UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 12 September 2011

Surat terbuka untuk Mat Sabu!

Gambar anggota polis dan petikan berita serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.


Sebagai rakyat yang cintakan negara, kami sanggup mempertaruhkan nyawa dan darah.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat (YB), kami adalah bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) 1/72 yang berkhidmat di Sarawak sejak tahun 1972 hingga 1981 yang ditempatkan di Batalion 14, Batalion 15 dan Batalion 16. Kemudian di Sabah iaitu Batalion 17 dan Batalion 18.

Apakah Mat Sabu menidakkan perjuangan kami yang telah mengorbankan nyawa dan kecederaan tubuh badan sehingga kekal ke hari ini? Termasuk memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan yang gugur dalam mempertahankan negara seperti mana peristiwa berdarah di Bukit Kepong?

Tahukah Mat Sabu bahawa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang di bawah pentadbiran OCPD Khalid Dato’ Kelana Putra dan Supritendan H.M. Strenthen pada 23 Februari 1950 adalah satu sejarah perjuangan murni rakyat yang cintakan negara.

Mereka sanggup berjuang sehingga ketitisan darah terakhir demi kedaulatan dan maruah negara.

Peristiwa Bukit Kepong adalah tragedi pilu bermandi darah dan air mata yang mengorbankan 26 nyawa terdiri daripada 19 anggota polis, 2 orang isteri dan 2 orang kanak-kanak serta 2 orang awam.

Ingin diperingatkan kepada Mat Sabu iaitu tarikh tersebut adalah hari kedua Tahun Baru Cina. Seramai 180 orang komunis telah mengepong dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong dengan kekuatan hanya 18 anggota polis dan tiga sukarelawan diketuai oleh OCS Sarjan Jamil. Mereka berjuang hampir empat jam setengah mempertahankan diri, balai dan maruah.

Komunis bertindak ganas dan zalim dengan membakar berek dan balai polis. Terdapat di sana sini mayat anggota polis bergelimpangan dengan keadaan yang mengerikan. Tubuh badan mereka hangus terbakar. Sia-siakah pengorbanan mereka wahai YB?

Dalam usaha banyak pihak termasuk bekas pejuang lampau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta keamanan yang tampil dengan laporan polis, maka di sini disenaraikan mereka yang gugur dalam kekejaman komunis, biar Mat Sabu tidak terus mencarut dan celupar mulut melukai hati kami dan waris yang terkorban.

1. SJN 3493 JAMIL MOHD SHAH

2. KPL 7068 MOHD. YASSIN WAHAB

3. KPL 7186 JIDIN OMAR

4. KON 9136 HASSAN OSMAN

5. KON 5674 ABU MOHD. ALI

6. KON 3933 HAMZAH AHMAD

7. KON LAUT 60 IBRAHIM ADAM

8. KON LAUT 68 AWANG ALI

9. KON LAUT 181 BASIRON ADAM

10. KON 7493 MUHAMMAD @ AHMAD JAAFAR

11. KON 7862 ABDUL KADIR JUSOH

12. KON 8600 JAAFAR HASSAN

13. EPC 3795 JAAFAR ARSHAD

14. EPC 3475 MOHD. TOP LAZIM

15. AP 2130 SAMAD YATIM

16. AP 1912 MAHMUD SAAT

17. AP 1925 ALI AKOB

18. AP 2098 REDZUAN ALIAS

19. AP 2127 OTHMAN YAHYA

KELUARGA POLIS TERKORBAN

20. FATIMAH YAABA - Isteri

21. HASSAN ABU BAKAR - Anak

22. SAADIAH - Isteri

23. ARAFAH YUSOFF - Isteri

24. SIMAH ABU BAKAR - Anak

ORANG KAMPUNG TERKORBAN

25. EMBONG LAZIM

26. KOH AH CHENG

Cuba Mat Sabu bawa bertenang, yang terkorban adalah anak bangsa dan sesama agama. Siapa lagi yang sanggup mempertahankan negara kalau bukan sebangsa Mat Sabu baik dulu, sekarang dan masa hadapan?

Bagaimanakah sekiranya di antara yang terbujur kaku itu adalah anak YB? Semua yang terkorban, mahupun waris tidak kenal siapa itu Mat Sabu.

Malah mereka juga tidak minta Mat Sabu melawat ke pusara atau mengalung bunga atau melawat mereka yang masih hidup. Cakap kasarnya, mereka tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mereka hanya pejuang di waktu itu demi kesejahteraan negara. Kenapa YB memperlekehkan dan memperlecehkan mereka yang berkorban dengan darah dan nyawa?

Mudah-mudahan selepas membaca surat terbuka ini, YB tidak terus mencemuh panjang ke atas pejuang lampau termasuk kami dan rakan-rakan seperjuangan yang meredah hutan belantara Sarawak dan Semenanjung sehingga Mat Sabu dapat menghirup udara bahagia dan hidup selesa hari ini.

Buatlah muhasabah diri. Jangan nanti sebab mulut badan binasa. Tidak mengejutkan jika semua bekas pejuang yang berselerak di segenap pelosok negara bangun dan bertindak. Tetapi kami tidak akan lakukan sebab kami masih waras. Masih boleh berfikir secara bijaksana.

Kepada semua pencinta keamanan dan kesejahteraan, tolong tepuk dada tanya diri sendiri. Inikah yang dikatakan jiwa pemimpin yang hendak kita sandarkan harapan? Jauh panggang dari api. Bertaubatlah wahai Mat Sabu!

Kami mohon kepada ALLAH S.W.T. semoga jiwa Mat Sabu tidak terus bercelaru. Jadilah pemimpin yang budiman dengan memohon maaf sebab tidak ada manusia yang sempurna. Pasti ada cacat celanya.

MAZLEE JAAFAR
Bekas PPH 1/72
Ras Com Sibu, Sarawak

Juragan Malawati..

Khamis, 8 September 2011

Mat Indera adalah militan PKM!

Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.

Beliau pada awalnya, seperti individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Bezanya, Mat Indera melibatkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.

Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.

Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.

Bagaimanapun Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.

Tindakannnya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan dengan para pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Kemuncak penglibatan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Fakta yang diperolehi daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.

Sebagai seorang daripada pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.

Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.

Sedangkan ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.

Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari 'Malayan Union' British sebelum itu.

Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan 'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.

Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.

Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.

Akhirnya Mat Indera telah berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.

Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.

Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.

Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Penulisan dan catatan tersebut adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang.

Oleh : DATUK ABDUL GHANI OTHMAN
Menteri Besar Johor

Juragan Malawati..

Selasa, 6 September 2011

Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas!

Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.

Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.

Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.

UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.

Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.














Oleh : DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM
Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia.

Juragan Malawati..

Isnin, 5 September 2011

Peguam Negara diminta bertindak ke atas Anwar!

Peguam Negara diminta mengambil tindakan ke atas Anwar Ibrahim yang secara terang-terangan memburukkan institusi kehakiman dan hakim perbicaraan di hadapan orang awam.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar bawah) berkata, kenyataan pembelaan Anwar yang dibuat dari kandang tertuduh dengan tidak bersumpah boleh disifatkan sebagai tuduhan melampau yang merupakan penghinaan terhadap mahkamah.

Katanya, dalam konteks undang-undang, perbuatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sebenarnya seperti menghina mahkamah serta mencabar kewibawaan hakim dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Sepatutnya, Peguam Negara harus ambil tindakan tegas dengan mengenakan tuduhan menghina mahkamah di mahkamah lain terhadap tindakan Anwar itu kerana ia boleh mencabar integriti dan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman Malaysia yang telah diamalkan sejak merdeka.

“Janganlah dibiarkan tindakan beliau itu sebagai contoh oleh tertuduh lain di mahkamah nanti. Adakah tindakan Anwar seperti menunjukkan imuniti beliau terhadap kes itu?” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas wawancara Mingguan Malaysia bersama peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang menyatakan kenyataan Anwar merupakan penghinaan mahkamah paling serius yang pernah diketahuinya.

Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara berkata, tindakan melampau itu secara tidak langsung akan menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda.

“Peguam Negara janganlah bertangguh dalam setiap tindakan agar mahkamah tidak dijadikan pentas untuk meraih sokongan politik.

“Anwar seperti ingin menggunakan mahkamah seperti pentas politik peribadi berbanding untuk mendapatkan kebenaran atas pertuduhan liwatnya. Pada hemat saya, perbuatan beliau itu mencabar prinsip rule of law dan kedaulatan undang-undang,” jelasnya.

Kata Irmohizam lagi, prinsip Rukun Negara mesti dipertahankan dan kedaulatan undang-undang mesti menjadi pegangan setiap warga Malaysia.

Sementara itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah walaupun memberi kenyataan di dalam mahkamah yang mendapat absolute privilege asalkan kenyataan itu termasuk dalam kategori mengaibkan mahkamah.

Juragan Malawati..

Mat Sabu - Fikiran kontot, tafsiran dangkal?

Setelah meneliti ucapan Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam YouTube. Memang beliau seorang tokoh penglipur lara politik yang sifatnya menghibur. Soal benar atau tidak fakta yang dibawanya, tidak diambil kira. Yang penting pendengar akan tidak kering gusi dengan gelak ketawa kerana cerita yang dibawanya.

Dalam menanggapi Mohd Indera yang bersubahat dengan komunis sebagai hero dan sebaliknya anggota polis yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong sebagai pengkhianat, terdapat elemen anarki yang tinggi dan tafsir yang songsang. Mana mungkin pendekatan membunuh manusia dianggap sebagai hero. Mana mungkin faham komunis yang tidak selari dengan Islam diletakkan dalam martabat tinggi.

Tidak ada alasan syarie atau syarak yang membolehkan perjuangan komunis diiktiraf sebagai perjuangan yang sah. Kafir harbi pun secara syarienya ada kedudukan dalam hukum fiqah Islam. Ini pula faham komunis yang menentang agama dan melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap orang lain.

Meneliti kecenderungan Mat Sabu dalam ucapannya itu, maka elemen-elemen radikal dan revolusioner amat nyata. Apakah Mat Sabu yang mengkagumi Revolusi Iran dan Imam Khomeini ingin membawa faham dan cara tersebut ke Malaysia. Sekiranya hal ini benar ia amat bahaya.

Semua orang Islam tahu faham komunis adalah bercanggah dengan Islam. Pendekatan komunis terhadap orang Islam di mana-mana amat zalim dan penuh dengan sejarah hitam. Atas rasional apa Mat Sabu mengangkat orang komunis sebagai wira sebenar. Komunisme dan pergerakan komunis mempunyai rangkaian di seluruh dunia dan bercita-cita menjadikan komunis suatu faham politik dan ingin menguasai dunia.

Apakah Mat Sabu pernah terbaca sejarah perjuangan Chandra Bosh di India memperjuangkan faham komunisnya. Apakah Mat Sabu terlupa dengan Stalin dan Lenin di Rusia dan Mao Tse Tong di China semuanya ingin membawa faham komunis ke seluruh dunia. Tidakkah dengan mentafsir Mohd Indera sebagai hero menyebabkan Chandra Bosh, Stalin dan Lenin serta Mao Tse Tong juga dianggap sebagai hero antarabangsa.

Di sinilah kontotnya pemikiran Mat Sabu dan dangkal tafsirnya semata-mata niat politiknya untuk memenangi hati golongan tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kenyataan Mat Sabu itu adalah suatu penghinaan yang amat jijik kerana ia berlaku ketika umat Islam berada di sepuluh hari terakhir Ramadan yang besar ertinya dalam mengukuhkan akidah dan ibadah umat. Tiba-tiba lahir suatu kenyataan yang menyatakan komunis itu sebagai pejuang sebenar. Tidakkah kenyataan ini bercanggah dengan akidah tauhid kerana faham komunis bercanggah dengan Islam.

Kedua, ia berlaku pada saat Malaysia sedang menghadapi ulang tahun kemerdekaan. Kenyataan itu seolah-olah menafikan sama sekali pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan pasukan keselamatan negara bahawa mereka adalah pengkhianat bukan hero yang sebenarnya.

Saya percaya tidak semua orang Cina atau Melayu atau India yang percaya kepada faham dan perjuangan komunis. Pengalaman menentang komunis di Malaya (kemudian Malaysia) adalah perjuangan semua pihak khususnya orang Melayu yang beragama Islam. Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh orang Melayu tidak saja pada zaman penjajah tetapi selepas merdeka dalam menentang angkara komunis di Malaysia.

Kalau zaman penjajah Mat Sabu mengatakan polis dan tentera adalah alat penjajah. Kalau selepas merdeka dan komunis masih ada - mereka itu alat siapa pula?

Mat Sabu akan menjawab mereka alat kepada kerajaan. Maksud Mat Sabu ialah mengajak orang ramai menentang kerajaan atau menentang UMNO. Inilah inti penglipur lara Mat Sabu sebenarnya. Tetapi mengapa nak bandingkan dengan komunis. Apakah sampai begitu kebenciannya terhadap kerajaan dan UMNO?

Apakah tidak cukup dengan label-label taghut, kafir, sekular, liberal sehingga perlu dilabel komunis pula kerana pada hemat Mat Sabu, komunis adalah hero dan orang lain adalah pengkhianat.

Kalau Mat Sabu berjaya menumbangkan kerajaan yang ada kerana mereka adalah pengkhianat, apakah Mat Sabu bila memerintah nanti akan mendukung faham komunis kerana mereka adalah hero dan bagaimana pula dengan perjuangan Islamnya sekian lama.

Mat Sabu harus mampu meneliti jejak-jejak sejarah secara waras. Mat Sabu mungkin tak pernah dengar kisah kekosongan sewaktu Jepun menyerah kalah selama 13 hari sebelum pentadbiran Tentera British sampai dari India. Ramai orang Melayu dibunuh dengan kejam dan komunis secara paksa cuba menguasai tempat-tempat strategik dalam negara ini.

Kedatangan Jepun ke Malaya sebenarnya ingin menentang penjajah British juga disamping membawa kesedaran baru "Asia untuk Orang Asia." Apakah Jepun juga boleh dianggap sebagai hero kerana Jepun menentang British dan melakukan kezaliman yang luar biasa terhadap masyarakat Tanah Melayu khususnya orang Islam.

Oleh itu pandangan Mat Sabu terhadap isu ini amat dangkal dan tafsirannya amat cetek sekali. Saya katakan begitu kerana Mat Sabu tidak meletakkan sejarah dan tafsirannya dalam perspektif yang betul. Datuk Sagor, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain dalam buku-buku teks sejarah Malaysia dilihat sebagai pejuang. Sumbangan tokoh-tokoh ini dan yang seumpamanya diletakkan dalam perspektif yang betul.

Begitu juga banyak kajian ilmiah dibuat terhadap Abu Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan lain-lainnya mempunyai sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan seperti juga peranan yang dimainkan oleh Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Malah tokoh seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan ada juga peranannya dalam perjuangan kemerdekaan. Sejarah adalah cerminan kisah silam dan boleh diberi dengan pelbagai tafsiran. Tetapi tafsiran biarlah munasabah dan tidak mengambil pendekatan yang ekstrem.

Yang hairannya kenyataan Mat Sabu itu tidak diberi reaksi oleh pemimipin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Karpal Singh ada membuat kenyataan yang tidak bersetuju dengan Mat Sabu. Apakah dengan Pas dan PKR mendiamkan diri itu menyatakan dua perkara. Pertama, bersetuju dengan kenyataan Mat Sabu itu atau kedua, tidak bersetuju tetapi tidak mahu berbeza dengan Mat Sabu dibimbangi ia sesuatu yang tidak bijaksana.

Yang pastinya bekas-bekas anggota polis dan tentera dalam Pas akan merasa tidak senang dengan kenyataan Mat Sabu itu. Ia tidak baik bagi Pas dan PKR. Orang bukan Melayu pun saya fikir tidak berasa selesa dengan kenyataan Mat Sabu itu. Sebahagian besar orang Cina senang dengan sistem kapitalis laizzerfaire atau pasaran bebas yang bercanggah dengan sistem komunis. Apakah kenyataan Mat Sabu itu menemui nasib seperti kata pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran."

Mat Sabu kena faham bahawa orang Malaysia tidaklah sebodoh yang beliau sangka. Sebahagian besar orang Malaysia ada ilmu dan sebahagiannya lagi adalah pengamat kritis tetapi ada etika dan tanggungjawab. Sekiranya Mat Sabu membuat justifikasi yang cetek dan dangkal dalam analisisnya, ia memperlihatkan integriti yang rendah terhadap pemimpin nombor dua Pas itu.

Dan sekiranya pendapat Mat Sabu dianggap benar maka seluruh tradisi akademik atau pun ilmiah dianggap tidak mempunyai nilai apa-apa. Dan sekiranya seluruh tafsiran sejarah akan diubah apabila Mat Sabu dan seketunya berkuasa nanti (minta dijauhkan Allah) perjalanan sejarah akan menjadi kacau dan perspektif perjuangan komunis dianggap sesuatu yang unggul - pastinya bercanggah dengan Islam itu sendiri.

Apakah ini membawa petanda Mat Sabu dan kawan-kawannya akan bertukar ke arah konsep negara berkebajikan kepada liberal, pluralis, sosialis dan komunis?-UM.

Juragan Malawati..

Sabtu, 3 September 2011

Noramfaizul dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UPM!

Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini, esok.

Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah, berkata, jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor, bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata, sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jenazah akan dimandi, dikapan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.

Rahman memberitahu permberita jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan. Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat C-130 TUDM bersama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi Ahad.

“Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1Malaysia) kepada kaum keluarga arwah, bermula di Subang sehingga disemadikan,” kata Rahman.

Sebelum itu : "Saya reda atas pemergiannya" - Isteri Allahyarham Noramfaizul

Norazrina Jaafar, isteri kepada jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia reda dengan pemergian Allahyarham.

"Saya reda terhadap kehilangan Allahyarham, Ia adalah qada dan qadar Allah S.W.T. Saya menerimanya,” katanya di sini.

Inilah saat dan detik yang dirakamkan sewaktu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menjamah juadah berbuka puasa dalam pesawat TUDM Charlie C130 sewaktu berangkat ke Somalia 28 Ogos yang lalu…

Noramfaizul, 39, meninggal dunia pada 11 malam (waktu Malaysia) hari Jumaat setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu.

Norazrina, 37, berkata, suaminya pernah mengikuti beberapa tugasan yang berisiko tinggi sebelum ini dengan Allahyarham menganggap ia adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai jurukamera berita.

"Sebelum ini, Allahyarham turut mengikuti penghantaran misi bantuan kemanusiaan di kawasan gempa bumi di New Zealand. Tugasan dianggapnya sebagai arahan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Rakan karib Allahyarham, Ahmad Azmai Awang yang juga Ketua Jurukamera BernamaTV berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai tragedi itu, beliau terus menghubungi isteri Allahyarham semalam.

Beliau berkata, Noramfaizul merupakan jurukamera yang berdedikasi serta berpengalaman luas membuat liputan di beberapa kawasan konflik dan bencana dunia seperti di Gaza, Pakistan dan New Zealand.

"Tahun ini merupakan kali kedua Allahyarham tidak dapat berhari raya bersama keluarganya kerana tahun lepas beliau turut membuat liputan misi kemanusiaan di Pakistan,” katanya.

Ahmad Azmai yang mula mengenali Allahyarham sejak awal 90-an menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat ceria dan memiliki komitmen yang tinggi terhadap tugas yang amat diminatinya sebagai jurukamera.

"Beliau adalah seorang yang amat ceria, walaupun ketika menghadapi masalah tetapi beliau akan tetap ceria seolah-olah tiada masalah. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan setugasnya,” katanya.

Sementara itu : Anak Noramfaizul akan diurus kerajaan - Shahrizat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menguruskan perbelanjaan anak-anak Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia akan dibuat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu meringankan beban keluarga Noramfaizul.

"Saya difahamkan Allahyarham adalah anak lelaki tunggal serta soleh dan merupakan seorang petugas yang begitu baik sekali di Bernama, bagi pihak kerajaan saya nak maklumkan bahawa kami akan menghulurkan bantuan.

"Buat masa ini kami akan membantu persekolahan anak-anaknya iaitu akan mengambil alih perbelanjaan mereka nanti, dan pihak YKN juga akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk persekolahan anak-anaknya,” katanya kepada pemberita ketika melawat rumah keluarga Noramfaizul di sini, hari ini. Noramfaizul meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki — Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Juragan Malawati..

Jumaat, 2 September 2011

Abdul Khalid diingatkan tidak buat kenyataan jejaskan perpaduan!

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini sehingga menimbulkan perasaan prejudis di kalangan umat Islam.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kenyataan yang dibuat Abdul Khalid bahawa berlaku banyak salah faham di kalangan umat Islam terhadap penganut bukan Islam telah memburukkan imej muslim di negera ini.

Katanya, negara telah merdeka selama 54 tahun dan sepanjang tempoh tersebut, penganut agama Islam dan juga penganut bukan Islam hidup bagaikan sebuah keluarga yang bahagia.

“Mengapa beliau perlu membuat kenyataan tersebut. Ia seolah-olah memburukkan imej umat Islam di negara ini sedangkan kita (orang Islam) tidak pernah berfikiran seperti itu.

“Ia merupakan tindakan yang kurang cerdik. Ia hanya akan menimbulkan rasa prejudis di kalangan umat Islam, apa yang beliau sedang fikirkan.

“Tindakan beliau itu boleh memecah belahkan perpaduan, keamanan serta kesejahteraan yang dinikmati oleh penduduk negara ini yang terdiri daripada berbilang agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang mengulas kenyataan Abdul Khalid bahawa berlaku banyak salah faham di kalangan umat Islam terhadap penganut bukan Islam sehingga ramai muslim menganggap bukan Islam sebagai ancaman.

Juragan Malawati..