UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 12 Julai 2011

Mudahnya PAS lontarkan hukum!

Tidak keterlaluan jika dikatakan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh barisan kepimpinan Pas berhubung perhimpunan haram Bersih 2.0 sungguh memalukan kerana tahap keilmuan mereka bukan digunakan membawa kesejahteraan umat tetapi hanya satu tujuan iaitu politik.

Lihat sahaja kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, mereka secara terang-terangan mengaitkan perhimpunan haram Bersih itu sebagai satu tuntutan Islam atas nama ibadah dan perjuangan.

Malah dalam satu kenyataan Nik Abdul Aziz, beliau yang dianggap ulama paling hebat dalam Pas dengan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum zalim terhadap mereka yang menghalang perhimpunan itu dan perlu bersedia menerima pembalasan ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Bukan itu sahaja Nik Abdul Aziz menganggap para peserta perhimpunan haram itu ‘berjemaah dalam melakukan ibadat’ walaupun beliau sememangnya sedar bahawa himpunan seperti itu akan membawa lebih kemudaratan daripada kebaikan.

Dewan Ulama Pas melalui ketuanya, Harun juga tidak ketinggalan mengucapkan syabas dan tahniah terhadap mereka yang menyertai perhimpunan itu dengan menyifatkan mereka sebagai wira negara.

Begitulah pengiktirafan diberikan oleh ulama-ulama Pas dan pemimpinnya kepada mereka yang menyertai perhimpunan haram Bersih 2.0, Sabtu lalu. Persoalannya paling besar, adakah Islam membenarkan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan?

Adakah Rasulullah (SAW) memerintahkan umatnya melakukan perbuatan yang boleh memberi kemudaratan kepada agama?

Jawapannya sudah tentu tidak. Dalam isu ini mustahil Nik Abdul Aziz atau Harun Taib tidak tahu hukum menjaga keamanan negara dalam Islam. Adakah mereka sengaja menyembunyikan ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah agar Islam dilihat membenarkan perhimpunan haram itu diadakan?

Niat mereka hanya Allah sahaja yang mengetahui dan jika itulah nawaitu mereka, terimalah balasan setimpal daripada Allah SWT. Yang pasti, mereka tidak boleh berbohong dengan Allah. Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Mendengar dan Allah Maha Melihat.

Satu lagi persoalan adakah Malaysia ini boleh dikategorikan sebagai sebuah negara yang zalim hingga menyebabkan rakyatnya tertindas dan hidup menderita? Bagi mereka yang rasional dan berfikiran waras jawapannya sungguh mudah, sudah tentu tidak.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 112 : Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberi satu misalan: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebenarnya menggunakan agama hanya berlandaskan nafsu dan bukannya berasaskan hati yang tulus walaupun golongan itu terdiri daripada mereka digelar ulama. Mereka hanya mahu satu iaitu kuasa. Kuasa untuk memerintah Malaysia. Kuasa untuk menawan Putrajaya.

Oleh itu tidak hairanlah mereka sanggup bersekongkol dengan puak-puak yang sebelum ini terang-terangan menentang Islam demi mengejar kuasa tidak kira parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka sanggup bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang pendokong gerakan pluralisme di negara ini iaitu satu fahaman yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Siapa tidak kenal Karpal Singh, siapa tidak kenal Datuk S. Ambiga serta beberapa tokoh yang mendokong fahaman liberal Islam di dalam gabungan Bersih. Bukankah golongan ini kuat menentang Islam dan menyokong murtad? Bukankah murtad merupakan satu kesalahan paling besar di dalam Islam?

Begitu juga kecaman melampau mereka terhadap polis sehingga pasukan itu dilihat sebagai musuh yang perlu dihapuskan. Tidak terfikirkah ulama-ulama Pas ini, kira-kira 90 peratus pegawai dan anggota polis adalah di kalangan orang Islam.

Mereka bersaksikan tiada Tuhan melainkan Allah Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mereka bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan ibadat haji dan mereka menjalankan segala perintah yang diturunkan oleh Allah.

Sehubungan itu adakah wajar orang Islam menentang orang Islam lain hanya disebabkan terlalu setia dengan rakan mereka yang kafir dan seandainya berlaku kematian wajarkah si mati dikategorikan meninggal dalam keadaan baik?

Polis hanya menjalankan tugas bagi memastikan keamanan negara ini sentiasa terpelihara sekali gus menjamin kehidupan rakyat daripada diganggu oleh anasir-anasir jahat.

Mungkin ramai yang tidak tahu termasuk ulama-ulama Pas ini, sejak diumumkan perhimpunan haram itu oleh Ambiga, semua anggota polis di Kuala Lumpur dikehendaki berada di tempat bertugas masing-masing tanpa kira hari dan waktu.

Malah ada satu kisah seorang pegawai polis dan keraninya terpaksa membawa seorang anak anggota mereka yang sedang bertugas ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana demam.

Ini hanya satu contoh bagaimana para anggota polis terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga walaupun anak mereka sakit disebabkan keangkuhan Bersih untuk meneruskan perhimpunan.

Itu belum dikira nasib para usahawan, peniaga kecil, pemandu teksi dan pengusaha pengangkutan awam yang mengalami kerugian sehingga dianggarkan mencecah RM100 juta pada hari perhimpunan diadakan.

Bukan itu sahaja mereka yang mengadakan majlis perkahwinan di sekitar ibu kota pada hari berkenaan turut terkena kesannya apabila ramai tetamu tidak dapat hadir. Sebenarnya, perbuatan mereka yang menganjurkan perhimpunan itu lebih zalim lagi.

Selain menimbulkan huru hara dan kekacauan sikap buruk mereka telah menyebabkan kerugian kepada banyak pihak. Mengulas isu tersebut Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Ali Sarbini menegaskan Islam menegah sekeras-kerasnya umatnya menyertai sebarang aktiviti yang boleh mengundang kemudaratan.

“Kita harus menghargai apa yang kita ada sekarang ini iaitu nikmat keamanan dan rezeki melimpah ruah yang tidak terdapat di tempat lain. Oleh itu wajib ke atas kita menjaga keamanan walau siapa pun kita,” katanya.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula berkata, setiap perbuatan yang dikira sebagai ibadah hanya bergantung kepada niat yang ikhlas tanpa menyusahkan orang lain.

“Saya harap Pas mengeluarkan pandangan dari hati berlandaskan ilmu agama dan meletakkan kebenaran di atas kepentingan politik. “Saya amat kecewa kerana saya fikir biarlah pandangan kita tidak terbawa-bawa dengan agenda politik tanpa memikirkan kepentingan rakyat,” katanya.

Fikir-fikirkan lah..wallahuallam.

Juragan Malawati..

Politik melampau Anwar OmeGAY!

Pada 1998, Anwar Ibrahim yang dipecat daripada kerajaan dan UMNO telah berjaya menggerakkan ribuan orang untuk mengadakan demonstrasi bagi membela dirinya yang kononnya teraniaya.

Hasilnya, pada 1999 apabila pilihan raya umum diadakan Barisan Nasional (BN) dan UMNO mengalami tamparan hebat apabila Pas berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu. Selepas itu, arena politik negara kembali tenang memandangkan mulai tahun 1999 hingga 2004 Anwar sedang menjalani hukuman penjara.

Ketika itu tiada mana-mana pemimpin pembangkang sama ada dari DAP mahupun Pas yang mahu menjadi 'batu api' menghasut rakyat menentang kerajaan. Mereka sendiri pun tiada keupayaan apatah lagi selepas BN menang besar pada tahun 2004. Bagaimanapun segala ketenangan itu hanya sementara, arena politik negara kembali panas apabila Anwar dilepaskan daripada kurungan.

Mulai 2005, Anwar mula mengatur strategi untuk menumbangkan kerajaan BN dan Anwar berjaya 'memperkudakan' pemimpin serta ahli Pas untuk turun ke jalanan pada 2007 untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan adil.

Kebijaksanaan Anwar memanipulasikan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan negara pada masa itu berjaya 'menyumbang' kejayaan besar kepada pembangkang apabila mereka menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, mempertahankan Pas di Kelantan dan menjadi kerajaan di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Namun kemenangan itu masih tidak mencukupi bagi Anwar kerana impiannya menjadi Perdana Menteri belum tercapai. Oleh itu beberapa hari selepas pilihan raya umum 2008, Anwar menguar-uarkan bahawa pembangkang akan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang berikutan adanya Ahli Parlimen BN yang akan menyertai mereka.

Maka bergembiralah pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Pas kerana pada tanggal 16 September 2008 seperti mana dijanjikan oleh Anwar, mereka akan menjadi kerajaan. Ada di kalangan mereka sudah bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet sehingga mengubah cara penampilan termasuk di Dewan Rakyat. Ketika pemimpin pembangkang terus berkhayal, negara pula berada dalam keadaan tidak stabil.

Janji 16 September telah menggugat bukan sahaja kehidupan rakyat tetapi juga ekonomi negara. Ramai pelabur asing melihat kestabilan politik Malaysia semakin tergugat. Anwar tidak peduli, yang penting beliau menjadi Perdana Menteri. Tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan pembangkang bukan sahaja gagal ke Putrajaya malahan Anwar berhadapan dengan tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bukhari Azlan.

Berdasarkan kepada catatan berkenaan, jelaslah Anwar adalah ahli politik yang cukup melampau dalam segala tindakannya. Keghairahan dan kerakusan untuk menjadi Perdana Menteri telah memungkinkan Anwar bersedia menggadaikan segala-galanya termasuklah hak orang Melayu dan agama Islam sekali pun.

Malahan keselamatan dan ketenteraman negara pun sanggup dipertaruhkan oleh Anwar demi impian politiknya. Apa yang berlaku pada Sabtu lalu sekali lagi menjadi bukti kerakusan nafsu politik Anwar.

Tetapi malangnya masih ramai yang menyokongnya, Anwar menerima sokongan padu daripada DAP dan sentiasa dilihat benar oleh Pas biarpun terdapat banyak bukti menunjukkan Anwar terlibat dalam perbuatan yang bercanggah dengan Islam.

Anwar amat memahami kelemahan DAP dan Pas tetapi mengakui kekuatan mereka. DAP boleh dipergunakan untuk meraih sokongan masyarakat Cina manakala Pas untuk meraih sokongan orang Melayu.

Namun dalam masa yang sama, DAP juga mempergunakan Anwar sehingga memungkinkan mereka memerintah Pulau Pinang dan menambah kerusi di Parlimen, selain itu perjuangan Anwar juga selari dengan mereka iaitu Malaysian Malaysia.

Tetapi dalam hubungan antara Anwar dengan Pas, Ketua pembangkang itu sentiasa untung dulu, kini dan selamanya. Pas telah dipergunakan oleh Anwar sepenuhnya bagi memantapkan kedudukan politik beliau.

Anwar bukan sahaja berjaya mempengaruhi sebahagian besar pemimpin kanan Pas menyokong apa juga tindakannya, malahan dalam apa juga isu termasuklah rakaman video seks baru-baru ini, Anwar diselamatkan oleh Pas.

Kesemua pemimpin kanan Pas termasuklah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta ulama-ulama parti itu mempertahankan Anwar.

Mereka menganggap semua itu fitnah dan konspirasi UMNO biar pun pakar luar negara mengesahkan bahawa rakaman video berkenaan adalah tulen dan 99.9 peratus pelakunya menyerupai Anwar. Sebab itulah apabila Anwar turut berceramah mempertahankan dirinya, golongan yang paling ramai menyambut dan bersorak ialah ahli-ahli Pas.

Keadaan itu berlaku kerana Anwar yang disifatkan oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai anugerah Tuhan telah berjaya menanamkan politik kebencian di kalangan rakyat terutamanya orang Melayu yang ada di dalam PKR dan Pas.

Apabila kebencian sudah berjaya diterapkan, maka mudahlah Anwar melaksanakan agenda politiknya termasuklah juga mengarahkan ribuan penyokong Pas turun ke jalanan pada Sabtu lalu. Walaupun perhimpunan haram itu anjuran S.Ambiga atas nama Bersih namun semua itu adalah perancangan Anwar.

Anwar begitu berharap perhimpunan tersebut mencetuskan huru-hara sebab itulah beliau melakukan provokasi dalam twitternya pada hari itu kononnya ratusan ribu rakyat sedang berhimpun di Kuala Lumpur, walaupun hakikatnya tidak sampai 10,000 orang yang datang.

Politik kebencian, pembohongan, penipuan dan memutarkan belit fakta yang diamalkan oleh Anwar disokong oleh DAP dan Pas kerana mereka mahukan kuasa.

Dalam soal ini, bagi DAP dan Pas sudah tidak ada lagi pertimbangan sama ada Anwar bertindak benar atau tidak, apa yang penting Anwar adalah 'political animal' yang paling sempurna untuk membolehkan pembangkang mencapai kejayaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Anwar pun amat memahami keghairahan pemimpin DAP dan Pas tersebut, sebab itulah Anwar memiliki kekuatan luar biasa bagi berhadapan dengan BN, biar pun dirinya sendiri hakikatnya adalah insan yang paling tidak layak di muka bumi Allah ini untuk menjadi pemimpin.

Sememangnya, pendekatan politik melampau Anwar yang berlandaskan kepada 'matlamat menghalalkan cara' sudah banyak menyusahkan rakyat dan negara ini. Mungkin Wan Azizah berhak menyatakan suaminya itu anugerah Tuhan namun kita berhak menegaskan bahawa Anwar bukannya dianugerahkan untuk membahagiakan rakyat atau mensejahterakan negara.

Sebaliknya bagi membolehkan rakyat khususnya orang Melayu mengenali sifat sebenar seorang pemimpin yang sanggup melakukan pendustaan, penipuan, pembohongan, hasutan dan sandiwara demi memenuhi impian politiknya.- Itulah Anwar Ibrahim!

Juragan Malawati..

Ahad, 10 Julai 2011

Sah : Anwar petualang negara!

Anwar Ibrahim ialah petualang negara serta dalang sebenar terhadap segala kekecohan yang berlaku termasuk pada perhimpunan haram semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, perangai 'hodoh' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Menurut beliau, orang seperti Anwar tidak akan puas dan sanggup melakukan apa sahaja selagi nafsu dan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak tercapai.

"Beliau (Anwar) pelakon terbaik, ini perangai dulu dan sampai sekarang tidak pernah berubah. Dalam perhimpunan di Baling, saya kata kepada rakan-rakan sejak dari zaman ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein lagi, dia dah tipu dah.

"Pada 1974, ramai mati kebuluran dan Anwar buat demonstrasi di Kuala Lumpur, zaman Tun Hussien Onn pun buat juga, zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad buat juga, lepas itu berehat sementara, negara aman dan selepas keluar buat pula perhimpunan Bersih 1.0 pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini buat lagi dengan penganjuran Bersih 2.0.

"Bagi Anwar dialah manusia sebaik-baiknya, anugerah Tuhan... inilah jenis manusia yang sebenarnya kita berdepan dengan masalah yang berlaku semalam (Bersih 2.0). Hendak sangat jadi Perdana Menteri hingga sanggup korbankan apa saja termasuk mengetepikan prinsip, soal bangsa dan agama asalkan nafsunya tercapai," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penerangan Perdana bersama Perdana Menteri anjuran Ketua Penerangan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Perdana Menteri berkata, macam-macam cerita mengenai Anwar tetapi sehingga kini banyak yang tidak dijawab oleh Penasihat PKR itu termasuk yang terbaru mengenai jam tangan Omega.

"Dalam isu video seks, Anwar kerap menyatakan itu bukan beliau walaupun dua pakar forensik video Amerika Syarikat (AS) mengesahkan 99.9 peratus pelaku dalam video itu miripnya.

"Dulu, Anwar cerita dia kena racun arsenik, tidak cukup dengan itu, suntikan HIV pula. Bagi dia, kita (kerajaan) ini dari zaman dulu sampai sekarang, semuanya buruk dan dialah manusia yang sebaik-baiknya," katanya.

Najib berkata, dulu, Anwar pernah mengatakan Pas bodoh serta menghentam Penasihat DAP, Lim Kit Siang semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO, tetapi sekarang mereka kawan baik yang dipeluknya.

"Kini, dia (Anwar) lihat Barisan Nasional (BN) sudah begitu baik, banyak pilihan raya kecil kita menang, di Hulu Selangor, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Di Sarawak pun kita menang.

"Jadi, dia melihat semua itu, dengan pendekatan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan gagasan 1Malaysia yang semakin diterima rakyat, dia bimbang sekiranya tidak lakukan sesuatu BN akan menang pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau berkata, cara terbaik untuk menghadapi ancaman daripada orang seperti Anwar adalah dengan menggunakan kekuatan akal fikiran.





Lihatlah video KANTOI penipuan Anwar Omegay!!!



Cuba bandingkan gambar Omegay terlantar di hospital dengan gambar video penipuan beliau. Fikir-fikirkanlah..!!!

Juragan Malawati..

Jumaat, 8 Julai 2011

Berselindung di sebalik 9 Julai!

Sama ada perhimpunan haram Bersih menjadi kenyataan ataupun tidak hari ini, ada pihak yang sudah pasti merasa puas dan tersenyum simpul kerana matlamat tersembunyi mereka sedikit sebanyak telah tercapai.

Adalah meragukan sekali tujuan sebenar perhimpunan ini ialah untuk menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kononnya di atas ketidaktelusan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya di negara ini. Antara yang tersirat dan tersurat di hati pihak penganjur adalah jauh berbeza.

Jika dahulu setiap perhimpunan haram yang dirangka hanya popular di dalam blog pembangkang dan di tempat-tempat strategik melalui pemasangan kain rentang atau poster-poster di tembok-tembok. Namun, kini publisiti melampau diberikan kepada penganjuran kali ini sehinggakan seluruh negara menantikannya dengan penuh minat. Pihak penganjur hanya tersenyum puas tanpa perlu keluar belanja yang besar kecuali mencetak kemeja-T berwarna kuning.

Pastilah yang paling lebar senyumnya ialah Timbalan Presiden Pas serta Ketua Umum PKR. Walaupun mereka turut mengakui bahawa respons negatif terhadap penganjuran ini daripada kelompok masyarakat yang lebih besar, namun sekurang-kurangnya tumpuan berlebihan kepada isu ini telah berjaya memberhentikan seketika isu sebenar yang pembangkang hadapi.

Bukti kepada publisiti berlebihan ini termasuklah fokus yang diberikan oleh media massa arus perdana sama ada media cetak, elektronik dan juga media siber seperti Internet dan blog.

Tidak cukup dengan pendedahan tersebut, mereka juga popular dengan bantuan laporan polis yang melebihi 3,000 di seluruh negara sehinggakan semua pihak berminat membicarakan isu perhimpunan Bersih ini.

Tidak pernah masyarakat desa mengenali siapa dia S. Ambiga, bekas Presiden Majlis Guaman tersebut. Namun dengan adanya laporan polis yang bertali arus serta sepanduk-sepanduk serta penyebaran kemeja-T berwarna kuning, nama beliau secara mendadak mewarnai dunia politik negara.

Senyap seketika isu negara berkebajikan Pas. Senyap sebentar isu video klip pemimpin pembangkang. Sepi sedikit fokus tentang keputusan kes liwat di mahkamah pada minggu depan. Reda sedikit isu kekalahan golongan ulama dalam pemilihan barisan kepimpinan Pas. Hilang sebentar segala isu kepincangan pentadbiran pakatan pembangkang di beberapa negeri yang mereka perintah.

Pihak SPR telah mengendalikan 12 Pilihan Raya Umum (PRU) dan sejak itu sistem yang digunapakai sentiasa diperbaiki dari masa ke masa. Pihak pembangkang setelah setiap kali pilihan raya berakhir pastilah akan menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pihak SPR kerana itu merupakan antara alasan mudah kenapa rakyat menolak mereka.

Gambaran yang ingin dibentuk di pemikiran rakyat ialah bukan rakyat menolak mereka, sebaliknya mereka tewas disebabkan oleh penipuan pihak SPR yang kononnya menyebelahi pihak kerajaan. Benarkah begitu?

Jika benar SPR menyebelahi kerajaan, kenapa Pas boleh menang selama 22 tahun di Kelantan? Jika benar SPR jadi alat kerajaan, kenapa calon Pas dalam PRU-11 yang hanya menang dengan satu undi pun kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan, sedangkan mudah sangat pegawai SPR nak memusingkan keputusan tersebut. Mereka hanya perlu menelan dua helai kertas undi ke dalam perut mereka, maka keputusan akan berubah.

Jika SPR selamanya menyebelahi kerajaan, maka sudah tentu ketika Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN, kerajaannya mudah ditumbangkan dengan pelbagai cara. Namun semua itu tidak terjadi kerana SPR sememangnya sebuah badan bebas yang turut diiktiraf oleh seluruh dunia.

Di negara lain keputusan undi dan pemenang pada setiap kali pilihan raya hanya dapat diketahui berhari-hari, berminggu-minggu, malah ada yang berbulan-bulan, selepas habis waktu mengundi. Di negara ini paling lewat jam 3 pagi, rakyat sudah tahu siapa yang membentuk kerajaan. Sungguh hebat SPR walaupun mengendalikan lebih 13 juta pemilih.

Ada sebuah parti yang hebat di negara ini. Mengendalikan tak sampai 2,000 kertas undi, sesak nafas dan pemenang Timbalan Presiden gagal diisytiharkan walaupun berjam-jam setelah tamat masa mengundi. Itulah kehebatan Pas selama ini.

Kelemahan SPR seperti di negara-negara lain juga berlaku dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. SPR sentiasa mendengar maklum balas dan responsif terhadapnya. Lalu apa perlunya demonstrasi jalanan untuk mengajar SPR supaya berubah. Tidak cukupkah wakil pembangkang yang begitu ramai di Parlimen untuk membincangkan isu penting tersebut di sana.

Hari ini penganjur perhimpunan bukan sahaja mahu meneruskan agenda mereka, tetapi juga mereka sudah kelihatan bongkak, angkuh, besar kepala dan tidak mahu mendengar nasihat.

Bagi mereka segala kekalutan yang bakal terjadi kelak akibat perhimpunan tersebut akan diletakkan ke atas bahu pihak pemerintah dan mereka akan bersikap baling batu sembunyi tangan. Cara itu akan memudahkan mereka mencapai matlamat iaitu membuatkan orang ramai membenci pihak kerajaan.

Jika pun perhimpunan kali ini gagal, mereka akan meneruskan agenda dengan menguar-uarkan pula perhimpunan pada 9 Ogos, 9 September, 9 Oktober dan seterusnya. Mereka tidak akan berhenti sehingga PRU-13 kerana ini satu cara untuk rakyat melupakan segala kepincangan mereka dalam mentadbir negeri-negeri tertentu. Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Khamis, 7 Julai 2011

Bayangkan Mat Sabu sewa teksi dan pandu sendiri cari penumpang di Kuala Lumpur!

Membaca ruangan Selak pada hari Isnin (4 Julai lalu), saya tertarik untuk mengulasnya. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin atas kesejahteraan negaranya, saya juga terpanggil memberikan pandangan berkaitan.

Dua perkara yang perlu dititikberatkan iaitu kestabilan politik dan pemikiran kita. Jika merujuk kepada tulisan Hassan Mohd. Noor itu, kestabilan politik negara dalam keadaan goyah. Ia, memang tidak dapat dinafikan.

Cuba imbas pada 2007, tahun bermulanya demonstrasi jalanan. Setelah empat tahun, ia mahu diadakan lagi. Kalau terjadi, pastinya keadaan menjadi lebih teruk. Memang bahangnya sudah terasa. Sekatan jalan raya mahupun tangkapan sudah bermula. Jalan mula sesak. Adakah kami sebagai pemandu teksi suka keadaan ini? Mat Sabu hanya memikirkan tarikh demonstrasi tetapi pemandu teksi memikirkan nasib mereka pada hari tersebut. Kami sudah terasa kesan lebih awal.

Tidakkah anda terfikir bagaimana peritnya pemandu teksi mencari rezeki dalam keadaan sekatan jalan raya ketika itu atau berlaku pada setiap hari?

Saya syorkan Mat Sabu pergi sewa sebuah teksi dan pandu sendiri. Moga dengan cara itu dapat menginsafkan diri beliau tentang kehidupan sebagai seorang pemandu teksi di ibu negara. Alangkah malangnya kepada semua pemimpin di negara kita terutama dalam kalangan pihak pembangkang yang seolah-olah tidak belajar daripada kesilapan lalu.

Ulasan Mat Sabu perihal pemandu teksi dan peniaga yang akan mendapat manfaat daripada demonstrasi adalah sesuatu tidak dapat diterima akal. Beliau seolah-olah mahu menafikan perkara sebenar yang berlaku.

Dalam Islam pun tidak menyuruh umatnya berdolak-dalik dalam memberi kenyataan yang sebenar. Insaflah bahawa agama Islam itu bersih dan suci dalam segala aspek pergerakannya. Jangan kita kotorinya dengan berbagai-bagai alasan serta nama kita berikan, sedangkan Islam tidak menuntut umatnya melakukan sedemikian.

Nampaknya kestabilan fikiran manusia ketika ini banyak terganggu dengan perkara tidak sihat dibawa masuk dari luar negara. Sayanglah negara kita yang aman damai serta mendapat rezeki melimpah ruah hasil bumi dan pelancong luar. Mereka ke sini kerana negara kita aman damai dan rakyatnya hidup sejahtera serta berbudi bahasa.

Benarkah pemandu teksi mendapat manfaat daripada demonstrasi? Anda sebagai pembaca boleh menjawabnya sendiri.

Bagaimana pemimpin pembangkang mahu memimpin negara ini kalau kestabilan politik dan pemikiran dalam kalangan mereka tidak stabil serta tidak peka dengan keadaan sekeliling?

Mereka perlu memenangi hati rakyat sebelum boleh memenangi pilihan raya. Itulah juga yang sedang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berusaha dengan gigih untuk menjadikan negara ini diterima oleh semua lapisan masyarakat. Kematangan beliau dalam menangani isu semasa yang dilemparkan pembangkang, haruslah kita puji dan hormati.

Sebagai pemimpin negara, bukan mudah untuk kita gantikan dengan yang baru kerana rakyat melihat di hadapan mata mereka apa yang mereka dapat daripada pemimpin mereka. Pembangkang bukan sahaja tidak stabil dalam gaya berpolitik tetapi juga pemikiran. Tindakan yang melulu tanpa memikirkan kesannya menjadikan mereka tidak diterima ramai.

Demonstrasi adalah tindakan pengecut dan bacul. Ia tidak melambangkan kehendak rakyat seluruhnya. Ia hanyalah kehendak orang kecewa dalam politik. Jawapan Mat Sabu sendiri menunjukkan dia tidak belajar daripada kesilapan lalu.

Alangkah malangnya jika kita dapat pemimpin buta hati untuk mengenal sejarah, sedangkan pemikirannya sentiasa menjurus ke arah provokasi dan kempen jalanan. Cara ini tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Kenapa kita semua harus ikut? Fikirlah!

Oleh : PAK LONG
Pemandu teksi tua, Kuala Lumpur

Juragan Malawati..

Rabu, 6 Julai 2011

MCA pertikai tindakan Selangor salur RM15,000 kepada Bersih!

MCA Bahagian Ampang hari ini mempertikaikan tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalurkan dana RM15,000 kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baru-baru ini untuk mengadakan perhimpunan haram.

Ketuanya, Low Kim Mang berkata, tindakan Abdul Khalid menggunakan wang rakyat untuk kepentingan parti seolah-olah menggambarkan beliau seorang diktator. Menurutnya, wang yang disalurkan kepada pertubuhan haram itu seharusnya digunakan untuk membaik pulih masalah jalan dan perumahan di negeri tersebut.

"Duit rakyat seharusnya dipulangkan kepada rakyat, bukan digunakan untuk kepentingan politik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kim Mang turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang langsung tidak mempedulikan masalah penduduk Ampang. Katanya, masalah kehilangan penutup lubang longkang berhampiran Dewan Komuniti Pekan Ampang yang sudah berlarutan lebih sebulan, langsung tidak diendah.

Menurutnya, lubang besar seluas tayar kereta itu mengundang risiko kepada pengguna jalan raya terutama penghuni di sekitar kawasan tersebut. Tambahnya, keadaan itu juga membahayakan pemandu yang meletakkan kenderaan di tepi jalan berkenaan terutama pada waktu malam kerana lubang sukar dilihat ekoran kerosakan lampu jalan sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, melihat pada saiz lubang longkang yang terdedah itu, ia bukan sahaja boleh menyebabkan orang dewasa terjatuh ke dalamnya tetapi juga boleh mengakibatkan tayar kenderaan terperosok.

"Mereka yang sering ke kawasan itu mungkin mengetahui tentang ketiadaan penutup lubang longkang tetapi bagi mereka yang jarang ke situ, mereka berisiko untuk terjatuh ke dalam longkang," katanya.

Sehubungan itu, beberapa wakil penduduk berhimpun secara aman sambil menunjukkan risalah tertulis 'Jangan bersembunyi di belakang, datang depan dengar masalah rakyat, Ahli Majlis kamu di mana dan apakah kerajaan pembangkang sedar lubang ini boleh membahayakan nyawa'.

Kim Mang juga memberitahu, sudah tiga tahun pakatan pembangkang merampas Selangor tetapi penduduk tidak pernah melihat kelibat wakil rakyat dan ahli majlis kerajaan tempatan di kawasan tersebut.-UM.

Juragan Malawati..

Isnin, 4 Julai 2011

BERSIH 2.0 tidak perlu jumpa Agong!

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ambiga tidak perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan kata putus sama ada mahu meneruskan atau membatalkan perhimpunan haram pada Sabtu ini.

Seri Paduka dalam titah khas semalam dengan jelas menyatakan tidak memperkenankan demonstrasi jalanan diadakan oleh mana-mana pihak.

Sebagai seorang yang mempunyai pendidikan, Ambiga tidak seharusnya 'menyempitkan' pemikirannya apabila 'buat-buat tidak faham' dengan titah Tuanku Mizan itu. Sepatutnya beliau meneliti apa yang telah disampaikan dalam titah Seri Paduka itu.

Apa lagi yang dimahukan oleh Ambiga, lebih-lebih lagi apabila beliau mahu menghadap Seri Paduka untuk memutuskan sama ada akan mengadakan perhimpunan haram itu atau tidak.

Persoalannya, kenapa Ambiga mahu memanjangkan lagi isu perhimpunan haram ini dengan mengheret nama Tuanku Mizan sedangkan Seri Paduka jelas menyatakan ia lebih banyak membawa keburukan.

Tindakan Ambiga itu menunjukkan bekas Presiden Majlis Peguam itu seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara itu. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, Ambiga seharusnya mematuhi titah Seri Paduka yang merupakan institusi yang termaktub di bawah Perlembagaan negara.

Juragan Malawati..