UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 26 Jun 2014

Turun padang dengar keluh-kesah nelayan?

IRMOHIZAM Ibrahim (kiri) dan Azalina Othman Said (dua dari kiri) memerhatikan botol air mineral yang bergolek ke tepi disebabkan pembinaan lantai yang senget ketika melawat kawasan penempatan semula nelayan di Taman Bayu Damai, Pengerang, Johor, baru-baru ini.

"Rumah ini senget dan saya sendiri rasa pening," ujar Datuk Irmohizam Ibrahim sejurus keluar dari sebuah rumah di Taman Bayu Damai Pengerang, Johor, sambil diiringi Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Irmohizam yang baharu sembilan bulan dilantik Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam rangka lawatan dua hari ke Johor hujung minggu lalu meninjau beberapa kemajuan projek berkaitan nelayan dan agensi tersebut.

Aduan Azalina membawa beliau melawat projek penempatan semula rumah nelayan dari beberapa kampung di Pengerang ekoran pembinaan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Kedua-duanya sebelum itu berada di Kolej Profesional Mara, Bandar Penawar menyempurnakan majlis penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM200 seorang di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang.

Isu beberapa rumah yang tidak sempurna pembinaannya dan membimbangkan nelayan antara perkara dibangkitkan Azalina yang telah melawat projek tersebut beberapa kali. Rumah yang dilawati oleh Irmohizam dan Azalina itu milik seorang nelayan tradisional, Mengom Samsee,57, yang baru berpindah kira-kira sebulan lepas.

Mengom mendakwa keseluruhan rumahnya senget. Namun yang lebih membimbangkannya, sejak berpindah dia mendakwa kehilangan mata pencarian.

"Tidak tidak tahu apa nasib saya selepas ini, makin senangkah makin gelap kerana rumah pusaka pun sudah tidak ada," ujar­nya yang berasal dari Kampung Sungai Kapal dan telah menjadi nelayan sejak 30 tahun lalu.

Isu keadaan rumah tersebut amat meresahkan mereka yang terlibat terutama nelayan tradisional kerana sejumlah besar rumah yang dibina rosak dan tidak sesuai diduduki.

Difahamkan terdapat beberapa jenis rumah dibina di situ mengikut saiz dengan ma­sing-masing bernilai RM35,000, RM65,000, RM85,000 dan RM105,000 sebuah.

Azalina turut meminta Kerajaan Negeri Johor menyegerakan kelulusan pemberian tanah untuk membina Kompleks Pendaratan Ikan Bersepadu serta Benteng Pemecah Ombak melibatkan kos RM33 juta di kawasan Parlimennya itu.

Kompleks berkenaan berperanan sebagai lokasi pendaratan ikan dan aktiviti ekonomi PNK Pengerang untuk faedah masyarakat nelayan di situ. Malah Irmohizam bersedia menyediakan dana tambahan RM1 juta untuk membina sebuah stor penyimpanan selepas kompleks berkenaan siap kelak.

Cerita tersebut merupakan sebahagian masalah nelayan yang didengar oleh Irmohizam sejak menerajui LKIM, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang ditubuhkan pada 1971.

Matlamat asal penubuhan LKIM adalah me­ningkatkan taraf sosioekonomi nelayan dan kebajikan mereka menerusi penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang jumlahnya kini 86 buah dengan le­bih 94,000 nelayan berdaftar bernaung di bawahnya.

Anak jati Kampung Kuantan, Kuala Selangor ini melihat sendiri kepayahan masyarakat kampung membina hidup menjana ekonomi keluarga daripada sumber di sekitar mereka termasuk menjadi nelayan. Oleh itu sebaik sahaja menerajui LKIM, beliau tanpa berle­ngah menjelajah ke seluruh negara bertemu warga nelayan menerusi PNK.

"Mereka penting kerana tanpa nelayan turun ke laut, tidak akan ada ikan di darat," ujarnya mengakui peranan LKIM sangat besar.

Justeru menurutnya, menjadi kewajipan beliau ‘turun padang’ bagi memastikan program yang diperkenalkan kerajaan menerusi kementerian dan dana yang disalurkan benar-benar memberi makna kepada kumpulan sasar.

Industri perikanan negara kata beliau, berdepan cabaran kerana ramai menganggapnya sebagai industri yang suram sedang­kan peranan dan fungsinya amat besar dan berpotensi diperkasakan semula dengan strategi baharu termasuk memastikan pemasaran ikan menjadi satu industri yang berjaya.

"Kunjungan saya ke PNK adalah untuk menerangkan setiap dasar oleh pemimpin termasuk yang dibahaskan di Dewan Rak­ke peringkat akar umbi supaya mereka yakin dan percaya apa yang kita rancang. Pada masa sama saya menerima ilmu baharu mengenai peranan PNK dalam menjana ekonomi nelayan," katanya.

Kunjungan beliau ke beberapa projek perikanan LKIM menerusi PNK di sekitar Johor termasuk Pagoh, Batu Pahat dan meninjau pasar borong serta menyampaikan elaun sara hidup kepada nelayan di Pengerang, menghuraikan betapa pentingnya golongan itu terus dibela dan diperkasakan.

Antara khabar gembira yang beliau umumkan termasuk mewujudkan lima pasar nelayan di Johor membabitkan kos RM200,000 setiap satu bagi kawasan Su­ngai Rengit di Pengerang, Sungai Sedili, Sungai Balang (Muar), Sarang Buaya (Batu Pahat) dan Teluk Buih di Mersing. Kemudahan tersebut membolehkan nelayan memasarkan ikan terus kepada pembeli tanpa pembabitan orang tengah.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, sementara program dan perancangan melibatkan nelayan perlu diteruskan, aktiviti ekonomi dalam kalangan keluarga mereka juga perlu diwujudkan.

Beliau mahu apabila nelayan ke laut, anak dan isteri mereka mengusahakan projek ekonomi berkaitan termasuk berniaga atau terlibat dalam aktiviti pemasaran.

"Kita sering melihat nelayan ini hidup kais pagi makan pagi kerana terlalu bergantung kepada hasil tangkapan sedangkan banyak aktiviti ekonomi lain yang boleh disertai mereka atau keluarga," ujarnya.

Antaranya, akuakultur atau ternak air yang berpotensi membantu menjana pendapatan ekonomi keluarga dan pemasaran ikan menerusi Pasar Nelayan.

Menurutnya, projek akuakultur berpotensi diusahakan memandangkan kerajaan sedang memperkasa industri tersebut dengan sasaran pengeluaran hasil 50 peratus berbanding 20 peratus hasil perikanan menerusi sektor tersebut setakat ini.

"Pada 2020, akuakultur disasarkan menyumbang 50 peratus pengeluaran hasil perikanan dengan baki 50 peratus lagi daripada laut," ujarnya. Jumlah pendaratan ikan pada tahun lepas adalah 1.5 juta tan metrik.

Beliau mencadangkan beberapa insentif baharu untuk nelayan termasuk Insentif Pendaratan Ikan iaitu daripada 10 sen sekilogram ketika ini kepada 30 sen selain wang tersebut dibayar sebulan sekali berbanding setiap hari ketika ini.

"Kita berharap dengan sistem bayaran bulanan, nelayan boleh menabung untuk kegunaan masa depan atau diterjemahkan dalam bentuk pemilikan saham dalam PNK," ujarnya.

Sesuai dengan semangat beliau sebagai orang muda yang baru berusia 37 tahun, Irmohizam berhasrat meremajakan masyarakat nelayan dengan penubuhan Persatuan Belia Nelayan yang berfungsi sebagai agen pengkaderan, membentuk bakat dan pelapis pada masa akan datang.

Penubuhan persatuan tersebut katanya, jika menjadi kenyataan akan me­numpukan kepada penglibatan golongan muda dalam industri perikanan sesuai de­ngan penubuhan Unit Agropreneur Muda oleh kementerian terbabit.

"Saya melihat wujud cabaran dalam membentuk anak-anak nelayan menggantikan kerjaya bapa mereka. Sudah sampai masanya kita mendedahkan anak muda de­ngan teknologi dan teknik pemasaran ikan.

"Menerusi persatuan ini, kita akan menum­pukan kepada latihan kemahiran dan pembentukan sahsiah usahawan atau memasarkan produk," ujarnya.

Inisiatif mewujudkan persatuan tersebut masih di peringkat cadangan dan pihaknya telah melantik jawatankuasa penaja untuk melaksanakan kerja-kerja penerangan sebelum direalisasikan.

Apa yang penting katanya, persatuan tersebut boleh menjadi platform membim­bing nelayan dan usahawan perikanan muda sama ada menjadi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah dalam PNK di peringkat kawasan, negeri atau pusat. Sesungguhnya beberapa pendekatan baharu dan perancangan beliau sejak menerajui LKIM merupakan akujanjinya menghargai golongan nelayan di negara ini yang dianggap sebagai nyawa kepada rakyat.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan