UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 29 November 2011

Kesetiaan Azmin terhadap Anwar 'tiada tolok banding'!

Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang kononnya sanggup bangkit meruntuhkan kezaliman institusi penjara sekiranya Anwar Ibrahim dipenjarakan disifat sebagai 'kesetiaan luar biasa' Ahli Parlimen Gombak itu terhadap tuannya.

Bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, kesungguhan Azmin untuk 'menyelamatkan' Anwar daripada kehidupan di penjara dilihat sebagai ketaksuban yang melampau dan tidak bertamadun.

"Mungkin Azmin terlalu sayangkan Anwar lebih daripada seorang pemimpin hingga sanggup melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara.

"Dia (Azmin) amat mengagungkan Anwar sekali gus bercita-cita menjadikannya sebagai Perdana Menteri yang jelas sekali tidak akan berlaku di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin yang sanggup bangkit meruntuhkan kezaliman penjara sekiranya ketua pembangkang itu dipenjarakan ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres Nasional PKR Kelapan di Johor, Jumaat lalu.

Menurut Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, pucuk pimpinan PKR juga sanggup menggadai maruah dan kepentingan rakyat asalkan impian untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri tercapai.

"Mereka (pemimpin PKR) telah menyimpang jauh daripada tujuan asal PKR ketika mula ditubuhkan dahulu iaitu untuk membela nasib rakyat. Kini mereka telah terpesong dengan mengangkat seorang individu yang gila kuasa untuk menjadi pemimpin negara demi kepentingan peribadi," katanya.

Sementara itu, salah seorang pengasas PKR, Ng Lum Yong berpendapat, tindakan Azmin yang sanggup melanggar undang-undang negara merupakan taktik lama PKR untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Azmin cuba menghasut orang ramai untuk membenci kerajaan yang pada hematnya kejam kerana memenjarakan individu tidak bersalah.

"Rakyat harus buka mata dan menilai tujuan sebenar PKR yang jelas untuk mengalih perhatian rakyat daripada kes liwat dan video seks yang kini sedang hangat diperkatakan," katanya.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip pula berpendapat Azmin mahu diangkat sebagai hero baru dalam parti itu dengan menonjolkan 'pengorbanannya' terhadap Anwar.

"Azmin bertindak sedemikian bagi meningkatkan kasih sayang Anwar terhadapnya kerana umum mengetahui jawatan yang disandang dalam parti itu merupakan hasil belas ihsan ketua pembangkang itu.

"Ingin saya ingatkan Azmin bahawa dia tidak perlu merobohkan penjara untuk bebaskan Anwar, bahkan kita yang akan pastikan pintu penjara terbuka untuk dia 'menemani' ketua pembangkang itu," ujarnya.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula berkata, tindakan Azmin itu jelas membuktikan perjuangan PKR bukan untuk membela nasib rakyat tetapi adalah untuk membela Anwar.

"Azmin dan pucuk pimpinan PKR yang lain sedar bahawa survival politik mereka terletak di tangan Anwar dan tanpanya mereka sudah tentu akan 'bungkus'," katanya.

Dalam perkembangan sama, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Azmin kini berada dalam keadaan terdesak hingga sanggup meluahkan 'kesetiaannya' terhadap Anwar.

"Dia (Azmin) bakal berdepan dengan kesukaran dalam PKR jika Anwar tiada dalam arena politik kerana tiada siapa lagi yang akan mempertahankannya seperti pada situasi ketika pertandingan jawatan dalam PKR lalu," tegasnya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan