UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 23 Oktober 2009

Nik Aziz mahu adakan EGM tukar pemimpin Pas!

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nekad mahu Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan melalui Muktamar Agung Khas (EGM) walaupun ia akan menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.

Malah, Mursyidul Am Pas itu mahu EGM diadakan segera bagi mendapatkan keputusan sama ada pemimpin Pas yang menyokong perpaduan dengan UMNO diterima atau ditolak daripada parti itu.
Beliau menamakan tiga pemimpin bermasalah itu yang perlu ‘dibersihkan’ iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau sedih dengan tindakan pemimpin terbabit kerana tidak menghargai keputusan Muktamar Agung Pas di Ipoh, Perak tahun lalu yang menolak kerjasama dengan UMNO.

“MCA lagi buat (EGM), UMNO lagi buat. Kalau pecah, pecahlah, apa boleh buat tetapi saya tidak suka orang tegur saya, parti atau presiden kemudian buat senyap. Saya nak jelas, kalau benda ini orang tolak, tolaklah. Kali kedua orang itu tidak berani hendak buat tidak tentu pasal lagi.

“Ia bukan ditujukan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi berdasarkan tulisan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari (pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang merujuk kepada Hassan, Nasharuddin dan Mustafa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti itu yang bermasalah.

JM : Tunggu dan lihat

12 ulasan:

  1. Nik Aziz tetap mahu muktamar khas.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan keputusannya meminta pimpinan parti itu mengadakan muktamar agung khas bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti berhubung isu kerajaan perpaduan.

    Katanya beliau tidak kisah walaupun ada negeri yang menolak cadangan itu, kerana apa yang penting hasrat untuk menyampaikan isi hatinya demi menyelamatkan parti, tercapai.

    "Saya tidak akan menarik balik cadangan itu kerana ia dibuat atas hasrat dan isi hati saya sendiri yang mahu menyelamatkan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Noraini, Kampung Pasir Hor, dekat sini hari ini.

    Turut hadir bekas Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudden yang membiayai pembinaan masjid berharga RM500,000 di kampung itu.

    BalasPadam
  2. Mustafa enggan komen dirinya terlibat.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang namanya antara disasar untuk ‘dibersihkan’ daripada parti itu mengambil pendekatan berdiam diri.

    "Tidak perlulah saya komen apa-apa kerana sudah ada pun pihak lain yang berikan reaksi, saya rasa tidak perlulah memberikan sebarang kenyataan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Mustafa diminta mengulas berhubung dakwaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau bermasalah kerana lebih cenderung kepada kumpulan prokerajaan perpaduan dalam parti itu.

    BalasPadam
  3. Pemuda Pas semakin hilang ‘umph’.

    Selepas kepimpinan tertinggi Pas mengalami ‘krisis dalaman’, sayap parti itu, Dewan Pemuda Pas Pusat pula kini berhadapan dengan kepincangan dalam soal perjuangan parti di kalangan ahli-ahlinya.

    Ketuanya, Nasrudin Hassan melalui blognya, http://episodeperjuangan.blogspot.com menyifatkan ahli-ahli sayap parti itu kini bagaikan sudah hilang ‘umph’ kerana semangat perpaduan dan perjuangan demi agama di dalam diri masing-masing seakan menghilang.

    "Sejak sekian lama, kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph". Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan. Memang aneh cara kita berjemaah di zaman moden ini. Hilang ‘umph’ dan yang timbul adalah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain.

    "Suasana sentiasa tegang dan panas. Bila-bila masa boleh mencetus perbalahan. Masing-masing menunggu ‘tuning point’ sebagai masa nak bertindak,” katanya di dalam entri terbaru di dalam blognya itu.

    BalasPadam
  4. Cadangan Nik Aziz tunjukkan masalah kepimpinan Pas.

    Cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar Pas mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkannya daripada kumpulan prokerajaan perpaduan menunjukkan bahawa parti itu sedang berhadapan dengan masalah kepimpinan yang serius, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Walaupun Muhyiddin mengakui cadangan Nik Aziz itu sebagai satu “masalah dalaman” Pas tetapi ia tetap menunjukkan pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam parti pembangkang.

    "Ia adalah serius (masalah kepimpinan dalam Pas). Pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam Pas. Nik Aziz vs (Datuk Abdul) Hadi Awang vs (Datuk) Nasharuddin Mohd Isa vs Datuk Husam Musa,” katanya pada kepada pemberita hari ini.

    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan karnival Edufest@Pagoh di Dewan Jubli Intan, di sini.

    Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas tulisan Menteri Besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM itu diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin Pas yang bermasalah.

    BalasPadam
  5. KEGELISAHAN Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kumpulan pemimpin Pas yang pemikiran mereka tidak sealiran dengannya tidak lagi dapat disembunyikan.Beliau secara terbuka jelas tidak senang dengan kumpulan pemimpin terbabit.

    Akhirnya, Mursyidul Am Pas itu mahukan muktamar khas dipanggil bagi menentukan kedudukan kumpulan yang dirujuknya sebagai “dua tiga kerat pemimpin bermasalah”.

    Awang berpendapat elok mesyuarat itu diadakan supaya perwakilan secara pasti dapat membuat keputusan tentang pemikiran bagaimanakah yang mereka mahukan.

    Semua tahu beberapa pemimpin kanan Pas Pusat antara yang dilihat sebagai pro-UMNO ekoran munculnya idea pembentukan kerajaan perpaduan menerusi kerjasama dengan parti pemerintah. Dan semua tahu, Nik Abdul Aziz tidak senang dengan idea itu.

    Apa yang pasti, pergolakan dalaman Pas sudah tidak boleh dibendung lagi. Ia sudah mencapai tahap yang memerlukan perwakilan memberi mandat baru mengenai hala tuju parti tersebut.

    BalasPadam
  6. Selangor tolak cadangan Muktamar Agung Khas Pas.

    Pas Selangor menolak cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan bagi membincangkan kedudukan beberapa pemimpin tertinggi parti itu termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali.

    Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, cadangan sedemikian tidak perlu kerana tidak wujud pergolakan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat pusat mahu pun di negeri itu ketika ini.

    "Pada pandangan saya, tidak perlu ada EGM kerana dalam Pas pusat termasuk di Selangor, tidak nampak sebarang pergolakan atau masalah di peringkat kepimpinan parti.

    "Sebaliknya, Pas sama ada di peringkat pusat atau negeri kini pada tahap yang terbaik daripada segi kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP," katanya ketika dihubungi ketika diminta mengulas cadangan Nik Abdul Aziz menerusi laman blognya, http:// www.blogtokguru.com/ supaya diadakan muktamar agung khas bagi membolehkan perubahan dilakukan terhadap kepimpinan parti itu di peringkat Pas pusat.

    Menurut Nik Abdul Aziz, keperluan muktamar khas atas nama 'tajdid' (pembaharuan) itu harus diadakan ekoran wujud 'beberapa kerat' pemimpin dalam parti itu yang dikatakannya 'bermasalah'.

    Malah, Nik Aziz turut membayangkan perubahan terhadap jawatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang perlu diputuskan dalam mesyuarat berkenaan selain kedudukan Hassan serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang dikatakannya tidak habis-habis menyuarakan isu kerjasama Pas-UMNO serta pembentukan kerajaan perpaduan.

    BalasPadam
  7. EGM Pas bukan kuasa individu.

    Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menggantikan pucuk pimpinan Pas bukan boleh ditentukan oleh sesiapa termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebaliknya ia bergantung kepada hasil mesyuarat Majlis Syura parti tersebut.

    Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, sebarang perubahan yang melibatkan perkara-perkara dasar parti tidak boleh dibuat secara individu.

    "Dasar yang besar perlu kepada keputusan mesyuarat. Presiden tak boleh, timbalan presiden tak boleh dan tiada sesiapa boleh membuat keputusan secara individu.

    "Saya berpegang kepada prinsip kita (Pas) ada cara dan kaedah untuk menentukan sebarang perubahan dalam parti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

    Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok diminta mengulas cadangan Nik Abdul Aziz dalam blognya yang meminta Pas mengadakan EGM untuk membersihkan parti daripada 'dua tiga kerat' pemimpin bermasalah yang merujuk kepada kumpulan prokerajaan perpaduan.

    Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin berkenaan iaitu Nasharuddin, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

    Menteri Besar Kelantan itu ketika mengemukakan cadangan tersebut turut menyifatkannya sebagai persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

    Mengulas lanjut Nasharuddin menjelaskan, parti itu akan mengadakan mesyuarat Majlis Syura secepat mungkin bagi mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz.

    Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila mesyuarat tersebut akan diadakan kerana tarikh mesyuarat akan diputuskan Setiausaha Agung parti.

    "Setakat ini kami hanya membaca tulisan dalam blognya dan kita hendak dengar sendiri cadangan dan maksud dari mulut beliau sendiri. Maka, sebab itu kita perlu mesyuarat Majlis Syura," katanya sambil memberitahu belum membaca sepenuhnya cadangan Nik Abdul Aziz itu.

    Menjawab soalan sama ada pucuk pimpinan selesa dan menerima kenyataan terbuka Mursyidul Am Pas itu, Nasharuddin berkata: ''Tiada siapa pun 'katok' (belasah) Tok Guru".

    Sementara itu Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub memberitahu, beliau akan menemui Menteri Besar Kelantan itu esok atas kapasitinya sebagai Naib Presiden.

    BalasPadam
  8. Pemuda bincang Selasa .

    Dewan Pemuda Pas Pusat akan bermesyuarat Selasa depan bagi menyatakan pendirian terhadap gesaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menukar kepimpinan parti itu.

    Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, ketika ini, pihaknya tidak akan membuat sebarang ketetapan berhubung gesaan Mursyidul Am Pas itu kerana sedang menilai keadaan semasa kemelut yang berlaku.

    Beliau bagaimanapun tidak menolak pandangan bahawa kemelut kepimpinan yang berlaku di dalam parti itu kini berada pada tahap serius.

    "Kami (Pemuda Pas) belum mengambil sebarang ketetapan kerana masih di peringkat menilai keadaan (kemelut) dan akan bermesyuarat bagi menentukan langkah yang wajar diambil.

    "Saya tidak menolak keadaan itu kini berada pada tahap serius, tetapi ia adalah masalah dalaman yang mendatangkan pengajaran dan perlu dihadapi dengan tenang oleh jemaah Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Nik Abdul Aziz dalam blognya, mahu Pas mengadakan EGM bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang didakwa bermasalah.

    Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas kini berhadapan dengan isu kepimpinan dan beliau berasakan perlu ada perubahan terhadap 'pemain-pemain' penting yang menduduki kerusi kepimpinan parti tersebut.

    Sementara itu, Nasrudin turut meminta ahli Pas bertenang dan memberi masa kepada kepimpinan parti untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

    Menurutnya, masalah yang timbul bukanlah sesuatu yang penting, tetapi kebijaksanaan pemimpin dalam menyelesaikan masalah itu perlu diberi perhatian.

    BalasPadam
  9. Kumpulan liberal gunakan Nik Aziz?

    Golongan liberal dalam Pas dipercayai mempergunakan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bertujuan menyingkirkan kepimpinan sedia ada.

    Sumber itu memberitahu Utusan Malaysia, kumpulan terbabit mengambil segala kesempatan untuk mengambil alih kepimpinan Pas kerana ia satu-satunya cara merapatkan jalinan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP dalam semua perkara.

    Menurut sumber itu, di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas tidak berkompromi dalam soal berkaitan Islam serta Melayu dan ia sedikit sebanyak membuatkan dua rakan parti itu merasa kurang senang.

    "Sebagai contoh perjalanan hukum jenayah syariah, usaha memantapkan Islam dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mana Pas tidak berkompromi dalam soal-soal ini. Pas mahu ia dikekalkan. Pas juga mahu perkara berkaitan Islam dimantapkan.

    "Keadaan itu menyebabkan kepimpinan PKR dan DAP kurang selesa dengan Pas dan Datuk Seri Abdul Hadi. Mereka lebih berminat berurusan dengan pemimpin Pas yang lebih liberal dan terbuka," katanya di sini hari ini.

    Nik Abdul Aziz dilaporkan menafikan gesaannya supaya kepimpinan Pas dibersihkan daripada golongan prokerajaan perpaduan melalui proses EGM didalangi pihak yang berkepentingan.

    Sambil mempertahankan pendiriannya, Nik Abdul Aziz menegaskan, isu yang tercetus daripada apa dianggapnya sebagai cadangan itu diluahkan dengan ikhlas demi masa depan parti yang dipupuk sekian lama.

    Dalam pada itu, sumber itu menambah, jika pengambilalihan kumpulan liberal itu berjaya melalui EGM, PKR dan DAP bukan menjadi rakan pakatan malah kedua-duanya akan berjaya mempengaruhi Pas menjadi parti seperti mereka.

    "Hakikatnya, kumpulan liberal dalam Pas ini lebih toleran dalam perkara yang berkaitan Islam berbanding kepimpinan sedia ada. Secara tidak langsung, ia akan memudahkan lagi pemimpin PKR dan DAP berurusan dengan Pas.''

    Sementara itu, sumber berkenaan menegaskan, rata-rata ahli Pas di peringkat akar umbi tidak bersetuju Pas mengadakan EGM seperti dicadangkan Nik Abdul Aziz.

    BalasPadam
  10. Mustafa perjelas isu Pas hari ini!
    Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas bagi menjelaskan mengenai isu-isu semasa melibatkan parti itu di sini, pukul 11 pagi esok.

    Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, sidang akhbar itu membuka ruang pihak media mendapatkan penjelasan di sebalik isu-isu yang timbul termasuk desakan diadakan Muktamar Agung Pas (EGM) oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

    ‘‘Itu sahajalah yang saya boleh beritahu. Anda (wartawan) juga boleh bertanya mengenai EGM atau pun prestasi semasa UMNO,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Sumber dalaman parti tersebut memberitahu, sidang akhbar itu bertujuan menjelaskan krisis kepimpinan Pas seperti dilaporkan media kebelakangan ini.

    Nik Abdul Aziz kelmarin menyatakan bahawa Mustafa adalah antara tiga pemimpin bermasalah yang perlu ‘dibersihkan’ daripada parti kerana disifatkan prokerajaan perpaduan.

    Dalam entri blognya, Nik Abdul Aziz menulis:

    ‘‘Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama Pas dengan UMNO ke arah Kerajaan Perpaduan atau UG.

    ‘‘Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?”

    Ekoran itu, Nik Abdul Aziz mencadangkan Pas mengadakan EGM bagi menukar dan membersihkan barisan kepimpinan pusat parti berkenaan.

    Selain Mustafa, Nik Abdul Aziz juga mahu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Hassan ‘dibersihkan’ daripada parti itu.

    BalasPadam
  11. Nasrudin terkejut alasan Mursyidul Am!

    Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan hairan dan terkejut dengan alasan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) iaitu bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan.

    Katanya, beliau bimbang jika cadangan diadakan EGM itu dilontarkan Nik Abdul Aziz berdasarkan andaian semata-mata tanpa bukti kukuh mengaitkan pemimpin tertentu sebagai prokerajaan perpaduan.

    Tegas beliau, tiada keperluan mendesak bagi parti mengadakan EGM jika hanya sekadar mahu menyelesaikan 'perkara kecil' melibatkan satu atau dua pemimpin yang dikatakan prokerajaan perpaduan.

    Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan Nik Abdul Aziz itu boleh merunsingkan ahli-ahli peringkat akar umbi.

    "Saya tak nampak keperluan mengadakan EGM itu, itu pendapat peribadi saya. Saya sendiri terkejut dengan cadangan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) yang mahu EGM diadakan.

    "Tiada angin, tak ada ribut tiba-tiba saja suruh buat EGM. Sebelum ini saya tidak dengar ada masalah di kalangan pemimpin parti," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut, Nasrudin tidak menafikan kini wujud kebimbangan di kalangan ahli-ahli Pas terhadap perkembangan mutakhir parti tersebut.

    Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab para pemimpin Pas menyelesaikan sebarang masalah atau salah faham secara bijaksana.

    Beliau menambah, Dewan Pemuda Pas sendiri akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti cadangan Nik Abdul Aziz itu di ibu negara Selasa ini.

    "Pemuda Pas akan menyatakan pendirian berkaitan EGM berkenaan selepas mengadakan mesyuarat. Pandangan ahli-ahli akan diambil kira," katanya.

    Sementara itu, Nasrudin dalam entri blognya hari ini mengingatkan ahli-ahli Pas dan kepimpinan parti supaya mengelakkan fitnah terutama apabila berdepan dengan sahabat seperjuangan.

    Jelas beliau, fitnah yang dicetus samalah seperti menikam dan membunuh sahabat seperjuangan serta kesannya lebih kejam.

    "Menjadi tanggungjawab kita memastikan jangan bercakap dan mengulas perkara yang tidak diketahui hujung pangkal atau membentuk sikap semata-mata mendengar daripada satu-satu pihak," katanya.

    BalasPadam
  12. Krisis Pas: Aziz Bari pertahan tulisannya!

    Pemerhati politik, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak takut mempertahankan penulisannya mengenai krisis kepimpinan Pas dalam sebuah akhbar tempatan Isnin lalu.

    Menurutnya, apa yang ditulisnya itu berasaskan senario semasa, dibantu pengalamannya menulis lebih 10 buku serta ratusan artikel mengenai perkara berkaitan kerajaan dan kepimpinan sejak awal 1990-an.

    "Saya juga bercakap dengan orang ramai di majlis-majlis keramaian serta rakan-rakan dalam bidang sama (politik) dari semasa ke semasa.

    "Oleh itu, krisis kepimpinan dalam Pas saya suarakan berdasarkan persepsi yang saya kira kredibel dan bukannya membuta tuli," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Justeru, Abdul Aziz mempertahankan pendapatnya bahawa parti itu perlu melakukan reformasi dalam kepimpinan seperti mendisiplinkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali atau menyingkirkannya.

    Berikutan penulisannya itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya kelmarin mencadangkan supaya parti tersebut mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi 'membersihkan' beberapa pemimpinnya.

    Dalam pada itu, Abdul Aziz menegaskan, tulisannya memang bukan berbentuk ilmiah formal seperti tesis atau kertas projek namun ia merupakan persepsi yang tidak boleh dipandang remeh.

    "Jadi terpulanglah, kalau ada pemimpin Pas yang tak setuju dengan saya, mereka boleh terus hidup dalam sindrom penafian,'' katanya.

    Beliau menjelaskan, EGM merupakan cara terbaik bagi parti itu 'membersihkan' kepimpinannya.

    Sementara itu penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) menasihatkan Pas supaya mengakui wujudnya krisis kepimpinan dalam parti berkenaan.

    Jelasnya, jika krisis itu tidak diselesaikan segera, perpecahan di kalangan penyokong pemimpin-pemimpin itu akan semakin besar.

    BalasPadam