UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 30 November 2011

DAP sebenarnya anti-perlembagaan!

Tindakan pemimpin DAP serta portal propembangkang The Malaysian Insider dan Malaysiakini melabelkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai rasis jelas membuktikan parti monopoli kaum Cina itu bersifat antiperlembagaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor menegaskan, DAP serta dua ejen berita itu juga terbukti amat rasis serta anti-nasional kerana ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO itu adalah semata-mata untuk mempertahankan martabat Islam dan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata Ezam, semasa menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan dahulu, beliau telah berpesan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim supaya berhati-hati dengan agenda DAP yang sentiasa berhasrat menghapuskan kedudukan istimewa Islam dan Melayu dalam negara.

“Sewaktu itu agenda DAP yang anti-Islam dan anti-Melayu semakin dominan tetapi Anwar tidak mengendahkannya akibat terhutang budi dibela oleh DAP dalam kes liwatnya.

“Justeru saya berani nyatakan bahawa kenyataan Muhyiddin malam tadi adalah tepat, benar dan setiap rakyat Malaysia yang setia pada negara dan perlembagaan wajib bersama-sama berjuang melawan pengkhianat- pengkhianat negara ini,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin sewaktu merasmikan persidangan serentak sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin membidas pembangkang khususnya DAP yang dilihat langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan, dan mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan keterlaluan khususnya selepas mula mentadbir Pulau Pinang.

Selain itu, kata beliau, DAP juga terbukti mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan kewibawaan institusi kehakiman dan memperkuda sebahagian orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa.

“Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya bertubi-tubi mempersenda umat Islam.

“Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama,” katanya.

Berikutan ucapan Muhyiddin berkenaan, portal propembangkang membuat laporan kononnya beliau menggunakan isu perkauman bagi memenangi hati rakyat sementara Penasihat Lim Kit Siang dalam laman mikro ‘twitter’ mendakwa kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai ibu segala penipuan dan perkauman.-UM

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan