UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 2 Ogos 2011

Pusat hiburan: Lambang kelemahan Pas!

Pertambahan mendadak pusat-pusat hiburan di Kedah merupakan satu perkara mengejutkan bagi sebuah negeri yang diperintah oleh kerajaan yang melaungkan slogan untuk melaksanakan pentadbiran Islam seperti Pas.

Pengakuan terbuka oleh Exco Kesihatan negeri itu, Dr. Ismail Salleh bahawa pusat-pusat hiburan tersebut beroperasi secara haram hanya melambangkan kelemahan Pas walaupun sudah tiga tahun berkuasa di Kedah.

Walaupun kerajaan negeri mengatakan pusat hiburan itu tidak berlesen, namun ia bukanlah bermaksud mereka boleh lepas tangan. Ke manakah hilangnya sistem penguatkuasaan Majlis Kerajaan Tempatan di bawah Pas sehingga sesiapa sahaja bebas untuk jalankan aktiviti tidak bermoral secara haram

Apa yang menimbulkan persoalan ialah kegagalan Pas Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak membendung pertumbuhan pusat hiburan sehingga mereka dilihat seperti tidak berbuat apa-apa untuk mengekang kegiatan itu.

Pertambahan mendadak pusat hiburan dan rumah urut di sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan beberapa bandar lain di negeri itu adalah sesuatu yang mengejutkan bagi sesebuah kerajaan dengan slogan murni seperti Kedah Sejahtera seperti yang dilaungkan oleh Pas!

Dilihat kegagalan pemimpin negeri itu menangani isu tersebut dengan berkesan juga dapat dilihat apabila Kerajaan Pas Kedah menarik balik larangan ke atas pusat hiburan untuk beroperasi sepanjang Ramadan.

Pendirian mereka tidak teguh. Awalnya mereka melarang tetapi kemudian diketepikan setelah mendapat tekanan DAP yang turut disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka (Pas Kedah) mudah mengubah keputusan.

Jadi, bagaimanakah pemimpin Pas mahu memastikan pusat-pusat hiburan (haram) berkenaan tidak dikunjungi oleh umat Islam termasuk pada bulan puasa? Rakyat Kedah juga tertanya-tanya adakah Kerajaan Pas Kedah takut dengan tekanan DAP dan juga ugutan para pengusaha pusat hiburan yang berselindung di belakang DAP.

Juragan Malawati..

Ahad, 31 Julai 2011

Anwar dikatakan berang dengan hasrat Pas?

Anwar Ibrahim dipercayai telah memberi mandat sepenuhnya kepada Azmin Ali, bagi menggagalkan usaha pemimpin tertentu dalam Pas untuk membawa Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam pakatan pembangkang, bagi mengambil alih kedudukannya selaku Ketua Pembangkang.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, tindakan itu diambil kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut dikatakan berang dengan tindakan 'tikam belakang' yang dilakukan oleh barisan pucuk pimpinan Pas, ketika beliau begitu mengharapkan sokongan daripada rakan dalam pembangkang.

Menurut Anuar, maklumat terbaru itu disampaikan sendiri oleh orang dalam PKR kepadanya dan ia selari dengan pendedahan Pengerusi Parti Kesejahteraan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim semalam, bahawa Anwar kini berang serta tersinggung dengan tindakan Pas.

"Saya dapat maklumat bahawa Anwar sudah mengarahkan Azmin supaya menyerang seorang pemimpin kanan Pas yang berasal dari Kelantan, kerana dialah yang menjadi perancang utama di sebalik usaha untuk menabalkan Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pembangkang jika Anwar dihukum penjara atas kesalahan meliwat.

"Anwar dikatakan kecewa kerana usaha sulit ini tidak ubah seperti perbuatan 'tikam belakang'. Apatah lagi dia sendiri tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai usaha ini sehinggalah pertemuan antara dua pemimpin kanan Pas dengan Tengku Razaleigh terbongkar," katanya ketika dihubungi disini hari ini.

Semalam, Zamil mendakwa dia menerima maklumat daripada pemimpin PKR Selangor yang memberitahu Anwar terkejut, kecil hati serta marah dengan tindakan beberapa pemimpin Pas sehingga Ketua Pembangkang itu mengarahkan orang kepercayaannya untuk menjejaki individu bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, Pas berhasrat untuk membawa masuk Tengku Razaleigh ke dalam pakatan kerana mahu mengimbangi semula kekuatan serta pengaruh DAP dan PKR, yang dilihat jauh lebih berkuasa dalam menentukan hala tuju pembangkang berbanding parti itu.

"Pas sedar mereka berada paling bawah dalam hierarki pakatan pembangkang dan ia diburukkan lagi dengan tindakan Anwar yang lebih memberi muka kepada DAP. Jadi, jika Anwar terpaksa meringkuk dalam penjara inilah peluang terbaik bagi Pas untuk kembali menerajui pembangkang melalui Tengku Razaleigh," katanya.

Juragan Malawati..

Misteri 11 doktor Hospital Tung Shin!

Tindakan 11 doktor dari Hospital Tung Shin di Jalan Pudu mengeluarkan kenyataan mengutuk kerajaan dan mengecam tindakan polis yang disifatkan mereka sebagai ganas menimbulkan banyak persoalan.

Penulis blog, Syed Akbar Ali berkata, baru-baru ini, beliau menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengetahui latar belakang beberapa orang daripada 11 doktor terbabit.

"Menarik, orang yang menghubungi saya adalah bekas ahli aktivis dan ahli politik. Beliau meminta saya menyemak latar belakang beberapa orang doktor daripada 11 individu itu.

"Saya lakukan dan penemuannya agak menarik," katanya dalam blognya di syedsoutsidethebox.blogspot.com.

Syed Akbar berkata, persoalan pertama, adakah 11 doktor itu berada di hospital tersebut secara serentak pada 9 Julai lalu dan jika ada yang tidak hadir, bagaimana nama mereka boleh disenaraikan bersama 11 yang lain.

Persoalan kedua, katanya, mengenai status jawatan 11 doktor itu, adakah mereka doktor sepenuh masa atau separuh masa yang diwajibkan hadir mengikut masa-masa tertentu ataupun berstatus lain.

"Persoalan ketiga, adakah kesebelas doktor itu mengeluarkan kenyataan dengan keikhlasan diri sebagai doktor tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

"Ataupun kenyataan mereka bersifat bias kerana mereka juga propembangkang, jadi akan menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana dianjurkan oleh parti politik yang disokong mereka," katanya lagi.

Menurut lagi, kecenderungan politik 11 doktor itu juga boleh dipertikai kerana dua minggu sebelum berlakunya Bersih, beliau menjumpai satu kenyataan media oleh Forum Profesional Malaysia (MPF) yang menyokong perhimpunan tersebut.

Empat aktivis dalam MPF yang menyatakan sokongan mereka kepada Bersih katanya, adalah individu sama yang disenaraikan daripada 11 doktor di Hospital Tung Shin terbabit.

Juragan Malawati..

Jumaat, 29 Julai 2011

Pas bagai melukut di tepi gantang DAP, PKR!

Dengan satu tumbukan padu di bawah perut menyebabkan Pas rebah dalam melaksanakan undang-undang Islam untuk menutup pusat-pusat hiburan yang berada di negeri Kedah Darulaman.

Kononnya penarikan balik keputusan itu dibuat atas budi bicara kerajaan negeri adalah satu pembohongan bertujuan menutup malu kerajaan Pas di atas kelemahannya untuk melaksanakan hukum Islam.

Pas gagal di Selangor untuk memberhentikan konsert yang di adakan di Selangor. Suara bantahan Pas tidak dipedulikan oleh PKR dan DAP. Begitu juga dengan rampasan arak yang dilakukan. Pas terpaksa akur dengan bantahan DAP.

Kita geli hati apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata yang PAS berjaya mentarbiah DAP mengenai Islam. Kononnya DAP sekarang telah faham dengan kehendak Pas mengenai perlaksanaan undang-undang Islam sejak parti itu bekerjasama dengan DAP, sebuah parti yang terang-terang menentang hukum Islam, apatah lagi dengan idaman Pas untuk menubuhkan kerajaan Islam ala Pas di Malaysia. Walau pun kini Karpal Singh sudah lupa kata-kata 'langkah mayat saya dulu' ini tidak bermakna parti DAP akur dengan Pas.

Sebenarnya sampai bila pun Pas tidak akan berjaya menubuhkan negara Islam ala Pas di Malaysia. Pas memerlukan sokongan orang Melayu yang taksub dengan perjuangannya tetapi dengan perpecahan orang Melayu kini cita-cita Pas itu akan berkubur bersama parti itu tidak lama lagi. Pas akan tersungkur sekali lagi pada PRU 13, insya-Allah.

Kepada penyokong Pas sedarlah parti Pas kini bukan lagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti dulu. Negara Islam telah digantikan dengan Negara Kebajikan kerana telah hilang kepercayaan terhadap slogan negara Islam. Ini semua hanya untuk memuaskan hati rakan kongsi DAP dan PKR yang bercita-cita untuk menawan Putrajaya pada PRU 13. Semoga cita-cita gabungan ini tidak direstui Allah.

Kita percaya BN-UMNO akan terus melakukan perubahan untuk menawan hati rakyat. Rakyat memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat. Pemimpin yang selalu turun padang menyelesaikan masalah rakyat akan dipilih rakyat. Kita tidak mahu lagi pemimpin yang hanya turun padang lima tahun sekali untuk meraih undi simpati rakyat bagi mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka.

Wallahuallam.

Juragan Malawati

Khamis, 28 Julai 2011

Kelewatan Hospital Shah Alam diatasi akhir tahun!

Kementerian Kesihatan memberi jaminan akan dapat menangani masalah kelewatan projek pembinaan Hospital Shah Alam di Seksyen 7 di sini, selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari jalan terbaik untuk membolehkan projek itu diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, pihaknya juga akan merangka dan melaksanakan satu tindakan khas bagi memastikan projek bernilai kira-kira RM482.6 juta itu dapat disiapkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di negeri ini.

"Ketika ini, projek hospital berkenaan dikenal pasti sebagai 'projek sakit' ekoran aktiviti pembinaan yang tidak berjalan berikutan wujud masalah-masalah tertentu.

"Pihak kementerian dan JKR sentiasa memandang serius mengenai perkara ini dan kami telah memulakan proses perbincangan dengan JKR untuk mengatasi kelewatan ini.

"Kami yakin semua masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan projek ini akan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini melalui satu pelan tindakan yang akan diputuskan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sukarelawan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HTAR, Senator Datin Paduka Norhayati Onn; Pengarah HTAR, R. Supathiratheavy dan Ketua Puteri UMNO Selangor, Suhaila M. Zin.

Pelan asal

Dalam pada itu, Rosnah turut menyatakan pembinaan Hospital Shah Alam bertujuan meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan mengurangkan kesesakan di hospital-hospital lain di negeri ini termasuk di HTAR yang menerima bilangan pesakit yang tinggi.

Dalam perkembangan yang sama, Rosnah mengingatkan pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab dengan mempolitikkan isu kelewatan pembinaan hospital ini dengan pelbagai tohmahan serta tuduhan-tuduhan untuk kepentingan tertentu.

Kata beliau, masalah pembinaan yang dihadapi dalam projek berkenaan sedang diteliti pihaknya dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

"Oleh itu, biarlah kami di peringkat antara kementerian dan agensi-agensi teliti dan selesaikan terlebih dahulu. Janganlah untuk dapatkan sokongan, projek ini dipolitikkan dengan andaian tertentu," ujarnya.-UM.

Juragan Malawati..

Rabu, 27 Julai 2011

Adakah mendiang TBH sanggup jadi 'kamikaze' bagi melindungi Ean Yong Hian Wah!

Hampir 100 penduduk di Seri Kembangan dekat sini, hari ini berhimpun secara aman menuntut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ean Yong Hian Wah supaya bertanggungjawab terhadap kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Perhimpunan yang disertai rata-rata penduduk berketurunan Tionghua bermula pukul 11.30 pagi di pekarangan Dewan Serbaguna Seri Kembangan. Perhimpunan itu bagaimanapun hanya berlangsung selama 10 minit selepas polis meminta kumpulan penduduk tersebut bersurai kerana tidak mendapat permit untuk berhimpun.



Antara wakil penduduk yang hadir pada perhimpunan itu ialah bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong serta dua aktivis yang juga rakan mendiang Beng Hock iaitu Allan Liew Sin Kim dan Wong Jung Lik.

Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lum Yong semasa perhimpunan tersebut;

“Perhimpunan pada hari ini menuntut Yang Berhormat Ean Yong Hian Wah, bekas majikan mendiang Beng Hock supaya bertanggungjawab di atas kematian beliau.

Ean Yong telah berlaku kejam terhadap mangsa iaitu mendiang Beng Hock dengan membiarkan kematian beliau tidak mendapat pembelaan yang adil malah sanggup mendiamkan diri membiarkan pihak lain dipersalahkan. Ean Yong bersikap zalim apabila cuba menutup kesalahan beliau sendiri terlibat dengan mencari pihak lain untuk dipersalahkan.

Mendiang Beng Hock adalah seorang pekerja yang baik dan sentiasa mematuhi arahan majikannya. Sebagai pekerja mendiang telah bertindak mengikut apa yang sering diarahkan oleh majikan beliau.

Perhimpunan ini menuntut keadilan bagi keluarga mendiang Beng Hock yang telah kehilangan seorang anak yang baik dan pekerja yang sentiasa menurut perintah. Ean Yong ialah ‘pembunuh’ mendiang dan mesti bertanggungjawab membayar sejumlah pampasan kepada keluarga mendiang.

Ean Yonglah sebenarnya memberikan tekanan berterusan kepada mendiang sehingga beliau hilang punca dengan tindakan majikannya yang tidak mahu bertanggungjawab di atas salah laku serta penyelewengan yang beliau lakukan sendiri. Mendiang terasa dirinya telah dikhianati oleh majikannya yang dipercayainya sendiri iaitu Ean Yong.

Ean Yong seharusnya berasa malu dengan perbuatan kejam, zalim dan berniat jahat membiarkan pekerjanya sendiri menerima tekanan akibat perbuatan beliau umpama ‘Ean Yong makan nangka, Beng Hock dapat getah’. Malah Ean Yong tanpa segan silu mengheret rakyat Malaysia dengan berdiri di belakang nama parti ke dalam permasalahan kes rasuah dan salah guna kuasa beliau.

Tindakan kejam ‘membaling batu dan sembunyikan tangan’ Ean Yong sebenarnya adalah lebih teruk daripada ‘binatang’ kerana langsung tidak bertanggungjawab terhadap mendiang yang selama ini merupakan seorang pekerja yang selalu mentaati dan menurut arahan majikannya.

Perhimpunan ini juga menuntut Ean Yong memohon maaf secara terbuka kepada semua kontraktor bumiputera apabila beliau secara terang-terangnya melakukan salahguna kuasa menyekat tender-tender kontraktor bumiputera dengan memberikan kepada pihak yang berkepentingan serta untuk kepentingan peribadi beliau semata-mata.

Keluarga mendiang Beng Hock wajib dibayar pampasan!”

Juragan Malawati..

Selasa, 26 Julai 2011

Wasiat Almarhum Sultan Selangor, Shah Alam dan munafik...!

Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, ... tanda-tanda orang munafik itu terjadi dalam tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Cuit kali ini mahu bercerita mengenai soal munafik. Dalam bahasa lebih mudah munafik juga bererti cakap tak serupa bikin, berbohong atau juga double standard dan lain-lain yang seerti dengannya.

Jika dalam sesama manusia, orang yang jenis ini tidak boleh dipercayai sama sekali. Orang kata macam ular. Jika dalam organisasi, ia adalah organisasi putar belit dan lebih teruk daripada memakan riba. Jika ia adalah pertubuhan siasah atau politik, pertubuhan seperti ini kita harus dan wajib menghindarinya.

Badan siasah semacam ini menganggap ia sahaja yang betul. Orang lain tidak betul. Dialah yang paling alim, orang lain tak alim. Dalam 365 hari digunakan untuk memburukkan orang lain dan dalam 365 hari juga dia akan menjaja mengatakan dialah yang paling dekat dengan Allah Taala.

Maka, orang yang mengikuti jajaannya selama 365 hari itu akan menjadi jumud sejumud-jumudnya dengan pertubuhan siasah itu. Maka orang itu akan berkata orang lain semua buruk, jahat, jelek dan bodoh. Merekalah saja ahli syurga manakala orang lain yang tidak alim atau tidak sehaluan dengan mereka ialah kafir atau ahli neraka.

Al-kisah semasa sebuah badan siasah itu memerintah sebuah Darul Ehsan bernama Selangor selama 50 tahun, maka pelbagai celaan dilontarkan kepada negeri itu oleh puak yang mengakui alim tadi. Semuanya buruk, jahat, jelek dan bodoh. Negeri itu dicerca secerca-cercanya. Memang benar Darul Ehsan itu membina kilang arak di sebuah daerah dikenali sebagai Shah Alam dan sebuah lagi di daerah Petaling Jaya.

Hiburan-hiburan yang mahu diadakan di Darul Ehsan itu ditentang habis-habisan. Puak-puak yang mengaku alim itu akan mengadakan tunjuk perasaan melalui persatuan-persatuan mahasiswa Islam. Berteriaklah mereka secara bertakbir demi takbir (slogan Pas) secara bergema-gema.

Daerah Shah Alam dulu di bawah parti sahsiah yang dikatakan buruk, jahat, jelek dan bodoh itu telah memastikan bandar raya itu bebas daripada hiburan, tiada panggung wayang, tiada tulisan selain tulisan Melayu sahaja di papan-papan tanda kedai, nama-nama jalan ditulis dalam tulisan Arab berbunyi Melayu atau jawi, yang satu waktu dulu mahu dipadam oleh DAP di Bukit Bintang.

Warga Shah Alam tahu ia adalah wasiat Almarhum Sultan Selangor yang mahukan bandar raya itu hanyalah sebagai bandar tempat tinggal orang ramai dan bukannya sebuah bandar hiburan. Shah Alam ialah satu-satunya ibu negeri tersusun dan maju yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu.

Oleh itu kerajaan dulu tidak membenarkan nite club, tiada rumah-rumah urut, tiada hotel-hotel bajet yang banyak. Tiada juga panggung-panggung wayang.

Pusat-pusat hiburan di Darul Ehsan Selangor pula hanya dibenarkan setakat jam 12 tengah malam sahaja. Di sepanjang bulan Ramadan, penguatkuasaan jabatan agama Islam diperhebatkan. Pada masa itu Darul Ehsan diperintah oleh orang Islam yang dianggap tidak setaraf kealiman mereka dengan puak yang satu lagi itu.

Dipendekkan cerita kerana menganggap pemerintahan dulu sebagai buruk, jahat, jelek, bodoh maka jatuhlah pemerintahan Melayu tidak alim itu. Rakyat Darul Ehsan mengenyahkan kerajaan itu kerana menganggap parti siasah yang lebih alim layak memerintah. Maka dengan sendirinya, mereka berharap Darul Ehsan akan menjadi lebih Islamik.

Parti siasah itu yang dikenali sebagai Pas bergabung dengan DAP sebuah parti bukan Islam yang selama ini dikenali terlalu cauvanis atau anti-Islam dan anti-Melayu. Melayu yang dimaksudkan ialah Melayu spesies orang Pas itu juga. Tapi ia bukan spesies ketua mereka Nik Aziz Nik Mat kerana dia tidak mengaku Melayu. Dia hanya mahu dikenali sebagai orang Islam sahaja. (Orang Arab pun bangga dengan bangsa Arabnya.)

Selain DAP, Pas juga bergabung dengan PKR – sebuah parti yang tiada falsafah perjuangan. Ia ditubuhkan sekadar untuk mempertahankan maruah seorang pemimpin mereka yang sejak dulu asyik menghadapi perbicaraan mahkamah sahaja.

Pas dan juak-juaknya amat gembira dapat memerintah negeri Selangor, sebuah negeri yang kaya-raya dan sentosa hasil usaha kerajaan Melayu tidak alim itu dulu. Puak-puak Pas-DAP-PKR dibuai mimpi indah.

Tiga tahun memerintah kilang-kilang bir, yang satu ketika dulu dicerca secerca-cercanya tidak diusik sama sekali.

Cercaan mengenai kilang-kilang bir itu tidak disebut lagi. Tidak boleh diusik, kata alim-alim Pas. Kini ia adalah hasil mahsyul negeri dan kilang itu adalah untuk keperluan orang bukan Islam sahaja. Untuk pengetahuan semua, kilang-kilang bir itulah yang membekalkan air-air arak ke seluruh pelosok negara ini.

Nite-nite club yang kerajaan tidak alim dulu hanya mengehadkan sehingga ke jam 12 tengah malam sahaja – kini diperpanjangkan ke jam 3 pagi.

Lebih menggembirakan apabila Menteri Besar Darul Ehsan membuat kenyataan membenarkan pusat hiburan beroperasi seperti biasa di bulan Ramadan. Pas yang dulu amat sensitif mengenai perkara-perkara maksiat itu, kini tidak tahu sudah hilang ke mana?

Lebih hebat negeri Darul Aman yang diperintah sepenuhnya oleh alim-alim Pas juga mengambil keputusan yang sama, iaitu: Membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi seperti biasa di bulan Ramadan.

Bagi warga Shah Alam, jika dulu mereka terpaksa ke Klang atau Subang Jaya atau PJ atau KL untuk menonton wayang kerana patuh kepada Wasiat Almarhum Tuanku Sultan supaya tiada hiburan di situ, kini difahamkan, sebuah pusat membeli-belah dekat Shah Alam atau di Seksyen U-8 akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 cineplex (panggung-panggung kecil). Ia sedang rancak dibina.

Astagfirullah, mana pernah dulu dengar ada kedai arak pandu lalu (bir drive-thru), kini sudah ada di Sunway Mentari, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Jika dulu penghuni Seksyen 7 Shah Alam hanya diberitahu bahawa bandar I-City hanya sebuah pusat untuk teknologi komunikasi dan maklumat, kini konsert hiburan MTV World Stage mempersembahkan penyanyi-penyanyi rock dunia. Jika ada rock sudah tentu ada arakkan?

Difahamkan hanya petisyen setuju atau bantah sahaja diedar kepada penduduk. Suara bantah MTV World Stage itu sudah hilang entah ke mana? Hasil petisyen itu tidak diketahui, kerana konsert itu terus berlangsung, minggu lalu.

Saya tidak taksub. Saya pun tidak bantah hiburan. Tapi mana perginya puak-puak yang suka sangat membuat demonstrasi membantah benda-benda mungkar seperti itu semasa kerajaan Melayu tidak alim dulu?

Jika dulu Shah Alam tidak banyak hotel-hotel bajet, sekarang boleh kira jumlahnya dalam tempoh tiga tahun ini. Jika dulu jarang-jarang kita dengar rumah-rumah urut di Shah Alam, kini mengapa bersepah-sepah?

Jika dulu Shah Alam hanya suka dihuni oleh orang Melayu saja dan nilai tanahnya terlalu murah kerana spekulator hartanah bukan Melayu mengatakan ‘‘itu tempat Melayu’' mengapa kini tiba-tiba naik mendadak? Mengapa kondo-kondo mewah rancak didirikan yang harganya sukar dibeli oleh orang Melayu? Saya mahu tanya siapa yang akan membelinya? Mengapa mahu dipecah komposisi orang Melayu Shah Alam? Apakah ini kerja Exco yang menjaga perbandarannya? Oh patutlah, dulu portfolio Exco itu dipegang oleh orang Melayu, kini ia dipegang oleh DAP.

Amat sedih sekali puak-puak alim yang menuduh pemerintah dulu tidak alim, taghut dan sebagainya, kini apabila berkuasa dan diberi amanah, hanya berdiam diri?

Mengapa berdiam diri apabila melihat terlalu banyak kemaksiatan dan ketidakbetulan yang berlaku di hadapan mata dalam pemerintahan ente-ente ini sekalian?

Saya tidak mahu cakap banyak. Sudah letih saya mencuit. Renung-renunglah hadis Rasulullah SAW di atas.

Oleh : Cuit..Zaini Hassan

Juragan Malawati