UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 17 Julai 2012

Krisis air : Selangor salahkan Syabas!



Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebagai punca berlakunya kekurangan bekalan air terawat di Lembah Klang dengan mendakwa syarikat itu tidak mampu memberi perkhidmatan yang baik kepada pengguna.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa, ketidakmampuan Syabas itu dilihat menerusi tunggakan syarikat itu kepada operator rawatan air sebanyak RM2.8 bilion sehingga April tahun ini, selain gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) sebanyak 20 peratus mengikut perjanjian konsesi.

Dakwa beliau, berdasarkan laporan audit yang dilakukan oleh kerajaan negeri, Syabas juga tidak melaksanakan perbelanjaan modal (Capex) mereka dengan baik.


Malah Abdul Khalid turut menyatakan krisis bekalan air terawat membabitkan kawasan Lembah Klang pada masa ini tidak boleh disamakan dengan krisis air pada 1998 apabila memberi alasan tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air yang cukup dan melimpah.

"Kerajaan negeri menggesa proses penstrukturan semula industri air diteruskan dengan segera kerana Syabas jelas tidak berkemampuan memberi perkhidmatan air yang baik kepada rakyat.

"Kerajaan negeri juga telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali iaitu pada 19 Disember 2008 dan 21 Januari 2011 untuk membatalkan perjanjian konsesi Syabas," katanya kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.


Pada 14 Julai lalu, Syabas bercadang mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melaksanakan catuan bekalan bagi mengatasi krisis kekurangan air yang telah melanda kawasan Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sejak April lalu.

Langkah itu dikemukakan berikutan penurunan paras air yang mendadak sejak bulan lalu di beberapa kolam takungan sehingga ada yang mencapai negatif berbanding jumlah simpanan yang sepatutnya iaitu minimum 20 peratus.

Pada masa sama, Abdul Khalid turut memberitahu, pihaknya mengambil keputusan untuk menggunakan Klausa 32 di bawah perjanjian konsesi bagi mengemukakan notis kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih operasi Syabas.


Malah katanya, kerajaan negeri juga meminta SUK, Datuk Muhammad Khusrin Munawi bersama Pengawal Selia Air Selangor, Datuk Nordin Sulaiman memantau perkhidmatan Syabas menerusi penubuhan satu jawatankuasa pemantauan.

Jawatankuasa itu katanya, akan dianggotai oleh syarikat pengendali loji rawatan air, Konsortium Abass yang turut memanggil pakar bebas untuk memantau kesahihan maklumat mengenai status bekalan air yang dilaporkan Syabas sebelum ini.

"Mengenai notis pengambilalihan operasi Syabas, kita akan tulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan SPAN. Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak menerima keputusan kita untuk mengambil alih operasi Syabas, kita boleh bawa perkara itu ke mahkamah.

"Mengenai penubuhan jawatankuasa pemantauan pula, kita akan minta Syabas memberikan laporan harian untuk menerangkan kedudukan bekalan air semasa," ujarnya.

Juragan Malawati..

1 ulasan: