UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR
Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Sabtu, 13 Julai 2013
Majlis Berbuka Puasa, Bersolat Maghrib, Isyak Dan Tarawih Bersama Perdana Menteri!
Satu majlis berbuka puasa, bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama Perdana Menteri, Dato'Seri Najib Tun Razak akan di adakan di pada 14 Julai ( Ahad ) 2013 di Masjid Jamiuridhuan, Simpang Empat, Jeram, Kuala Selangor. Majlis akan bermula pada jam 5:30 petang.
Semua muslimin dan muslimat di jemput hadir.
Sekian. Wassallam.
Juragan Malawati..
Jumaat, 12 Julai 2013
PAS Tak Mengaku Syiah Tapi Baiah Yang Dibuat Calonnya, Baiah Golongan Syiah?
Akhirnya PAS menjelmakan sesuatu yang selama ini mereka seringkali nafikan dan menuduh UMNO melakukan fitnah iaitu BAIAH lompat parti. Penzahiran tersebut dilakukan di Kuala Besut, tempat yang akan memperlagakan UMNO dan PAS di gelanggang yang dikenali sebagai PILIHANRAYA KECIL.
Apabila pendedahan dibuat bahawa PAS sebenarnya terlalu takut ahli-ahlinya berpaling tadah, lantas memaksa calon-calon wakil rakyat mereka berbaiah dan menggunakan ancaman laknat daripada Allah Taala, Rasulullah s.a.w dan umat Islam sedunia, perkara pertama yang mereka lakukan adalah membuat penafian.
UMNO dipersalahkan. Kononnya UMNO buat fitnah. Kononnya UMNO sengaja mereka-reka cerita untuk mengaitkan PAS dengan Syiah.
“Bahawa saya Azlan Endot Yusof berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul-Nya serta patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.”
Itu baiah yang tidak bersalahan dengan syariat.
“Bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.”
Ini adalah baiah atau sumpah yang sama sekali bersalahan dengan syariat dan ajaran Islam. Baiah ini lebih banyak digunakan oleh masyarakat Syiah yang amat takut sekiranya rahsia kebobrokan dan kejalangan ajaran mereka, dipecahkan kepada masyarakat umum.
Dan dek kerana itulah, mereka sentiasa bertaqiyyah untuk mengelakkan rahsia mereka terbocor. Ketakutan tersebut berlebih-lebihan lagi terhadap golongan yang berkuasa dalam puak mereka, sehinggakan perlu ditakutkan dengan laknat ke atas diri sendiri.
Diriwayatkan dari Tsabit bin Dhahak r.a, dari Rasulullah saw., beliau bersabda, “Tidak boleh seorangpun bernadzar atas sesuatu yang tidak dimilikinya. Melaknat seorang mukmin seperti membunuhnya. Barangsiapa membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia maka ia akan diadzab pada hari kiamat. Barangsiapa membuat pengakuan dusta untuk memperbanyak harta maka Allah tidak akan menambah hartanya melainkan akan bertambah sedikit. Demikian pula yang memaksakan diri bersumpah palsu dan dusta untuk melariskan dagangannya,” (HR Bukhari dan Muslim).
Diriwayatkan dari Samurah bin Jundub r.a, ia berkata, Rasulullah saw. pernah bersabda, ”Janganlah kalian suka melaknat dengan laknat Allah, dengan kemurkaan-Nya, dan dengan neraka,” (Hasan, HR Abu Dawud).
Hanya kerana kuasa dan harga, maka ucapan laknat itu dituturkan, sekaligus menyalahi ajaran Rasulullah s.a.w.
Mengapa agaknya bahaya bersumpah laknat seperti ini tidak dinyatakan oleh PAS sebaliknya muhabalah yang disyariatkan seperti yang terkandung dalam Ayat 59-61 Ali Imran, diputarbelit pula sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Islam?
Siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada sumpah dan baiah yang dilafazkan oleh calon PAS untuk DUN Kuala Besut, Azlan Jusoh? Bagaimana agaknya elemen Syiah itu boleh dipraktikkan di dalam PAS, sedangkan PAS sebelum ini bukan main lagi berlagak kononnya, ahli-ahli atau pemimpin-pemimpin PAS yang pro-Syiah akan dihalau keluar dari parti tersebut?
Apakah dalam hal ini pun, PAS masih hendak bertaqiyyah sekalipun Allah Taala telah menelanjangkan amalan dan kerosakan Syiah yang telah menjadi dasar dan tiang seri parti berkenaan menerusi sumpah baiah yang dilakukan oleh Azlan Jusoh di khalayak ramai dalam usaha PAS untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan para pengundi?
Dan yang paling penting, masakan cerdik pandai agama dalam PAS langsung tidak tahu bahawa perbuatan bersumpah palsu seperti itu hanya semata-mata untuk meraih undi dan kuasa, merupakan sesuatu yang dilarang keras dan haram hukumnya dalam Islam?
Masakan sebuah parti yang kononnya lebih Islam daripada orang lain yang tidak menyertai PAS, langsung tidak tahu hukum-hakam dan melanggar sesuka-suka hati?
Juragan Malawati..
Khamis, 11 Julai 2013
Islam tidak pernah ajar baiah seperti Pas?
Islam tidak pernah mengajar para umatnya berbaiah seperti dilakukan oleh calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Azlan @ Endot Yusof dalam satu program di Kuala Besut, semalam.
Sebaliknya tegas aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin, baiah hanya berlaku kepada ketua negara dan bukan selain daripadanya.
''Baiah itu bermaksud ikrar ketaatan kepada pemerintah atau kepada ketua. Namun, Islam tidak pernah mengajar kita berbaiah sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang ramai.
''Apatah lagi baiah itu dibuat dengan perkataan 'sekiranya' di hadapan pemimpin dan penyokong parti mereka. Tidakkah itu boleh dilihat sebagai main-main dan tidak bersungguh-sungguh,'' katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan mengejut Pas itu apabila meminta Endot melafazkan baiah akan dilaknat Allah jika melompat parti sekiranya menang.
Azlan @ Endot, 48, melafazkan baiah berkenaan dengan dipimpin oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang antara lain menyebut jika beliau keluar daripada Pas dan menyertai parti lain, beliau akan dilaknat Allah dan Rasul.
Baiah itu dilafazkan sejurus selepas Abdul Hadi mengumumkan Azlan @ Endot sebagai calon Pas bagi PRK tersebut di Kampung Nail, Kuala Besut, Terengganu, semalam.
Mohd. Riza turut mempersoalkan mengapa baiah itu terpakai sekiranya calon Pas itu menang.
''Adalah lebih wajar sekiranya beliau melafazkan ikrar - saya bersedia dilaknat oleh Allah dan seluruh makhluk, jika saya menang saya gagal untuk melaksanakan tanggungjawab saya seperti yang sepatutnya,'' katanya.
Juragan Malawati..
Rabu, 10 Julai 2013
Kita kena ubah mentaliti!
Mengubah mentaliti pemaju perumahan dan bank, antara teguran menarik Ahli Parlimen Kuala Selangor, DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM, ketika diminta menyentuh dan mengulas lanjut ucapannya di Parlimen minggu lalu, mengenai isu perumahan yang dihadapi pekerja profesional atau pekerja berijazah.
Kritikan ini dilihat konstruktif oleh banyak pekerja muda terutama di sektor swasta yang berdepan dengan kemelut sukar memiliki rumah sasaran (kos sederhana rendah) walaupun sudah 10 tahun bekerja.
Selain isu monopoli pemain sektor hartanah yang menjadikan rumah kos sederhana rendah yang berharga sekitar RM200,000 ini sebagai sasaran pelaburan, amalan 10 peratus bayaran muka yang berjumlah RM20,000 serta dua kali bayaran guaman untuk perjanjian dengan pemaju dan bank, yang berjumlah sekitar RM15,000 turut menjadikan pekerja muda tidak kompetitif untuk membeli rumah.
Penulis ZAINAL RASHID AHMAD mewawancara Datuk Irmohizam untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.
SOALAN: Apa sebenarnya yang mendorong Datuk membangkitkan isu masalah pekerja muda untuk memiliki rumah?
IRMOHIZAM: RUMAH bukan isu baru, ini ratapan anak muda yang bekerja terutama di bandar sejak sekian lama. Isu ini menjadi bebanan dalam kalangan pekerja berijazah terutama yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.
Pertama, saya nak jelaskan dulu isu persekitaran industri hartanah terutama di sekitar Kuala Lumpur. Hari ini rumah kos sederhana rendah yang berharga sekitar RM180,000 ke RM300,000 dimanipulasi oleh pelabur hartanah.
Tiadanya had gaji menyebabkan golongan berada menyasarkan rumah kos ini untuk tujuan pelaburan. Bayangkan, dengan pendapatan bersih antara RM20,000 hingga RM25,000, mereka boleh membuat antara tingga empat pinjaman bank untuk memiliki rumah kos sederhana ini.
Dengan bayaran ansuran bulan antara RM750 ke RM1,300, bagi pemain hartanah ini pelaburan strategi, sebab rumah ini kemudiannya disewa pada harga RM1,200 hingga RM2,000 sebulan. Anda boleh semak harga sewa ini di kawasan Bandar Tun Razak, Pandan, Selayang dan Gombak.
Di Bandar Sri Permaisuri yang pesat dengan perumahan sejak 10 tahun lalu, apartment yang berharga RM100,000 ketika dijual pada 2006, kini sudah berharga RM280,000. Dalam tempoh 7 tahun, harga rumah meningkat 180 peratus.
Maknanya dengan bayaran sekitar RM500 ke RM600 sebulan, pemiliknya boleh menyewakan rumah ini pada harga RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Setelah ditolak bayaran ansuran bank, anda fikir berapa banyak margin untung sewa yang diperolehi pelabur ini. Apalagi kalau sudah menjadi trend untuk memiliki 3 atau 4 buah rumah bagi tujuan ini.
Datuk nampaknya ada perangkaan?
Saya memiliki kumpulan survey sendiri, yang membantu saya di lapangan untuk mendapatkan maklumat first hand. Bukan cakap dengar, sebab isu ini hendak dibawa ke Parlimen. Jadi walaupun ada kritikan kononnya kerajaan sudah melupuskan bayaran 10 peratus sejak dua tahun lalu, di sini suka saya ingatkan bahawa itu hanya untuk rumah yang dibangunkan kerajaan. Untuk pemaju swasta, mereka masih mengamalkan budaya lama. Siapa banyak duit, dia mendapat keutamaan.
Saya fikir, usaha membela golongan pekerja muda tak sepatutnya menjadi beban kerajaan. Asal ada masalah maka ditudingkan pada kerajaan. Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang disasarkan kepada pekerja profesional muda tak mungkin cukup untuk menampung permintaan. Kira-kira 90 peratus industri perumahan, dilaksanakan pemaju swasta.
Justeru, sekiranya isu bayaran muka tidak dipedulikan oleh pemaju dan bank, sampai bila pun masalah perumahan dalam kalangan pekerja muda tak akan selesai.
Datuk ada memaklumkan mengenai kajian kalkulasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk rujukan bagi mendokong hujah mengenai perkara ini?
Ya ada sila rujuk lampiran.
Apa yang Datuk harapkan setelah membangkitkan isu ini?
Perubahan saya harap persekitaran industri berubah. Kita tidak menyelar pemain hartanah mereka boleh terus melabur, tetapi bukan di sektor kos sederhana. Ini kerana ada yang menuntut haknya, maka kalau kita biar, hak pekerja muda akan dirampas oleh pemain hartanah. Masuklah melabur di padang pelaburan yang sesuai, seeloknya di sektor hartanah melebihi RM500,000.
Kita kena ubah mentaliti dan disiplin untuk menjadi kaya. Hari ini rakyat dan orang muda tidak lagi melihat kemajuan negara dengan angka-angka di bursa saham atau Keluaran Negara Kasar. Kenapa? Kerana mereka lebih melihat pada realiti. Apa ertinya kalau semua syarikat besar mengumumkan keuntungan berbilion, atau angka bursa melepas indeks 2,000 mata sekalipun, sedangkan dalam kehidupan anak muda, nak beli rumah pun susah.
Sata tidak menyalahkan kerajaan. Transformasi ekonomi mesti turut disertai dan dijuarai sektor swasta. Kerajaan sentiasa memastikan persekitaran ekonomi kita stabil dan sihat, maka sektor swasta menikmati keuntungan. Cuma kena ada sikap dan mentaliti untuk menyumbang kembali kepada rakyat sebagai tanda turut serta membantu kerajaan mengekalkan suasana yang stabil dan produktif ini.
Kali pertama muncul sudah dibidas banyak pihak, sudah dapat Khidmat Pesanan Ringkas yang menyelar cadangan Datuk, kononnya tidak munasabah.
Itu perkara biasa, saya rasa Ahli Parlimen yang sudah empat atau lima penggal berada di Parlimen, juga dikritik. Cuma yang penting, saya bangkitkan realiti isu. Barangkali sebab saya muda, dan saya dekat dengan anak muda, maka saya bawa isu-isu yang menjadi masalah kepada generasi saya untuk didengarkan.
Saya nak sentuh sikit, ramai anak muda turun di jalanan bukan kerana mereka menyokong pembangkang. Mereka turut kerana secara psikologi mereka marah akibat beban sosio ekonomi yang mereka tanggung. Pembangkang pula menangguk di air keruh, dengan meletakkan isu-isu ini kononnya sebagai keutamaan dalam protes.
Jadi saya fikir, sudah sampai masanya, kita melihat realiti sebenar. Pada saya realitinya jelas; kerajaan berusaha sungguh-sungguh melalui pelan transformasinya, tetapi dalam isu perumahan, kita tidak nampak pemain industri terutama pemaju dan bank, bersikap positif untuk membantu. Kita kena usahakan perubahan, maka untuk itu, kita kena suarakan kegusaran ini sebagai realiti semasa.
Jangan tersalah tafsir, kononnya isu protes adalah isu ideologi. Bukan semua soal ideologi, kebanyakan berkait dengan soal persekitaran anak muda yang terbeban dengan isu kehidupan hari ke hari. Saya jelaskan, apabila jadi macam ini, jangan lemparkan semua untuk diatasi kerajaan. Macam saya kata, isu rumah ini 90 peratus pemaju adalah sektor swasta. PR1MA tak dapat menyediakan keperluan rumah yang kritikal sekarang, tetapi dengan sokongan perubahan oleh pemaju dan bank, maka isu ini akan ada jalan keluar.
Minggu pertama di Parlimen, apa perasaan Datuk?
Saya melihat berada di Parlimen sebagai peluang terbaik untuk membawa realiti isu-isu rakyat terutama generasi muda. Saya dan pasukan survey di lapangan akan terus berusaha untuk mendekati isu dan masalah pengundi di Kuala Selangor khasnya, dan masalah generasi muda nasional juga.
Macam saya kata tadi, suarakan realiti dan minta kerjasama semua pihak untuk berganding bahu. Kita kena ubah mentaliti, asal ada saja masalah, maka kita tuding pada kerajaan untuk selesaikan. Sedangkan sektor lain macam lepas tangan. Kita hendak, dalam apa juga persekitaran masalah, semua pemain dalam industri turut mengambil sikap prihatin untuk membantu. Bukan lagi beranggapan; isu rakyat adalah isu kerajaan.-UMO
Juragan Malawati..
Ahad, 7 Julai 2013
Khalid pertahan guna wang rakyat ambil alih Kumpulan Hartanah Selangor?
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan cadangan mahu menggunakan peruntukan tambahan wang rakyat untuk membiayai pinjaman Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengambil alih syarikat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).
Menurutnya, peruntukan melibatkan jumlah RM413.2 juta itu diberikan bagi membolehkan KDEB melaksanakan pengambilalihan tersebut melibatkan 100 peratus pegangan saham dalam KHSB.
Beliau mengakui bahawa pengambilalihan tersebut perlu dibuat memandangkan aset KHSB tidak diuruskan dengan baik dan langkah itu membolehkan semua aset KHSB dapat disusun semula.
"Jumlah pinjaman itu mengambil kira nilai bersih kasar tanah (KHSB) keseluruhan seluas 7,000 ekar (2,800 hektar) berjumlah RM6 bilion. Maka dari segi keuntungannya, kita dapat RM1.2 bilion berbanding pelaburan (pinjaman) RM413.2 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 berjumlah RM761.4 juta dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Tambah Abdul Khalid, kemudahan pinjaman melibatkan kadar faedah empat peratus setahun itu adalah jaminan kepada KDEB untuk mendapatkan pinjaman institusi kewangan.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang daripada Barisan Nasional (BN), Sulaiman Abdul Razak mempersoalkan cadangan kerajaan negeri mahu memperuntukan tambahan kewangan sebanyak RM413.2 juta dalam bentuk pinjaman kepada KDEB untuk mengambil alih KHSB.
Selain itu, Sulaiman turut mempersoalkan perjanjian pengambilalihan tersebut yang dibuat pada 29 April 2013 iaitu ketika DUN Selangor telah dibubarkan dan pentadbiran negeri di bawah kerajaan sementara.
Menurutnya, selain KDEB, kerajaan negeri turut memberikan pinjaman tersebut kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM80 juta untuk pengambilan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk pembangunan projek Datum In-City.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyatakan pinjaman kepada PKNS boleh diluluskan kerana kerajaan negeri boleh mendapatkan semula jumlah yang dipinjam itu memandangkan prosesnya melibatkan agensi kerajaan negeri.
Cadangan tersebut diluluskan oleh DUN hari ini selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid ketika ditemui selepas sidang DUN menyatakan, keputusan pengambilalihan KHSB itu dibincangkan di peringkat pengurusan KDEB dan KHSB sebelum pilihan raya umum diadakan.
Bagaimanapun, permohonan KDEB untuk mendapatkan pinjaman kerajaan negeri berjumlah RM413.2 juta diluluskan selepas pilihan raya umum Mei lalu.
Juragan Malawati..
Selasa, 2 Julai 2013
MB Khalid dituntut beri penjelasan?
Kerajaan negeri Selangor diminta memberi penjelasan berhubung projek kondominium mewah Datum Jelatek di Jalan Jelatek, Taman Keramat yang didakwa tidak memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah khususnya bumiputera.
Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, projek yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dilihat terlalu mahal untuk dimiliki golongan tersebut ekoran nilainya di antara RM700,000 dan RM11.6 juta seunit mengikut jenis.
Menurut beliau, projek yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu dikatakan turut menawarkan pampasan tidak setimpal kepada penghuni asal empat blok rumah pangsa di atas tapak tanah projek terbabit selain membatalkan 70 peratus kuota bumiputera dan digantikan dengan kuota 50 peratus masing-masing kepada bumiputera dan bukan bumiputera.
''Pampasan di antara RM130,000 hingga RM250,000 masih belum mencukupi untuk membeli seunit studio Datum Jelatek berharga RM700,000 yang hanya berkeluasan 538 kaki persegi," katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Shamsudin mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang dikatakan tidak mengambil perhatian terhadap rungutan penduduk asal rumah pangsa Jalan Jelatek yang membantah projek mewah tersebut sebelum ini.
Katanya, penduduk di kawasan itu mahu sebuah pembangunan perumahan mampu milik dijalankan di tapak berkenaan yang didiami 100 peratus bumiputera sejak awal 1970-an.
Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa melakukan pengambilalihan tanah secara paksa di bawah peruntukan Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah ekoran 14 daripada 60 penduduk asal rumah pangsa terbabit tidak setuju dengan tawaran pampasan diberikan oleh PKNS.
Kata Mohd. Shamsudin, sepatutnya pengambilan tanah di bawah akta itu dilakukan oleh pihak berkuasa negeri adalah bagi tujuan dan maksud kepentingan awam.
''Adakah tujuan pembinaan projek mega Datum Jelatek memenuhi maksud awam? Apa yang jelas ialah projek tersebut adalah eksklusif untuk golongan kaya.
''Kerajaan negeri dan PKNS mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral untuk berunding dan mengambil kira pandangan, rayuan serta masalah yang dihadapi pemilik rumah pangsa asal di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata: ''Mungkin kerana tanah rumah pangsa itu masih di bawah PKNS, kerajaan negeri dan anak syarikatnya itu mengambil kesempatan dan kuasa sewenang-wenangnya. Bukankah ini satu penyalahgunaan kuasa melampau dan bertentangan dengan 10 aku janji bersumpah Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor sebelum ini."
Beliau berkata, berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tapak asal rumah pangsa Jalan Jelatek dicadangkan untuk pembangunan semula rumah pangsa berkenaan pada Oktober 1997.
Malah katanya, pada April 2002, PKNS menawarkan kepada penduduk kawasan itu pangsapuri tiga bilik berkeluasan 686 kaki persegi dengan harga di antara RM72,000 hingga RM75,000 serta RM125,000 bagi unit rumah berkeluasan 950 kaki persegi.
''Bagaimanapun perundingan tawaran itu masih belum selesai sehinggalah pertukaran pentadbiran negeri setelah pilihan raya umum tahun 2008.
''Akhirnya, pentadbiran baharu negeri membatalkan projek asal tersebut dan bercadang membangunkan Datum Jelatek bermula 2009," katanya.
Juragan Malawati..
Isnin, 1 Julai 2013
Selangor perlu serius atasi krisis air?
Kerajaan negeri dan Pusat perlu bekerjasama mencapai kesepakatan dalam mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan masalah air bertambah buruk menimpa penduduk yang tinggal di kawasan Lembah Klang.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piapakaran berkata, situasi meruncing itu berlaku kerana kedua-dua belah pihak tidak dapat mencapai persetujuan bersama terhadap penubuhan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 sejak sekian lama.
"Kerajaan Negeri Selangor masih berkeras terhadap pemberian 'development order' kepada kerajaan Persekutuan untuk membangunkan projek tersebut sedangkan kemudahan itu bagi melindungi rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada menghadapi krisis air.
"Sehubungan itu, kedua-dua pihak perlu bertolak ansur supaya pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 boleh diteruskan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, dilaporkan kira-kira enam juta warga ibu kota, Selangor dan Putrajaya bakal berdepan risiko gangguan bekalan air yang kritikal.
Keadaan itu berikutan rizab bekalan air di semua 34 loji rawatan air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Tambah Piapakaran, jika tiada tindakan, masalah bekalan air terawat ini dijangka memberikan impak kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 terutamanya di ketiga-tiga kawasan tersebut.
"Ini kerana kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan pelancong dan sudah pasti meninggalkan kesan terhadap industri hotel sekiranya krisis air berlaku," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, isu itu perlu diperbincangkan secara professional dengan mengenepikan kepentingan politik masing-masing kerana berkaitan dengan keperluan asas rakyat.
"Adalah menjadi satu tanggungjawab kepada pemimpin untuk menangani masalah yang melibatkan rakyat.
"Jika berlaku krisis air, sudah pasti akan meninggalkan kesan terhadap kehidupan seharian, sekali gus bakal menjadi isu politik oleh sesetengah pihak," katanya.
Juragan Malawati..
Langgan:
Catatan (Atom)








