UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 17 Mei 2012

Parasit Pas rela ulama diaibkan!



Sikap berdiam diri golongan parasit di dalam Pas berhubung komitmen barisan kepimpinan parti itu khususnya Dewan Ulama untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ditentang oleh sekutu mereka, DAP, hanya menunjukkan mereka lebih rela kepimpinan ulama diaibkan.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, kumpulan parasit di dalam Pas pada masa ini lebih selesa menyentuh isu hak asasi, pilihan raya bersih, mengambil pendekatan yang begitu liberal terhadap isu murtad serta keghairahan menuju ke Putrajaya.

‘‘Amat malang bagi sebuah parti Islam yang mempunyai barisan kepimpinan yang semakin liberal dan tidak menunjukkan sokongan padu serta kesungguhan yang jitu untuk melaksanakan hudud dan syariat Islam.

‘‘Malah sanggup pula melihat pimpinan ulama mereka diaibkan,’’ katanya melalui status Facebook terbaru beliau hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mula membayangkan kemungkinan parti itu tidak lagi akan meneruskan kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), apabila tiba masanya kelak.

Harun berkata, walaupun mengakui Pas tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti itu, beliau tidak menafikan dasar perjuangan Pas sering mengundang bantahan daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Hasan berkata, sehingga kini belum ada riak-riak sokongan terhadap kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang komited untuk melaksanakan hudud namun ditentang hebat oleh Karpal.

‘‘Ketua Dewan Ulama seperti biasa telah membuka laluan dan memberi jalan kepada pimpinan Pas pelbagai peringkat untuk menyuarakan pandangan dan seterusnya merangkakan tindakan yang patut diambil bagi menebus maruah Presiden, ahli dan penyokong parti,’’ katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini kelantangan suara-suara parasit hanya berkisar kepada usaha untuk menawan Putrajaya.

‘‘Saya masih menunggu komen daripada parasit-parasit dalam barisan kepimpinan Pas tetapi kebiasaannya mereka hanya lantang menyuarakan pandangan dan pendapat terutama isu yang melibatkan rancangan besar seperti untuk ke Putrajaya,’’ katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, agenda untuk melaksanakan hukum hudud merupakan perjuangan asal Pas dan ia telah diputuskan sejak parti itu ditubuhkan.

‘‘Ketua Dewan Ulama Pas telah merentangkan jalan untuk mendapatkan sokongan jitu daripada semua pemimpin dan ahli Pas. Bagi saya Harun telah membuat kenyataan yang paling jelas dan tegas. Hudud akan terus dilaksanakan melalui proses pindaan Perlembagaan.

‘‘Sekiranya rakan kongsi dalam pakatan tidak dapat menerima hudud, beliau dengan tegas tanpa bersembunyi menggambarkan kesediaan Pas memilih rakan kongsi lain yang dapat membantu melaksanakan hudud,’’ katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan