UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 14 November 2011

Perhimpunan penting untuk UMNO!

''AYUH, Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi. Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi...Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi...Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi.

''Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi Putrajaya mesti kita pertahankan."

Inilah dua pesanan bersemangat yang dilafazkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 tahun lalu.

Mungkin ada di kalangan pemimpin dan ahli UMNO yang ingat atau mungkin ia sekadar laungan yang terus dilupakan sebaik sahaja mereka melangkah meninggalkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila perhimpunan selesai.

Apa pun perhimpunan agung parti keramat orang Melayu itu akan berlangsung buat kali 62 mulai 29 November ini.

Dan kali ini ia lebih menarik apabila jumlah perwakilan yang bakal hadir adalah tertinggi iaitu 3,476 perwakilan berbanding 2,543 perwakilan tahun lalu. Jumlah tersebut bertambah berikutan pindaan Perlembagaan UMNO tahun ini.

Namun begitu sebelum perwakilan, pemerhati dan penyokong UMNO melangkah ke PWTC sekali lagi, mereka perlu bermuhasabah untuk menilai apakah pesanan-pesanan yang disampaikan oleh Najib pada perhimpunan agung lalu sudah dipatuhi?

Apakah pesanan Najib bahawa mereka perlu mengukuhkan perpaduan dan barisan demi memastikan UMNO kuat bagi berhadapan dengan pilihan raya sudah dilaksanakan atau tidak?

Bagaimana pula dengan sikap mereka, apakah mereka bersedia mengorbankan perjuangan peribadi untuk menerima kriteria calon mesti menang yang ditetapkan oleh Najib demi kepentingan parti?

Setakat ini sukar dipastikan, apa yang nyata berdasarkan senario selepas perhimpunan agung UMNO lalu, sindrom bermusuh sesama sendiri, politik cah keting dan berebut menjadi calon masih lagi menebal di kalangan pemimpin dan ahli terutamanya peringkat bahagian dan negeri.

Sebagai contoh, di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di utara tanah air, ada sekelompok pemimpin UMNO menghantar memorandum kepada Perdana Menteri memburuk-burukkan wakil rakyat sedia ada juga daripada UMNO.

Di sebuah bahagian di Pantai Timur, ada ketua bahagian yang mendapat peruntukan UMNO pusat untuk diagih-agihkan kepada pemimpin bawahan bagi melaksanakan program untuk rakyat tidak berbuat demikian.

Malahan ada banyak bahagian UMNO tidak bersungguh-sungguh menjalankan program bagi meraih sokongan rakyat dengan alasan pilihan raya masih lambat dan ada pula beranggapan buat apa bersusah payah, kalau bukan dia atau individu yang mereka sokong menjadi calon.

Inilah sindrom yang masih lagi melumuri UMNO biar pun perhimpunan agung kali ini dilihat sebagai 'pertemuan terakhir' sebelum pertembungan sengit dalam pilihan raya umum.

Semua keadaan itu menunjukkan bahawa kesedaran betapa penting UMNO mengukuhkan barisan bagi berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang masih rendah.

Peringatan Najib dalam perhimpunan agung lalu jelas dilupakan dan sebahagian kelompok inilah juga yang akan menghadiri perhimpunan kali ini dengan bersikap hipokrit di hadapan pemimpin pusat bahawa mereka bersedia berkorban jiwa dan raga demi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya.

Tetapi apabila pulang ke kawasan masing-masing mulalah menonjol perangai buruk mereka berpolitik yang akhirnya apabila tiba pilihan raya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada di ambang bahaya.

Justeru adalah penting perhimpunan agung kali ini tidak akan terus dijadikan medan oleh sesetengah pemimpin di peringkat negeri mahupun bahagian bersikap hipokrit.

Sebaliknya mereka perlu mematuhi dan mengubah sikap demi kepentingan UMNO dan perjuangan bangsa Melayu.

Ia memandangkan perhimpunan agung kali ini amat penting bagi UMNO menyusun strategi dan menanam semangat perjuangan yang kental demi memastikan parti itu mempunyai kekuatan tulen bagi berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

Memang hak mereka, untuk datang ke PWTC sekadar menjadi perwakilan, pemerhati atau penyokong, mendengar ucapan Presiden dan pemimpin-pemimpin kanan dan pulang dengan jiwa kosong tanpa ada apa-apa perasaan.

Namun mereka perlu ingat bahawa Najib, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua pemimpin UMNO di peringkat pusat amat bersungguh-sungguh dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu dan BN.

Kerajaan di bawah kepimpinan Najib sudah melakukan segala-galanya di peringkat pusat bagi meraih sokongan rakyat tetapi semua itu tidak bermakna jika pemimpin dan ahli UMNO di peringkat bahagian dan negeri tidak mahu mengubah sikap buruk mereka berpolitiking sesama sendiri semata-mata berebut-rebut menjadi calon.

Pilihan raya umum kali ini bukan sahaja penentu kepada 'hidup mati' terhadap kekuasaan politik BN dan UMNO malah lebih penting daripada itu adalah survival politik orang Melayu.

Sama ada penguasaan politik orang Melayu boleh dipertahankan atau tidak, menjadi rapuh atau tidak segala-galanya bergantung kepada UMNO.

Ini sudah dipertegaskan oleh Najib ketika ucapan penggulungannya apabila beliau berkata, ''Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain (hendak pertahankan)...

Oleh itu adalah penting kepada pemimpin dan ahli UMNO yang akan menghadiri perhimpunan agung mulai 29 November ini memahami bahawa langkah mereka ke PWTC bukan sekadar kerana mereka ahli politik yang hadir ke persada politik tanah air untuk merebut kuasa dan kedudukan tetapi lebih penting adalah mempertahankan perjuangan bangsa, agama dan negara.

Seandainya mereka tidak mahu berubah sikap dan masih lagi mahu berpolitiking sesama sendiri, maka juga perlu bersedia untuk disumpah oleh anak cucu mereka nanti apabila Melayu hilang kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Justeru sebelum terlambat, jadikanlah kehadiran ke perhimpunan agung UMNO kali ini ibarat melangkah 'ke alam pertapaan' yang bertujuan meningkatkan kemampuan dan kekuatan serta menyingkirkan sikap buruk dalam memastikan kesinambungan perjuangan UMNO dan mengekalkan kuasa politik Melayu di bumi yang suatu ketika bernama Tanah Melayu ini!

Oleh : Zulkiflee Bakar

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan