UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR
Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Sabtu, 18 Ogos 2012
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Semangat fitrah makin kurang dihayati ketika rai Aidilfitri
Ramadan dan Syawal datang silih berganti. Kehadiran dua bulan berkat ini sememangnya dinantikan umat Islam. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam berjaya melalui ujian Ramadan.
Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan, dan kasih-mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.
Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.
Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Aidilfitri yang mulia.
Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.
Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.
Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.
Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu.
Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.
Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.
Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Jadi sempena di hari yang mulia ini, saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan bloggers yang jauh mahupun yang dekat serta pembaca dan pengulas yang budiman. Jika ada tersalah kata atau terkasar bahasa semasa saya berkarya di blog ini harap dapat kalian semua maafkan. Maaf Zahir Dan Batin.
Ikhlas dari
Juragan Malawati
UMNO KUALA SELANGOR -UKS
Sabtu, 11 Ogos 2012
Pembangkang sering cari salah UMNO atas kesalahan sendiri!
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar hari ini membidas tindakan pembangkang yang berterusan menyalahkan UMNO dan BN atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.
Katanya tindakan tersebut dilihat tidak lebih sebagai untuk menjaga hubungan antara tiga parti - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.
"Inilah perangai (sebenar) PKR yang selalu hendak mencari salah orang lain tetapi salah sendiri dibutakan. Ibarat pepatah Melayu,"Gajah di depan mata mereka tak nampak, tapi kuman di seberang laut nampak"," katanya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Noh yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO mengulas kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa UMNO kini memulakan kempen pelampau agama.
Laporan itu disiarkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.
Akhbar itu memetik pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa"amah yang dilapor berkata adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.
Abdullah berkata umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.
Dalam pada itu, Noh berkata Anwar kelihatan seperti takut untuk menegur pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menentang pelaksanaan hukum hudud yang dihasratkan oleh PAS jika berjaya menawan Putrajaya.
Juragan Malawati..
Khamis, 9 Ogos 2012
Menteri Besar akui Unisel banyak hutang?
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui beban hutang Universiti Selangor (Unisel) yang banyak antara penyebab kos penyelenggaraan dan operasi asrama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu tertunggak.
Beliau mendakwa, beban hutang yang dimaksudkan ialah kos pembinaan asrama universiti yang masih belum habis dilangsaikan oleh Unisel kepada pihak bank.
Dakwa beliau lagi, keadaan itu menyebabkan Unisel tidak mendapat keuntungan hingga kos penyelenggaraan dan operasi asrama tidak mampu dibayar walaupun dengan hasil yuran daripada para pelajar.
''Unisel memang tidak mampu nak bayar hutang dan bayaran kos penyelenggaraan dan operasi asrama pula ada perjanjiannya.
''Antaranya kalau pelajar tidak duduk dalam asrama pun kena bayar yuran penuh dan kalau cuti pun kena bayar. Jadi yuran yang dibayar tidak cukup," katanya selepas merasmikan Program Tadarus dan Tadabbur Perdana Peringkat Negeri di Masjid Nurul Huda, Parit Mahang, Ijok di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Datuk Seri Noh Omar bahawa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induknya di Bestari Jaya dan operasi asrama universiti itu selama beberapa bulan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor itu turut mempersoalkan mengapa bayaran tersebut tidak dilangsaikan sedangkan yuran daripada pelajar sudah dikutip oleh pihak Unisel.
Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak bank dan sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi untuk mengambil alih hutang universiti itu.
Beliau memberitahu, pihaknya akan meneliti bayaran tertunggak dengan pihak JNSB dan melunaskannya mengikut undang-undang.
Mengenai laporan audit Unisel, Abdul Khalid berkata, ia akan didedahkan selepas disemak semula oleh pihak akauntan yang dilantik.
Juragan Malawati..
Hudud bukan agenda pakatan pembangkang?
Akhirnya, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan Tantawi mengaku bahawa hudud bukan agenda pakatan pembangkang. Isunya memang DAP dan PKR tidak berminat dengan negara Islam dan hudud. Tidak patut berbangkit isu itu dalam debat Fathul Bari Mat Jahaya - Nasrudin yang seolah-olah DAP sudah mula memahaminya.
Kecuali Nasrudin ingin melunakkan hati penonton debat seolah-olah usaha Pas cuba memahamkan DAP mengenai negara Islam dan hudud semacam diterima yang disiarkan dalam laman sosial Facebooknya.
Tambah Nasrudin: "Paksi perjuangan Pas adalah Islam dan hudud itu sebahagian darinya". Memperjuangkan Islam dan hudud bukanlah suatu masalah. Tetapi ia menjadi masalah selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang. Kalau begitu apa lagi pertimbangan Pas berada dalam pakatan pembangkang.
Kalau pertimbangan kuasa, apakah selepas dapat kuasa - negara Islam boleh ditegakkan dan hudud dapat dilaksanakan. Sudah pasti tidak kerana Buku Jingga tidak menyatakan demikian dan DAP akan menentang habis-habisan. Kalau begitu apa yang Pas tunggu lagi.
Kata Nasrudin lagi: "Secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk Pas menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara persendirian".
Alhamdulillah Nasrudin mula memahami. Tetapi ketidakyakinan terhadap pakatan pembangkang dan kebencian yang teramat sangat kepada UMNO tidak mungkin menyebabkan Pas memerintah Malaysia.
Kebencian terhadap UMNO atas alasan Pas pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu menyertai kerajaan campuran dulu boleh dipertikaikan. Apakah memang sengaja UMNO menyingkir Pas atau gelagat Pas dalam kerajaan campuran menyebabkan Pas yang tidak pandai membawa diri tersingkir.
Lalu Pas menghentam UMNO habis-habisan sehingga dikaitkan UMNO sebagai kafir, asabiyah jahiliyah, nasionalis dan bermacam-macam gelaran yang hodoh dan yang terakhir ialah UMNO tolak Islam.
Kalau dibahas secara ilmiah dan mengikut kaedah syarak semua kenyataan hodoh itu boleh dipertikai.
Tetapi kerana politik nafsul amarah yang tinggi menyebabkan amat sukar untuk Pas memulakan muzakarah walaupun mereka tahu UMNO tidak menyebut perjuangan ke arah Negara Islam, tetapi kerajaan yang ditunjangi UMNO banyak membuat kerja-kerja Islam baik dalam pendidikan, kewangan, ekonomi, sosial, pembangunan negara, undang-undang atau syariat. Ini tidak boleh dinafikan oleh Pas.
Pas takut ia akan dituduh menjilat ludahnya apabila mahu berkawan dengan UMNO balik. Dengan pakatan pembangkang, Pas tidak boleh pergi jauh dengan UMNO pula masih berjauh hati. Ke mana akhirnya Pas?
Tirulah pendekatan Ikhwan Muslimin Mesir. Dalam membentuk sebuah kerajaan, ia sanggup bekerjasama dengan pihak lain hatta kelompok nasionalis pun. Apa lebihnya Pas di Malaysia tidak mahu bekerjasama dengan UMNO yang dikatakan parti nasionalis.
Kalau alasan Pas mengungkit isu tersingkir daripada kerajaan campuran dulu tidaklah sampai berperang dan berbunuh-bunuhan.
Perhatikan Hamas dan PLO yang pernah berperang dan berbunuh-bunuhan dengan jiwa besar dan politik matang sanggup melupakan sengketa lalu dan bersatu demi perjuangan orang Palestin.
Mengapa Pas tidak mencontohi Ikhwan Mesir, Hamas-PLO dalam hubungannya dengan UMNO. Sebaliknya kenyataan Nasrudin menambah bahawa UMNO perlu menyerahkan semua kerusinya kepada Pas atau paling tidak bersama menyertai parti itu.
Ini adalah kenyataan yang sangat naif sebagai ahli politik. Kewujudan UMNO dalam konteks Barisan Nasional adalah suatu entiti yang sudah memerintah lebih setengah abad. Melainkan Nasrudin berpendapat bahawa orang UMNO tidak Islam.
Kalau Nasrudin masih merasakan UMNO didukung oleh orang Islam, tidak ada sebab muzakarah tidak boleh berlangsung.
Dengan orang bukan Islam tahalluf siasi atau kerjasama politik boleh berlaku, apa masalahnya dengan orang seagama dan seakidah. Buruk sangatkah orang Melayu dalam UMNO sehingga ditanggapi lebih teruk daripada orang kafir.
Nasrudin sebagai orang yang ada pelajaran patut faham mengenai fenomena umat Melayu di Malaysia kalau mereka berpecah. Berjiwa besarlah sedikit supaya ukhuwah Islamiah dapat dicetuskan kembali dan usaha merapatkan jurang dirintis semula.
Kalau ini tidak berlaku, senario politik Malaysia bakal menepati maksud pepatah menang sorak kampung tergadai, sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna, menang jadi abu kalah jadi arang.
Umat Melayu di Malaysia selalu penulis ibaratkan seperti pelanduk dengan jerat. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.
Ambillah semangat Ramadan dan Hari Raya Fitrah ini untuk membangunkan jiwa muttaqeen yang antara lain menghidupkan ukhuwah Islamiah sesama umat seagama dan seakidah demi masa depan.
Juragan Malawati..
Ahad, 5 Ogos 2012
Unisel didakwa berhutang RM15 juta?
Universiti Selangor (Unisel) didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tunggakan bayaran itu melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor tersebut.
Saya difahamkan Unisel sudah mengutip yuran daripada pelajar, tetapi kenapa tidak bayar kepada kontraktor (JNSB)? Mana pergi duit itu? Apabila tidak bayar selama beberapa bulan dan jika kontraktor tutup asrama, yang jadi mangsa ialah pelajar.
Ini jelas menunjukkan kelemahan kerajaan negeri Selangor, nak urus Unisel pun tidak reti, macam mana nak urus negeri. Menteri Besar Selangor dan Unisel kena jawab perkara ini, kalau benar-benar ikhlas, bayarlah hutang kontraktor dan jangan susahkan pelajar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Agrobank berjumlah RM170,087.43 kepada Lembaga Zakat Selangor di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noh mengulangi cabarannya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar mendedahkan laporan kewangan Unisel yang gagal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Bahagian Residen Komuniti JNSB Noor Ashikeen Mohd. Stap ketika dihubungi menjelaskan tindakan menutup pejabat pengurusan asrama ketika sesi pendaftaran bermula adalah disebabkan pekerja syarikat itu tidak menerima gaji dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan urusan seharian.
Beliau berkata, JNSB tidak berniat menimbulkan masalah dan meminta semua pihak memahami beban yang ditanggung syarikat itu berikutan tiada bayaran untuk melangsaikan gaji pekerja, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.
Memang ramai yang seolah-olah menyalahkan JNSB, tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Unisel gagal melangsaikan tunggakan bayaran yuran penyelenggaraan bagi tempoh 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan JNSB untuk tempoh lapan bulan.
Memang penuntut sudah membayar yuran asrama kepada Unisel, tetapi bayaran itu tidak sampai ke tangan JNSB, menyebabkan insiden ini berlaku," katanya.
Noor Ashikeen berkata, apabila masalah itu dibawa kepada pihak atasan JNSB, mereka tidak dapat memberi jaminan berhubung pembayaran gaji yang boleh dibuat dan beliau difahamkan sehingga kini, masih tiada perbincangan antara Unisel dan JNSB bagi mengatasi masalah tersebut.
Pihak pengurusan Unisel mengambil sikap mendiamkan diri menyebabkan kami kian tertekan dan keadaan itu menuntut kami untuk bercuti. Memang diakui sebelum ini, masalah yang sama turut berlaku sehingga pekerja gagal menerima gaji untuk tempoh dua bulan, namun akhirnya dibayar secara berperingkat.
Namun kini, kesabaran kami sudah sampai ke kemuncaknya dan apabila tiada jalan penyelesaian diambil, kami terpaksa menutup pejabat dan menunggu keputusan yang dibuat pihak atasan JNSB dan Unisel," katanya. - BERNAMA
Juragan Malawati..
Jumaat, 3 Ogos 2012
Pusat urut: Selangor wajar bertindak?
Kebanjiran pusat urut dan hiburan haram di Selangor wajar dipandang serius semua pihak berwajib terutamanya kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor selaku pentadbir negeri.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, selain menghalang pusat urut dan hiburan haram itu beroperasi, pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa sehingga menyebabkan aktiviti tersebut berleluasa juga perlu disiasat dan dikenakan tindakan.
Katanya, penyelewengan atau salah guna kuasa itu kemungkinan besar berlaku ekoran tinjauan persatuan tersebut yang melihat banyak pusat-pusat berkenaan beroperasi termasuk di lokasi yang tidak sewajarnya.
Apa yang dibimbangi ialah jika ada pihak atau individu yang menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan lesen operasi sewenang-wenangnya serta melindungi pusat-pusat ini.
Pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kekhuatiran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai lambakan pusat urut dan hiburan di Selangor yang mendesak ia ditangani segera memandangkan kewujudannya dilihat tidak sesuai kerana berhampiran dengan kawasan perumahan dan masjid.
Menurut Saharuddin, sekiranya perkara itu tidak ditangani segera gejala sosial dalam masyarakat dibimbangi menjadi lebih serius terutama di kalangan golongan remaja.
Selain pusat urut, hiburan dan snuker, kafe siber juga wajar dipantau kerana ia menjadi punca pelajar ponteng sekolah dan terjebak dengan aktiviti judi komputer," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling, Ismail Aziz berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jabatan agama bagi membanteras kewujudan pusat-pusat hiburan haram tersebut.
Juragan Malawati..
Khamis, 2 Ogos 2012
Mat Sabu kata Pas pastikan Selangor kekal?
Pas menghormati kajian dilakukan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) berhubung ramalan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dan akan berusaha lebih kuat untuk mempertahankan Selangor daripada ditawan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya juga telah membuat kajian sendiri dan mendapati Selangor mempunyai daftar pemilih yang meragukan.
"Disebabkan daftar pemilih ini, kami akan cuba sedaya upaya dan yakin rakyat di Selangor tetap sokong Pakatan Rakyat (PR)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kajian salah seorang anggota MPN, Prof Dr Mansor Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati BN akan merampas Selangor, PR akan kekal di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dalam PRU13.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali tegaskan kajian MPN itu tidak menggambarkan keseluruhan keputusan sebenar PRU13.
Menurutnya, PR juga membuat kajian yang sama dan mendapati beberapa negeri di bawah pemerintahan BN akan ditawan oleh PR.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan negeri-negeri itu kerana bimbang akan diketahui pihak lawan. Mustafa turut setuju pengundi di Selangor kini dilimpahi rakyat Sabah yang didaftarkan sebagai pengundi di Selangor.
"Ini merupakan strategi BN tawan semula Selangor. Kami juga yakin rakyat Selangor tetap memberi sokongan padu kepada PR," katanya.
Juragan Malawati..
Langgan:
Catatan (Atom)









