UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 10 Oktober 2009

Salahuddin, penulis portal diminta beri keterangan!

Polis meminta Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub serta penulis portal berita Malaysian Insider dan Harakah Daily tampil memberi keterangan berhubung dakwaan yang mengelirukan kononnya penyokong parti itu dikasari dan diserang oleh ahli UMNO hingga cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam blog berkenaan Salahuddin telah memegang sekeping gambar berkaitan kejadian itu dengan gambaran kecederaan yang teruk ke atas mangsa.

Tetapi kata beliau, gambar mangsa cedera yang ditunjukkan oleh Salahuddin dan disiarkan dalam kedua-dua portal berita itu berbeza dengan orang yang dilaporkan kepada polis.
''Pihak polis telah pun membuat siasatan awal dan setakat ini tiada siapa yang datang mengatakan beliau telah dipukul begitu teruk keadaannya.

''Polis ada menerima laporan dan membuka siasatan dan pihak polis sendiri telah menghantar mangsa ke hospital dan beliau telah menerima rawatan sebagai pesakit luar. "Tak ada kesan darah pun. Hanya lebam-lebam saja. Orang itu juga orang lain, bukan yang dalam gambar itu.

"Nama yang disebut sama tetapi gambar memang berbeza. Kalau betul orang itu ada, datanglah buat laporan," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PDRM di sini hari ini.
Osman berkata, kenyataan yang dibuat itu mengelirukan orang ramai dan mereka terdorong untuk mempercayainya.

Katanya, polis telah berhubung dengan Salahuddin tetapi sehingga hari ini pemimpin Pas itu gagal berbuat demikian. Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.

Beliau juga mengesahkan gambar yang disiar oleh Harakah Daily itu tidak sama dengan individu yang terlibat, hanya nama sahaja yang sama. Osman turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keadaan huru-hara.

''Polis akan mengesan individu yang memulakan SMS ini dan akan mengambil tindakan. Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai," katanya. Pada sidang akhbar sama, polis memberi amaran supaya mana-mana parti tidak membina struktur seperti khemah yang digunakan untuk meraih undi.

''Kita akan ambil tindakan jika ada pihak yang cuba menakutkan pengundi pada 11 Oktober ini dan menghalang mana-mana pengundi yang layak. ''Pihak polis akan memeriksa kenderaan yang memasuki laluan di Bagan Pinang ini dan menahan mana-mana pihak yang membawa senjata berbahaya," kata Osman.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima 66 laporan sepanjang pilihanraya kecil ini berlangsung.
''Daripada jumlah itu, 22 sedang disiasat dan tiada tangkapan dibuat. Baki 44 laporan itu, polis sedang meneliti dan ada yang tidak diambil tindakan contohnya bendera hilang tetapi kemudian ditemui semula," katanya.

Beliau memberitahu, tiada kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Akta Hasutan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Mesin Cetak. ''Daripada 22 laporan itu, 10 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Seremban untuk mendapatkan nasihat," jelasnya.

Komen : Nampak sangat ini adalah provokasi PAS kerana mereka tahu yang mereka akan kalah. Berita terbaru di terima tentera " jihad " hijau sudah mula menyusup masuk ke Bagan Pinang!. Keadaan lalulintas sudah semakin sesak, ini semua angkara si TENTERA JIHAD HIJAU yang di kerah datang oleh Ketua Pemuda PasTaliban dari luar terutama sekali dari Terengganu dan Kelantan!. Mereka sudah mula berkumpul dan berkemungkinan mereka ini akan menimbulkan suasana kacau bilau pada bila-bila masa saja!.

3 ulasan:

  1. Pas gagal kemuka nama mangsa insiden 'pedang samurai'

    Pakatan pembangkang gagal mengemukakan salinan polis berhubung dakwaan penyokongnya ditetak dan dipukul hingga cedera oleh seorang ahli Pergerakan Pemuda UMNO dalam insiden yang kononnya membabitkan 'pedang samurai' kelmarin.

    Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Pas, Salahuddin Ayub pada sidang akhbar hariannya di Markas Induk Pas di sini hari ini, juga gagal mengemukakan nama lelaki yang kononnya cedera akibat ditetak itu.

    Ketika mempertahankan tuduhan dan dakwaannya itu, beliau hanya mengemukakan salinan laporan polis salah seorang penyokong yang mendakwa keretanya telah dihalang oleh petugas Barisan Nasional (BN).

    Laporan polis yang dikemukakan itu langsung tidak menyebut diserang menggunakan pedang samurai hingga cedera seperti yang didakwa Naib Presiden Pas itu.

    Akibatnya, timbul kekeliruan di kalangan petugas media sehingga berlaku perang mulut pada sidang akhbar itu. Salahuddin berkata, Pas telah membuat lima laporan dan salah satu daripada laporan itu mengandungi nama lelaki yang dipukul.

    Bagaimanapun, Salahuddin gagal mengemukakan nama mangsa yang ditetak dengan parang tersebut. Malah laman web Harakah sendiri tidak meletakkan nama lelaki itu dan beritanya telah ditarik dari laman itu hari ini, kecuali gambar seorang lelaki yang luka di bahagian kepala.

    BalasPadam
  2. 'Elemen gengster pembangkang sudah lama wujud'

    Utusan: Gambaran yang diberikan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub kononnya Pemuda UMNO menyerang jentera Pemuda Pas dengan pedang Samurai telah menjejaskan reputasi UMNO, apa pandangan saudara?

    MOHD. HELMY DIN: Bagi saya ini adalah perkara biasa kerana keadaan Pas sudah semakin tertekan. Mereka buat begitu untuk raih simpati pengundi di Bagan Pinang ini dan menjadikan Pemuda UMNO sebagai sasaran untuk dipersalahkan.

    Kita telah melakukan tugasan seperti yang diarahkan pemimpin dan bekerja tanpa mengira siang atau malam. Kita lakukan dengan ikhlas. Saya percaya Pas melihat kehadiran yang begitu ramai jentera Pemuda di Bagan Pinang ini dan berasa takut. Pemuda UMNO tidak pernah hilang reputasinya.

    Apakah yang dilakukan ini adalah satu perang saraf Pas untuk menang dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang?

    Ini adalah agenda pembangkang. Selain membuat provokasi dan menabur fitnah, mereka mencari jalan untuk menyalahkan kerajaan termasuklah Pemuda UMNO.

    Saya rasa Pemuda UMNO harus memainkan peranan penting untuk menampakkan kita masih relevan dan UMNO masih lagi hidup di mata pengundi dan kita akan pastikan kubu ini dipertahankan oleh Barisan Nasional (BN).

    Benarkah dakwaan Pas, yang Pemuda UMNO ini gengster?

    Saya hendak beritahu di sini bahawa pemuda pembangkang lagi gengster. Singkap kain, meraba, baling batu malahan di Permatang Pauh, kami juga telah dikepung dan cermin kereta dipecahkan.

    Kita Pemuda UMNO tidak buat begitu. Semasa di Taman Datuk Abdul Samad, Port Dickson, saya sendiri ada ketika kejadian itu berlaku.

    Bagaimana Pemuda Pas datang menyerang dan kita Pemuda UMNO perlu mempertahankan diri. Kita ini berbincang secara elok dengan pemimpin mereka dan mereka datang dari belakang dan terus serang.

    Elemen gengster dalam diri pembangkang sudah lama wujud. Mereka tidur di atas jalan raya dan buat demonstrasi jalanan.

    Ini siapa yang ajar, kalau bukan pemimpin mereka. Sebelum tahun 1998, demonstrasi jalanan ini tidak pernah ada, sekarang ia menjadi agenda pembangkang.

    Mereka sudah semakin terdesak di Bagan Pinang ini. Kita mahu pulangkan tsunami yang mereka buat pada tahun 2008 kepada pembangkang di Bagan Pinang ini. Ini kubu kita dan apabila gelombang itu sudah dirasai, mereka buat apa sahaja dan menterjemahkan seolah-olah Pemuda UMNO adalah gengster.

    bersambung..

    BalasPadam
  3. sambungan...

    Pas tuduh Pemuda UMNO guna pedang Samurai dalam kempen?

    Semasa kejadian itu berlaku saya ada di lokasi berkenaan dan memang sehingga selesai kejadian, Pemuda UMNO tidak pernah membawa senjata semasa memasang poster, apatah lagi bawa pedang. Itu satu senjata yang panjang.

    Kalau kita tengok gambar yang ditunjukkan oleh Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, saya fikir kalau pemuda itu dilibas dengan pedang Samurai, saya percaya dia belum tentu selamat. Itu adalah satu pembohongan yang dibuat oleh Pas.

    Pemuda UMNO juga berasa amat kecewa dengan penghantaran SMS oleh Pas untuk menjemput pemuda mereka melakukan jihad fisabilillah.

    Bagi kita orang Melayu dan Islam, apa yang dinyatakan itu amat besar maksudnya.

    Kita bimbang ia akan diambil serius oleh pemuda pembangkang dan keadaan di sini akan menjadi lebih teruk jika tidak diperjelaskan dengan betul. Pemuda UMNO akan berbincang di peringkat Pemuda UMNO, sama ada akan membuat laporan polis terhadap dakwaan mereka itu.

    Pas sengaja membina gerai di markas mereka dan telah menimbulkan masalah pada penduduk berhampiran Masjid Bagan Pinang, apa pandangan Pemuda UMNO dalam hal ini?

    Malam tadi seorang penduduk telah dikasari oleh penyokong Pas, hanya kerana meminta mereka mengalihkan kenderaan yang menghalang laluan masuk ke rumahnya. Saya lihat gerai yang mereka bina di sepanjang laluan Batu 6, Jalan Pantai itu bertujuan menakutkan pengundi dan pada masa yang sama cuba menimbulkan kesesakan jalan raya.

    Semuanya bertujuan untuk melewat-lewatkan pergerakan pengundi pada 11 Oktober ini. Bagi saya pengundi adalah 'raja' pada 11 Oktober ini dan sepatutnya pengundi tidak dikasari kerana mereka penentu masa hadapan dalam mana-mana pilihan raya.

    Pemuda UMNO akan memastikan pengundi yang tersekat ini dibawa keluar awal pagi. Ini strategi mereka dan inilah juga mereka lakukan dalam banyak pilihan raya kecil sebelum ini.

    Saya ingin tegaskan di sini bahawa Pemuda UMNO tidak pernah cuba menimbulkan pergaduhan atau memulakan provokasi dan kita banyak bersabar dalam banyak insiden. Apa yang kita mahu ialah memastikan kubu BN ini kekal menjadi hak kita.

    Salam perjuangan..

    BalasPadam