyuarat dua bulan sekali. Sekali tiap-tiap bulan lama-lama sekali, sekali lama-lama dua bulan sekali.

Sudah ada dalam perlembagaan kita, jawatankuasa bahagian dua bulan sekali, (Badan) Perhubungan dua bulan sekali.

Saya boleh beri pengakuan bahawa Majlis Tertinggi tiap-tiap bulan kita mesyuarat. Tetapi (bagaimana dengan) 21,000 cawangan ini?

Kita sebut nak perkasakan UMNO, kita mesti memperkasakan cawangan. Sebab apa? Di situlah terletaknya balai tentera kita, di situlah letaknya teras kekuatan kita.

Bila kita tak mesyuarat, siapa nak tengok masalah rakyat? Siapa nak pergi ke masjid dan surau?

Masjid, surau, siapa keluarkan duit? UMNO keluarkan duit. Siapa control masjid dan surau sekarang ini? Secara percuma saja, kita buat susah-susah, dia ambil alih tempat itu. Sebab apa? Sebab kita tidak ambil berat perkara ini, mengimarahkan masjid, surau. Ini mesti dijadikan sebahagian daripada tanggungjawab parti kita di peringkat akar umbi. Mesti!

Jadi kita akan keluarkan KPI. Kita monitor, bahagian monitor cawangan, Perhubungan monitor bahagian dan ibu pejabat monitor semua sekali. Kita pantau semua. Kita cuba betulkan sebelum terlambat. Jangan dekat-dekat pilihan raya ke-14 baru terkial-kial kita nak betulkan keadaan. Pada masa itu, telah terlambat.

Berapa ramai ahli UMNO yang tak daftar sebagai pengundi? Ramai... Bila dah semput masa itu barulah kita nak cari Wanita buat kerja.

Patutnya kita buat ini cara tersusun. Inilah parti yang dalam zaman moden. Inilah parti dalam 21st century.

Parti UMNO mesti menampakkan party of the future bukan party of the past, bukan parti atas kecemerlangan zaman silam perjuangannya tetapi parti yang berdiri di atas masa depan yang hebat di bawah parti UMNO kepimpinan kita.

Inilah yang mesti kita lakukan.

Soal pemilihan, saya rasa prinsip pemilihan baik tapi antara syarat bertanding mungkin terlalu longgar. Kita tak nak terlalu ketat dan terlalu longgar juga, jadi kita bincang perkara ini. Saya tidak mahu buat keputusan sendiri, MT kena bincang, kita kena minta pendapat bahagian juga.

Saya fikir jawatan Ketua Bahagian juga terlalu longgar, orang mudah sangat. Kalau dia serius tak apa tetapi kalau orang kata, maaf cakap... orang putus wayar pun nak lawan, susah juga. Silap-silap orang putus wayar jadi presiden parti susah juga. Susah...

Ada juga orang fikir nak cari glamor lawanlah presiden. Presiden pula kena turun bawah diperkenalkan kepada perwakilan, dah sah malu juga. Di gode-godenya.

Inilah kita tahu 3.4 juta ini, macam-macam manusia ada dalam parti kita ini.

Selain itu, kita perlu lebih banyak ilmuwan dan ulama, agamawan, profesional dan sebagainya dalam parti. Ini perlu kita lakukan secara terancang.

Sebab itulah bila saya ada kuasa melantik tambahan Majlis Tertinggi, saya lantik dalam kalangan agamawan, profesional dan sebagainya supaya kepimpinan parti UMNO kita ini subur lagi dengan pelbagai golongan, di peringkat bahagian pun saya minta perkara ini dilakukan.

Bila saya semak sudah terlambat sebab semua dah lantik. Hampir semua sudah dilantik mengikut chai masing-masing, mereka gunakan chai yang sedia ada.

Saya tahu... mesti ikut chai sebab orang putih kata pay back time, mesti lantik.

Jadi kalau lapan tambahan itu, dua tiga lagi bolehlah lantik orang agama ke orang profesional supaya kepimpinan kita di semua peringkat menjadi lebih teguh dan lebih berkesan.

NELSON MANDELA

UMNO membuat pendirian kita hantar mesej takziah kepada parti ANC dan penghargaan kita atas perjuangan seorang tokoh keamanan yang tiada tolok bandingnya.

Kita hantar atas nama UMNO sebab UMNO berjuang dalam prinsip yang sama.

Saya nak bawa satu cerita yang saya dengar ketika saya Menteri Pertahanan.

Rakan sejawat saya, (Masiou) Lekota namanya. Lekota ini masuk penjara dengan Mandela selama 17 tahun, Mandela masuk penjara 27 tahun.

Dia beritahu saya di (penjara) Robben Island bila musim sejuk, suhu terlalu sejuk. Bila terlalu sejuk, dia buat dua bulatan, satu bulatan di luar orang lama, satu bulatan di dalam orang muda.

Saya tanya dia kenapa? Sepatutnya orang muda di luar orang tua di dalam. Dia beritahu saya kalau orang muda hidup perjuangan masih boleh diteruskan lagi. Ini bila orang berjuang atas semangat menentang aparteid dan sebagainya.

Orang perjuangan tidak fikir kedudukan, dia tak fikir habuan, dia fikir hendak kebebasan dan dia tahu perjuangan ini akan makan masa yang agak panjang sebab itulah orang lama sanggup berkorban untuk orang muda kerana bila orang muda dapat hidup, perjuangan masih dapat diteruskan.

Jadi kalau saya minta yang lama itu bagilah jalan sedikit, bolehkah? Bukan saya kata kita tolak semua tapi ada ketika kita mesti sediakan pelapis kepimpinan dalam parti dan negara kita.

Tanggungjawab kita itu, kewajipan kita. Kita nak serah negara kepada siapa? Kita mesti serahkan negara kita kepada pemimpin, pemimpin yang sudah pun kukuh dengan nilai perjuangan UMNO yang sejati. Sebab itu kita nak buat pengkaderan dalam parti kita. Sediakan lebih banyak lagi pelapis -pelapis kita dan kita tidak apalah.

Sampai masanya mereka akan tampil ke hadapan. Tetapi yang penting, perjuangan kita tetap dapat kita teruskan dengan jaya.

Saya harap semangat seperti ini kita tanam dalam parti kita di semua peringkat. Insya-Allah parti kita akan berjaya.

Tentang pindaan-pindaan yang lain saya serahkan pada Muhyiddin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan saya amat menghargai kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin tadi untuk sentiasa menyokong bersama-sama dengan saya, memimpin parti kita kerana inilah sahaja yang ada untuk orang Melayu. Jagalah UMNO, tanpa UMNO, di mana orang Melayu nak menaruh harapan.

Sebagai Presiden UMNO, sebelum mengakhiri ucapan saya ingin berpesan-pesan memberi pedoman.

Walau sutera cantik dipakai,

Belacu juga tahan diuji,

Sudah lumrah dalam perjuangan,

Ada yang luka ada yang parah,

Ada yang pergi membawa hati,

Ada yang hilang entah ke mana,

Apa guna merajuk hati,

Sampai membakar perjuangan sendiri.

Kalau UMNO dah tertewas dan mati, kalau UMNO sudah tidak bersenandung lagi,akhirnya tersungkur menyembah bumi, segalanya sudah tidak bermakna, semuanya sudah tidak bererti.

Benar jika ada pun khidmat yang telah dicurah, jika ada pun bakti yang telah disemai, usahlah sedikit pun berasa kesal, sekali pun ia tidak terpandang di dunia sementara ini.

Pesan orang cerdik zaman bahari, tulislah jasa-jasa kita itu di atas pasir pantai, supaya hilang tersapu ombak, kerana budi kita yang baik, pastinya dikenang kelak.

Sayugialah, dalam gemblengan dan ikhtiar transformasi Melayu dan tanah air yang belum sudah ini, jadikanlah luka dan parut itu sebagai tanda azimat bahawa kitalah pahlawan-pahlawan UMNO yang sedang berjuang.

Ya, memang UMNO tidak sempurna.

Ya, memang UMNO tidak lengkap.

Kendati itu, tabahkanlah nurani dan berlapang-lapanglah dada bahawa perjuangan UMNO secara manusiawinya adalah amat teguh dan sempurna.

Pokoknya, janganlah Melayu berdengki-dengki sesama kita, janganlah Melayu memfitnah sesama bangsa, janganlah Melayu memusnah sesama sendiri.

Bersabarlah dalam menerima cubaan, teguhkanlah iman di dada, perjuangan ini adalah untuk kita terus hidup, pengorbanan yang dibuat adalah untuk melihat UMNO terus mekar dan mengharum demi anak cucu.

Janganlah ditangguh-tangguh, usahlah berbasa-basi, janganlah berdolak-dalih lagi menggalas perjuangan mulia ini.

Sesungguhnya, Allah tuhan yang mentadbirkan siapa yang Dia kehendaki untuk naik dan siapa yang Dia kehendaki untuk turun.

Kita merancang, Allah juga merancang dan Dialah sebaik-baik perancang.

Ketahuilah Allah itu tidak tidur, Allah itu tuhan yang nampak segala.

UMNO sedang berbuat sehabis baiknya, redalah atas perjuangan ini, berserahlah segala kepada-Nya, semoga negara ini menjadi baldatun toyyibatun warabbun ghafur.

Walau pembangkang terus-terusan bermain api, beraja di mata, beraja di hati, tetapi UMNO dengan penuh bermaruah akan tetap bersultan di mata, bersultan di hati.

Namun, siapa kata UMNO tidak berani, siapa kata UMNO berdiam diri, UMNO lah yang akan membenteng betis dan menahan dengan perabung-perabung dada, semua tusukan-tusukan jahat itu demi membela dan mempertahankan Islam untuk nasib Melayu, bumiputera dan Malaysia tercinta kita ini.

Oleh sebab itulah, selama ini, biar kita dicerca, biar kita diasak sebegitu rupa, UMNO tidak sesekali akan putus asa, UMNO tidak sesekali akan merelakan bumi Malaysia ini diganggu-gugat atau dibinasakan walau sezarah pun kepentingannya.

Wahai ahli UMNO semuanya, wahai pejuang parti sekalian, bingkas dan bangkitlah UMNO parti menjunjung watan, UMNO lah parti anak jantan.

Jauh ke tengah si pulau pandan,

Gunung daik bercabang tiga,

Berpisah hayat dari badan,

UMNO dan pertiwi diperbenteng jua.

Hidup Melayu, hidup Melayu, hidup Melayu.

Hidup UMNO, hidup UMNO, hidup UMNO.

Hidup Malaysia, hidup Malaysia, hidup Malaysia!

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan