UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 8 Julai 2011

Berselindung di sebalik 9 Julai!

Sama ada perhimpunan haram Bersih menjadi kenyataan ataupun tidak hari ini, ada pihak yang sudah pasti merasa puas dan tersenyum simpul kerana matlamat tersembunyi mereka sedikit sebanyak telah tercapai.

Adalah meragukan sekali tujuan sebenar perhimpunan ini ialah untuk menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kononnya di atas ketidaktelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya di negara ini. Antara yang tersirat dan tersurat di hati pihak penganjur adalah jauh berbeza.

Jika dahulu setiap perhimpunan haram yang dirangka hanya popular di dalam blog pembangkang dan di tempat-tempat strategik melalui pemasangan kain rentang atau poster-poster di tembok-tembok. Namun, kini publisiti melampau diberikan kepada penganjuran kali ini sehinggakan seluruh negara menantikannya dengan penuh minat. Pihak penganjur hanya tersenyum puas tanpa perlu keluar belanja yang besar kecuali mencetak kemeja-T berwarna kuning.

Pastilah yang paling lebar senyumnya ialah Timbalan Presiden Pas serta Ketua Umum PKR. Walaupun mereka turut mengakui bahawa respons negatif terhadap penganjuran ini daripada kelompok masyarakat yang lebih besar, namun sekurang-kurangnya tumpuan berlebihan kepada isu ini telah berjaya memberhentikan seketika isu sebenar yang pembangkang hadapi.

Bukti kepada publisiti berlebihan ini termasuklah fokus yang diberikan oleh media massa arus perdana sama ada media cetak, elektronik dan juga media siber seperti Internet dan blog.

Tidak cukup dengan pendedahan tersebut, mereka juga popular dengan bantuan laporan polis yang melebihi 3,000 di seluruh negara sehinggakan semua pihak berminat membicarakan isu perhimpunan Bersih ini.

Tidak pernah masyarakat desa mengenali siapa dia S. Ambiga, bekas Presiden Majlis Guaman tersebut. Namun dengan adanya laporan polis yang bertali arus serta sepanduk-sepanduk serta penyebaran kemeja-T berwarna kuning, nama beliau secara mendadak mewarnai dunia politik negara.

Senyap seketika isu negara berkebajikan Pas. Senyap sebentar isu video klip pemimpin pembangkang. Sepi sedikit fokus tentang keputusan kes liwat di mahkamah pada minggu depan. Reda sedikit isu kekalahan golongan ulama dalam pemilihan barisan kepimpinan Pas. Hilang sebentar segala isu kepincangan pentadbiran pakatan pembangkang di beberapa negeri yang mereka perintah.

Pihak SPR telah mengendalikan 12 Pilihan Raya Umum (PRU) dan sejak itu sistem yang digunapakai sentiasa diperbaiki dari masa ke masa. Pihak pembangkang setelah setiap kali pilihan raya berakhir pastilah akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pihak SPR kerana itu merupakan antara alasan mudah kenapa rakyat menolak mereka.

Gambaran yang ingin dibentuk di pemikiran rakyat ialah bukan rakyat menolak mereka, sebaliknya mereka tewas disebabkan oleh penipuan pihak SPR yang kononnya menyebelahi pihak kerajaan. Benarkah begitu?

Jika benar SPR menyebelahi kerajaan, kenapa Pas boleh menang selama 22 tahun di Kelantan? Jika benar SPR jadi alat kerajaan, kenapa calon Pas dalam PRU-11 yang hanya menang dengan satu undi pun kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan, sedangkan mudah sangat pegawai SPR nak memusingkan keputusan tersebut. Mereka hanya perlu menelan dua helai kertas undi ke dalam perut mereka, maka keputusan akan berubah.

Jika SPR selamanya menyebelahi kerajaan, maka sudah tentu ketika Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN, kerajaannya mudah ditumbangkan dengan pelbagai cara. Namun semua itu tidak terjadi kerana SPR sememangnya sebuah badan bebas yang turut diiktiraf oleh seluruh dunia.

Di negara lain keputusan undi dan pemenang pada setiap kali pilihan raya hanya dapat diketahui berhari-hari, berminggu-minggu, malah ada yang berbulan-bulan, selepas habis waktu mengundi. Di negara ini paling lewat jam 3 pagi, rakyat sudah tahu siapa yang membentuk kerajaan. Sungguh hebat SPR walaupun mengendalikan lebih 13 juta pemilih.

Ada sebuah parti yang hebat di negara ini. Mengendalikan tak sampai 2,000 kertas undi, sesak nafas dan pemenang Timbalan Presiden gagal diisytiharkan walaupun berjam-jam setelah tamat masa mengundi. Itulah kehebatan Pas selama ini.

Kelemahan SPR seperti di negara-negara lain juga berlaku dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. SPR sentiasa mendengar maklum balas dan responsif terhadapnya. Lalu apa perlunya demonstrasi jalanan untuk mengajar SPR supaya berubah. Tidak cukupkah wakil pembangkang yang begitu ramai di Parlimen untuk membincangkan isu penting tersebut di sana.

Hari ini penganjur perhimpunan bukan sahaja mahu meneruskan agenda mereka, tetapi juga mereka sudah kelihatan bongkak, angkuh, besar kepala dan tidak mahu mendengar nasihat.

Bagi mereka segala kekalutan yang bakal terjadi kelak akibat perhimpunan tersebut akan diletakkan ke atas bahu pihak pemerintah dan mereka akan bersikap baling batu sembunyi tangan. Cara itu akan memudahkan mereka mencapai matlamat iaitu membuatkan orang ramai membenci pihak kerajaan.

Jika pun perhimpunan kali ini gagal, mereka akan meneruskan agenda dengan menguar-uarkan pula perhimpunan pada 9 Ogos, 9 September, 9 Oktober dan seterusnya. Mereka tidak akan berhenti sehingga PRU-13 kerana ini satu cara untuk rakyat melupakan segala kepincangan mereka dalam mentadbir negeri-negeri tertentu. Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Khamis, 7 Julai 2011

Bayangkan Mat Sabu sewa teksi dan pandu sendiri cari penumpang di Kuala Lumpur!

Membaca ruangan Selak pada hari Isnin (4 Julai lalu), saya tertarik untuk mengulasnya. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin atas kesejahteraan negaranya, saya juga terpanggil memberikan pandangan berkaitan.

Dua perkara yang perlu dititikberatkan iaitu kestabilan politik dan pemikiran kita. Jika merujuk kepada tulisan Hassan Mohd. Noor itu, kestabilan politik negara dalam keadaan goyah. Ia, memang tidak dapat dinafikan.

Cuba imbas pada 2007, tahun bermulanya demonstrasi jalanan. Setelah empat tahun, ia mahu diadakan lagi. Kalau terjadi, pastinya keadaan menjadi lebih teruk. Memang bahangnya sudah terasa. Sekatan jalan raya mahupun tangkapan sudah bermula. Jalan mula sesak. Adakah kami sebagai pemandu teksi suka keadaan ini? Mat Sabu hanya memikirkan tarikh demonstrasi tetapi pemandu teksi memikirkan nasib mereka pada hari tersebut. Kami sudah terasa kesan lebih awal.

Tidakkah anda terfikir bagaimana peritnya pemandu teksi mencari rezeki dalam keadaan sekatan jalan raya ketika itu atau berlaku pada setiap hari?

Saya syorkan Mat Sabu pergi sewa sebuah teksi dan pandu sendiri. Moga dengan cara itu dapat menginsafkan diri beliau tentang kehidupan sebagai seorang pemandu teksi di ibu negara. Alangkah malangnya kepada semua pemimpin di negara kita terutama dalam kalangan pihak pembangkang yang seolah-olah tidak belajar daripada kesilapan lalu.

Ulasan Mat Sabu perihal pemandu teksi dan peniaga yang akan mendapat manfaat daripada demonstrasi adalah sesuatu tidak dapat diterima akal. Beliau seolah-olah mahu menafikan perkara sebenar yang berlaku.

Dalam Islam pun tidak menyuruh umatnya berdolak-dalik dalam memberi kenyataan yang sebenar. Insaflah bahawa agama Islam itu bersih dan suci dalam segala aspek pergerakannya. Jangan kita kotorinya dengan berbagai-bagai alasan serta nama kita berikan, sedangkan Islam tidak menuntut umatnya melakukan sedemikian.

Nampaknya kestabilan fikiran manusia ketika ini banyak terganggu dengan perkara tidak sihat dibawa masuk dari luar negara. Sayanglah negara kita yang aman damai serta mendapat rezeki melimpah ruah hasil bumi dan pelancong luar. Mereka ke sini kerana negara kita aman damai dan rakyatnya hidup sejahtera serta berbudi bahasa.

Benarkah pemandu teksi mendapat manfaat daripada demonstrasi? Anda sebagai pembaca boleh menjawabnya sendiri.

Bagaimana pemimpin pembangkang mahu memimpin negara ini kalau kestabilan politik dan pemikiran dalam kalangan mereka tidak stabil serta tidak peka dengan keadaan sekeliling?

Mereka perlu memenangi hati rakyat sebelum boleh memenangi pilihan raya. Itulah juga yang sedang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berusaha dengan gigih untuk menjadikan negara ini diterima oleh semua lapisan masyarakat. Kematangan beliau dalam menangani isu semasa yang dilemparkan pembangkang, haruslah kita puji dan hormati.

Sebagai pemimpin negara, bukan mudah untuk kita gantikan dengan yang baru kerana rakyat melihat di hadapan mata mereka apa yang mereka dapat daripada pemimpin mereka. Pembangkang bukan sahaja tidak stabil dalam gaya berpolitik tetapi juga pemikiran. Tindakan yang melulu tanpa memikirkan kesannya menjadikan mereka tidak diterima ramai.

Demonstrasi adalah tindakan pengecut dan bacul. Ia tidak melambangkan kehendak rakyat seluruhnya. Ia hanyalah kehendak orang kecewa dalam politik. Jawapan Mat Sabu sendiri menunjukkan dia tidak belajar daripada kesilapan lalu.

Alangkah malangnya jika kita dapat pemimpin buta hati untuk mengenal sejarah, sedangkan pemikirannya sentiasa menjurus ke arah provokasi dan kempen jalanan. Cara ini tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Kenapa kita semua harus ikut? Fikirlah!

Oleh : PAK LONG
Pemandu teksi tua, Kuala Lumpur

Juragan Malawati..

Rabu, 6 Julai 2011

MCA pertikai tindakan Selangor salur RM15,000 kepada Bersih!

MCA Bahagian Ampang hari ini mempertikaikan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalurkan dana RM15,000 kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini untuk mengadakan perhimpunan haram.

Ketuanya, Low Kim Mang berkata, tindakan Abdul Khalid menggunakan wang rakyat untuk kepentingan parti seolah-olah menggambarkan beliau seorang diktator. Menurutnya, wang yang disalurkan kepada pertubuhan haram itu seharusnya digunakan untuk membaik pulih masalah jalan dan perumahan di negeri tersebut.

"Duit rakyat seharusnya dipulangkan kepada rakyat, bukan digunakan untuk kepentingan politik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kim Mang turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang langsung tidak mempedulikan masalah penduduk Ampang. Katanya, masalah kehilangan penutup lubang longkang berhampiran Dewan Komuniti Pekan Ampang yang sudah berlarutan lebih sebulan, langsung tidak diendah.

Menurutnya, lubang besar seluas tayar kereta itu mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penghuni di sekitar kawasan tersebut. Tambahnya, keadaan itu juga membahayakan pemandu yang meletakkan kenderaan di tepi jalan berkenaan terutama pada waktu malam kerana lubang sukar dilihat ekoran kerosakan lampu jalan sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, melihat pada saiz lubang longkang yang terdedah itu, ia bukan sahaja boleh menyebabkan orang dewasa terjatuh ke dalamnya tetapi juga boleh mengakibatkan tayar kenderaan terperosok.

"Mereka yang sering ke kawasan itu mungkin mengetahui tentang ketiadaan penutup lubang longkang tetapi bagi mereka yang jarang ke situ, mereka berisiko untuk terjatuh ke dalam longkang," katanya.

Sehubungan itu, beberapa wakil penduduk berhimpun secara aman sambil menunjukkan risalah tertulis 'Jangan bersembunyi di belakang, datang depan dengar masalah rakyat, Ahli Majlis kamu di mana dan apakah kerajaan pembangkang sedar lubang ini boleh membahayakan nyawa'.

Kim Mang juga memberitahu, sudah tiga tahun pakatan pembangkang merampas Selangor tetapi penduduk tidak pernah melihat kelibat wakil rakyat dan ahli majlis kerajaan tempatan di kawasan tersebut.-UM.

Juragan Malawati..

Isnin, 4 Julai 2011

BERSIH 2.0 tidak perlu jumpa Agong!

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ambiga tidak perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan kata putus sama ada mahu meneruskan atau membatalkan perhimpunan haram pada Sabtu ini.

Seri Paduka dalam titah khas semalam dengan jelas menyatakan tidak memperkenankan demonstrasi jalanan diadakan oleh mana-mana pihak.

Sebagai seorang yang mempunyai pendidikan, Ambiga tidak seharusnya 'menyempitkan' pemikirannya apabila 'buat-buat tidak faham' dengan titah Tuanku Mizan itu. Sepatutnya beliau meneliti apa yang telah disampaikan dalam titah Seri Paduka itu.

Apa lagi yang dimahukan oleh Ambiga, lebih-lebih lagi apabila beliau mahu menghadap Seri Paduka untuk memutuskan sama ada akan mengadakan perhimpunan haram itu atau tidak.

Persoalannya, kenapa Ambiga mahu memanjangkan lagi isu perhimpunan haram ini dengan mengheret nama Tuanku Mizan sedangkan Seri Paduka jelas menyatakan ia lebih banyak membawa keburukan.

Tindakan Ambiga itu menunjukkan bekas Presiden Majlis Peguam itu seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara itu. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, Ambiga seharusnya mematuhi titah Seri Paduka yang merupakan institusi yang termaktub di bawah Perlembagaan negara.

Juragan Malawati..

Khamis, 30 Jun 2011

Nik Aziz 'larikan diri', tidak restu Bersih?

Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak merestui perhimpunan haram Bersih kerana telah 'melarikan diri' keluar negara ketika pemimpin pembangkang sedang bersiap sedia untuk menempuh 9 Julai ini.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian berkata, sekiranya Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas menyokong perhimpunan tersebut, ia bermakna beliau menafikan haknya serta Pas untuk memerintah negeri ini.

Beliau berkata, perhimpunan tersebut merupakan satu program yang amat besar kepada pembangkang dan cuba menarik penglibatan ratusan ribu rakyat di negara ini.

"Saya nampak Nik Abdul Aziz cuba untuk melarikan diri daripada terlibat dengan Bersih, dia tidak setuju dengan Bersih, kalau dia setuju dia menafikan hak untuk memerintah Kelantan kerana Pas dipilih melalui pilihan raya.

"Kelantan diperintah oleh Pas selama 20 tahun, kalau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, kita tidak akan biar Pas memerintah selama 20 tahun kerana kita mampu boleh beri lebih baik kepada rakyat Kelantan. Tetapi disebabkan SPR telus kita menerima keputusan pilihan raya ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak telah berlepas ke Uzbekistan dan mengerjakan umrah di Mekah, Selasa lalu. Turut serta Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Difahamkan Nik Abdul Aziz akan berada di luar negara selama dua minggu dan tugasnya dilakukan timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob.

Terdahulu, kira-kira 100 pemuda yang berpakaian serba merah mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan ibu pejabat Pas Kelantan di sini kira-kira pukul 3 petang ini bagi mendesak Pas tidak terlibat dengan perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini.

Mereka berkumpul selama 30 minit dengan membawa bendera 'patriot' dan sepanduk yang di antaranya tertulis: 'Tok Guru gi buat umrah sebab tak sir terlibat dengan Bersih, takkan puak-puak Pas tak sedar lagi', 'Pas jadi kuda tunggangan DAP dan Anwar Ibrahim' dan 'Perhimpunan Bersih yang kotor'.

Sementara itu, Anuar berkata, perhimpunan secara aman 'patriot' dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi mendesak Pas supaya tidak melibatkan diri dengan Bersih kerana ia jelas mengganggu ketenteraman awam.

"Pas harus sedar siapa Ambiga Sreenevasan, seorang pejuang untuk kesamarataan agama malah dalam kes Lina Joy, beliau yang mempertahankan kebebasan agama. Apakah perjuangan Ambiga selaras dengan perjuangan Pas," katanya.-UM.

Juragan Malawati.

Gempar..!!! : Gobalakrishnan dakwa Anwar Omegay buat pengubahan wang haram?

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan hari ini mendakwa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim adalah ‘raja’ kepada segala aktiviti pengubahan dan pengaliran wang haram di negara ini.

Ia bersandarkan dakwaan bahawa Anwar melalui ‘orang tengah’ telah membawa keluar ratusan juta ringgit dalam not RM500 dan RM1,000 untuk disimpan di Indonesia dengan menggunakan jet peribadi milik syarikat judi.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, Gobalakrishnan berkata, semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu, sebanyak RM13.2 bilion wang dalam not RM500 dan RM1,000 telah dicetak.

Sehubungan itu, beliau menuntut Kementerian Kewangan menyiasat secara terperinci penglibatan Anwar dalam aktiviti tersebut dan berjanji akan membantu siasatan pihak berkuasa jika beliau diberi imuniti (kekebalan).

“Anwar ‘raja’ segala aktiviti penggubahan dan pengaliran wang haram di negara ini. Berbeg-beg wang dalam not RM500 dan RM1,000 diterbangkan ke Indonesia,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan Anwar terbabit dalam aktiviti pengaliran wang haram berjumlah RM888 bilion seperti yang dilaporkan oleh Integriti Kewangan Global (GFI).

Ini kerana, kata Gobalakrishan, Anwar adalah pengamal nepotisme dan kronisme tegar dan beliau percaya, duit tersebut jugalah diguna sewaktu ketua pembangkang itu ‘mengguling’ Allahyarham Tun Ghafar Baba dahulu.

Selain itu, beliau juga mendakwa Anwar bersama Azmin Ali (PKR-Gombak) mengarahkan agar dana RM50 juta untuk Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelidikan Felda di Selangor, dialirkan secara haram kepada pemimpin pembangkang.

Tidak cukup dengan semua pendedahan itu, bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin serta seorang ahli perniagaan berbangsa Cina melaburkan jutaan ringgit dalam syarikat modal, tanpa diketahui dari mana datangnya wang berkenaan.

Sementara itu, bimbang lebih banyak rahsia dalaman mereka ‘dilondehkan’, Azan Ismail (PKR- Indera Mahkota) dan Dr. Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) cuba menghentikan Gobalakrishnan daripada terus membuat pendedahan.

“Padang Serai ini dah makan tengah hari ke belum? Saya kagum dengan keberanian Padang Serai tetapi setuju atau tidak sebelum persidangan setiap ahli Parlimen perlu menjalani ujian air kencing untuk dipastikan dia mabuk atau tidak,” kata Azan.

Kemudian Siti Mariah pula bangkit membantu: “Bila Padang Serai buat tuduhan, kenapa tak lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kalau berlaku salah guna, saya harap begitulah, tolong bawa kepada SPRM.”

Namun, percubaan Azan dan Siti Mariah itu gagal menghentikan tindakan berani Gobalakrishnan apabila beliau secara bersahaja dan sinis berkata: “Saya sudah makan tengah hari dan sekarang sedang makan PKR.”

Hahaha...Gobalakrisnan, kasi londeh sama Anwar. Sebelum ini Senator Ezam pun ada kata Omegay dah bahagikan wang kepada kroni-kroninya semasa beliau jadi Menteri Kewangan. Tak perlulah disebutkan nama mereka disini. Cukuplah kalau siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

Juragan Malawati..

Rabu, 29 Jun 2011

Lupakah kita kepada kekejaman komunis?

Cukup melampau. Apa nak jadi dengan rakyat terutamanya segelintir ahli politik negara ini? Itulah ungkapan yang keluar dari mulut majoriti rakyat Malaysia apabila membaca laporan adanya usaha untuk menghidupkan kembali unsur komunis di negara kita.

Penahanan 31 orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang bersama-sama dengan 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto Che Guevara atau dikenali sebagai El Che menceritakan segala-galanya.

Apakah golongan ini sedar dengan apa yang cuba mereka lakukan? Kita percaya mereka cukup sedar kerana majoriti peserta yang terlibat dalam isu ini adalah orang dewasa yang matang dan tahu baik buruknya sesuatu tindakan.

Ini menyebabkan sukar untuk kita percaya bahawa masih terdapat rakyat kita yang mahukan puak komunis menguasai negara ini setelah apa yang pernah rakyat dan negara ini alami semasa zaman komunis dahulu. Apakah mereka lupa segala kekejaman komunis terhadap rakyat kita? Kenapa begitu mudah dan cepat golongan ini lupa tentang sejarah tersebut? Atau mereka memang sengaja tidak mahu mengambil tahu sejarah terbabit?

Bagi rakyat yang waras, terutamanya bagi mereka yang pernah melalui detik-detik hitam semasa zaman komunis dahulu, pastinya akan marah dan melenting dengan tindakan kumpulan ini. Kita tidak dapat bayangkan perasaan kecewa dan marah para perajurit kita yang pernah menentang komunis yang masih bersama dengan kita. Malah bagi kita yang tidak pernah merasai detik hitam itu pun rasa cukup takut, ngeri dan marah apabila membacanya dalam buku-buku sejarah.

Justeru, hanya manusia yang hilang kewarasan mahukan zaman komunis berulang kembali. Janganlah hanya kerana mengejar kuasa politik dan ingin memenuhi tuntutan pihak-pihak tertentu kita sanggup menggadai keselamatan dan ketenteraman awam secara keseluruhannya.

Mana ada negara yang aman dan damai di bawah komunis? Mana ada rakyat yang hidup selesa dan seronok di bawah komunis? Bukalah mata hati dan gunakanlah akal fikiran yang ada untuk menilai dan berfikir dengan sebaik yang mungkin sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Ingat, sesal dahulu ada pendapatan. Jangan kita umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar. Malah dalam hal ini bukan setakat kelambu tetapi tindak tanduk kumpulan ini seolah-olah membakar seluruh rumah terbabit.

Kami rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, perpaduan dan keselamatan negara ini menentang sekeras-kerasnya tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini. Kami mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan keras yang sewajarnya termasuk mempertimbangkan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika perlu.

Tolong jangan hancurkan negara kami. Kalau mahukan pemerintahan komunis, tuan-tuan dan puan-puan yang terlibat dalam pergerakan ini dialu-alukan untuk berpindah ke negara komunis yang anda minati. Kami benci komunis!

Juragan Malawati..